Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN TAKLIMAT PUSAT KOMPUTER,
JABATAN PERDANA MENTERI, K.L
Tarikh/Date : 05/11/81
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT KE-19
JAWATANKUASA PERHUBUNGAN ANTARA
KERAJAAN PERSEKUTUAN DENGAN
KERAJAAN-KERAJAAN NEGERI
Tan Sri-Tan Sri; Datuk-Datuk; Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli
Jawatankuasa Mesyuarat Perhubungan Antara Kerajaan Persekutuan Dengan
Kerajaan-kerajaan Negeri yang telah menjemput dan memberi penghormatan
kepada saya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Mesyuarat
Ke-19 Jawatankuasa Perhubungan pada pagi ini. Kesempatan ini adalah
satu-satu yang jarang saya temui walaupun diketahui betapa penting
pegawai-pegawai Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri mengetahui secara
langsung dasar-dasar Kerajaan dan program-programnya.
2. Seperti yang telah diucapkan oleh Y.B. Ketua Setiausaha Negara sebentar
tadi bahawa dari segi dasar tidak banyak perbezaan antara Kerajaan di
bawah pimpinan Perdana-perdana Menteri yang terdahulu dengan Kerajaan di
bawah pimpinan sekarang. Sungguhpun begitu adalah menjadi hasrat Kerajaan
sekarang ingin mewujudkan satu jentera pentadbiran Kerajaan yang lebih
cekap, bersih, tinggi prestasi dan 'productivity'nya bagi melaksanakan
segala tanggungjawab dan rancangan-rancangan yang telah diatur sebelum
ini, di samping ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman
damai dengan penduduknya mempunyai budi bahasa yang tinggi, bertatatertib
serta dihormati oleh negara-negara lain di dunia. Saya telah meminta
rakyat memberi tempoh selama setahun bagi Kerajaan di bawah pimpinan baru
untuk mewujudkan imej baru Kerajaan yang cekap, bersih dan penuh
tanggungjawab. Segala tindakan-tindakan yang dijalankan sekarang adalah
bertujuan untuk mencapai matlamat yang telah dijanjikan kepada rakyat.
3. Sebagai yang tuan-tuan sedia maklum, semenjak Negara Malaysia mencapai
kemerdekaan jentera pentadbiran Kerajaan telah menjadi begitu besar dan
ini memerlukan pengawalan yang lebih oleh pusat-pusat pentadbiran terhadap
jabatan-jabatan di bawahnya. Ini ditambah pula dengan keadaan di mana pada
masa ini jentera pentadbiran Kerajaan telah menjadi begitu
kompleks. Pentadbiran Kerajaan pada masa ini tidak saja terlibat di dalam
soal-soal yang berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang dan mengawal
keamanan tetapi telah melibatkan diri di dalam segala aspek kegiatan
seperti aspek pelaburan, kebajikan masyarakat, pembinaan 'infrastructure',
pelajaran, perundingan dengan negara-negara luar dan sebagainya. Di dalam
keadaan di mana perjalanan jentera pentadbiran Kerajaan semakin kompleks,
tindakan-tindakan segera hendaklah diambil supaya ianya tidak menjadi
lemah yang akan memberi kesan yang tidak baik pula kepada prestasi
Kerajaan.
4. Apa yang saya harap-harapkan ialah supaya tiap-tiap kakitangan Kerajaan
bekerja dengan lebih kuat lagi tanpa mengira masa dan upahan wang
ringgit. Jadikanlah kejayaan yang kita perolehi hasil dari daya usaha kita
itu satu kepuasan hati yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.
