Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN UMNO, 
Tarikh/Date 	: 	27/11/81 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN KURSUS AGAMA 
			ANJURAN BIRO AGAMA UMNO MALAYSIA 




Bismillahi rahmanir rahim.

Saudara dan saudari sekelian.

Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Sebelum saya sentuh tajuk
persidangan ini ingin saya memberi sedikit gambaran tentang keadaan di
sekitar UMNO sebagai sebuah Parti Islam yang terbesar dan utama di
Malaysia dan persekitaran orang Islam di zaman ini juga.

Persekitaran merupakan satu keadaan dan faktor yang penting kerana kita
tidak hidup dalam suasana yang kosong di mana kita sahaja wujud dan orang
lain tidak wujud. Sebaliknya adalah nyata sekali bahawa kita hidup dalam
satu alam yang bukan sahaja penghuninya terdiri daripada lain-lain makhluk
Allah tetapi makhluk ini pula adalah berbeza-beza rupabentuk dan
sifatnya. Manusia yang ada di sekeliling kita adalah berbeza antara satu
dengan lain sehingga mereka sering bermusuh-musuhan kerana timbulnya
pendapat dan kepercayaan yang berbeza-beza. Perbezaan juga terdapat di
kalangan mereka yang seagama. Perbezaan ini kadang-kadang begitu nyata dan
ketara sekali sehingga sukar sekali untuk kita mencari dan mengenal
persamaannya. Demikianlah juga jika kita bandingkan orang-orang Islam
daripada golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan orang-orang
Syiah. Terdapat pula ramai yang menganggap diri mereka sebagai orang Islam
sedangkan kepercayaan mereka sudah terkeluar daripada ajaran Islam,
umpamanya kaum Kadiani. Adakalanya dalam sejarah, sesuatu bangsa atau
kumpulan agama dihormati kerana kekuatan dan kekayaannya, dan ada pula
masanya yang bangsa dan kumpulan yang sama itu menjadi lemah dan ditindas
oleh kaum lain atau penganut agama lain. Dan ada masanya sesuatu kaum itu
telah dimusnahkan terus sehingga tidak wujud lagi dengan tidak
meninggalkan apa-apa bekas atau kesan.

3. Hakikat persekitaran dari segi keadaan semasa dan dari segi sejarah
adalah perkara yang perlu diambilkira kerana tidak mungkin sesuatu
golongan atau kumpulan itu berada sebagai kumpulan tunggal dan wujud
secara tersendiri di dunia ini. Allah telah berfirman bahawa manusia
dijadikan bersuku-suku dan berbangsa-bangsa, dan bukanlah tujuan Allah
s.w.t mengadakan suku-suku atau bangsa-bangsa itu untuk mengasingkan
mereka di antara satu dengan yang lain, tetapi sebaliknya tujuannya ialah
supaya mereka berkenal-kenalan dan berbaik-baik. Nyatalah bahawa wujudnya
berbagai kaum dan bangsa yang berbeza-beza adalah dengan kehendak Allah
dan oleh itu mempunyai hikmatnya. Perlunya sesuatu kaum atau bangsa itu
hidup di dalam satu persekitaran atau suasana di mana terdapat
berbagai-bagai kaum dan bangsa adalah juga kehendak Allah.

4. Fahaman tentang adanya lain-lain kaum dan lain-lain bangsa dalam
suasana atau persekitaran sesuatu bangsa itu adalah amat penting bagi
orang Islam; orang-orang UMNO yang semuanya adalah Islam juga harus
memahaminya. Hakikat ini adalah diiktiraf dan diakui oleh seluruh dunia
Islam. Dalam persidangan Negara-Negara Islam di Taif pada awal tahun ini
yang hadir bukan sahaja peserta-peserta Islam tetapi juga peserta-peserta
Kristian yang mewakili beberapa buah negara Islam. Seorang Padri Kristian
telah menyampaikan ucapan kepada persidangan tersebut dan seorang lagi
Padri Kristian dari Palastin telah menghantar perutusan ucap selamat
bersidang dan kejayaan. Ramai pula padri-padri daripada berbagai-bagai
mazhab agama Kristian yang hadir sebagai pemerhati di Persidangan di Taif
itu.

