home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN NIRWANA, HOTEL HILTON, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	22/01/82 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PENGHORMATAN DAN PERPISAHAN 
			ANJURAN UMNO UNTUK YANG AMAT 
			BERBAHAGIA TUN HUSSEIN 




Yang Teramat Mulia Tengku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Sharifah
Rodiah;
Yang Amat Berbahagia Tun Hussein Onn dan Toh Puan Suhailah; 
Yang Amat Berbahagia Tun Haji Sardon Jubir dan Toh Puan; 
Yang Berhormat-Yang Berhormat Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan
Menteri;
Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri; 
Ketua-Ketua Parti-Parti Komponen Barisan Nasional; 
Yang Berhormat-Yang Berhormat; 
Dif-dif Kehormat; 
Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada
tetamu yang kita raikan pada malam ini, iaitu Yang Amat Berbahagia Tun
Hussein Onn dan Toh Puan Suhailah, yang telah sudi menerima jemputan dan
melapangkan masa untuk menghadiri Majlis penghormatan dan perpisahan
anjuran UMNO ini. Saya juga mengalu-alukan kehadiran hadirin sekelian,
terutama yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman dan Yang Amat Berbahagia
Tun Sardon untuk bersama-sama meraikan Yang Amat Berbahagia Tun Hussein
Onn sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kita semua terhadap
sumbangan dan jasa-jasa beliau kepada Parti dan negara.

2. Sebenarnya UMNO telah bercadang untuk mengadakan Majlis ini sebaik-baik
sahaja Yang Amat Berbahagia Tun Hussein meletakkan jawatan sebagai
Presiden Parti dan juga sebagai Perdana Menteri pada pertengahan tahun
yang lalu. Cadangan ini terpaksa ditangguh memandangkan bahawa Yang Amat
Berbahagia Tun memerlukan masa untuk berihat sebagai pesara politik
walaupun ini adalah satu perkara yang tak mungkin bagi sesiapa kerana
sekali mencebur diri di dalam politik tak mungkin ia boleh memisahkan diri
daripadanya. Namun demikian kita menghormati kehendak Tun dan kita telah
menundakan cadangan kita untuk mengadakan Majlis penghormatan ini hingga
ke suatu masa yang lebih sesuai.

3. Yang Amat Berbahagia Tun, sebagaimana yang tuan-tuan dan puan-puan
maklum, merupakan seorang tokoh yang dapat dikatakan "shy" dan
"retiring" yang tidak begitu gemar dengan sambutan yang meriah
baginya. Malahan ketika beliau meletakkan jawatan beliau telah cuba
mengelak daripada keadaan di mana semua pihak bertalu-talu mengadakan
majlis-majlis perpisahan dan penghormatan baginya. Itulah sebabnya Majlis
kita telah ditangguhkan, iaitu supaya Tun mendapat rihat yang cukup
sebelum Majlis ini diadakan.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

4. Menghormati pendapat Yang Amat Berbahagia Tun Hussein sendiri, kita
telah cuba tidak mengganggu beliau semasa beliau bersara. Kita sedar
bahawa persaraannya disebabkan bukan sahaja oleh kesihatannya yang
terganggu tetapi juga kerana beban kerja sebagai Perdana Menteri adalah
berat.

Adalah wajar bagi beliau berihat secukup-cukupnya supaya dapat memulihkan
semula tenaga dan kesihatannya.

