Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MALAYSIA
Tarikh/Date : 16/09/81
Tajuk/Title : PERASMIAN PEMBUKAAN MAKTAB
PERTAHANAN ANGKATAN TENTERA,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah
kurniaNya dapat saya hadir pada hari ini untuk merasmikan Pembukaan Maktab
Pertahanan Angkatan Tentera.
2. Selaku Menteri Pertahanan, saya berasa amat bangga dengan Angkatan
Tentera khususnya dan Kementerian Pertahanan amnya, yang telah berjaya
menubuhkan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera ini. Kepada semua yang
berkenaan saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah. Saya percaya bahawa
seluruh rakyat akan bersama-sama dengan Kerajaan mengalu-alukan penubuhan
Maktab ini, yang juga melambangkan satu lagi tahap kemajuan negara kita.
3. Sesungguhnya adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk sentiasa berusaha
bagi meningkatkan lagi mutu profesyenalisma semua perkhidmatan Kerajaan,
baik perkhidmatan awam mahupun perkhidmatan tentera. Kecekapan dan
keupayaan serta kejujuran tiap-tiap perkhidmatan akan dapat membantu dalam
usaha-usaha pembangunan negara.
4. Sebagai sebuah negara yang merdeka Malaysia perlu mempunyai satu
Angkatan Tentera yang cekap dan terlatih untuk memelihara kedaulatan dan
keselamatan negara. Dalam hal ini latihan adalah merupakan satu aspek yang
sangat penting dalam usaha kita membentuk satu Angkatan Tentera yang mampu
melaksanakan tanggongjawabnya dengan sempurna dan berkesan.
5. Penubuhan Maktab Pertahanan ini adalah satu lagi kemajuan bagi
meningkatkan kemampuan kepimpinan Angkatan Tentera kita. Angkatan Tentera,
sebagai satu profesyen, mestilah mempunyai pemimpin-pemimpin yang mahir
dalam bidang pengurusan dan pertahanan. Untuk menjalankan Tanggong-jawab
mereka pegawai-pegawai Angkatan Tentera kita juga memerlukan pengetahuan
dalam berbagai aspek kemasyarakatan. Saya berasa sukacita bahawa kursus di
Maktab ini akan merangkumi perkara-perkara tersebut dengan
menitikberatkan,antara lain, perancangan dan perlaksanaan gerakan gabungan
tiga khidmat, iaitu Tentera Darat, Laut dan Udara dan juga pengajian
strategi.
6. Pada hemat saya, semua pegawai Kerajaan, termasuk juga pegawai tentera,
mestilah mempunyai pengetahuan am yang luas dan sentiasa mengikuti
perkembangan di dalam dan di luar negeri, terutama sekali mengenai
pergolakan di rantau ini serta memahami implikasinya terhadap negara kita.
Pengetahuan seperti ini amatlah penting untuk merancang dan melaksanakan
rancangan-rancangan pertahanan dan keselamatan negara.
Para hadirin sekelian.
7. Kerajaan sentiasa memberi perhatian yang berat kepada keselamatan dan
pertahanan negara. Peruntukan yang besar telah diberikan kepada
keselamatan dan pertahanan negara di bawah Rancangan Malaysia
Keempat. Dengan peruntukan ini Angkatan Tentera kita akan diperkuat dan
diperbesarkan dari segi bilangan anggotanya, alat-alat kelengkapan dan
kemudahan yang lain. Alat-alat dan senjata-senjata yang akan diperolehi
kelak adalah yang moden dan 'sophisticated".
Sebagai sebuah negara yang membangun adalah sukar bagi kita untuk membeli
alat alat sophisticated ini dengan banyak.
Kita hendaklah sentiasa sedar akan hakikat ini. Oleh yang demikian kita
hendaklah menggunakan peruntukan yang besar itu dengan sebaik-baiknya dan
dengan cara yang paling berkesan. Untuk mencapai objektif ini kita
memerlukan pentadbiran dan pengurusan pertahanan yang cekap dan strategi
pertahanan yang baik. Dengan adanya pengurusan yang cekap dan efektif
dapatlah kita mengelakkan berlakunya sebarang pembaziran atau 'wastage'
dan mengurus pembekalan kelengkapan serta kemudahan untuk Angkatan Tentera
kita dengan licin dan teratur. Pengurusan yang baik juga akan menjamin
pelaksanaan rancangan-rancangan yang melibatkan kebajikan anggota-anggota
Tentera kita dan keluarga-keluarga mereka. Saya rasa dengan ada-nya Maktab
ini perkara-perkara seumpama ini akan mendapat perhatian yang sewajarnya.
8. Saya difahamkan bahawa kursus yang pertama di Maktab ini dihadiri juga
oleh pegawai-pegawai polis dan awam. Ini adalah satu langkah yang
bijak. Pelaksanaan rancangan pembangunan Kementerian Pertahanan melibatkan
berbagai agensi termasuk Perkhidmatan Awam. Untuk memastikan bahawa
rancangan-rancangan pembangunan ini dapat dilaksanakan dengan teratur
adalah perlu bagi pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam memahami keperluan
keperluan serta masalah-masalah pertahanan negara dan Angkatan Tentera.
Di samping itu pula pegawai-pegawai tentera perlu memahami cara-cara dan
masalah-masalah pentadbiran awam.
Melalui persefahaman ini baharulah dapat diwujudkan sikap yang positif
yang akan menentukan kelicinan pelaksanaan rancangan-rancangan pembangunan
bagi Angkatan Tentera kita.
Saya harap pegawai-pegawai dari Angkatan Tentera, Polis dan Perkhidmatan
Awam akan menggunakan peluang ini untuk memupuk persefahaman yang lebih
erat kerana ketiga-tiga bahagian ini wujud bukan kerana kepentingan
masing-masing tetapi kerana kepentingan negara.
Para hadirin sekelian.
9. Maktab Pertahanan Angkatan Tentera ini banyak bergantung kepada
Jabatan-jabatan Kerajaan, Universiti-universiti dan pihak swasta bagi
mendapat pegawai-pegawai serta pensyarah- pensyarah untuk memberi syarahan
dalam bidang kepakaran yang tertentu. Bantuan dan sumbangan seperti ini
adalah sentiasa diperlukan. Sumbangan yang diterima oleh Maktab ini adalah
menggalakkan. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang
telah memberi sumbangan kepada Maktab Pertahanan Angkatan Tentera ini.
10. Saya berharap Angkatan Tentera akan terus berusaha untuk meningkatkan
latihan pegawai-pegawai kanannya hingga keperingkat yang lebih tinggi
dalam bidang ketenteraan, bidang pengurusan dan bidang-bidang yang
lain. Dengan adanya latihan yang tertib dan tersusun kita dapat
meningkatkan lagi kecekapan serta kemampuan pegawai-pegawai tentera kita
dan amnya Angkatan tentera kita.
11. Seterusnya, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat
Maju Jaya kepada semua peserta yang akan mengikuti kursus yang pertama
kali Maktab ini.
12. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Pembukaan Maktab
Pertahanan Angkatan Tentera.
|