5. Islam berkembang dari Tanah Arab hingga meliputi seluruh dunia dengan
mengambilkira faktor-faktor persekitarannya. Bahkan perkembangan Islam di
zaman Nabi Muhammad s.a.w. telah menitikberatkan keadaan di
sekelilingnya. Adakalanya satu langkah ke belakang perlu diambil untuk
membolehkan dua langkah ke hadapan diambil kemudiannya. Pengikut-pengikut
Rasulullah s.a.w. pernah dihantar berpindah ke negara Kristian supaya
selamat dari penindasan kaum jahiliah di Mekah. Begitu juga Rasulullah
s.a.w. sendiri telah di perintahkan oleh Allah s.w.t. supaya berhijrah ke
Madinah demi keselamatan Baginda bagi membolehkan Baginda mengatur
strategi untuk mengatasi kaum jahiliah dan mengembangkan agama
Islam. Demikianlah pentingnya penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. ke Madinah
sehingga tarikh penghijrahan ini diakui dan ditentukan sebagai tarikh
permulaan perkiraan takwim atau kalendar dalam Islam. Tidak sesiapa pun
boleh menafikan bahawa tindakan mengambilkira keadaan sekeliling atau
persekitaran dalam menjaga keselamatan orang Islam dan bagi pengembangan
agama Islam adalah suatu yang diizin dan disuruh oleh Islam.
Islam tidak menyuruh penganutnya bersikap angkuh dan bertindak secara
buta-tuli.

6. Sesungguhnya Allah s.w.t. telah melengkap dan menyempurnakan agama
Islam melalui Nabi terakhir Junjungan kita Muhammad s.a.w. Ada mereka yang
berpendapat bahawa oleh sebab agama Islam serta peraturan-peraturannya
telah lengkap, yang perlu ialah dilaksanakan sahaja segala ajaran Islam
sebagaimana dibuat oleh Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. tanpa
lain-lain pertimbangan lagi. Pendapat ini adalah pendapat yang tidak
berasas kepada fahaman yang mendalam terhadap strategi bagi mengamal dan
mengembangkan agama Islam dalam keadaan dan suasana tertentu. Bagi
menjelaskan perkara ini cuba kita tinjau umat Islam yang hidup sebagai
golongan minoriti yang kecil di negara-negara yang diperintah oleh bukan
Islam. Pemerintahan bukan Islam ini tidak mengizinkan undang-undang Islam
dilaksana dan dikuatkuasakan walaupun di kalangan golongan minoriti Islam
sahaja, jauh sekali dari menjadi amalan negara tersebut.
Apakah ini bermakna bahawa semua golongan minoriti Islam di negara-negara
bukan Islam itu tidak Islam, atau tidak mahu mematuhi ajaran Islam, atau
kurang Islam? Sebenarnya mereka adalah Islam dan perbuatan mereka adalah
perbuatan yang diizinkan oleh Islam dalam keadaan darurat yang mereka
hadapi.

7. Umat Islam sekarang sedang berada di dunia yang sebahagian besar
penduduknya ialah bukan Islam. Sementara di zaman keagungan Islam, orang
Islam memiliki segala pengetahuan dan menguasai dunia baik dari segi
ekonomi, pengetahuan, ketenteraan atau politik. Di zaman kita ini, kerana
kelalaian orang Islam sendiri, ekonomi, pengetahuan, ketenteraan dan
politik dunia dikuasai oleh orang bukan Islam. Hendak tak hendak orang
Islam terpaksa "meminta-minta" daripada orang bukan Islam dalam hampir
semua bidang, selain dari bidang rohaniah. Oleh kerana ini, walaupun orang
Islam berjumlah 900 juta, mereka menjadi "minoriti" yang lemah di
dunia. Kita tidak dapat bersaing, jauh sekali menandingi orang bukan Islam
dalam bidang ekonomi, pengetahuan, ketenteraan atau politik. Mereka yang
mendakwa negara mereka sebagai negara Islam dengan penduduk yang
seratus-peratus Islam pun tidak berhenti-henti "meminta-minta" dari orang
lain untuk menjaga keselamatan orang Islam.

