Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	14/11/81 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PERLETAKAN BATU ASAS 
			PROJEK DAYABUMI 




Yang Berhormat Datin Paduka Rafidah Aziz Menteri Perusahaan Awam; 

Yang Berhormat Dato' Samy Vellu Menteri Kerjaraya dan Kemudahan-Kemudahan
Awam; 

Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian.

Bismillahir rahmanir rahim Assamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perusahaan Awam kerana
telah menjemput saya ke Upacara Perletakan Batu Asas Projek Dayabumi pada
hari ini dan memberi penghormatan kepada saya untuk merasmikannya.

2. Projek Dayabumi, jika dilihat dalam konteks yang luas, semua maklum,
sesebuah bandar yang besar merupakan tempat kegiatan budaya, sosial dan
ekonomi yang dinamis. Ia mempunyai hubungan yang erat dengan
persekitarannya, termasuk kawasan-kawasan desa dan luar bandar. Perubahan
yang berlaku di bandar dirasai oleh persekitarannya dan demikianlah pula
persekitaran sesebuah bandar mempengaruhi bandar itu. Oleh itu, bandar
bukan sahaja sentiasa melalui proses penyesuaian dengan perubahan
persekitaran tetapi juga mencorak dan membentuk persekitaran. Pendek kata
adalah menjadi hakikat bahawa bandar sentiasa mempengaruhi dan dipengaruhi
pula oleh persekitarannya.

3. Sebagai pusat segala kegiatan budaya, sosio dan ekonomi, sesebuah
bandar dengan sendirinya pula menjadi daya penarik bagi penghijrahan dari
luar bandar ke bandar.

Penghijrahan yang pesat boleh menimbulkan masalah permintaan terhadap
kemudahan-kemudahan asas dan penyesuaian bagi penduduk mendatang yang
berlatarbelakangkan cara hidup serta pemikiran yang berlainan. Pendatang
dari luar bandar mempunyai nilai hidup yang tersendiri berbeza dengan
nilai-nilai mereka yang sekian lama di bandar. Nilai-nilai yang tersendiri
ini membentuk suasana persekitaran di bandar itu sendiri. Begitu jugalah
suasana bandar mencorak dan mengubah nilai-nilai hidup penduduk mendatang.

4. Dalam konteks ekonomi kita dapati bahawa bandar merupakan kemudahan
bagi kegiatan ekonomi termasuk perdagangan, kewangan, perhubungan,
perkhidmatan dan lain-lain lagi. Peluang-peluang untuk menjalankan
kegiatan ekonomi adalah terbuka dengan luas dan bebas. Walaupun demikian,
segala kegiatan ini mestilah mendatangkan faedah yang menyeluruh kepada
masyarakat dan bersama-sama dengan asas-asas kemudahan yang diwujudkan
mestilah membawa kepada perkembangan dan kemajuan yang lebih pesat dan
teratur.

5. Dalam konteks yang lebih luas inilah kita melihat bandar mempunyai
peranan yang positif dan bukannya sebagai "parasite" kepada
persekitarannya. Dengan kemudahan-kemudahan fizikal seperti bangunan,
persekitaran yang kemas dan teratur, serta masyarakat yang tinggi-hemah
dan berkeperibadian mulia, bandar haruslah menjadi manifestasi kekayaan
material dan kerohanian masyarakat.

