Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : TAMBUN INN.
Tarikh/Date : 29/10/81
Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN SEMINAR
PEMBANGUNAN NEGERI PERAK
Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Perak,
Dato' Seri Hj. Wan Mohamed bin Hj. Wan Teh;
Yang Berhormat Dato' Seri Mohd. Khalil bin Hj. Hussein,
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak;
Yang Berusaha Dr. Mohd. Shahari bin Ahmad Jabar,
Pengarah INTAN;
Ahli-ahli Yang Berhormat;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian.
Assalamu' alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terlebih dahulu saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada
Kerajaan Negeri Perak selaku penganjur Seminar ini kerana penghormatan
yang diberikan kepada saya untuk melakukan perasmian Seminar Pembangunan
Negeri Perak pada hari ini.
2. Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada INTAN di
atas usahanya mengadakan Seminar ini yang bertemakan "perhubungan di
antara pegawai Pentadbir dan ahli politik dalam pembangunan" bagi kali
ketiganya.
Perhubungan erat berasaskan kerjasama dan persefahaman di kalangan ahli
politik dan pentadbir adalah amat penting.
Tanpanya perancangan dan juga pelaksanaan pembangunan akan
terjejas. Adalah menjadi harapan saya agar seminar seperti ini dapat
meningkatkan lagi kerjasama dan persefahaman di kalangan ahli politik dan
pentadbir dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka di dalam
usaha-usaha pembangunan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.
3. Sebagaimana kita maklum, tujuan pembangunan ialah untuk membawa suatu
keadaan yang lebih baik kepada negara dan rakyatnya. Keadaan yang lebih
baik yang dimaksudkan bergantung kepada faktor-faktor tertentu dan
suasana-suasana tertentu disesebuah negara. Semenjak kita mencapai
kemerdekaan, kita telah berusaha dengan gigih untuk membangunkan negara
bagi membolehkan rakyat keseluruhanya menikmati faedah-faedah daripada
pembangunan. Syukur kita kepada Allah Subhanahuwataala kerana dengan usaha
semua pihak kita telah dapat meningkatkan kualiti kehidupan rakyat kita,
malah Malaysia merupakan sebuah negara membangun yang berjaya.
4. Kita mempunyai falsafah pembangunan yang tersendiri.
Walaupun kita menggunakan asas-asas teori dan juga pengalaman-pengalaman
negara-negara lain bagi pembangunan negara kita, ini tidak bermakna bahawa
negara kita meniru mana-mana model pembangunan dengan
sewenang-wenangnya. Kita mempunyai rangka asas berdasarkan
kehendak-kehendak Perlembagaan dan Rukunegara. Kita cuma menggunakan
aspek-aspek teori dan pengalaman-pengalaman yang kita fikirkan sesuai
dengan keadaan dan kehendak kita.
5. Bagi kita, pembangunan membawa erti perubahan ke arah kebaikan yang
komprehensif yang meliputi aspek-aspek material dan spiritual. Demikian
juga pembangunan meliputi aspek-aspek ekonomi, sosial, budaya, politik,
moral dan lain-lain. Begitu juga, bagi kita pembangunan adalah untuk semua
dan bukannya untuk sesuatu golongan tertentu sahaja, atau bagi kawasan dan
tempat tertentu. Bagi kita, usaha-usaha yang dijalankan mestilah untuk
mencapai tahap perpaduan dan keadilan yang sewajarnya di dalam masyarakat.
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.
6. Usaha-usaha untuk membangunkan negara membuka berbagai-bagai peluang
kepada rakyat semua golongan dan peringkat untuk memperbaiki diri
mereka. Yang penting ialah peluang-peluang ini hendaklah digunakan dengan
jujur tanpa menimbulkan dorongan hasat dengki dan nafsu haloba yang tidak
terbatas. Sekiranya kejujuran ini menjadi ciri yang terpenting di dalam
usaha setiap rakyat untuk memperbaiki kedudukan dan taraf kehidupannya
sudah pasti matlamat-matlamat pembangunan akan tercapai dengan berkesan
sekali. Itulah sebabnya Kerajaan yang memerintah sekarang, tidak dapat,
malah tidak akan, membiarkan mana-mana jua pihak menyelewengkan
usaha-usaha ke arah pencapaian objektif-objektif yang ditentukan dan
dasar-dasar yang telah dipersetujui.
7. Pembangunan yang berjaya adalah hasil daripada kerjasama semua pihak --
ahli-politik, pegawai Kerajaan, peniaga dan pengusaha; serta rakyat
seluruhnya. Walaupun penentuan sesuatu dasar dibuat oleh pemimpin-pemimpin
politik yang memegang teraju pemerintahan, sesuatu dasar itu adalah
dirumuskan untuk kepentingan rakyat dan negara.
Pelaksanaan sesuatu dasar yang telah diterima seharusnyalah diberi
sokongan positif oleh semua pihak. Dalam hal ini, adalah penting sekali
bagi setiap pihak memahami dengan sejelas-jelasnya latar belakang, hasrat
dan objektif, serta implikasi sesuatu dasar. Kurang pemahaman oleh
mana-mana pihak bukan sahaja boleh menjejaskan pelaksanaan sesuatu dasar
tetapi juga boleh menimbulkan tidak puas hati atau suasana tegang
(tension) atau sikap menentang dasar dan Kerajaan.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian.
8. Ahli politik dan pegawai Kerajaan mempunyai peranan yang amat penting
di dalam pembangunan. Tindak-tanduk mereka boleh membawa kejayaan atau
sebaliknya boleh menjejaskan pencapaian sesuatu dasar atau pelaksanaan
sesuatu projek.
