home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	CHERAS, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	01/02/82 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PEMBUKAAN RASMI BANDAR 
			BARU CHERAS 




Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Di majlis yang indah pada hari yang berbahagia ini kita akan melancar dan
menamakan sebuah bandar baru, iaitu sebuah bandar yang dirancang dan
dibangun dengan kemas mengikut prinsip-prinsip perancangan bandar yang
moden. Bandar ini memenuhi kehendak dasar dan konsep yang telah digubal
untuk "decentralization" atau penyebaran pentadbiran dan
pembangunan. Bandar baru di Cheras ini adalah hasil penyusunan pembangunan
ibukota supaya tidak semua pembangunan tertumpu di pusat bandar, tetapi
sebaliknya, pembangunan adalah diagih-agihkan antara beberapa bandar
satelit yang dibangun dan dimajukan serba lengkap. Dengan cara ini tekanan
ke atas pusat bandar dapat dikurangkan tanpa menjejas dan membantut
perkembangan dan kemajuan ibukota itu sendiri.

2. Di dalam rancangan pembesaran ibukota secara teratur, beberapa buah
bandar satelit lagi akan dibangunkan, di antaranya ialah, satu di
Hawthornden Estate dan satu lagi di Bukit Jalil. Oleh kerana pembangunan
bandar-bandar satelit adalah dirancang dari awal, maka masalah kesesakan
dan kesempitan seperti yang terdapat di ibukota sekarang akan dapat
dikurangkan. Rancangan juga dibuat supaya sistem jalan dan lain-lain
kemudahan pengangkutan akan menghubungi semua bandar-bandar satelit dengan
pusat bandar di ibukota.

Kemudahan rekreasi, kawasan lapang dan kebun-kebun bunga, dan berbagai
perkhidmatan perlu akan disediakan untuk mempertingkatkan lagi taraf dan
keselesaan hidup di bandar.

3. Semua ini adalah dibuat kerana pembangunan negara kita, Malaysia, tidak
dapat tidak akan mengakibatkan penghijrahan penduduk dari luarbandar ke
bandar. Lebih pesat pembangunan lebih ramai lagilah penduduk yang akan
berpindah dan tinggal di bandar. Pembangunan bandar dalam konteks ini
bermakna penyediaan bandar untuk penduduk yang berasal dari luarbandar. Ia
juga bermakna penyesuaian penduduk luarbandar dengan kehidupan di
bandar. Dalam proses penyusunan semula pula, pembangunan bandar akan
mengubah corak bandar supaya ianya tidak lagi mencerminkan pemisahan
kaum-kaum di Malaysia. Bandar-bandar di Malaysia di masa-masa yang akan
datang akan mencerminkan campuran kaum yang terdapat di Malaysia. Bukan
sahaja mereka akan tinggal bersama-sama di bandar, tetapi mereka akan
bekerja, berniaga, bermain dan berehat bersama-sama. Dengan ini maka
dapatlah kita membentuk satu masyarakat Malaysia yang bersatupadu.

4. Masalah yang dihadapi dalam merancang dan membangun bandar ialah
kesannya terhadap nilai dan bekalan tanah.

Apabila terdapat sahaja sesuatu rancangan untuk membangunkan sesebuah
bandar maka nilai tanah akan melambung naik.

Keluasan tanah yang boleh didapati pula, biasanya tidak dapat menampung
keperluan untuk menyediakan kawasan kediaman dan perniagaan. Dalam keadaan
ini, perancangan bukan sahaja perlu mengambil kira keselesaan dan kehendak
penduduk tetapi juga masalah kos. Sudah tentu tidak mungkin didirikan
rumah banglow atau rumah kampung dengan halaman yang luas di dalam sebuah
bandar bagi keperluan penduduk berpendapatan rendah dan
sederhana. Kehidupan di bandar mempunyai had-had dan
keistimewaan-keistimewaannya dan tidak mungkin sama dengan kehidupan di
luarbandar.