Pegawai-pegawai Kerajaan perlulah memikirkan apakah sumbangan fikiran dan
tenaga yang mereka boleh berikan kepada sistem pentadbiran yang ada
sekarang. Saya telah mencadangkan satu 'slogan' atau cogankata iaitu
"Apakah sumbangan anda kepada Agama dan Negara?" Cogankata ini adalah
dalam bentuk soalan dengan harapan supaya kita sentiasa menyoal diri kita
sendiri tentang tanggungjawab kita kepada agama dan negara. Pada hemat
saya cogankata ini adalah merupakan sebagai 'moral obligation' yang perlu
kita hayati setiap masa. Saya percaya jika semua pegawai Kerajaan
bertanyakan kepada diri mereka mengenai sumbangan mereka terhadap agama
dan negara di dalam setiap tindakan dan tindak-tanduknya, maka sudah
tentulah akan wujud satu jentera pentadbiran Kerajaan yang lebih cekap
lagi bersih, tanpa rasuah dan kecurangan. Ini timbul kerana di dalam semua
ajaran agama, tidak ada agama yang menyuruh manusia berbuat kejahatan,
menipu dan melakukan perbuatan-perbuatan mungkar. Malahan setiap agama
menyuruh manusia berbuat kebaikan dan kebajikan. Di dalam ajaran agama
juga, berbakti kepada negara adalah merupakan satu amalan yang
dimuliakan. Saya berharap cogankata ini akan diterima oleh setiap
kakitangan Kerajaan dan adalah menjadi harapan saya juga supaya cogankata
ini akan dapat diperluaskan kepada rakyat keseluruhannya dan akhirnya akan
menjadi satu daripada ciri-ciri kehidupan masyarakat Malaysia
keseluruhannya.
5. Pada pandangan saya segala apa yang kita rancangkan ini akan berjaya
sekiranya kita mempunyai pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab,
termasuklah juga pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan yang menjadi contoh
dan tauladan kepada pemimpin-pemimpin dan rakyat di peringkat bawah.
Pemimpin-pemimpin di peringkat atasan dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan
mestilah sentiasa bertanggungjawab, berusaha meninggikan mutu kecekapan,
meninggikan mutu kerja dan daya pengeluaran; pemimpin-pemimpin ini
haruslah pula berkeupayaan untuk memberi bimbingan dan tunjukajar kepada
pemimpin-pemimpin dan pegawai-pegawai di peringkat bawahan di dalam semua
keadaan dan situasi.
6. Untuk mewujudkan imej baru Kerajaan yang mempunyai disiplin yang tinggi
dan menghayati nilai-nilai hidup yang mulia, Kerajaan telah melaksanakan
beberapa langkah tertentu seperti pelaksanaan sistem 'punch clock' bagi
pegawai-pegawai di peringkat Persekutuan. Langkah ini adalah sebagai satu
peraturan untuk mendisiplinkan diri sendiri supaya berada di pejabat tepat
pada waktunya.
Semasa saya mengarahkan supaya sistem 'punch clock' ini dilaksanakan, saya
telah menerima banyak rungutan daripada pihak-pihak yang tidak bersetuju
dengan penggunaan sistem 'punch clock' ini. Ada pihak-pihak yang
menyatakan bahawa kehadiran tepat pada waktunya tidak semestinya pula akan
dapat meninggikan penghasilan kerja dan daya pengeluaran dan kepada
pemimpin-pemimpin politik pula berkemungkinan mereka boleh melaksanakan
kerja-kerja mereka di rumah dan tidak semestinya di pejabat
semata-mata. Sungguhpun demikian bagi saya pelaksanaan sistem 'punch
clock' ini adalah bertujuan untu mendisiplinkan diri kita sendiri. Tabiat
tidak mengambil berat sesuatu yang telah ditetapkan akan menjadi kita
orang yang tidak boleh diharap dan dipercayai. Kita tidak akan mempunyai
'credibility' dan orang yang tidak mempunyai 'credibility' tidak akan
berjaya, sebab itu langkah-langkah mengadakan peraturan 'punch clock' ini
akan diteruskan dan adalah diharapkan supaya Kerajaan-kerajaan Negeri juga
akan membuat pertimbangan dan melaksanakan peraturan 'punch clock' ini
supaya dapatlah sistem ini dilaksanakan di seluruh negara di dalam tempoh
masa tidak berapa lama lagi.