Demikian pula ia harus menjadi lambang keperibadian nasional sesuatu
bangsa.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian, 6. Semenjak negara kita mencapai
kemerdekaan kita telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membawa
kemakmuran dan kemajuan kepada negara dan rakyat. Hasil daripada
usaha-usaha kita itu negara kita telah mencapai satu tahap kemajuan yang
susah ditandingi oleh sebilangan besar daripada negara-negara
membangun. Sebagaimana yang pernah saya katakan tujuan kita ialah untuk
membawa negara kita kepada satu taraf sebagai sebuah negara maju yang
dihormati oleh semua dan yang dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama
rendah dengan negara-negara maju yang lain. Saya yakin ini akan dapat kita
capai dengan ketabahan hati, kesungguhan usaha dan perancangan serta
pelaksanaan yang berkesan. Di samping itu usaha-usaha ini mestilah pula
mendatangkan faedah yang nyata secara adil kepada masyarakat kita yang
berbilang kaum. Rancangan pembangunan kita memberi tumpuan kepada
pertumbuhan bandar-bandar baru, pembangunan semula bandar-bandar yang
sedia ada dan penyusunan semula bandar-bandar secara yang lebih kemas dan
teratur bagi mencapai matlamat perpaduan negara.

7. Kita semua maklum bahawa bandar adalah asas yang penting yang boleh
membantu bukan sahaja perkembangan dan kemajuan ekonomi malahan juga
perkembangan sosial, keperibadian dan budaya. Pembangunan bandar di negara
kita, sebagaimana kita sedia maklum, mempunyai matlamat-matlamat yang
berhubung dengan perkembangan-perkembangan ini. Hasrat kita ialah untuk
mewujud, meningkat dan mengekalkan perpaduan rakyat dan kemakmuran serta
keselamatan negara. Dasar Ekonomi Baru menekankan aspek penyusunan semula
masyarakat sebagai salah satu daripada strategi ke arah matlamat-matlamat
ini.

Pembangunan bandar secara terancang adalah satu aspek yang amat penting di
dalam program penyusunan semula masyarakat.

8. Bandar-bandar di negara kita bukan sahaja harus menjadi pusat kegiatan
ekonomi yang peluangnya terbuka kepada semua kaum untuk mencari nafkah dan
mendapat pengalaman tetapi juga untuk meningkatkan interaksi dan pergaulan
yang menjadi asas yang kukuh bagi pembangunan sosial dan memupuk perpaduan
di kalangan anggota masyarakat. Di samping itu kita juga mahukan suasana
bandar dengan asas ekonomi, sosial dan budaya akan membantu memupuk
keperibadian masyarakat yang mempunyai akhlak yang baik serta berdisiplin.

9. Bagi mencapai matlamat-matlamat ekonomi, sosial dan budaya dalam
konteks pembangunan bandar, program-program yang dirancang dengan kemas
serta teratur perlulah kita laksanakan. Di samping program-program yang
dilaksanakan oleh ejensi dan jabatan Kerajaan, pihak swasta, badan-badan
sukarela dan juga anggota masyarakat di bandar semestinyalah membuat
sumbangan masing-masing ke arah pencapaian matlamat-matlamat ini. Kita
harus ingat bahawa tujuan kita ialah untuk mewujudkan suasana yang menjadi
penggerak kepada pembangunan dan perkembangan peribadi rakyat kita sejajar
dengan prinsip-prinsip Rukunegara.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

10. Saya telah tegaskan bahawa bandar adalah salah satu alat yang penting
bagi pencapaian matlamat negara. Bandar yang kita mahukan ialah bandar
yang menyediakan peluang bagi perkembangan dan penyertaan rakyat berbilang
kaum dalam bidang ekonomi, lebih-lebih lagi bagi golongan yang mundur di
dalam lapangan ini. Bandar yang kita mahukan juga ialah bandar yang boleh
menyediakan pelbagai kemudahan yang sesuai serta selaras dengan
perkembangan keperibadian individu yang kita inginkan. Kemudahan-kemudahan
rekreasi, kawasan-kawasan lapang dan berbagai-bagai lagi kemudahan yang
dapat memenuhi keperluan bebagai golongan dan lapisan masyarakat haruslah
menjadi ciri-ciri bandar kita.