5. Tetapi sebagai seorang doktor saya membuat diagnosis dari jauh bahawa
Tun sudah pun pulih dan beliau telah pun mendapat rihat yang cukup. Oleh
itu saya berpendapat bahawa adalah elok sekali jika Tun bergiat semula dan
memberi khidmatnya kepada masyarakat. Negara kita pesat
membangun. Masyarakat masih memerlukan tenaga dan fikiran Tun. Malangnya
kita tidak mempunyai begitu ramai orang-orang yang berpengalaman dalam
urusan pentadbiran dan pemikiran. Dalam keadaan ini, perceburan Tun sekali
lagi di dalam "public service" amatlah dialu-alukan jika Tun
bersetuju. Saya telah pun membuat cadangan ini kepada Tun dan saya harap
Yang Amat Berbahagia Tun bersetuju dengan syur saya itu. Tujuannya
bukanlah untuk membebankan Tun dengan kerja sehingga mengganggu
kesihatan. Saya yakin bahawa kerja dapat disusun supaya tidak terlalu
berat tetapi sebaliknya masih berkesan. Saya berharap Yang Amat Berbahagia
Tun sudi menimbang cadangan yang telah dibuat oleh saya. Sekali lagi
sebagai doktor saya tahu bahawa orang yang biasa bekerja, seperti Tun
Hussein telah bekerja akan berasa terganggu dan tidak senang jika tidak
ada kerja harian yang hendak dibuat.

6. Di antara hadirin pada malam ini terdapat ramai sahabat taulan yang
erat kepada Yang Amat Berbahagia Tun. Saya yakin bahawa kehadiran mereka
serta kehadiran wakil semua lapisan Parti dan juga wakil-wakil parti-parti
komponen Barisan Nasional akan mengingatkan kembali Tun kepada
kenangan-kenangan manis di dalam perjuangan dan khidmat beliau.

7. Majlis kita pada malam ini bukan sahaja dihadiri oleh pemimpin-pemimpin
UMNO yang memegang jawatan di dalam parti ataupun Kerajaan di waktu kini
atau di masa-masa yang lepas. Yang lebih penting, pada malam ini setiap
Bahagian UMNO diwakili oleh beberapa orang ahli. Ini bukan sahaja sebagai
tanda penghormatan dan sanjungan keseluruhan Parti kepada Yang Amat
Berbahagia Tun tetapi juga sebagai tanda perpaduan Parti. UMNO berkesan
kerana perpaduan dan kerana hormat dan taat yang ditunjuk oleh semua
ahli-ahlinya kepada kepimpinan sama ada kepimpinan lama mahupun yang baru.

8. Yang Amat Berbahagia Tun telah melalui berbagai-bagai liku hidup dan
rintangan di dalam politik negara. Ketika beliau meletakkan jawatan
berbagai liputan telah dibuat mengenai sejarah hidup dan sumbangan
beliau. Walaupun demikian masih banyak yang belum pernah di
perkatakan. Saya yakin semuanya akan dirakam dan diperkenalkan dalam
tulisan sejarah negara. Tetapi buat malam ini yang ingin saya sebutkan
sebagai tanda kasih-sayang dan penghargaan ialah jasa-jasa dan
sumbangan-sumbangan Yang Amat Berbahagia Tun kepada Parti dan negara. Kita
akan sentiasa mengingati Tun sebagai seorang negarawan yang jaguh dalam
mendukung dan memegang kuat kepada prinsip. Oleh kerana pegangan inilah
maka Parti telah dapat mengatasi segala krisis Parti dan Kerajaan yang
berlaku semasa Tun memimpinnya. Bahawa pegangan kepada prinsip ini
dihormati oleh rakyat menjadi nyata apabila dalam Pilihanraya 1978 Barisan
Nasional telah mencapai kemenangan yang luar biasa. Sebenarnya selain dari
kemenangan Parti Perikatan dalam pilihanraya pertama pada tahun 1955,
kemenangan pada tahun 1978 di bawah kepimpinan Tun Hussein ialah yang
terbaik sekali bagi Barisan Nasional yang mewarisi tempat Perikatan.

9. Kita meraikan Tun Hussein malam ini terutamanya kerana penglibatan
beliau dengan UMNO, iaitu satu penglibatan politik yang begitu lama. Tun
Hussein menyertai UMNO di waktu ianya ditubuhkan, iaitu di waktu ayahnya,
Allahyarham Dato Onn giat menubuh UMNO dalam tahun 1946. Walaupun hari ini
kita meraikan Tun Hussein kita tidak lupa jasa ayahnya, Allahyarham Dato
Onn Jaafar kepada UMNO dan kepada negara. Penggembelingan semangat dan
tenaga Melayu telah diasaskan oleh Allahyarham Dato Onn. Semangat ini
jugalah yang dipupuk oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra
sehingga tercapainya Kemerdekaan bagi kita.