8. Kita sedar bahawa sistem politik dan ekonomi Barat Islam. Sebaliknya,
untuk menjaga kepentingan Islam, Islam mengizinkan kita mengambil tindakan
yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam walaupun tidak berasal dari
sistem Islam. Dalam keadaan darurat kita diharuskan "flexibility" yang
lebih luas lagi. Dan bagi ramai dari kita, keadaan adalah cemas dan
merupakan darurat.

9. Sistem kewangan dunia yang digunakan sekarang yang bergantung bukan
sahaja kepada penggunaan emas dan perak, tetapi wang kertas dan cek
bukanlah dari sistem Islam. Dari sistem ini telah wujud sistem bank,
penukaran wang, surat-janji, pengadilan janji-janji perdagangan,
pelaburan, ekspot impot, insuran dan lain-lain lagi. Sistem ini menguasai
seluruh dunia sehingga kita tidak dapat tidak mesti menggunakannya. Kita
juga tidak dapat mengasingkan diri dari dunia bukan Islam. Apakah dapat
kita mengeluarkan minyak dan lain-lain bahan tetapi tidak menjual kepada
orang bukan Islam. Sebaliknya jika kita tidak memperdulikan kekayaan yang
dikurniakan Allah dan ingin hidup seperti zaman purba, kebolehan kita
mempertahankan diri jika diancam oleh musuh dari dunia luar adalah tipis
sekali. Kita mungkin kalah dan akan ditakluk.

10. Menerima dan mengamalkan sistem lain sedangkan Islam mempunyai
sistemnya sendiri mungkin menjadikan kita seolah-olah tidak menghiraukan
ajaran Islam. Tetapi sepertimana Junjungan kita Nabi Muhammad
s.a.w. berhijrah, iaitu berundur untuk menyelamatkan Islam untuk masa
depan, tidaklah juga salah jika kita pada hakikatnya membuat perbuatan
yang sama kerana hendak menyelamatkan diri kita dan menyediakan diri untuk
kemenangan kemudian.

11. Cuba kita kajikan hakikat yang sebenar. Di mana-mana juga dalam dunia
Islam, bank dan sistem bank barat wujud. Dalam keadaan yang mana wang yang
banyak didapati oleh negara Islam sebagai pendapatan daripada sumber
minyak, masalah pengurusan wang yang bertimbun-timbun ini telah menjadi
masalah yang besar. Tidak semua benda boleh dibeli dengan wang yang banyak
ini sama ada di dalam negeri sendiri ataupun dari negeri-negeri Islam yang
lain. Jika wang yang banyak ini dibelanjakan untuk membeli barang dari
negara barat, maka baratlah yang akhirnya mendapat keuntungan daripada
pengeluaran minyak di negara-negara Islam. Sebenarnya sebahagian besar
hasil daripada kekayaan minyak adalah digunakan untuk membeli "sejuta
satu" barang dan alat kelengkapan dari barat yang memberi keuntungan besar
kepada mereka. Tetapi, bakinya masih banyak lagi.

12. Jika wang ini disimpan sahaja, nilainya tetap akan merosot kerana
inflasi yang teruk yang melanda dunia termasuk negara-negara pengeluar
minyak. Ada mereka yang menyimpan wang ini tanpa menerima faedah. Tetapi
semua tempat simpanan wang, sama ada bank atau institusi lain menggunakan
wang yang disimpan dengan mereka untuk diberi sebagai pinjaman dengan
faedah. Akibatnya sementara individu Islam tidak menerima faedah sendiri,
wangnya mengeluarkan faedah kepada bank atau institusi lain. Jika bank itu
bukan kepunyaan orang Islam, maka keuntungan dari faedah dapat kepada
orang yang bukan Islam. Sebenarnya banyak bank kepunyaan orang Zionis
mendapat untung dari menyimpan wang orang Islam dan keuntungan ini
sebahagiannya tentulah diguna untuk kepentingan Israel.