7. Di dalam usaha Kerajaan untuk mewujudkan sebuah Kerajaan yang bersih,
saya telah mengarahkan supaya semua pegawai awam sentiasa membuat
pengisytiharan tentang harta masing-masing dan tidak melibatkan diri dalam
kegiatan syarikat dan perniagaan seperti termaktub di dalam Perintah
Am. Langkah-langkah ini adalah bertujuan untuk mengesan sekiranya ada
penyelewengan di dalam tindakan-tindakan pihak-pihak yang
berkenaan. Sekiranya ada asas yang boleh dipercayai di mana pemilikan
harta-harta tersebut dibuat melalui cara yang tidak jujur maka Biro
Siasatan Negara akan diarah untuk membuat siasatan dengan
serta-merta. Saya percaya dengan langkah-langkah ini Kerajaan akan dapat
mengawal tindakan-tindakan yang tidak jujur walaupun pada hemat saya
rasuah tidak akan dapat dibasmikan secara 100%.
Mungkin ada orang yang tidak akan dikesan tetapi ini bukanlah sesuatu yang
harus kita harapkan.
8. Adalah menjadi hasrat Kerajaan sekarang untuk mewujudkan keadaan
persekitaran yang bersih dan indah dipandang. Apa yang saya maksudkan
ialah tentang perlunya kawasan-kawasan di sekeliling bangunan-bangunan
Kerajaan, bangunan-bangunan pejabat, kawasan lapang di sekeliling pejabat,
jalan-jalan raya, longkang-longkang, taman-taman bunga dan sebagainya
sentiasa diberi perhatian yang 'serius' dan dikehendaki sentiasa dalam
keadaan bersih, kemas, baik dan sempurna. Saya berharap kawasan-kawasan
lapang akan ditanam dengan pokok-pokok bunga dan pokok-pokok rendang bagi
mengindahkan kawasan lapang tersebut. Langkah-langkah untuk memperindahkan
kawasan-kawasan persekitaran ini hendaklah dirancang dan diperluaskan
untuk meliputi bandar-bandar dan kampung-kampung. Pada hemat saya orang
ramai dapat digalakkan untuk menjaga kebersihan kampung dan keindahan
kampung masing-masing dengan mengadakan pertandingan kebersihan antara
kampung-kampung seperti yang pernah dijalankan oleh beberapa negeri
sedikit masa dahulu.
Dengan adanya dorongan kepada penduduk-penduduk kampung untuk mencapai
kemenangan dalam pertandingan ini saya rasa sudah tentulah akan timbul
inisiatif bagi penduduk-penduduk yang berkenaan untuk mencantikkan dan
membersihkan kampung masing-masing. Pertandingan ini patut dihidupkan
semula dengan pendekatan yang lebih sistematik dan menyelurh.
Mengenai perkara keindahan persekitaran ini saya juga ada mendengar
rungutan-rungutan dari Kerajaan-kerajaan Negeri yang menyatakan Majlis
Daerah dan Penguasa-penguasa Tempatan tidak mempunyai peruntukan yang
mencukupi untuk mengambil tindakan-tindakan bagi mengindahkan
kawasan-kawasan di Majlis-majlis Daerah dan Penguasa-penguasa Tempatan
yang berkenaan.
9. Mengenai perkara ini sukalah saya menegaskan bahawa kebersihan dan
keindahan yang saya maksudkan di atas tidak memerlukan projek
besar-besaran yang melibatkan pembinaan projek-projek rekreasi seperti
pembinaan kolam renang atau taman-taman bunga yang baru di Majlis-majlis
Daerah dan Penguasa-penguasa Tempatan yang berkenaan. Saya sedar bahawa
pembinaan projek-projek rekreasi yang sedemikian rupa memerlukan
perbelanjaan yang banyak tetapi apa yang saya maksudkan di dalam konsep
kebersihan dan keindahan ialah dengan menggunakan segala kemudahan dan
tenaga manusia yang ada sekarang untuk melaksanakan segala tugas-tugas dan
tanggungjawab yang berkaitan dengan soal kebersihan dan keindahan di
tempat-tempat yang tertentu. Apa yang penting di sini ialah pengawasan dan
penguatkuasaan yang lebih teratur, terutama terhadap mereka yang
bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan supaya pelaksanaan tugas mereka
dibuat dalam keadaan yang lebih sempurna dan lebih
bertanggungjawab. Adalah selalu didapati pekerja-pekerja yang
bertanggungjawab mengenai soal-soal kebersihan ini telah tidak menjalankan
tugas-tugas mereka dengan sempurna.
