Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : BANGUNAN LEMBAGA URUSAN DAN
TABUNG HAJI
Tarikh/Date : 15/01/82
Tajuk/Title : UPACARA MELETAK BATU ASAS BANGUNAN
LEMBAGA URUSAN DAN TABUNG HAJI
Bismillahir rahmanir rahim.
Yang Berusaha Pengerusi Lembaga Urusan dan Tabung Haji; Yang Berhormat
Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri; Tuan-tuan Yang
Terutama; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian.
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah
kurnia serta izinNya dapat kita bersama-sama hadir di Majlis Meletak Batu
Asas Bangunan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) pada pagi ini.
2. Majlis ini adalah satu acara yang penting dan bersejarah. Ia menandakan
satu tahap kemajuan yang telah dicapai oleh LUTH sejak Lembaga ini
ditubuhkan dua-puluh tahun dahulu. LUTH telah mara jauh ke hadapan sejak
penubuhannya. Saya masih ingat keraguan yang telah disuarakan terhadap
syor Profesor Di Raja Ungku Aziz mengenai kemungkinan mengumpul wang
simpanan bakal haji di dalam satu tabung. Hari ini keraguan itu terbukti
tidak berasas dan diganti dengan pendapat bahawa sudah sememangnyalah
tabung seperti ini pasti berjaya. Saya ingatkan tentang keraguan ini
kerana kita mudah lupa dan kerana lupa berkenaan sesuatu kita tidak
mendapat pengajaran yang sepenuh daripadanya.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekelian.
3. Apakah pelajaran yang boleh didapati daripada kejayaan penubuhan Tabung
Haji? Pelajaran yang terpenting sekali ialah keraguan terhadap sesuatu
rancangan yang baik tidak sepatutnya mengganggu pelaksanaaan rancangan
tersebut. Kita harus berani mencuba. Pelajaran yang kedua ialah sesuatu
rancangan tidak akan berjaya tanpa ketabahan hati dan ketekunan. Rancangan
akan tinggal sebagai rancangan sahaja jika usaha yang gigih tidak ada.
4. Tabung Haji berjaya kerana ia dirancang dengan teliti dan diuruskan
dengan penuh minat dan dedikasi. Segala tenaga dan kecerdikan yang ada
pada umat Islam di negara ini telah dikerah untuk menyumbang dan memberi
kejayaan pada Tabung Haji. Memang ada kelemahan dan kegagalan kadangkala
dalam urusan Tabung Haji tetapi berbanding dengan kejayaannya kita masih
boleh berbangga dengan peranan yang dimainkan oleh Tabung bukan sahaja
dalam memudahkan urusan fardhu haji bagi kian ramai umat Islam di
Malaysia, tetapi di samping itu dalam membantu mengukuhkan kedudukan
ekonomi orang Islam di negara ini. Peranan utama Tabung Haji masih
pengurusan ibadat Haji tetapi peranan ekonominya juga menjadi sebahagian
besar daripada tugas keugamaannya. Kita tahu bahawa kemiskinan itu lebih
hampir kepada kekufuran.
Maka dengan itu adalah ditakuti masyarakat Islam yang miskin akan lemah
imannya. Ini harus diingat kerana ada yang berpendapat bahawa kemiskinan
adalah sama dengan keteguhan iman. Ini mungkin berlaku jika orang Islam
yang miskin itu berada di kalangan orang Islam yang kaya yang boleh
menolongnya. Tetapi jika semua orang Islam miskin mereka cuma boleh
mendapat pertolongan daripada orang lain. Di waktu itulah iman mereka akan
diancam. Oleh itu peranan Tabung dalam memulihkan ekonomi umat Islam di
Malaysia adalah satu peranan yang penting bagi umat Islam dan agama
Islam. Pengurusan Tabung mestilah dibuat dengan baik supaya sebahagian
daripada kelemahan orang Islam di Malaysia dapat di atasi.
5. Pembinaan bangunan LUTH yang batu asasnya akan diletak pada hari ini
adalah satu lagi usaha ekonomi untuk mempertahankan kedudukan orang
Islam. Kita boleh adakan bangunan ini kerana agama Islam tidak menjadi
penghalang kepada kemajuan ekonomi umat Islam. Sebenarnya jika tidak
kerana kehendak satu dari lima rukun Islam, mungkin kita tidak dapat
mengumpul wang yang cukup untuk pembinaan bangunan ini.