10. Kita tidak syak bahawa penglibatan Tun Hussein dengan politik dan UMNO
pada mula-mulanya adalah didorong oleh Allayharham Dato Onn. Kemudian Dato
Onn dan Tun Hussein telah terpisah dari UMNO. Tetapi kita bernasib baik
kerana kemudiannya Allahyarham Tun Razak telah berjaya memujuk Tun Hussein
supaya balik kepada UMNO.

11. Ini semuanya adalah sejarah, sejarah bagi Tun Hussein, sejarah bagi
UMNO dan sejarah bagi Malaysia. Kita kenangkan sejarah kerana kita harus
tahu dari mana kita datang untuk mengetahui ke arah mana kita akan
tuju. Dalam sejarah UMNO memang ada pergolakan kerana pertukaran pemimpin
tetapi umumnya tabiat UMNO ialah merapatkan semula barisan setelah
pemilihan dibuat. Peralihan kepimpinan selepas kehilangan Allahyarham Tun
Razak berjalan secara tradisi tetapi memang berlaku pergolakan yang besar
selepas itu. Walaupun demikian UMNO terus kuat dan tidak berpecah seperti
yang ditakuti. Kepimpinan Tun Hussein pada ketika itu adalah kritikal
tetapi kepimpinannya dapat mengatasi ancaman yang dihadapi oleh UMNO. UMNO
bukan sahaja selamat daripada bahaya perpecahan tetapi menjadi lebih kukuh
sehingga tercapai kemenangan yang luar biasa dalam tahun 1978.

12. Sebagai Timbalan, iaitu "subordinate" yang pertama kepada Yang Amat
Berbahagia Tun Hussein saya ingin sebutkan sedikit di sini tentang
pengalaman saya. Yang pertama ialah tentang pegangan kepada keadilan atau
"sense of fairness" yang ada pada beliau yang tidak dapat menerima apa-apa
pemilihan yang berasaskan kepada "pilih-kasih". Walaupun saya kenal Kapten
Hussein dari jauh semasa beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO dalam tahun 1947
atau 1948, namun demikian saya tidak pernah berdamping rapat dengan
beliau. Tetapi beliau sanggup membuat pilihan Timbalan Perdana Menteri
dengan tidak mengambil kira perhubungan yang biasanya boleh mempengaruhi
pemilihan seperti itu. Saya bernasib baik kerana adanya sifat ini kepada
Tun Hussein. Kita tahu ramai yang mengecam amalan pilih kasih, tetapi jika
terdapat peluang, semua akan mengambil kesempatan dari pertalian
kekeluargaan atau persahabatan.

13. Bekerja dengan Tun Hussein adalah mudah kerana umumnya beliau tidak
suka campurtangan dalam urusan "subordinate" beliau. Tiap-tiap seorang
yang dipilih untuk apa-apa jawatan dikehendaki merancang dan menjalankan
tugas secara tersendiri. Cuma jika ada masalah baharulah dikehendaki
merujuk kepada beliau. Cara ini mungkin tidak digemari oleh orang-orang
yang suka bergantung kepada "superior," tetapi bagi saya, cara ini adalah
amat sesuai untuk bekerja. Namun demikian jika ada panduan yang diperlukan
saya mudah sahaja pada jam 1.30 pagi.

