Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	TANJUNG KARANG, SELANGOR, 
Tarikh/Date 	: 	26/09/81 
Tajuk/Title  	: 	MERASMIKAN HARI PELADANG KEBANGSAAN 




Y.B. Menteri Pertanian Datuk Abdul Manan Othman, 
YAB. Menteri Besar Selangor Dato Hormat Rafie 
Yang Berhormat-Yang Berhormat, Dif-dif Kehormat, Tuan-tuan dan puan-puan
sekelian.

Assalamu' alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah
kurniaNya kita dapat berkumpul beramai-ramai di Tanjung Karang pada hari
ini untuk merayakan Hari Peladang Kebangsaan Yang ke Sembilan. Perayaan
ini bukanlah hanya setakat menyertai pertandingan atau menyaksikan pamiran
tetapi yang lebih penting ialah kita semua hendaklah memusatkan tikad dan
berikrar untuk memupuk semangat bekerjasama, berdikari serta membaharui
azam untuk berusaha dengan lebih giat lagi. Perjumpaan seperti ini memberi
peluang kepada petani-petani dan peladang-peladang kita untuk
bertukar-tukar fikiran, melihat kemajuan-kemajuan yang telah dicapai dan
mengukur sejauh mana para petani kita sudah maju dalam amalan-amalan
pertanian moden, seperti penggunaan benih bermutu tinggi, jentera-jentera
pertanian, dan lain-lain kemudahan pertanian yang bertujuan meningkatkan
pengeluaran dan pendapatan.

2. Hari Peladang Kebangsaan ini diadakan di negeri-negeri secara
bergilir-gilir. Pemilihan Tanjung Karang untuk Hari Peladang tahun ini
adalah sangat sesuai kerana kawasan Tanjung Karang dan Sekinchan merupakan
kawasan jelapang padi yang terbesar di Negeri Selangor dan kawasan Sabak
Bernam yang berhampiran merupakan kawasan tanaman kelapa dan koko yang
penting. Kedua-dua kawasan pertanian ini terletak di bawah Projek
Pembangunan Pertanian berpadu Barat Laut Selangor.

3. Projek Barat Laut Selangor yang dianggar berharga Dua Ratus Enam Belas
Perpuluhan Tiga Juta Ringgit ($216.3 juta) mula dilancar perlaksanaannya
dalam tahun 1978. Projek ini mempunyai matlamat untuk meningkatkan
pengeluaran dan pendapatan para petani dan peladang di kawasan ini. Pada
peringkat awal pelaksanaannya, tekanan diberi kepada pembekalan
infrastruktur-infrastruktur pertanian dan penyaluran secara integrasi
perkhidmatan-perkhidmatan pertanian oleh berbagai-bagai agensi
Kerajaan. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada
Kerajaan Negeri Selangor yang telah memberi sokongan kuat dalam
pelaksanaan projek ini dan juga kepada para peladang di kawasan ini yang
telah memberikan kerjasama mereka.

Para hadirin sekelian.

4. Sektor pertanian adalah asas utama pembangunan Negara kita. Di dalam
tahun 1980, misalnya, sektor pertanian memberi sumbangan 22.2% kepada
Keluaran Dalam Negara Kasar dan merupakan 40.6% sumbangan tenaga kerja
negara. Tetapi dalam masa yang sama, sektor ini masih lagi mempunyai kadar
kemiskinan yang tinggi iaitu 46.1%. Kerajaan memandang berat akan keadaan
ini dan dalam usahanya untuk mengatasi masalah ini telah mengadakan
beberapa Projek Pembangunan Pertanian di dalam kawasan yang telah
diteroka. Oleh itu, tema Hari Peladang yang dipilih pada tahun ini, iaitu
"Peladang Progresif asas Pemodenan Pertanian" memang tepat dengan hasrat
dan tempo pembangunan pertanian yang sedang dan akan dilaksanakan di bawah
Rancangan Malaysia Keempat.

Negara kita memerlukan petani dan peladang yang produktif yang mengamalkan
pertanian moden untuk menjamin bukan sahaja bekalan makanan negara
sentiasa cukup tetapi juga keselamatan dan kemakmoran yang kita nikmati
akan berkekalan.

