Oleh/By : DATO' SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA
PADA MALAM HARI RAYA AIDILFITR
Tarikh/Date : 01/01/81
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDILADHA
Saya dan isteri saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua muslimin dan muslimat di negara
ini.
Alhamdulillah di hari yang mulia ini kita, umat Islam di Malaysia, dapat
sekali lagi menyambut Hari Raya korban dalam keadaan aman, sempurna dan
penuh kegembiraan.
Seperti biasa sebagai umat Islam yang patuh kepada Allah s.w.t. dan segala
perintahnya kita akan menyempurnakan ibadah korban dengan melakukan
penyembelihan seperti yang disunatkan oleh agama kita.
Korban pada zahirnya disunatkan ke atas kita yang mampu untuk membuat
penyembelihan ke atas binatang seperti lembu, kambing dan sebagainya agar
dagingnya dapat diagih-agihkan kepada golongan fakir dan miskin yang tidak
berkemampuan.
Selain penyembelihan, ada banyak lagi pengajaran korban di dalam Islam
termasuk mengeluarkan zakat ke atas harta dan pendapatan bagi yang mampu
mengikut kiraan tertentu agar kekayaan itu turut dapat dimanfaatkan oleh
yang miskin.
Kesanggupan berkorban harta kekayaan bagi membantu yang daif adalah
kebajikan yang diseru oleh Islam. Begitulah indahnya agama Islam. Ianya
mengajar kita mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t. dan
berkorban untuk membantu yang miskin dan menginsafi nasib mereka yang
lebih daif dengan melakukan kebajikan agar yang miskin tidak terpinggir.
Dari sini dapatlah kita mempelajari bahawa ajaran Islam memupuk satu
masyarakat yang prihatin, penyayang dan saling bantu-membantu antara satu
sama lain tanpa mengira bangsa, warna kulit ataupun fahaman politik.
Korban juga membawa makna yang lebih daripada itu. Islam menyeru umatnya
supaya sentiasa bersatu padu dan mengelakkan daripada perpecahan agar
nasib umat Islam sentiasa terbela dan martabat agama Islam itu sendiri
akan terus terpelihara. Kita harus mengetepikan segala kepentingan diri
bagi kebaikan masyarakat kita.
Kita dapat lihat bagaimana perpecahan umat Islam di dunia hari ini telah
mengakibatkan kita lemah dan mudah ditekan. Umat Islam semakin
ditindas. Kebanyakan negara Islam tidak maju, mundur dan miskin, yang mana
ini menyebabkan kita sukar untuk membela saudara seagama kita daripada
penganiayaan musuh-musuh Islam.
Alhamdulillah di Malaysia umat Islam masih dihormati. Walaupun negara kita
mempunyai kaum minoriti bukan Islam yang besar, mereka sanggup menerima
pemerintahan yang diterajui oleh orang Islam berdasarkan perkongsian
pentadbiran.
Kita dapat melakukan ibadah kita dalam keadaan aman dan sempurna. Inilah
nikmat yang mungkin tidak dapat dirasai oleh masyarakat Islam
tempat-tempat lain. Walaupun kita perlu bersimpati dan cuba menolong
mereka setakat yang terdaya, kita juga tidak harus lupa untuk bersyukur
kerana nikmat yang Allah S.W.T. kurniakan kepada kita.
Kita bukan sahaja bebas daripada sebarang tekanan, negara kita juga bebas
daripada sebarang malapetaka dan bala bencana. Umat Islam di negara ini
dihormati bukan kerana kita merupakan majoriti, tetapi kerana kita
merupakan masyarakat Islam yang progresif, berdisiplin, cekap dan
berpengetahuan tinggi.
Inilah nikmat yang Allah S.W.T. anugerahkan kepada kita. Oleh itu
janganlah kita lupa untuk bersyukur kepadanya.
Di hari yang mulia ini, sedang jemaah Haji kita sibuk menyempurnakan
ibadah rukun Islam yang kelima di tanah suci, marilah kita bersama-sama
menyempurnakan tugas dan tanggungjawab kita sebagai orang Islam yang patuh
kepada ajaran Allah s.w.t. dengan merapatkan barisan dan mengikat hubungan
silaturahim sesama kita.
Ketepikan perbezaan fahaman politik antara kita, korbankan kepentingan
diri kita, buktikan keinsafan dan kesyukuran kita dengan bersatu dan
meningkatkan martabat agama kita, dan memupuk hubungan yang baik dengan
rakan-rakan kita daripada keturunan dan agama yang lain.
Sekali lagi saya dan isteri saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha
kepada semua umat Islam di Malaysia. Marilah kita sama-sama berdoa kepada
Allah s.w.t. agar jemaah haji kita di tanah suci dapat melakukan ibadah
mereka dengan sempurna dan agar mereka dikurniakan haji yang mabrur dan
kembali ke tanah air dengan selamat. Semoga pengalaman mereka di tanah
suci dapat kita manfaatkan untuk mempertingkatkan keimanan kita.
|