13. Untuk mengurus wang yang berbillion- billion ringgit, tak mungkin wang
tunai, sama ada wang kertas, atau emas, atau perak digunakan. Cek-cek dan
lain-lain surat janji terpaksalah diguna. Semua ini adalah sebahagian dari
sistem bank barat. Oleh kerana itu bank-bank tumbuh seperti cendawan di
negara Islam terutamanya semenjak zaman minyak mahal. Sebenarnya
perniagaan bank merupakan salah satu perniagaan yang terbesar sekali dalam
dunia Islam kerana orang Islam tidak mempunyai teknoloji dan pengetahuan
yang secukupnya dalam bidang pembuatan barang-barang dan lain-lain bidang
perusahaan dan perniagaan.

14. Adalah jelas sekali bahawa setengah-setengah negara Islam terperangkap
dengan kekayaan mereka sendiri. Tetapi wujudnya terlalu banyak perniagaan
bank bukanlah sesuatu yang patut diterima baik oleh orang Islam. Kita cuma
dapat menerima keadaan ini sebagai sesuatu yang sementara sahaja. Tetapi
sebelum kita dapat berpindah kepada aktiviti ekonomi yang diizinkan oleh
Islam, kita perlulah menguasai segala pengetahuan dalam bidang ini. Jika
kita secara buta tuli cuba mencebur diri dalam bidang yang kita tidak
mempunyai pengetahuan yang cukup, kita akan ditipu sepertimana negara
Islam telah ditipu selama hampir 100 tahun untuk menjual minyak dengan
harga yang amat murah. Kita boleh menyalahkan orang yang menipu kita
tetapi kita tidak boleh melepaskan diri kita sendiri daripada perbuatan
tidak menghiraukan anjuran agama Islam supaya kita menuntut ilmu. Kerana
tidak ada ilmulah kita tidak dapat mengeluarkan minyak yang ada dibumi
kita dan tidak tahu menapis dan memasarnya. Kerana tidak ada ilmulah, kita
tidak dapat mengadakan perniagaan dan perusahaan yang sesuai bagi
kepentingan kita. Kesalahan adalah pada diri kita, terutamanya mereka yang
sengaja menghalang penguasaan ilmu oleh kita.

15. Di waktu ini, walaupun negara-negara Islam ingin mempraktikkan sistem
ekonomi Islam sepenuhnya hakikatnya ialah dalam dunia yang ekonominya
ditakluk oleh orang lain kita tidak harus mengambil tindakan yang melulu
yang boleh melemahkan kita lagi. Kita juga tidak mungkin mengasingkan
diri. Membuang barang buatan orang bukan Islam tidak akan menjadikan kita
lebih Islam atau boleh menyelamatkan kita. Begitu juga cuma memakai
pakaian yang kita reka dan kita namakan pakaian Islam tidak juga akan
menyelamatkan kita. Hanya dengan menguasai ilmu dan kebolehan yang
diperlukan barulah dapat kita menyelamatkan diri kita.

16. Kita harus faham latarbelakang Islam dalam negara kita dan
latarbelakang Islam dalam dunia moden. Kita harus faham kerana kita
bertanggungjawab terhadap keselamatan Islam dan orang-orang Islam. Jika
masyarakat Islam membuat sesuatu kerana keangkuhan atau kerana nafsu, atau
membiar sesuatu yang merbahaya berlaku kerana tidak mengambilkira
kemampuan mereka,dan kerana perbuatan mereka Islam dan orang Islam
terjerat dan terpaksa tunduk kepada orang lain, dan mungkin pula terpaksa
berpisah dari agama Islam, maka merekalah yang bersalah, merekalah yang
sebenarnya memisahkan orang Islam dari agama mereka. Merekalah yang
berdosa. Sebab itu kita harus faham dan kita harus berhati-hati. Kita
tidak mahu nasib orang Afghan menimpa kita. Hari ini beberapa negara Islam
sudah menjadi negara Komunis yang menolak Allah s.w.t.kerana kelemahan
orang Islam sendiri. Mereka tidak berupaya mempertahankan diri mereka dari
serangan ideologi dan fizikal musuh Islam.

