home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
1989
1989
1988
1987
1986
1985
1984
1983
1982
1981
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	NIRWANA BALLROOM, HOTEL HILTON, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	25/10/81 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MALAM SEPULUH TAHUN UDA 




Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YB
Datin Paduka Rafidah Aziz, Menteri Perusahaan Awam, Pengerusi, Ahli-Ahli
Jemaah dan Pengurusan UDA kerana telah sudi menjemput saya dan isteri saya
ke Majlis Malam Sepuluh Tahun UDA ini.

2. Uda yang diwujudkan sepuluh tahun yang lalu merupakan salah sebuah
perbadanan awam yang terpenting bagi melaksanakan Dasar Ekonomi Baru,
khususnya berhubung dengan objektif penyusunan semula masyarakat di
bandar-bandar. Tanggungjawab UDA ini, tidak dapat dinafikan, adalah besar
dan masih banyak usaha yang perlu dibuat bagi menjamin pencapaian objektif
penyusunan supaya bandar-bandar kita mencerminkan kedudukan kaum yang
seimbang di Malaysia.

3. Malaysia, sebagai sebuah negara yang merdeka dan mempunyai rakyat
berbilang kaum mestilah menumpukan segala usaha untuk memupuk perpaduan
negara. Penyusunan semula masyarakat melalui pembangunan dan pembaharuan
semula bandar-bandar dengan cara sistematik dan teratur di mana
aspek-aspek sosial dan budaya diberi perhatian di samping aspek ekonomi
merupakan salah satu usaha yang penting ke arah perpaduan. Penubuhan UDA,
sebagaimana kita semua maklum, adalah dengan tujuan untuk menyusun semula
masyarakat. Dalam hal ini, UDA bukanlah ejensi tunggal yang
dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk mencapai matlamat ini. Pencapaian
matlamat penyusunan semula masyarakat mestilah menjadi tanggungjawab semua
pihak walaupun UDA memegang peranan yang utama di bandar-bandar.

4. Memandang kepada pentingnya peranan UDA dalam konteks Dasar Ekonomi
Baru, usaha-usaha telah dibuat untuk menjamin supaya kegiatan-kegiatan UDA
dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan lagi. Berdasarkan kepada
kajiannya, UDA telah mengambil dayausaha untuk menentukan kawasan-kawasan
yang perlu diberi keutamaan khususnya dalam pelaksanaan projek-projek di
bawah Rancangan Malaysia Keempat. Oleh itu di bawah Rancangan Malaysia
Keempat, UDA akan menjalankan kegiatan-kegiatannya di kawasan tertentu dan
akan mengkhusus kepada beberapa aktiviti sahaja. UDA akan menumpukan
perhatian dan kegiatannya kepada empat belas buah bandar, iaitu Alor Star,
Butterworth, Bandar Melaka, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru, Kelang,
Kuantan, Kuala Lumpur, Kota Bahru, Petaling Jaya, Seremban, Shah Alam dan
Tanjong Tokong. Bandar-bandar ini telah dipilih berdasarkan kepada
kriteria-kriteria tertentu yang di antara lain termasuk agihan penduduk
mengikut kaum, agihan pendapatan, kemampuan dan kehendak pembeli dan
lain-lain.

5. Saya sedar bahawa pihak UDA tidak akan dapat memainkan peranannya
dengan berkesan tanpa sokongan dan kerjasama daripada pihak ejensi-ejensi
Kerajaan yang lain, terutamanya badan-badan dan ejensi-ejensi Kerajaan
Negeri. Semua badan-badan Kerajaan, sama ada di peringkat Persekutuan atau
negeri mempunyai peranan yang complementary dalam pencapaian Dasar Ekonomi
Baru. Kerjasama erat di antara badan-badan dan ejensi-ejensi ini mestilah
wujud supaya perancangan dan pelaksanaan dapat dijalankan dengan
lancar. Kerajaan memandang berat terhadap tindak-tanduk mana-mana jua
pegawai yang mementingkan ejensi sendiri semata-mata sehingga terjejas
Dasar Ekonomi Baru. Sifat atau sikap enggan bekerjasama atau tindakan yang
menjejaskan penyelarasan tidak harus wujud di kalangan pegawai-pegawai
kita di mana-mana jua. Ejensi atau jabatan bukanlah satu empire yang harus
bertindak untuk menakluki semua, tetapi adalah semata-mata alat bagi
mencapai matlamat nasional.

Saudara-saudari sekelian.