Sikap mementingkan diri sendiri dan menggunakan kedudukan untuk faedah
persendirian bukan sahaja merosakkan "morale" di dalam Kerajaan, tetapi
juga menjatuhkan imej Kerajaan.
Di samping itu sikap mengutamakan diri sendiri adalah punca penyelewengan
dan rasuah. Walaupun mungkin sebilangan kecil sahaja mereka yang mengidap
penyakit ini, kita terpaksa membenterasnya untuk mengelakkan akibat buruk
yang lebih besar kepada usaha-usaha kita untuk membawa kemakmuran dan
kesejahteraan kepada negara dan rakyat. Saya harap ahli-ahli politik dan
pentadbir akan melaksanakan tugas mereka di samping membantu membenteras
musuh di dalam selimut ini.
9. Saya telah menyentuh masalah mementing dan mengutamakan diri sendiri
oleh ahli politik dan pegawai pentadbir sebagai satu penyakit yang bukan
sahaja merbahaya dan berjangkit tetapi membawa implikasi yang besar dalam
konteks lain.
Selain daripada memburukkan imej Kerajaan di kaca-mata rakyat, ia juga
menimbulkan pergeseran dan permainan politik yang merugikan
negara. Seseorang yang mempunyai penyakit seperti ini cuma berkesan dan
efisyen apabila sesuatu kerja itu mendatangkan faedah kepada dirinya,
tidak kira sama ada faedah itu berbentuk wang ringgit, hadiah, kedudukan
dan lain-lain. Ia akan menggunakan organisasi atau sesuatu institusi untuk
kepentingan dirinya, walaupun dengan demikian, pencapaian objektif
organisasi atau institusi tersebut akan terjejas. Ia akan mengumpulkan
anggota-anggota yang sehaluan dan bekerjasama dengan mereka yang bersifat
sedemikian. Sifat seperti ini akan menjejaskan kerjasama dan usaha
penyelarasan bagi menjayakan sesuatu program atau projek.
10. Kerjasama bukan sahaja diperlukan di kalangan ahli- politik,
pentadbir, malahan di antara ahli politik dengan pentadbir. Janganlah
hendaknya kerjasama terhalang oleh sebab tinggi-rendah taraf atau
kedudukan seseorang. Begitu juga tidak harus berlaku kurang kerjasama di
antara jabatan, antara ejensi dan lain-lain; harus di ingat wujudnya
sesuatu jabatan atau ejensi secara khusus adalah untuk meningkatkan
kemampuan Kerajaan dalam memberi perkhidmatan dan melaksanakan
pembangunan. Setiap jabatan atau ejensi adalah diwujudkan untuk memberi
khidmat; kesemuanya mempunyai tujuan asas yang sama dan di dalam mencapai
tujuan yang sama ini mereka hendaklah bekerjasama. Sesiapa yang
menimbulkan sebab-sebab remeh-temeh untuk tidak bekerjasama tidak lagi
sesuai untuk berkhidmat dengan Kerajaan. Mereka harus sedar bahawa
tindak-tanduk mereka lebih menjadi beban dan merugikan Kerajaan daripada
memberi faedah.
11. Ahli politik dan pegawai pentadbir harus faham tentang peranan dan
tugas masing-masing. Ini akan mengelakkan salah faham atau pergeseran di
kalangan mereka daripada berlaku.
Setiap pihak mestilah memahami hakikat dan keperluan politik serta
pentadbiran dan sekiranya timbul apa-apa masalah ianya hendaklah diatasi
melalui proses kerjasama dan perbincangan. Dalam hal ini, adalah penting
bagi ahli-ahli politik dan juga pentadbir untuk meningkat pengetahuan dan
kemahiran mereka di dalam bidang-bidang yang dapat membantu mereka
memainkan peranan mereka dan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan
lebih berkesan lagi. Harus diingat, kita telah sampai kepada peringkat di
mana kelayakan, pengalaman, kebolehan, kejujuran dan kematangan harus
digembelingkan bagi mencapai tahap yang lebih tinggi lagi dalam prestasi
pembangunan negara.
12. Samada ahli politik atau pegawai pentadbir, apa yang kita perlukan
pada peringkat pembangunan masa ini ialah kemampuan kepimpinan
masing-masing. Seseorang pemimpin yang berkemampuan bukanlah kerana
kepentingan sesuatu jawatan yang diisinya tetapi kesanggupannya untuk
melaksanakan tugas dan tanggungjawab jawatan yang diisinya dengan berani,
jujur dan tegas. Oleh itu setiap ahli politik dan pentadbir mestilah
mengukur kemampuan diri dengan kehendak sesuatu jawatan atau
peranan. Dengan cara meningkatkan kemampuan kita sahajalah dapat kita
menjadi pemimpin yang baik dan menjadi contoh kepada masyarakat. Dengan
ini juga ahli politik dan pentadbir akan disanjung dan dihormati oleh
rakyat.
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, 13. Saya percaya Seminar ini akan
membuka peluang kepada peserta-peserta sekelian untuk meneliti
masalah-masalah pembangunan, khususnya masalah-masalah yang berhubung
dengan peranan ahli politik dan pentadbir. Saya harap peserta-peserta
sekelian akan menggunakan forum ini untuk berbincang dengan ikhlas dan
berterus terang dari hati ke diterima dan pedih dirasa jika disebut oleh
orang lain, tetapi cuma kenyataan sahajalah yang dapat menjadi asas kearah
kebaikan.
14. Saya sama-sama berdoa agar Seminar ini mencapai kejayaan. Dengan ini
saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar Pembangunan Negeri Perak.
Wabillahitaufik wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh .
|