Misalnya sampah sarap tidak dipungut mengikut jadual-jadual tertentu dan
tidak cermat pula semasa menjalankan tugas-tugas ini yang menyebabkan
sampah sarap jatuh bersepah-sepah di jalan-jalan raya. Begitu juga
rumput-rumput tidak dipotong sehingga menyebabkan kadangkala seperti
belukar-belukar kecil di tengah bandar. Sementara kawasan-kawasan lapang
yang ditanam dengan bunga-bunga telah tidak dijaga dengan sempurna,
seperti membajanya dan menyiramnya pada masa-masa yang tertentu. Longkang
juga selalunya tidak dibersihkan, jalan-jalan raya tidak terjaga,
tandas-tandas awam tidak dibersihkan. Adalah didapati keadaan-keadaan ini
dibiarkan berlarutan dengan tidak pula diberi perhatian yang 'serius' oleh
pihak-pihak atau pegawai-pegawai yang berkenaan dan tidak ada pula yang
cuba membetulkan keadaan ini dan perkara ini telah berpanjangan untuk
sekian lama.
10. Oleh yang demikian saya berharap pengawasan dan penguatkuasaan yang
lebih teratur dan lebih rapi hendaklah diambil terhadap perkara ini dan
pekerja-pekerja Majlis-majlis Daerah, Majlis-majlis Perbandaran dan
Penguasa-penguasa Tempatan yang berkenaan adalah dikehendaki memberi
sepenuh perhatian kepada tanggungjawab dan kerja-kerja mereka. Saya
percaya dengan pengawasan dan penguatkuasaan yang lebih teratur dan
saksama, kebersihan dan keindahan seperti yang kita harap-harapkan akan
dapat dicapai tanpa memerlukan peruntukan tambahan yang lebih.
Undang-undang yang berkaitan dengan kebersihan hendaklah dikuatkuasakan
sepenuhnya semoga dengan ini akan timbul kesedaran di kalangan orang ramai
tentang keperluan kebersihan tempat-tempat tertentu dan tempat-tempat
awam.
Saya juga berharap supaya kempen-kempen kebersihan dapat dilaksanakan
dengan lebih kerap dan teratur lagi, terutama untuk kesedaran orang ramai
bagi menjaga kebersihan dan memelihara keindahan alam sekeliling dan
menimbulkan kesedaran untuk menjaga kemudahan-kemudahan awam yang
disediakan oleh Kerajaan seperti telefon, balairaya dan
kemudahan-kemudahan awam yang lain. Segala undang-undang yang berkaitan
hendaklah dikuat-kuasakan sepenuhnya.
11. Dalam usaha membersih dan mengindahkan persekitaran kita, kerjasama
firma-firma dan kilang hendaklah diperolehi.
Mereka hendaklah dipertanggungjawabkan untuk membersih dan mengindahkan
kawasan antara bangunan mereka dengan pinggir-pinggir jalan. Jika perlu,
undang-undang bolehlah digubal untuk menjadikan kegiatan ini tanggungjawab
mereka.
12. Satu perkara lain yang juga berkaitan dengan kebersihan dan keindahan
kawasan ialah perkara yang berkaitan dengan rumah-rumah haram. Adalah
menjadi harapan saya agar pihak-pihak berkuasa di Negeri-negeri dan
Majlis-majlis Daerah mengambil tindakan yang segera menjaga
kawasan-kawasan yang boleh menjadi sasaran pembinaan rumah-rmuah
haram. Saya berharap perhatian yang lebih hendaklah diberi terutamanya
terhadap kawasan-kawasan yang berhampiran dengan jalan-jalan raya yang
menuju ke tempat-tempat tertentu yang menjadi kunjungan
pelancong-pelancong. Penumpuan khusus bagi mengatasi masalah rumah haram
ini hendaklah diambil oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab dengan segera
supaya pembinaan rumah-rumah haram itu tidak begitu menjadi-jadi seperti
terdapat sekarang.