17. UMNO dan ahli-ahlinya perlu faham keadaan persekitaran. Segala
tindakan yang diambil hendaklah berdasarkan kepada kesedaran terhadap
persekitaran dan keupayaan diri sendiri. Kita hendaklah sentiasa berusaha
meningkatkan keupayaan supaya kelemahan kita tidak menghalang pelaksanaan
ajaran Islam.

18. UMNO sebagai sebuah parti Islam mempraktikkan segala yang disuruh oleh
Islam. Mungkin ada orang yang menuduh bahawa UMNO sebagai parti yang
memerintah tidak melaksanakan semua undang-undang Islam. Ini tidaklah
benar kerana apa yang kita buat adalah mengikut landasan yang diizinkan
oleh Islam berasaskan Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Langkah-langkah yang
cermat dan berhati-hati adalah selaras dengan kehendak Islam. Sebaliknya,
mereka yang menuduh UMNOlah yang tidak menurut hukum Islam. Dan ini boleh
kita buktikan bila-bila sahaja.

19. Walaupun demikian UMNO sebagai parti Islam tidak akan bersikap sebagai
musuh kepada mereka yang menuduh secara melulu itu. Kita bersedia untuk
mendampingi mereka, untuk berbaik-baik dengan mereka dan untuk bekerjasama
dengan mereka. Kita bersedia kerana kita ingin membuat apa yang disuruh
oleh Islam dan apa yang boleh kita buat untuk Islam.

20. Jika kita menegur, jika kita mengambil tindakan untuk menghalang
perbuatan kafir-mengkafir, perbuatan pulau-memulau, perbuatan berjemaah
berasingan, perbuatan tidak mahu menunaikan fardhu kifayah, ini semua kita
buat kerana kita adalah orang Islam yang mahu patuh kepada hukum-hukum
Islam. Sebagai orang Islam, sebagai Parti Islam dan sebagai Kerajaan yang
bertanggungjawab kepada orang Islam dan agama Islam di negara ini, adalah
menjadi satu kesalahan besar dan berdosa jika kita lihat satu kesalahan
dibuat terhadap agama Islam tetapi kita tidak mengambil tindakan,
sedangkan kita berupaya mengambil tindakan.

21. UMNO sebagai parti Islam dan pendukung agama Islam dalam Kerajaan yang
memerintah sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam mempunyai
tanggungjawab yang berat. Kita tidak bertindak kerana ingin memenangi
pertandingan politik. Kita bertindak kerana kehendak Islam dan
ajarannya. Siapa juga yang berpegang kepada pendapat ini adalah kawan
kita. Siapa yang mencabul agama Islam akan kita tentang. Tetapi jika
mereka insaf dan berbalik kepada ajaran Islam, jika mereka ingin
bersaudara sebagai orang Islam, kita akan menerima mereka. Kesalahan
mereka dahulu akan dibalas oleh Allah s.w.t. Yang kita boleh buat ialah
menerima mereka yang telah sedar mengenai kesalahan mereka. Bukanlah bagi
kita untuk membaca apa yang tersemat di dalam hati mereka. Yang kita perlu
terima sebagai manusia biasa ialah apa yang nyata kepada kita sahaja.

22. Ini adalah prinsip dan asas perjuangan UMNO sebagai parti Islam di
Malaysia. Ini, saudara-saudari sebagai pemimpin parti UMNO harus
tahu. Tidak harus ada kekeliruan di kalangan ahli UMNO tentang peranan
UMNO sebagai pendukung agama Islam.

23. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Pembukaan Kursus Ugama
ini.

Wabillahit-taufiq, walhidayah, Wasaalamu 'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.

 



 


 











 
Google