Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN SERI PINANG, PULAU PINANG
Tarikh/Date : 21/11/81
Tajuk/Title : MESYUARAT PERWAKILAN YANG KE-10
PARTI GERAKAN
Presiden Parti GERAKAN, Yang Berhormat Dr. Lim Kheng Yaik;
Ketua-ketua Parti-parti Komponen Barisan Nasional;
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Parti GERAKAN Dr. Lim Kheng
Yaik,dan ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Parti yang telah sudi menjemput saya
untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan Yang ke-10 Parti GERAKAN pada hari
ini.
2. Ini adalah merupakan kehadiran saya yang pertama kali di Mesyuarat
Perwakilan Parti GERAKAN setelah saya memegang jawatan Perdana Menteri dan
Presiden Barisan Nasional. Kehadiran saya di majlis yang dihadiri lebih
daripada dua ribu orang perwakilan merupakan satu peluang yang baik bagi
saya untuk bertemu muka dengan semua lapisan ahli Parti. Walaupun
kehadiran saya ini tidak meluangkan masa yang begitu banyak untuk saya
berkenal-mesra dengan ahli-ahli parti, namun demikian memandang kepada
kesibukan saya ia memberi faedah yang besar kepada saya. Saya mengambil
kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan saya kepada Parti GERAKAN
serta ahli-ahlinya yang telah memberi sokongan dan kepercayaan penuh
kepada saya untuk memimpin Barisan Nasional.
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.
3. Wujudnya Barisan Nasional sebagai satu gabungan parti-parti politik
yang mendukung Kerajaan merupakan satu keganjilan kepada mereka yang
kurang biasa dengan negara kita. Setengah anggota masyarakat di seberang
laut menganggap Kerajaan Barisan Nasional di Malaysia sebagai satu bentuk
pemerintahan yang lemah kerana kemungkinan desakan dan tekanan daripada
berbagai-bagai pihak di dalam Barisan Nasional. Kepada kita di dalam
Barisan Nasional, kita faham bahawa Barisan Nasional adalah sesuai dengan
kehendak dan suasana di negara kita. Melalui Barisan Nasional kita dapat
mencapai kata sepakat dalam hal-hal yang besar.Kita juga dapat
bertukar-tukar pendapat meluaskan penerimaan anggota parti dan rakyat
terhadap sesuatu perkara atau isu. Melalui Barisan Nasional juga kita
dapat mengurangkan perselisihan politik secara terbuka yang boleh
menguntungkan pihak lawan ataupun memberi faedah kepada musuh-musuh
negara.
4. Melalui Barisan Nasional kita telah dapat mengukuhkan lagi asas
dasar-dasar penting negara bagi menjamin masa depan kita yang lebih
cemerlang dan berjaya lagi. Di dalam sesebuah masyarakat berbilang kaum
seperti di negara kita, apa yang diperlukan ialah usaha dan tindakan dan
dikurangkan percakapan dan persengketaan. Di dalam suasana masyarakat
berbilang kaum, sesuatu isu boleh diputar-belitkan untuk meningkatkan
sentimen perkauman oleh pihak-pihak tertentu dengan tujuan untuk
mewujudkan barisan "pressure group" terhadap isu tersebut. Keadaan seperti
ini hanya akan melambat-lambatkan pencapaian matlamat perpaduan negara
kerana isu-isu yang dibakarkan dengan sentimen perkauman, atau kedaerahan
akan hanya menimbulkan keraguan di dalam fikiran rakyat, dan seterusnya
sekiranya dikerohkan lagi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab
boleh menimbulkan kekacauan. Semua pihak mestilah sedar bahawa keadaan
seperti ini tidak akan mendatangkan faedah kepada mana-mana pihak juapun
sama ada sekarang ataupun bagi jenerasi akan datang.