13. Di dalam beberapa bulan yang lepas kita telah mendapati bahawa Laporan
Ketua Audit Negara telah diberi liputan akhbar secara besar-besaran. Saya
dapati kadang-kadang laporan yang dibuat oleh akhbar-akhbar agak tidak
tepat dan berat sebelah kerana tidak memberi perhatian terhadap
kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh Kementerian-kementerian dan
Jabatan-jabatan yang tertentu secara keseluruhannya dalam pelaksanaan
projek-projek pembangunan di negara ini. Saya berharap akhbar-akhbar tidak
sahaja menyiarkan mengenai soal-soal yang buruk di dalam pentadbiran
Jabatan-jabatan dan Kementerian-kementerian, tetapi juga akan memberi
liputan dan kredit mengenai kejayaan yang telah dicapai oleh
Kementerian-kementerian dan Jabatan tertentu. Mengenai soal-soal
pengurusan kewangan dan perkara-perkara lain yang tidak memuaskan yang
dilaksanakan oleh Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan yang
tertentu, pada pendapat saya adalah lebih elok dibaiki di peringkat yang
lebih awal dan tidak menunggu sehingga menjadi semakin 'serius' dan lebih
menyulitkan lagi. Saya juga berpendapat bahawa rakyat patut mengetahui
bagaimana wang mereka dibelanjakan oleh Kementerian dan Jabatan tertentu.
14. Sekali lagi saya nyatakan bahawa segala tindakan yang telah diambil di
atas adalah bertujuan untuk mewujudkan imej Kerajaan yang cekap, bersih
dan tinggi prestasi dan 'productivity'nya. Kerajaan berazam untuk
mewujudkan rakyat Malaysia yang berbangga dengan negaranya, yang
senantiasa bersedia membuat sumbangan kepadanya dengan sepenuh jiwa
raganya. Akhirnya matlamat kita ialah supaya Malaysia akan berdiri sama
tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara yang maju. Saya ingin
melihat rakyat Malaysia yang sentiasa berbangga sebagai warganegara
Malaysia dan yang penuh dengan rasa hormat dan cinta pada negara Malaysia.
15. Sebagai mengakhiri ucapan saya ini, saya berharap Mesyuarat
Jawatankuasa Perhubungan ini akan dapat dijadikan forum yang betul-betul
berkesan di dalam menyelesaikan masalah-masalah yang timbul di antara
Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan-kerajaan Negeri di dalam pelaksanaan
projek-projek pembangunan untuk kemajuan negara secara
keseluruhannya. Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan ini adalah satu saluran
yang penting bagi menyelesaikan masalah di dalam sistem 'federal' yang
diamalkan di negara ini.
Adalah menjadi harapan saya mesyuarat ini akan digunakan sepenuhnya untuk
menyelesaikan masalah-masalah semasa yang timbul. Segala
keputusan-keputusan yang dicapai hendaklah dilaksankan dengan segera. Bagi
keputusan-keputusan yang berkehendakkan persetujuan pihak-pihak berkuasa
Kerajaan Negeri maka adalah menjadi tanggungjawab Setiausaha- setiausaha
Kerajaan Negeri yang berkenaan untuk merujukkan perkara ini bagi
diluluskan.
16. Dengan sedikit renungan terhadap perkara-perkara yang saya nyatakan di
atas ini, saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Mesyuarat Ke-19,
Jawatankuasa Perhubungan Antara Kerajaan-kerajaan Negeri Dengan Kerajaan
Persekutuan dengan harapan supaya mesyuarat ini akan memberi manfaat dan
faedah kepada kita semua.
Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
|