Turnkey websites
Home-Page

2003-10-17

2003-10-05

2003-10-11

2002-03-03

2001-10-14

2001-10-08

2001-07-02

2000-06-05

KEGANASAN - SOAL JAWAB PARLIMEN- 8 OKTOBER 2001 ::.

SOALAN YANG DIJAWAB OLEH YAB PERDANA MENTERI DI DEWAN RAKYAT PADA 8 OKTOBER 2001


Soalan.
Dato' Haji Ahmad Husni bin Mohd. Hanadlah [Tambun] minta PERDANA MENTERI
menyatakan apakah pendirian Kerajaan terhadap keganasan (terrorism) yang
dianggap kuasa destruktif paling merbahaya kepada dunia dalam abad
ke-21. Memandangkan komuniti dunia semakin serong terhadap umat islam yang
dikaitkan dengan keganasan, apakah peranan Kerajaan dan OIC dalam
memastikan imej Islam tidak terjejas pada mata komuniti dunia.

Soalan.
Dr. Tan Seng Giaw [Kepong] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah bentuk
perhimpunan dunia mengenai keganasan yang telah dicadangkan setelah
berlakunya perbuatan ganas (terrorism) di World Trade Centre dan Pentagon
Amerika Syarikat. Apakah jenis perbuatan ganas yang terdapat di Malaysia
dan langkah-langkah yang harus diambil supaya segala jenis keganasan dapat
dicegahkan di negeri ini.

Soalan.
Datin Paduka Hajah Seripah Noli binti Syed Hussin [Sepang] minta PERDANA
MENTERI menyatakan sikap dan pendirian Malaysia terhadap tindakan Amerika
Syarikat yang mula menyelaraskan strategik diplomatik dan ketenteraan
untuk membentuk perikatan antarabangsa bagi membalas serangan ke atas
Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Pentagon.Jawapan 

Tuan Yang di- Pertua, 



Saya akan menjawab soalan ini bersekali dengan soalan No. 16 pada hari ini
oleh YB Dato' Dr. Tan Seng Giaw juga soalan No. 2 dan oleh YB Datin Paduka
Sharifah Noli binti Syed Husin.

Tuan Yang di-Pertua,

Kerajaan Malaysia menolak dan mengutuk penggunakan keganasan untuk
mencapai apa-apa matlamat. Selagi ada cara yang terbuka untuk
menyelesaikan masalah atau ketidakpuasan hati terhadap apa-apa perkara,
keganasan tidak harus menjadi pilihan.

Di Malaysia, kita mengamalkan sistem demokrasi di mana kerajaan yang tidak
disukai oleh majoriti rakyat boleh ditukar dengan hanya mengundi. Kita
telah lihat bahawa hak menukar kerajaan dengan cara ini memang pun ada di
Malaysia dan berkesan. Justeru itu keganasan tidak boleh menjadi pilihan
di Malaysia.

Kita menentang keganasan di mana-mana sahaja dan oleh sesiapa
sahaja. Keganasan bukan monopoli orang Islam. Sudah berkali-kali kita
lihat bangsa lain dan penganut agama lain terlibat dengan keganasan. Orang
Yahudi, orang Hindu, Buddhist, Kristian dan yang tidak beragama juga
melakukan keganasan. Amatlah tidak adil mengaitkan keganasan dengan Islam. 

Keganasan dan pengganas tidak boleh dikalahkan dengan cara
ketenteraan. Sebab-sebab pengganas-pengganas mengganas perlu dikenal pasti
dan tindakan diambil untuk menyelesaikan sebab-sebab ini. Hanya dengan
menggunakan pendekataan pemburuan bersama-sama usaha penyelesaian
sebab-sebab berlakunya keganasan barulah keganasan dapat dihentikan.

Tuan Yang di-Pertua,

Peperangan secara biasa ("conventional") konvensional tidak akan dapat
mengatasi keganasan dan mengalahkan pengganas. Peperangan hanya akan
mengakibatkan orang yang tidak bersalah menjadi mangsa. Pengganas sendiri
mungkin terlepas. Jika mereka dibunuh atau ditawan selagi sebab untuk
mengganas masih ada tidak ada jaminan yang orang lain pula tidak akan
mengganas. Sebab itulah kerajaan Malaysia tidak bersetuju dengan
peperangan terhadap negara-negara yang dikatakan memberi perlindungan
kepada pengganas. Ia hanya membawa mala petaka kepada negara berkenaan
tanpa menjayakan sedikit pun usaha menghapuskan keganasan ataupun
pengganas. 

Untuk memulihkan imej Islam, orang Islam dan negara Islam perlu bertindak
secara rasional. Keganasan mesti ditentang oleh orang Islam. Negara-negara
Islam perlu mendesak supaya diadakan satu persidangan negara-negara Islam
dan kemudian persidangan antarabangsa untuk membincangkan masalah
keganasan dan tafsirannya. Hari ini terdapat banyak tafsiran yang berbeza
terutama berkenaan dengan keganasan yang dilakukan oleh beberapa kerajaan
negara-negara tertentu ke atas rakyat asing. Undang-undang antarabangsa
mesti digubal untuk membendung keganasan dan pengganas.

Hanya jika OIC bersikap dan bertindak secara rasional dalam menghadapi isu
pengganas dan keganasan barulah imej Islam dapat dipulihkan. 




 
Google