6. Tetapi di sini juga patut kita renung sejenak. Sudahkah kita boleh
berpuas hati dengan kejayaan orang Islam di Malaysia. Kita sudah ada
kekayaan yang sedikit sebanyak berkesan. Tetapi sudahkah kita mempunyai
lain-lain kebolehan yang diperlukan oleh umat Islam. Di seluruh negara
Malaysia kita melihat begitu banyak masjid-masjid yang baru dan
indah. Tetapi orang Islam yang mendapat masjid ini tidak mampu membinanya
sendiri. Kita bukan sahaja tidak mampu tetapi tidak mahu membinanya, tidak
mahu mencebur diri dalam bidang pembinaan bangunan. Anak muda Islam lebih
sukakan kerja ringan di pejabat-pejabat dan kilang-kilang dari berkerja
dalam keadaan tidak selesa dan berat. Sikap ini mengekalkan kita sebagai
umat yang bergantung kepada kecekapan orang lain. Dan orang yang
bergantung kepada orang lain tidak bebas, hina dan mudah ditindas. Kita
bernasib baik di negara ini kerana memiliki kuasa politik. Jika kita masih
dijajah, penindasan yang tidak terhad akan dilakukan ke atas kita, seperti
yang dilakukan di masa kita dijajah, dan seperti yang dilakukan kepada
rakyat minority Islam di beberapa negara yang anti-Islam.
7. Oleh itu, sementara kita boleh berbangga dengan bangunan yang akan kita
dirikan, kebanggaan itu hendaklah disertai dengan keinsafan terhadap
kelemahan yang masih ada pada kita, dan kerana insaf kita membuat resolusi
untuk mengatasi kelemahan ini. Apa yang diperlukan daripada kita amatlah
mudah dan ringan berbanding dengan apa yang dibebankan ke atas orang Islam
di zaman Nabi dan di zaman-zaman Islam berkembang. Mereka di zaman-zaman
yang lepas ini terpaksa menghadapi berbagai rintangan hinggakan nyawa
sendiri diragut kerana mempertahan dan memperbaiki nasib orang
Islam. Tetapi kita cuma dikehendaki mempelajari ilmu dan kecekapan tangan
dan untuk sanggup berusaha. Kita amatlah bernasib baik dan bahagia. Tetapi
kita tidak menghargai semua ini dan tidak berusaha bersungguh-sungguh
mengekalkannya. Ramai dari kita memilih cuma amalan-amalan ibadat untuk
diri sendiri di akhirat dengan tidak memikir tanggungjawab kita terhadap
umat Islam yang ada.
8. Tumpuan semata-mata kepada diri sendiri baik bagi dunia atau untuk
akhirat bukanlah apa yang dituntut oleh agama Islam. Di samping membuat
ibadat untuk bekalan diri sendiri seorang Muslim harus berusaha untuk
kebaikan dan pengekalan agama Islam dan umat Islam. Kita boleh berdoa
kepada Allah s.w.t. seperti kita akan berdoa di penghujung upacara ini
tetapi kita juga perlu bekerja dan berusaha bukan semata-mata kerana upah
yang akan diperolehi tetapi kerana semangat ke-Islaman yang sebenar. Sikap
ini bukan sahaja perlu untuk bangunan ini tetapi untuk semua kerja yang
akan mempertingkatkan keupayaan umat Islam untuk berdiri di atas kaki
sendiri.
Tuan-tuan dan puan-puan.
9. LUTH telah mara jauh ke hadapan sejak ianya ditubuhkan. Di samping itu
kita tahu ada kelemahan-kelemahan dalam perjalanan Tabung ini. Sementara
kita patut buat teguran, kita juga harus ingat bahawa pengurusan kerja
haji bukanlah sesuatu yang mudah. LUTH hendaklah cuba memperbaiki
pengurusan kerja haji tetapi bakal-bakal haji pula hendaklah memberi
kerjasama dengan mengikut peraturan-peraturan yang telah disediakan. Jika
ini dibuat masalah akan berkurangan. Tetapi masalah tidak akan hapus sama
sekali kerana dalam urusan haji ada lain-lain pihak yang terlibat, yang
tidak berada di bawah kuasa LUTH atau kuasa Kerajaan negara
kita. Sementara kita mesti berusaha supaya kita boleh mengerjakan ibadat
haji tanpa sebarang masalah, kita juga patut ingat bahawa ibadat haji
adalah sebagai cabaran kepada kita yang mana kita perlu hadapi dengan
tidak hanya mengeloh sepanjang masa.
Tuan-tuan dan puan-puan.
10. Saya telah berucap panjang sedikit dalam majlis ini kerana saya anggap
upacara hari ini mempunyai makna yang amat besar bukan sahaja kepada LUTH
tetapi juga kepada umat Islam di negara kita ini. Saya berdoa ke hadrat
Allah s.w.t. supaya usaha kita direstui oleh-Nya dan bangunan yang akan
kita dirikan ini akan menjadi perangsang kepada kita untuk mengamal dan
mempertahankan ajaran Islam.
11. Dengan ini saya dengan sukacita merasmikan perletakan batu asas
bangunan Lembaga Urusan Tabung Haji dengan berdoa mudah-mudahan
pembinaannya berjalan dengan selamat, Insyaallah.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
|