5. Dalam zaman yang serba moden ini, amalan pertanian juga harus
dimodenkan agar pengeluaran dan pendapatan para peladang dan petani
meningkat. Pemodenan pertanian bermula dengan perubahan sikap terhadap
amalan pertanian itu sendiri. Sikap mahu memajukan diri sendiri dan
bekerjasama merupakan asas kejayaan amalan pertanian moden. Penggunaan
teknoloji pertanian moden seperti benih baru bermutu, alat jentera, baja
dan racun serangga dan lain-lain bahan memerlukan disiplin yang ketat dan
penglibatan dan kerjasama semua peladang dan petani. Usaha-usaha
pakar-pakar penyelidikan untuk mendapatkan benih-benih yang memberi hasil
tinggi, pegawai -pegawai perkembangan pertanian untuk menyampaikan nasihat
dan tunjukajar teknoloji-teknoloji baru, dan pembekalan bahan-bahan
seperti jentera, baja, kredit dan lain-lain adalah bertujuan menjamin dan
meningkatkan hasil pengeluaran. Ini tidak akan dapat dinikmati dengan
sepenuhnya tanpa para petani menerima dan menyertai pertanian moden.

Para hadirin sekelian.

6. Adalah menjadi hasrat Kerajaan agar pertanian moden dijadikan sebagai
asas pembangunan luar bandar. Saya percaya hasrat yang murni ini dapat
dicapai dengan adanya perancangan yang lengkap dan teratur di pihak
Kerajaan, kerjasama yang erat dari sektor swasta dan penerimaan serta
penglibatan sepenuhnya dari pihak petani dan peladang. Di pihak Kerajaan,
berbagai-bagai agensi dan Jabatan telah ditubuhkan untuk memajukan bidang
pertanian seperti Jabatan Pertanian, MARDI, Lembaga Pertubuhan Peladang,
RISDA, FAMA, Bank Pertanian dan lain-lain lagi. Kerajaan telah mengadakan
infrastruktur dan perkhidmatan dan kita telah mencapai beberapa
kemajuan. Walau bagaimanapun kadar pencapaiannya belum lagi boleh
dibanggakan. Bagi kawasan-kawasan yang termasuk di dalam program
Pembangunan Kawasan berpadu, kesan perkhidmatan berbagai agensi ini telah
mula dirasakan oleh petani-petani kerana perkhidmatan tersebut disampaikan
secara integrasi dan berpadu. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk
menyeru pegawai-pegawai Kerajaan yang melaksanakan tugas-tugas pembangunan
pertanian supaya sentiasa sensitif kepada keperluan dan keadaan para
peladang dan petani serta pada masa yang sama berhati cekal untuk terus
memberi nasihat dan pimpinan ke arah pertanian moden.

7. Pembangunan pertanian pada masa yang lampau telah menumpukan kepada
peningkatan pengeluaran iaitu pembangunan jenis tanaman itu sendiri. Aspek
pembangunan penghidupan petani yang terlibat tidak mendapat tekanan yang
sewajarnya.

Ini tidaklah mencukupi. Amalan pendekatan yang digunakan bagi tempoh
Rancangan Malaysia Keempat dan seterusnya akan merupakan satu pendekatan
pembangunan yang menyeluruh (total development) di mana penghidupan
petani, alam sekitarnya dan keperluan hidup yang selesa akan diberi
keutamaan yang seimbang dengan pembangunan tanaman yang diusahakan. Saya
percaya pendekatan pembangunan yang demikian akan meningkatkan lagi
semangat dan azam para peladang dan petani kita untuk menjadi lebih
produktif lagi.

8. Kerajaan sedar bahawa para peladang dan petani kita menghadapi masalah
tanah ladang atau sawah yang kecil untuk diusahakan dan kemajuan mereka
adalah terhad oleh kerana sekatan saiz yang kecil itu. Pendekatan
pertanian secara berkelompok akan digalak dan diutamakan supaya
sawah-sawah atau kebun-kebun yang dulunya kecil boleh diusahakan mengikut
lunas-lunas pengurusan tanah yang luas iaitu secara estet. Di negara kita,
mengusaha sawah secara berkelompok mengikut lunas-lunas pengurusan estet
telah dilakukan secara percubaan di Kampong Asam Jawa,
Kedah. Petani-petani di kawasan itu telah bersetuju untuk menyatukan
petak-petak sawah mereka yang kecil supaya boleh dibahagikan semula kepada
petak yang besar yang lebih mudah diusahakan dengan jentera besar dan
lebih ekonomik. Para petani kita tidak boleh lagi berpegang kepada amalan
tradisional yang sudah sampai kepada tahap maksima pengeluaran
hasilnya. Para petani kita hendaklah melibatkan diri secara menyeluruh
dengan mengusahakan tanah padi secara berkelompok, supaya terdapat hasil
yang tertinggi dari penggunaan jentera, kredit dan pengurusan. Selain
daripada ini percantuman tanah akan melepaskan tanah-tanah kosong yang
boleh digunakan untuk berbagai tanaman dan perusahaan kecil.

