Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN BUNGA TANJUNG HOTEL
INTERNATIONAL, KUALA LUMPUR,
Tarikh/Date : 01/11/81
Tajuk/Title : PERSIDANGAN PERWAKILAN TAHUNAN
KESATUAN PENGHULU/PENGGAWA
SEMENANJUNG MALAYSIA
Bismillahi rahmanir rahim.
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada
Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia yang telah sudi menjemput
saya ke Persidangan Perwakilan Tahunannya kali ini dan memberi
penghormatan kepada saya untuk berucap dan seterusnya merasmikan
Persidangan.
2. Semenjak kemerdekaan, usaha-usaha pembangunan di negara kita telah
berjalan dengan pesatnya. Sistem politik dan pentadbiran selepas Merdeka
telah membawa pembangunan dan perubahan yang besar kepada bidang sosial
dan ekonomi, perhubungan antara individu dengan individu berubah, selera
dan kehendak rakyat juga berubah. Peranan penghulu juga turut
berubah. Kalau pada zaman dahulu penghulu merupakan satu-satunya tempat
untuk anak-anak buah berlindung, mendapat nasihat dan kata pemutus,
peranan penghulu sekarang sudah menjadi lebih luas dan tanggungjawab serta
tugas mereka telah meliputi berbagai-bagai aspek pembangunan.
3. Untuk mengisi dan memberi erti kepada kemerdekaan Kerajaan telah
menumpukan perhatian kepada program dan projek yang dapat membawa
kemakmuran kepada rakyat dan negara. Dasar Ekonomi Baru merupakan satu
peringkat yang penting di dalam pembangunan negara kerana Dasar ini
berlandaskan kepada falsafah pembangunan dalam konteks kesan-kesan sejarah
dan suasana masyarakat berbilang kaum.
Di samping memberi keutamaan kepada aspek ekonomi atau pembangunan fisikal
kita juga mementingkan aspek kerohanian.
Tujuan kita ialah untuk memperbaiki kualiti hidup, kedua-duanya bagi
tujuan dunia dan akhirat, yang mana memerlukan aspek-aspek kebendaan dan
juga kerohanian.
4. Pelaksanaan pembangunan yang berkesan, sebagaimana saudara-saudara
maklum adalah satu perkara yang mudah diperkatakan tetapi payah
dilaksanakan lebih-lebih lagi kerana pembangunan itu sendiri adalah untuk
manusia dan melibatkan manusia. Orang-orang yang akan membangunkan dan
mereka yang hendak dibangunkan mestilah faham akan maksud serta proses
pembangunan supaya pembangunan akan memberi faedah yang
sebenar-benarnya. Nilai-nilai hidup yang berbeza serta keadaan
sosio-ekonomi masyarakat adalah merupakan faktor-faktor yang boleh
mempengaruhi jaya atau tidaknya pembangunan.
5. Penghulu adalah orang yang paling rapat dengan orang-orang yang hendak
dibangunkan. Di sinilah letaknya peranan penghulu sebagai orang
perantaraan di antara Kerajaan dengan rakyat. Penghulu hendaklah memahami
dengan sejelas-jelasnya tentang corak, bentuk dan aspirasi masyarakat
setempat. Ia mestilah berdamping rapat dengan masyarakat di bawah
tadbirannya kerana dengan cara demikianlah ia dapat memainkan peranannya
dengan lebih berkesan. Dengan cara ini juga penghulu akan dapat memahami
tentang keadaan, kehendak dan perangai masyarakat yang didampingi dan
memberi kepimpinan kepada mereka.
Perhubungan demikian pasti dapat meningkatkan lagi penglibatan rakyat di
dalam pembangunan dan penerimaan rakyat terhadap sesuatu program atau
projek.
6. Kejayaan pelaksanaan pembangunan bergantung kepada penglibatan semua
pihak. Tiap-tiap seorang daripada kita mempunyai peranannya
masing-masing. Sekiranya tiap-tiap seorang daripada kita faham dan
menjalankan tanggungjawab dengan jujur, dedikasi dan sanggup berkorban
untuk negara maka negara kita sudah pasti akan bertambah maju lagi. Kita
mestilah bekerja kuat di samping memperbaiki kecekapan dan meningkatkan
daya pengeluaran masing-masing. Sumber-sumber alam yang masih banyak
terbiar atau tidak digunakan dengan sepenuhnya mestilah dipergunakan
dengan cara yang lebih berkesan dan menguntungkan. Sebagai penjawat awam
yang berdamping rapat dengan rakyat di kampung-kampung, penghulu boleh
dengan daya usahanya sendiri menarik minat dan memberi semangat kepada
penduduk-penduduk di luar bandar supaya melibatkan diri dalam usaha
pembangunan dengan lebih gigih lagi.