14. Sesiapa yang bekerja dengan Tun Hussein tentu sedar tentang sikap
beliau yang memberi kebebasan yang penuh kepada kakitangan. Jika ada
kakitangan yang tidak begitu senang dengan cara ini, kesalahan adalah pada
diri mereka sendiri kerana ujian yang terbaik sekali ialah ujian melalui
pengalaman. Bagi saya sepanjang masa saya berkhidmat di bawah Tun Hussein
adalah satu pengalaman yang amat berguna kerana beliau memberi kebebasan
bertindak atau "free-hand" kepada saya dalam menyelesaikan urusan yang
telah dipertanggungjawabkan kepada saya. Walaupun ini bukanlah majlis
saya, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih saya kepada Yang
Amat Berbahagia Tun Hussein kerana panduan dan pimpinannya kepada saya.

15. Majlis pada malam ini, selain daripada merakamkan penghargaan terhadap
jasa-jasa dan sumbangan Yang Amat Berbahagia Tun Hussein, juga menjadi
simbol perpaduan dalam UMNO dan dalam Barisan Nasional. Ketika kita berada
bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin yang membawa negara kita melalui
liku-liku sejarah hinggalah ke hari ini kita dapat menginsafi bagaimana
pentingnya faktor perpaduan di dalam apa jua kejayaan dan pencapaian kita
setakat ini.

Kita juga harus menginsafi bagaimana masalah memelihara perpaduan di dalam
negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti kita adalah sama seperti
menatang minyak yang penuh.

16. Soal perpaduan akan terus menjadi faktor utama bagi masa depan
kita. Pada malam ini, dengan kehadiran Yang Amat Berbahagia Tun yang
sering kali menegaskan kepentingan perpaduan, kita harus menjadikan malam
perpisahan ini sebagai Majlis untuk mengingati semula amanah-amanah Yang
Amat Berbahagia Tun mengenai perpaduan.

17. Perpaduan yang menjadi hasrat dan matlamat kita hanya boleh dicapai
dengan usaha dan keinsafan di kalangan semua golongan dan lapisan
masyarakat. Dalam usaha kita mengukuhkan perpaduan kita harus ingat kita
mempunyai musuh yang sentiasa mencari jalan untuk memecah-belahkan
kita. Musuh kita ini tidak jemu mencari isu yang boleh menimbul salah
faham antara kita sesama sendiri. Jika kita latah, terutama jika melatah
di khalayak ramai maka isu yang mudah diselesaikan akan menjadi begitu
"rigid" kerana pendirian masing-masing sudah diketahui umum sehingga tak
mungkin penyelesaian dapat dibuat. Yang Amat Berbahagia Tun yang terkenal
sebagai seorang yang tidak mudah latah dan selalu mengambil masa yang
panjang untuk meneliti sesuatu isu itu dengan sehalus-halusnya
sepatutnyalah menjadi contoh kepada kita semua. Kejayaan Tun Hussein
sebagai pemimpin Barisan Nasional ialah kerana beliau selalu tenang atau
selalu "keep his cool" dalam semua peristiwa. Akhirnya dengan pengertian
yang mendalam beliau dapat memberi keputusan yang boleh diterima oleh
semua pihak. Saya rujukkan sifat ini bukan sahaja kepada UMNO tetapi juga
kepada parti-parti yang lain di dalam Barisan Nasional. Janganlah kerana
nila setitik rosak susu sebelanga.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

18. Majlis ini telah dianjurkan dengan usaha dan kerjasama berbagai pihak
dan orang-orang perseorangan. Saya mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur Majlis ini,
terutama sekali Pengerusinya Yang Berhormat Datuk Mohamed Rahmat, yang
telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan Majlis ini. Saya harap
Majlis yang tidak sepertinya ini akan mencapai tujuannya sebagai rakaman
penghormatan dan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Yang Amat
Berbahagia Tun.

19. Saya bagi pihak Majlis Tertinggi UMNO dan sekelian ahli UMNO mengambil
kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima
kasih kepada Yang Amat Berbahagia Tun Hussein Onn, bekas Presiden UMNO, di
atas segala jasa beliau kepada Parti dan negara. Saya juga mengambil
kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berpisah dan selamat bersara
kepada Yang Amat Berbahagia Tun.

Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 



 


 











 
Google