5. Kewibawaan Barisan Nasional adalah sangat bergantung kepada perpaduan
parti-parti komponen di dalamnya. Kita hendaklah sentiasa berusaha untuk
mengukuhkan kewibawaan Barisan Nasional kerana kelemahan Barisan Nasional
boleh mendatangkan kemerosotan kepada kestabilan politik. Ia juga boleh
menimbulkan masalah kepada ekonomi negara yang selama ini adalah kukuh dan
dapat dijamin pada kadar perkembangan yang tinggi. Oleh itu, apa-apa jua
kemusykilan atau perselisihan di kalangan parti-parti komponen di dalam
Barisan Nasional hendaklah di atasi melalui jentera yang wujud bagi
penyelesaian masalah di dalam Barisan Nasional sendiri tanpa
diheboh-hebohkan atau diperbesar-besarkan melalui akhbar dan lain-lain
media massa.
6. Sepertimana yang pernah saya tegaskan, parti-parti komponen Barisan
Nasional mempunyai tanggungjawab yang berat bukan sahaja kerana ia adalah
parti yang membentuk Kerajaan tetapi juga oleh kerana "coalition" Barisan
Nasional ini adalah satu gabungan yang istimewa yang mewakili sebahagian
besar daripada masyarakat Malaysia yang berbilang keturunan. Kita telah
diberi mandat oleh rakyat dan kita tidak akan menyalahgunakan kuasa yang
ada di tangan kita. Setiap tindakan dan langkah yang kita ambil adalah
bertujuan untuk mendatangkan faedah kepada rakyat yang telah memberi
kepercayaan kepada kita untuk membimbing negara. Kerajaan Barisan Nasional
akan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk membawa kemajuan dan
kemakmuran yang lebih lagi kepada rakyat dan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.
7. Perpaduan merupakan kunci kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat
dan negara. Begitu pula kemakmuran dan kesejahteraan merupakan asas bagi
perpaduan yang lebih kukuh. Semua dasar yang telah dirumuskan untuk negara
kita adalah dengan tujuan untuk mencapai matlamat-matlamat kemakmuran,
kesejahteraan dan perpaduan. Tindak tanduk untuk mengungkit dasar-dasar
yang telah dipersetujui dengan menggunakan sentimen 'pressure group' oleh
mana-mana pihak akan mendatangkan kesan yang buruk. Penggunaan 'pressure
group' oleh kumpulan minoriti terhadap perkara-perkara yang telah
dipersetujui di dalam sistem demokrasi merupakan penentangan terhadap
demokrasi itu sendiri. Hakikat ini hendaklah sentiasa disedari oleh rakyat
kerana kita melihat bagaimana berkali-kali setengah-setengah pihak telah
menjadikan diri mereka sebagai "pressure group" atau menggunakan 'pressure
group' untuk menggugat keadaan yang tenang dalam negara kita.
8. Perkataan Dasar Ekonomi Baru tentulah tidak asing lagi bagi rakyat di
negara kita. Tetapi sejauh manakah fahaman rakyat mengenai Dasar
ini? Kadang-kadang kita merasa begitu aneh bagaimana setengah pihak,
dengan cara langsung atau tidak langsung, telah menunjukkan bahawa mereka
mempunyai kurang keyakinan atau pun kurang fahaman terhadap Dasar Ekonomi
Baru. Dasar Ekonomi Baru telah digubal dengan mengambil kira kepentingan
semua kaum, golongan dan kawasan serta kepentingan negara, sama ada dalam
jangka pendek atau pun jangka panjang. Tentulah tidak wajar, malah dalam
suasana negara kita adalah merbahaya sekali, sekiranya perimbangan ekonomi
tidak wujud di kalangan kaum dan usaha-usaha ke arahnya tidak
dibuat. Pihak-pihak atau individu-individu yang hanya memikirkan untuk
mengumpul kekayaan bagi diri mereka sahaja adalah seolah-olah mencurahkan
minyak ke api. Begitu pula mereka yang enggan berusaha untuk memperbaiki
taraf hidup mereka akan ketinggalan masa dan akan mengalami kepahitan
hidup. Sekiranya perkara yang tidak diingini ini berlaku mereka tidak
harus menyalahkan orang lain tetapi diri mereka sendiri. Dalam konteks
Dasar Ekonomi Baru apa-apa jua galakan dan bantuan Kerajaan tidak akan
menghasilkan kejayaan kepada seseorang di dalam bidang ekonomi kecuali
ianya sanggup mengubah nasibnya sendiri.