7. Menggerakkan tenaga masyarakat tempatan, khususnya penduduk-penduduk di
luar bandar, memang merupakan satu perkara yang rumit. Masalah ini, saya
rasa, dapat diatasi sekiranya penghulu sendiri menunjuk tauladan dengan
bekerja kuat dan mempamirkan sifat inginkan kejayaan kepada masyarakat
sekeliling. Penghulu hendaklah cuba mepelopori kegiatan-kegiatan yang
mendatangkan faedah kepada masyarakat. Tiap-tiap kejayaan akan menjadi
perangsang kepada masyarakat setempat. Sebagai pentadbir di peringkat
mukim penghulu merupakan pusat pemerhatian masyarakat setempat. Oleh itu
penghulu hendaklah sentiasa mempelopori perangai yang bersih dari segala
amalan yang tidak baik seperti penglibatan dengan rasuah dan
sebagainya. Penghulu hendaklah sentiasa jujur dan menjadi pembimbing
kepada anak-anak buahnya. Seperti yang saya sebutkan penghulu sebagai
pentadbir mukim, hendaklah berusaha memahami tentang kegiatan-kegiatan
Jabatan-jabatan Kerajaan yang terdapat di daerah mereka kerana
jabatan-jabatan ini adalah secara langsung bertanggungjawab terhadap
pembangunan. Hubungan erat dan persefahaman penghulu dengan rakyat dan
jabatan akan menjadi landasan untuk mempercepatkan proses pembangunan.
8. Walaupun kita dapat berbangga dengan kestabilan negara dan kemakmuran
yang kita capai kita tidak harus lupa bahawa kita sentiasa menjadi sasaran
anasir jahat yang ingin melihat pecah-belah di kalangan rakyat dan
huru-hara kepada negara. Alhamdullillah, hingga kini kita dapat mematahkan
ancaman dan cabaran musuh-musuh negara dengan kerjasama dan sokongan semua
pihak. Sebagaimana tuan-tuan maklum, untuk menjamin proses pembangunan
berjalan dengan lancar dan jayanya, rancangan pembangunan kita juga
memberi perhatian yang wajar kepada masalah keselamatan dan pertahanan
negara.
Kita hendaklah sentiasa sedar bahawa masalah pembangunan adalah merupakan
masalah keselamatan. Jika sekiranya keselamatan negara terjejas
pembangunan juga akan terjejas.
Ketenteraman dan keamanan yang wujud semestinyalah kita pertahan dan
kekalkan. Dalam hubungan ini, penghulu hendaklah sensitif terhadap
tindak-tanduk anasir-anasir jahat yang cuba mempengaruhi, memperalat dan
meracuni fikiran orang-orang kampung demi untuk mencapai tujuan jahat
mereka. Penghulu hendaklah menjadi orang perantaraan, iaitu sebagai "mata
dan telinga", Kerajaan. Jika kegiatan anasir jahat ini dapat dikesan dari
akar umbi lagi maka ini dapat memudahkan Kerajaan mengawal dan mematahkan
usaha jahat anasir-anasir tersebut.
9. Sejak dahulu hingga sekarang suasana tenteram dan aman yang terdapat di
kalangan masyarakat Melayu khususnya bolehlah dibanggakan. Perpaduan yang
wujud di kalangan orang-orang Melayu bukan sahaja dapat membantu Kerajaan
meningkatkan kesejahteraan hidup di negara ini malah membantu
menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Perpaduan di kalangan orang-orang Melayu perlu dan boleh dipertingkatkan
lagi dengan dorongan dan dayausaha pihak-pihak tertentu termasuk
penghulu. Untuk mencapai perpaduan yang lebih erat ini, penghulu hendaklah
sentiasa berdamping rapat dan melibatkan diri secara aktif di dalam semua
kegiatan masyarakat setempat. Kehadiran dan penglibatan penghulu di dalam
kegiatan masyarakat setempat bukan sahaja memberi perangsang malah menjadi
faktor pengikat untuk meningkatkan perpaduan masyarakat di peringkat
mukim. Perpaduan dan keamanan di kalangan masyarakat Melayu di peringkat
mukim adalah merupakan asas bagi perpaduan negara seluruhnya. Dalam hal
ini, penghulu hendaklah sentiasa bijak dan sentiasa mengkaji tentang
kehadiran dan penglibatan golongan-golongan yang boleh menimbulkan
perpecahan di kalangan rakyat. Kehadiran penghulu hendaklah dapat
menimbulkan kesedaran untuk bersatupadu. Perpaduan yang wujud hendaklah
sentiasa diawasi supaya ianya tidak digugat oleh fahaman dan hasrat
mana-mana parti politik yang ingin memecah belahkan perpaduan dan
menjejaskan keamanan.
10. Saya telah menyentuh beberapa perkara berhubung dengan penghulu dan
penggawa yang dapat membantu mempercepatkan pencapaian matlamat dan dasar
kerajaan dan negara.
Tanggungjawab penghulu dan penggawa bukanlah terhad kepada bidang-bidang
yang saya sebutkan di atas tadi. Banyak lagi bidang yang harus mendapat
perhatian. Memanglah berat beban kerja dan tanggungjawab penghulu. Saya
berharap penghulu dan penggawa sekelian menerimanya dengan penuh insaf dan
tanggungjawab.
11. Saya percaya Persidangan Perwakilan ini akan memberi faedah bukan
sahaja kepada golongan penghulu dan penggawa tetapi juga kepada
negara. Kemajuan yang dicapai oleh penghulu akan menambahkan lagi
keupayaan pihak Kerajaan untuk membangunkan negara. Saya mengucapkan
kepada saudara-saudara sekelian selamat bersidang dan dengan ini juga
merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Penghulu/Penggawa Semenanjung
Malaysia yang ke Tujuh.
Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
|