Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN NIRWANA, HOTEL HILTON, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	27/12/81 
Tajuk/Title 	: 	MAJLIS MAKAN MALAM TAHUNAN 
			PERSATUAN PERKHIDMATAN TADBIR DAN 
			DIPLOMATIK (PPTD) DI DEWAN NIRWANA 




Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Hussein Onn dan Toh Puan Suhailah; Yang Amat
Berhormat Dato' Musa Hitam Yang Berbahagia Tan Sri Hashim Aman, Ketua
Setiausaha Negara; Yang Berusaha Dr. Elyas Omar, Presiden PPTD; Dif-dif
Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bagi pihak isteri saya dan diri saya sendiri, saya mengucapkan
berbanyak-banyak terima kasih kepada Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan
Diplomatik, khususnya kepada Yang Berusaha Dr. Elyas Omar, Presiden PPTD,
serta sekelian ahli-ahli Jawatankuasa PPTD kerana sudi menjemput saya ke
Majlis Makan Malam Tahunan ini dan di atas penghormatan yang diberikan
kepada saya.

2. Bagi saya PTD memberi erti pegawai-pegawai kanan yang bertugas sebagai
pengurus dan eksekutif sebahagian besar daripada sektor awam. Anggota PTD
merupakan sebahagian besar daripada mereka yang berkait rapat dengan
prestasi jentera perkhidmatan awam. Oleh itu peluang untuk hadhir
bersama-sama saudara-saudara sekelian di dalam Majlis seperti ini,
merupakan satu peluang keemasan bagi saya untuk memperkatakan
sesuatu. Walaupun semenjak saya memegang jawatan Perdana Menteri saya
telah beberapa kali berpeluang pertama saya berpeluang bertemu dan
berhadapan dengan pegawai-pegawai PTD dengan begitu ramai sekali.

3. Oleh itu, sukalah saya mengambil kesempatan ini untuk menyentuh sedikit
sebanyak mengenai peranan dan tanggungjawab pengurus dan eksekutif. Apa
yang saya sentuh hanya merupakan sebahagian kecil atau "the tip of the
iceburg" dalam bidang pentadbiran dan pengurusan, iaitu bidang yang
menjadi kemahiran saudara-saudara sekelian.

Saya yakin, dengan pengetahuan dan pengalaman tentulah saudara-saudara
sekelian dapat merenung perkara-perkara ini dengan lebih terperinci dan
teliti.

4. Bagi saya terdapat dua model pemerintahan ataupun pengurusan. Model
pertama ialah apabila kita begitu kagum dengan pencapaian kita hinggakan
kita menjadi puas hati dan lalai hinggalah sesuatu keadaan membangunkan
kita daripada khayalan. Model kedua ialah apabila kita sentiasa
berpendirian bahawa apa yang kita capai adalah masih rendah jika
dibandingkan dengan kemampuan dan kebolehan yang ada atau yang mungkin
kita adakan yang mengakibatkan kita sentiasa berusaha untuk memperbaiki
apa-apa jua yang kita buat. Yang membezakan kedua-dua model ini ialah dua
perkara, pertama "sense of purpose," dan kedua ialah "sense of
urgency." tekad, jelas tujuannya dan kita memberi keutamaan dan
kepentingan kepadanya. Oleh itu, elok kita lupakan model pertama, iaitu
apa yang boleh kita anggap sebagai "complacency model" yang akan
menjadikan seseorang manusia sebagai individu yang tidak bermaya dan
sesuatu bangsa dan negara sebagai bangsa dan negara yang mundur dan lemah.

Saudara-saudara sekelian.

6. Bagi saudara-saudara yang telah menjelajah dunia atau melawat
negara-negara lain tentu bersependapat dengan saya menjadi rakyat negara
ini. Bagi setengah negara, bukan sahaja hampir mustahil bagi rakyat asing
untuk menjadi warganegara tetapi peluang-peluang untuk menyertai kegiatan
ekonomi dan memperbaiki taraf hidup bagi sebahagian besar penduduk adalah
begitu malap sekali. Lihat sahaja kepada kebanyakan negara dan kita tentu
bersyukur bahawa rakyat kita, sebagai rakyat Malaysia tidak mengalami
kebuluran yang sekarang menimpa berjuta-juta manusia, kita tidak dilanda
malapetaka bencana alam yang meragut nyawa dan memusnahkan harta benda dan
tanaman dengan luas dan besar-besaran.