11. Dayabumi adalah salah satu daripada projek yang dapat membantu
mewujudkan persekitaran yang baik. Pembangunan semula kawasan yang
strategik ini adalah satu lambang usaha Kerajaan ke arah mencapai
matlamat-matlamat ekonomi, sosial dan budaya yang telah saya sebutkan
tadi. Sesebuah bangunan bukan sahaja merupakan ruang untuk ditempatkan
pejabat-pejabat ataupun firma-firma perniagaan tetapi sesebuah bangunan
itu adalah lambang yang boleh mencerminkan unsur-unsur kebudayaan nasional
serta dapat pula menyemaikan bibit-bibit kemegahan sesuatu bangsa. Kawasan
persekitaran sesebuah bangunan itu dan seterusnya dikeseluruhan kawasan
bandar mestilah pula dijaga, dibersihkan dan dihias supaya dapat menjadi
selesa untuk kehidupan yang lebih bahagia.

12. Sejak dahulu lagi Kerajaan telah mengambil berat tentang
kebersihan. Sebagaimana kita maklum, kebersihan adalah satu perkara yang
amat penting malahan ia amat dititikberatkan di dalam ugama Islam. Oleh
itu sudah semestinyalah rakyat, khususnya mereka yang berugama Islam
bekerjasama bagi mencapai tahap kebersihan yang dapat kita banggakan.

13. Bandar seharusnyalah mempelopori dan menjadi contoh, antara lainnya
tentang kebersihan. Kalau boleh, apabila disebut sahaja perkataan bandar
ia menggambarkan tentang kebersihannya, tentang penghuninya yang mesra,
berdisiplin dan lain-lain ciri yang bahagia. Ini bermakna bandar
seharusnyalah mencermin dan melambangkan suasana yang tenteram, sejahtera
dan selamat. Di samping itu bandar di Malaysia harus pula menggambarkan
unsur-unsur kebudayaan Malaysia. Bandar seharusnya menjadi tempat
kehidupan yang tersusun dan teratur yang memberi erti kepada kemuliaan
manusia sebagai insan yang berfikir dan tahu nilai-nilai yang tinggi dan
bahagia.

14. Alam persekitaran yang tidak segar dan tidak teratur bukan sahaja
melemahkan daya pengeluaran sesuatu masyarakat tetapi juga membantu
menambahkan lagi penyakit-penyakit sosial seperti jenayah, penyalahgunaan
dadah, kebebasan yang boleh membawa kepada keruntuhan moral dan lain-lain
lagi.

Itulah sebabnya pembangunan bandar harus mengambilkira lain-lain aspek di
samping aspek ekonomi dan fisikal. Dalam soal ini perancang-perancang
bandar, akitek-akitek, pemaju-pemaju perumahan dan ahli-ahli sosio-ekonomi
hendaklah berganding bahu dan bersatu tenaga untuk mencipta rekabentuk
bangunan dan persekitaran yang berlandaskan kepada aspirasi kebangsaan.

15. Proses pembandaran yang pesat disertai dengan penghijrahan penduduk
dari luar bandar ke bandar telah meninggalkan kesan ke atas usaha untuk
membentuk persekitaran bandar yang teratur, segar dan aman. Ini merupakan
hakikat yang harus kita terima. Penghijrahan merupakan beban dan tekanan
kepada pentadbiran dan perancangan bagi mengadakan pelbagai kemudahan bagi
keperluan masyarakat bandar. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Keempat,
peratus penduduk Malaysia yang tinggal di kawasan luar bandar dijangka
akan berkurangan dari 65% kepada 62%. Sebaliknya peratus penduduk bandar
dijangka akan bertambah daripada 35% dalam tahun 1980 kepada 38% dalam
tahun 1985. Kadar pembandaran ini berpunca dari penubuhan pusat-pusat
pertumbuhan baru dan penghijrahan dari kawasan luar bandar ke
bandar. Walaupun penghijrahan dari luar bandar ke bandar mempunyai
masalah-masalahnya, Kerajaan akan terus berusaha, dengan kerjasama
masyarakat, untuk mengatasinya kerana disebalik masalah-masalah ini
penghijrahan merupakan satu faktor positif ke arah penyusunan semula
masyarakat.