9. Pengurusan ladang secara besar-besaran atau komersial ini akan membuka
peluang yang luas bagi sektor swasta seperti bank-bank perniagaan dan
institusi-institusi kewangan memainkan peranan yang lebih aktif di dalam
pembangunan pertanian terutamanya jenis-jenis tanaman makanan seperti
padi, kacang tanah, sayur-sayuran dan sebagainya. Agensi-agensi Kerajaan
yang tertentu akan sentiasa berusaha bagi menentukan tidak ada
penyelewengan oleh institusi-institusi yang terlibat. Saya ingin mengambil
kesempatan ini menggesa sektor ini terutamanya institusi-institusi
kewangan agar meningkatkan lagi penglibatan mereka dengan pembangunan
pertanian dan memberi kerjasama sepenuhnya untuk mencapai objektif
memajukan para petani dan peladang kita.

Para hadirin sekelian.

10. Kita kerap kali mendengar bahawa semasa memungut hasil padi misalnya,
para petani kita menghadapi kekurangan tenaga kerja. Tetapi kita juga
kerap melihat pada masa-masa yang lain petani-petani tidak mempunyai
sebarang kerja yang berhasil. Keadaan seumpama ini merugikan petani-petani
itu sendiri kerana masa yang terluang tidak digunakan
sebaik-baiknya. Adalah menjadi hasrat Kerajaan agar setiap petani dapat
menumpukan lebih banyak masa lagi dan bekerja dengan lebih berkesan
(gainfully employed) untuk meningkatkan pengeluaran dan seterusnya
pendapatan mereka.

Pada masa ini, sebagai contoh, penyelenggaraan parit dan taliair di dalam
sawah seperti menebas rumput-rampai, membaiki ban-ban yang telah roboh dan
sebagainya dilakukan melalui kontrektor-kontrektor yang dilantik dan
diawasi olih Jabatan Parit dan Taliair. Parit-parit dan taliair ini dibina
untuk kemudahan petani-petani bersawah dan belanja penyelenggaraannya
adalah agak tinggi. Sebagai langkah untuk menambahkan pendapatan dan
menolong menentukan petani-petani berpeluang bekerja sepenoh masa, pada
hemat saya, ada baiknya sekiranya penyelenggaraan parit dan taliair
dilaksanakan sendiri olih para petani secara mufakat dan mendapat bayaran
setimpal seperti bayaran yang lazimnya diterima olih kontrektor-kontrektor
yang saya sebutkan tadi.

Cara ini bukan sahaja akan membantu menambah pendapatan para petani kita
tetapi juga akan menjamin mutu kerja yang baik kerana kesan
penyelenggaraan yang dilakukan akan mempengaruhi taraf bekalan air untuk
bersawah di dalam kawasan parit atau taliair berkenaan.

11. Di mana yang sesuai, Kerajaan juga akan mengadakan latihan tertentu
kepada para petani dan peladang yang berminat dan berkelibar untuk
menubuhkan kilang kecilan bagi memperoses bahan-bahan pertanian untuk
menambahkan pendapatan mereka. Potensi para petani dan peladang kita yang
cekap dari segi pertukangan, kerja tangan dan sebagainya akan
diperkembangkan dengan penubuhan perusahaan kecil seperti membuat perabut
dan perkakas dari rotan dan buluh, membuat batu-bata dengan menggunakan
pasir atau tanah liat dan lain-lain lagi. Usaha-usaha ini boleh diatur
dengan rapi bagi menyesuaikan keperluan tenaga buruh dan
pasaran. Usaha-usaha seumpama ini merupakan potensi yang besar untuk
menambah pendapatan para petani kita.

Para hadirin sekelian.

12. Kerajaan juga akan memberi galakan dan insentif kepada sektor swasta
untuk menubuhkan kilang-kilang di kawasan-kawasan luar bandar terutamanya
kilang-kilang yang berasaskan pertanian dan membuat "intermediate
products" untuk industri-industri yang lebih besar demi membuka peluang
para petani menambahkan pendapatan mereka. Di samping itu perusahaan
ternakan ayam, itek, lembu dan ikan air-tawar boleh diadakan oleh petani
sendiri secara teratur dan berkongsi. Apa yang perlu ialah kesanggupan
bekerja dan bekerja kuat.

Para hadirin sekelian.

13. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka yang telah
berjaya menjadi johan di dalam pertandingan yang diadakan bersempena
dengan perayaan Hari Peladang Kebangsaan ini. Saya berharap mereka akan
mengembangkan kecekapan mereka, berkerjasama dan terus berusaha bagi
mencapai tahap pengeluaran dan pendapatan yang lebih tinggi lagi. Bagi
mereka yang kurang bernasib baik, belajarlah daripada mereka yang berjaya
dan berusahalah dengan lebih giat lagi.

14. Dengan kata-kata ini saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Hari
Peladang Kebangsaan Yang ke sembilan ini.

Wabillahitaufik Wasalamu' alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


 



 


 











 
Google