7. Sebagai sebuah negara membangun yang kecil dengan masalah-masalahnya di
tengah-tengah suasana politik dan ekonomi antarabangsa yang tidak begitu
stabil, kita tidak dapat tidak mesti meletakkan "sense of purpose" dan
"sense of urgency" sebagai dua penentu atau pertimbangan dalam semua
tindakan kita, tidak kira sama ada dalam perkara dasar, perancangan
ataupun pelaksanaan, dan tidak kira sama ada perkara itu kecil atau
besar. Syukur, alhamdulillah, kita bernasib baik mempunyai berbagai sumber
alam dan bahan mentah yang bernilai dan diperlukan oleh dunia, iklim kita
baik dan dapat menyuburkan tanaman dan tumbuhan, situasi kita dari segi
geografi membantu dalam kegiatan dan hubungan ekonomi kita. Jika kita
insafi segala faktor-faktor yang saya sebutkan itu kita akan sedar bahawa
kita mempunyai potensi dan segala kemungkinan untuk menjadi satu bangsa
dan negara yang maju dan disegani umum. Faktor yang boleh menjadikan
cita-cita ini sebagai kenyataan ialah kegigihan berusaha untuk memenuhi
tujuan dan matlamat cita-cita itu dengan "a sense of urgency." 8. Semenjak
saya memegang jawatan Perdana Menteri saya telah berulang-kali menegas dan
menjelaskan betapa pentingnya usaha yang gigih dan dedikasi di dalam
menjalankan kerja. Sifat-sifat ini bukanlah terhad kepada mana-mana pihak
atau golongan malahan harus menjadi sifat dan keperibadian bangsa Malaysia
moden. Oleh itu ciri-ciri ini juga semestinyalah menjadi ciri pengurus dan
eksekutif moden tidak kira sama ada mereka berkerja di dalam sektor awam
ataupun sektor swasta. Yang harus menjadi pendorong dan penggerak setiap
rakyat ialah mutu usahanya dan tingkat pencapaiannya dalam melakukan
sesuatu. Mutu usaha dan tingkat pencapaian yang tinggi harus memberi
kepuasan yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit dan ganjaran
material.

9. Pegawai-pegawai Kerajaan adalah pengurus dan eksekutif yang
bertanggungjawab bagi menggerakkan jentera Kerajaan untuk mencapai
matlamat-matlamat yang ditentukan. Kerajaan adalah pemegang amanah rakyat
dan ia harus menjalankan tanggungjawab-tanggungjawabnya dengan cekap,
licin dan bersih. Setiap pegawai Kerajaan, tidak kira sama ada ianya
seorang pentadbir atau seorang pegawai profesional dan teknikal, harus
mendukung hasrat yang saya sebutkan itu.

Setiap pegawai dalam konteksnya adalah seorang pengurus dan eksekutif dan
ianya tidak harus lupa atau lalai daripada tugas-tugas yang dikehendaki
daripada seorang pengurus atau eksekutif. Seseorang pegawai mestilah
memberi perhatian yang personal kepada tugas-tugas pengurusan seperti
perancangan, pengawalan, pengawasan, pembangunan staff, kewangan,
maintenance dan lain-lain. Saya menyebutkan perhatian personal kerana
mengambil tindakan terhadap sesuatu kes atau fail dalam bidang kewangan
misalnya tidak semestinya bermakna seseorang pegawai itu telah
melaksanakan tugas kewangan kerana pelaksanaan tugas kewangan yang
sempurna ialah dengan memberi kepentingan dan mengambil perhatian kepada
setiap aspek kewangan dari segi perancangan, pelaksanaan, pengawalan dan
pengawasannya.

Tanpa konsep yang jelas mengenai tugas-tugas ini dan cara melaksanakannya
yang kemas dan teratur, peralatan dan suasana moden mungkin tidak dapat
menolong. Itulah sebabnya kadang-kadang sesebuah organisasi itu tidak
putus-putus mempunyai masalah.