16. Bagi mengimbangkan perkembangan bandar dan luar bandar usaha-usaha
telah dibuat untuk membangunkan bandar-bandar baru di kawasan-kawasan luar
bandar dan kawasan-kawasan pembangunan wilayah. Dengan cara ini tekanan ke
atas bandar-bandar besar akan berkurangan dan membolehkan pembangunan
bandar-bandar ini dirancang dengan lebih kemas dan tersusun. Begitu juga
proses penyesuaian dari luar bandar ke bandar yang sederhana dan
seterusnya ke bandar yang lebih besar akan merupakan peringkat-peringkat
dalam proses penyesuaian yang dapat mengurangkan tekanan kepada
individu-individu yang berhijrah.

17. Projek Dayabumi ini, selain dari menjadi satu alat untuk mencapai
matlamat Dasar Ekonomi Baru juga mempunyai beberapa ciri yang
istimewa. Rekabentuk projek ini telah digubal beberapa kali kerana hasrat
Kerajaan untuk memasukan unsur-unsur kebudayaan negara dalam jenis
bangunan yang moden. Kita tidak mahu Kuala Lumpur menjadi sebuah bandar
yang tidak ada character atau peribadinya sendiri, tetapi sebaliknya
menjadi bandar biasa yang terdapat di mana-mana saja. Oleh itu
bangunan-bangunan di Kuala Lumpur hendaklah mempunyai bentuk yang boleh
dikenal sebagai bangunan Kuala Lumpur terutama memandang bahawa
bangunan-bangunan lama yang terkenal seperti Bangunan Sultan Abdul Samad,
sudah tenggelam hilang di antara pencakar langit-pencakar langit yang
baru. Dayabumi dibentuk supaya boleh menjadi contoh kepada lain-lain
akitek di Malaysia bahawa bangunan moden tidak semestinya merupa kotak
yang cuma functional tetapi tidak mempunyai aesthetic value. Adalah
diharap dengan adanya Dayabumi kita tidak lagi terkongkong dengan barat
dari segi architecture.

18. Perkara yang kedua yang istimewa berkenaan dengan Dayabumi ialah
percubaan mempercepatkan proses mendirikan bangunan yang besar. Ahli-ahli
profesyenal di Malaysia adalah didapati terlalu conservative dan
orthodox. Mereka enggan menerima cara-cara yang baru. Apabila disyorkan
bahawa jangkamasa membina patut dikurangkan sehingga separuh masa sahaja,
reaksi pertama ialah tidak mungkin. Tetapi saya amat bangga setelah
diterima kemungkinan memendekkan jangkamasa membina, semua pihak telah
bekerja dengan penuh minat. Adalah diharap, dengan izin Allah Subhanahu
Wataala bangunan ini akan didirikan dalam record time, dan ini juga akan
membuka satu babak yang baru dalam sejarah pembinaan bangunan di Malaysia.

19. Adalah jelas dari ini bahawa projek Dayabumi adalah satu projek yang
besar ertinya kepada negara kita Malaysia.

Seluruh negara akan memerhatikan projek ini. Pembangunannya dalam
jangkamasa yang ditentukan akan menjadi petanda bahawa pemerintah, pegawai
dan pekerja, pemborong dan pembekal, yang profesyenal dan yang tidak
profesyenal dari rakyat Malaysia khususnya boleh mengubah sikap dan
membangun semangat yang baru yang akan menjadi asas pembangunan negara
kita. Saya berdoa, ke hadrat Allah Subhanahu Wataala bahawa dengan izinNya
bangunan ini akan didirikan sebagai lambang kejayaan Dasar Ekonomi Baru
dan semangat baru yang kita cita-citakan.

Sekian, terima kasih.

Wabilahitaufik Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 



 


 











 
Google