9. Rakyat keseluruhannya sepatutnya bersyukur dengan keadaan baik kita di
negara kita ini. Jika dibandingkan dengan keadaan di kebanyakan
negara-negara yang sedang membangun yang lain keadaan kita adalah begitu
baik sekali. Kita tidak mengalami kebuluran dan negara kita tidak diancam
oleh bencana-bencana alam kecuali jarang-jarang sekali kita mengalami
banjir. Oleh itu, adalah tidak patut sekali bagi setengah-setengah rakyat
negara ini yang tidak putus-putus mengeloh tentang keadaan di tanah tumpah
darahnya. Setengahnya berhijrah ke negara maju untuk mengejar pendapatan
yang lebih lumayan sedangkan mereka menonjol-nonjolkan masalah di negara
ini kononnya mereka didiskriminasi. Sebenarnya apa yang berlaku tak
ubahlah apa yang terdapat di dalam pepatah Melayu "kacang lupakan
kulit". Bagi rakyat yang tulin "dimana bumi dipijak disitu langit
dijunjung" dan "hujan emas di negeri orang hujan keris-lembing di negeri
sendiri, lebih baik di negeri sendiri". Sebenarnya dari cerita-cerita yang
diterima mereka yang telah berhijrah ke negara lain merasai kehidupan yang
tidak selesa dan menjadi warganegara kelas dua, tetapi mereka malu
mengakui hakikat ini.
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.
10. Hasrat kita untuk memesatkan pembangunan negara tentulah tidak akan
terlaksana dengan jayanya sekiranya setiap rakyat sendiri tidak membuat
sumbangan dan menyertainya. Ini menjadi bertambah-tambah penting dalam
keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil. Setakat ini kita bernasib baik
kerana kemelesetan ekonomi dunia tidak begitu menjejaskan ekonomi
kita. Tetapi oleh sebab ekonomi kita adalah ekonomi terbuka inflasi yang
mengancam kebanyakan negara-negara yang maju, iaitu negara-negara
perindustrian dan pengeluar, telah menambahkan pula inflasi di negara
kita. Usaha mengawal inflasi adalah penting dan usaha ini tidak akan
memberi kesan yang memuaskan tanpa sokongan dan kerjasama rakyat. Dalam
hal ini juga, setiap parti politik di negara kita perlulah memainkan
peranan mereka untuk mententeramkan suasana tanpa menanggok di air keroh
untuk kepentingan-kepentingan sempit perjuangan politik mereka.
11. Kerajaan sentiasa sedar dan menginsafi masalah-masalah yang dihadapi
oleh rakyat. Malahan Kerajaan juga menginsafi betapa rumitnya
cabaran-cabaran yang dihadapi oleh negara di dalam suasana politik dan
ekonomi antarabangsa yang tidak begitu tenteram. Kerajaan akan berusaha
untuk menjamin supaya program-program pembangunan kita akan dapat
diteruskan dan faedah-faedahnya dinikmati oleh rakyat keseluruhannya. Saya
yakin, sekiranya kita menjadikan usaha pembangunan sebagai satu perjuangan
kita pasti akan berjaya.
12. Negara kita mempunyai "ingredients" untuk mencapai tahap kemajuan yang
telah dicapai oleh negara-negara maju. Kita mempunyai tenaga kerja yang
cukup. Negara kita telah dikurniakan dengan sumber-sumber alam yang kaya
dan banyak. Oleh itu yang perlu sekarang ini ialah bagi setiap rakyat
Malaysia bekerja dengan lebih tekun dan gigih lagi bagi meninggikan daya
pengeluaran negara. Jikalau negara-negara yang tidak mempunyai
sumber-sumber alam sebanyak yang kita ada boleh membangun dan mencapai
kemajuan yang pesat, tidak ada sebabnya mengapa kita di Malaysia ini tidak
boleh mencapai kejayaan yang sama malahan yang lebih lagi daripada
itu. Sekiranya kita benar-benar menumpukan perhatian dan bekerja kuat kita
sudah pasti dapat meningkatkan lagi prestasi ekonomi kita.
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.
13. Dengan harapan itu tadi saya dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat
Perwakilan ini.
Terima kasih.
|