10. Seseorang pegawai juga mestilah mempunyai sikap untuk melaksanakan
tugas-tugas ini dengan paling cekap dan licin. Ia harus belajar, harus
membaca, harus meluaskan pengalaman supaya ia dapat menjalankan tugasnya
dengan baik. Biarlah saya memberi satu contoh untuk membuktikan bahawa
sebenarnya pengurusan adalah lebih merupakan perkara yang berasaskan
"common sense." Misalnya bila saya membuat perhatian tentang kecantikan
dan kebersihan ataupun "beautification and cleanliness," dengan senang
sahaja kita dapat melihat sejauh mana prinsip "common sense" ini telah
digunakan oleh anggota-anggota yang bertanggungjawab bagi melaksanakan
tugas ini. Untuk mencantikkan tepi-tepi jalan, pokok-pokok telah
ditanam. Di sini elok juga kalau pegawai yang berkenaan melengkapkan
dirinya dengan membaca buku mengenai pokok-pokok dan sifat-sifat
pokok-pokok tertentu dari segi penyakit dan penjagaannya dan meluaskan
pengalamannya mungkin dengan bertanyakan kepada tuan punya-tuan punya
"nursery" untuk mendapatkan panduan yang lebih praktikal.

Saya sebutkan perkara ini kerana ada ketikanya pokok yang ditanam tidak
teratur, ataupun pokok yang banyak menggugurkan daun ditanamkan di tempat
yang banyak lalu lintas hingga menyusahkan pembersihan. Ataupun pokok yang
memerlukan jagaan yang begitu teliti telah di tanam di tempat-tempat yang
susah untuk dijaga. Ada kalanya mereka yang menyiram disuruh menyiram
walaupun pokoknya telah mati.

Ada ketikanya pokok-pokok yang digunting dengan begitu rapi untuk memberi
kecantikan tetapi ranting-ranting yang dipotong tidak dibuangkan serta
merta tetapi dibiarkan pula untuk menjadi "hiasan". Apabila mesin memotong
rumput digunakan tempat-tempat yang sukar dicapai oleh mesin dibiarkan
begitu sahaja untuk dihiasi oleh lalang ataupun rumput-rumput yang
panjang. Saya boleh terus menerus menghuraikan tentang "common
sense" dalam bidang kecantikan dan pembersihan ini. Begitu juga saya rasa
saudara-saudara sekelian tentu dapat memerhati dan merasai "the state of
the civil service" yang memerlukan tindakan kita bersama untuk memperbaiki
keseluruhan jentera Kerajaan.

Saudara-saudara sekelian.

11. Saya percaya sekiranya setiap pegawai Kerajaan memberi kepentingan dan
keutamaan kepada "sense of purpose," "sense of urgency," dan "common
sense," dan melihat sesuatu suasana dan keperluan tugas dari kaca
mata-kaca mata ini sudah tentu banyak yang akan dapat kita capai. Dengan
ini barulah bermakna segala usaha memperbaiki sistem dan peraturan supaya
perkhidmatan yang diberikan bertambah baik dan peralatan serta suasana
kerja dan membantu dalam tindakan yang lebih berkesan. Saya harap
pegawai-pegawai kanan yang berada di barisan hadapan, sama ada dalam
perkhidmatan apa jua sekalipun, akan membuat interpretasi yang jelas dan
membina daripada prinsip-prinsip yang dikehendaki bagi memandu menggerak
keseluruhan anggota-anggota Kerajaan untuk memasuki dan mendukung era baru
dalam usaha meningkatkan prestasi jentera dan kemampuan Kerajaan.

12. Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia yang dahulunya dipanggil
MCS adalah dianggap sebagai "elite service." Ungkapan ini mempunyai
sejarahnya dalam sistem pentadbiran Kerajaan penjajah di mana terdapat
unsur-unsur "tuan dan hamba." Selepas merdeka, dan dengan hasrat kita
untuk membawa negara kita kepada satu tahap pencapaian yang setaraf dengan
negara-negara maju dan tamadun-tamadun besar, konsep "elite" mestilah
membawa erti kepimpinan yang berjiwa rakyat dan yang didorong oleh mutu
pencapaian yang tinggi.

Saya yakin, sekiranya setiap pegawai PTD melengkapkan dirinya dengan
ciri-ciri yang saya sebutkan tadi dan seterusnya berusaha untuk
meningkatkan kemampuannya bagi memberi perkhidmatan yang paling bermutu
kepada negara, PTD akan menjadi "avant garde" yang membawa perubahan
kepada satu perkhidmatan awam yang berpotensi dan dinamis. Saya ingin
melihat fenomena ini berlaku dalam masa yang sesingkat-singkatnya.

13. Dengan pesanan dan harapan ini saya mengucapkan kepada saudara-saudara
sekelian selamat maju jaya dan selamat berkhidmat untuk negara.

Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 



 


 











 
Google