6. Saudara-saudara sebagai anggota dan kakitangan UDA sepatutnya berbangga
dapat berkhidmat dengan UDA iaitu sebuah Perbadanan yang mempunyai peranan
yang begitu penting. UDA memegang amanah Kerajaan, dan adalah menjadi
harapan Kerajaan dan rakyat agar ianya dapat menjalankan tanggungjawabnya
dengan berkesan dan sempurna. Sebagaimana kita semua maklum masanya cuma
tinggal sepuluh tahun sahaja lagi untuk mencapai matlamat di bawah Dasar
Ekonomi Baru yang ditentukan di bawah rancangan jangka panjang dua puluh
tahun. Oleh itu, adalah amat penting sekali Perbadanan-perbadanan awam,
termasuk UDA, menumpukan sepenuh perhatian agar matlamat-matlamat Kerajaan
dapat dicapai dengan jayanya.

7. Negara kita mempunyai banyak perbadanan awam. Perbadanan-perbadanan
awam yang diwujudkan mempunyai peranannya masing-masing. Ada di antaranya
yang khusus menjadi alat pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, iaitu seperti
UDA. Tetapi, sama ada sebuah perbadanan atau jabatan itu mempunyai peranan
yang langsung atau tidak dari segi pencapaian Dasar Ekonomi Baru ia
mestilah berkesan dalam mencapai objektif dan matlamat yang ditentukan
baginya tanpa apa-apa penyelewengan dibenarkan berlaku; ia mestilah
ditadbirkan dengan efisyen; ia mestilah menggunakan sumber-sumber yang ada
dengan cara yang produktif; ia mesti menjamin di mana yang sesuai, supaya
terdapat keuntungan.

Dengan lain-lain perkataan, apa yang kita kehendaki ialah suatu pengurusan
yang berkesan bagi menjamin sektor awam yang produktif. Ini mestilah
menjadi panduan dan komitmen setiap pegawai sektor awam; mereka yang tidak
membantu atau enggan membantu meningkatkan mutu pengurusan sektor awam
tidak mempunyai tempat di dalam sektor ini.

8. Di sini patutlah juga saya ulangkan hasrat Kerajaan yang memerintah
sekarang. Hasrat Kerajaan tidak lain dan tidak bukan ialah untuk
menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang maju yang dihormati
oleh seluruh dunia, iaitu menuntut kemajuan kerana kemajuan boleh memberi
kepada penduduk Malaysia kesejahteraan dan kemakmuran baik dari segi
rohani atau pun jasmani. Untuk mencapai taraf kemajuan yang kita idami
bukanlah satu perkara yang sukar. Yang dikehendaki semata-mata ialah
tiap-tiap seorang daripada kita, iaitu rakyat Malaysia, menjalankan
tugasnya dengan jujur dan dedikasi. Semata-mata dengan membuat kerja yang
dipertanggungjawab dengan sepenuhnya akan menjadikan negara kita negara
maju. Status atau jawatan yang dipegang tidak penting dalam usaha-usaha
ini. Seorang budak pejabat boleh menolong menjayakan usaha pembangunan
negara dengan menjalankan tugasnya dengan jujur. Begitu juga seorang
pegawai tinggi atau pun seorang tokoh politik.

9. Hasil daripada usaha-usaha yang dijalankan ini akan dirasai oleh semua
pihak. Negara yang maju akan menghasilkan pendapatan yang lumayan kepada
semua penduduknya, termasuklah kita sendiri. Sebaliknya, sifat cuai dan
malas bekerja di kalangan rakyatnya menjadi negara ini lemah dan
mundur. Akibatnya hidup kita akan tertekan dan kita akan menjadi kecewa
dan merana.

10. Sumber yang terpenting sekali bagi membawa kejayaan kepada negara dan
diri kita sendiri ialah fikiran dan tenaga manusia yang boleh disalurkan
dan digunakan secara membina.

Sumber alam yang lain tidak akan membawa kejayaan tanpa usaha dan
ketekunan manusia. Oleh itu rakyat Malaysia mestilah sanggup berusaha
dengan gigih dan bekerja dengan keras demi menjaga maruah serta
kepentingan rohani dan jasmani kita semua.

11. Kualiti pengurusan UDA bergantung kepada pegawai dan
kakitangannya. Adalah menjadi harapan saya agar saudara-saudara sekelian
bekerja dengan penuh berdisiplin dan memikul tanggungjawab dengan jujur
dan dedikasi. Setiap seorang daripada kita di dalam perkhidmatan awam
memikul tanggungjawab dan memegang amanah yang besar dan apa-apa kecuaian
atau penyelewengan bukan sahaja merupakan pengkhianatan tetapi juga dosa.

12. Akhir kata, saya mengucapkan kepada saudara-saudara sekelian selamat
menjalankan tugas dan selamat maju-jaya.

Wabillahitaufik walhidayah, wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 



 


 











 
Google