5. Memandang kepada hakikat ini maka sudah tentu kita bukan sahaja
berkehendakkan perancang bandar yang cekap tetapi juga bakal penduduk yang
dapat menyesuaikan diri dan menerima konsep hidup di bandar. Oleh kerana
faktor-faktor kos dan luas kawasan yang terhad maka penduduk di bandar
hendaklah sanggup tinggal dalam keadaan yang lebih sesak dibandingkan
dengan keadaan di luarbandar. Kita harus menerima hakikat bahawa tidak
mungkin sebuah rumah berharga $20,000/- atau kurang dari itu dibina di
atas sekeping tanah yang sempit dan mahal yang berharga $100,000/,
misalnya.

Harga tanah sepatutnya cuma satu pertiga daripada jumlah kos pembangunan
sepenuhnya. Dengan lain-lain perkataan, penduduk bandar haruslah sanggup
tinggal di rumah-rumah pangsa untuk menjimatkan perbelanjaan. Lebih pesat
pembangunan lebih ramailah yang terpaksa tinggal dalam sesuatu kawasan.

6. Semua pihak bersetuju bahawa kebersihan dan kecantikan bandar adalah
perkara yang baik. Di samping itu kita juga harus ingat bahawa kebersihan
dan kecantikan bandar memerlukan bukan sahaja usaha dari pihak berkuasa
bandaran tetapi penduduk-penduduk bandar sendiri. Bandar-bandar yang akan
kita rancang dan bangun akan dihias dengan pokok-pokok kecantikan dan bagi
memberi kesan kepada usaha ini, kita mestilah bersama-sama memelihara dan
menjaga keadaan bandar kita. Penghuni rumah-rumah dan kedai-kedai
hendaklah memberi kerjasama dan menolong pihak berkuasa bandaran dengan
menjaga kawasan masing-masing sehinggalah ke tepi jalan di hadapan
kediaman masing-masing. Bagi mereka yang tinggal di rumah-rumah pangsa
atau "flat," pokok-pokok bunga boleh dihias di tingkap-tingkap. Seberapa
yang boleh janganlah menghias rumah pangsa dengan bendera-bendera dari
kain-baju yang telah dicuci. Saya ingin mengesyorkan supaya para akitek
mereka-bentuk bangunan kediaman terutamanya rumah-rumah pangsa, supaya
mempunyai tempat-tempat menyidai dan menjemur kain-baju di tempat-tempat
yang sesuai bagi menjaga kebersihan dan kecantikan bangunan dan kawasan
sekitarnya.

7. Salah satu ciri kebudayaan kita di Malaysia ialah perniagaan secara
menjaja. Kita tidak dapat menafikan bahawa perniagaan secara menjaja
memenuhi sebahagian daripada keperluan masyarakat kita. Selain daripada
menjadi sumber pendapatan kepada peniaga kecil perniagaan menjaja
sebenarnya dapat membantu mengurangkan inflasi dan oleh kerana itu harus
diberi perhatian. Kerajaan tidak berniat untuk menghapuskan
peniaga-peniaga kecil dan penjaja.

Sebaliknya perniagaan kecil dan penjaja hendaklah digalakkan bukan sahaja
untuk memenuhi kehendak masyarakat tempatan tetapi juga sebagai daya
penarik kepada pelancung.

8. Bagi mengalakkan peniaga kecil dan penjaja apa yang diperlukan ialah
tempat-tempat berniaga yang selesa yang disediakan awal-awal lagi bagi
mereka. Tempat-tempat perniagaan ini hendaklah sentiasa bersih dan dibekal
dengan air dan api letrik. Pihak berkuasa bandaran hendaklah mengambil
berat tentang persediaan tempat-tempat seperti ini dan janganlah hendaknya
menanti hingga keadaannya telah menjadi masalah baharulah kemudahan hendak
disediakan.

Pihak peniaga kecil dan penjaja pula hendaklah memberi kerjasama dengan
mengikut peraturan, terutamanya peraturan berkenaan dengan
kebersihan. Mereka harus ingat bahawa lebih bersih dan menarik tempat
mereka berniaga lebih majulah perniagaan mereka. Tiada siapa yang suka
makan-minum di tempat yang kotor dan busuk. Pihak berkuasa bandaran dan
tuanpunya bangunan hendaklah mengelak daripada mengenakan sewa yang tinggi
ke atas tempat-tempat perniagaan, khususnya bagi peniaga kecil dan
penjaja.

9. Di sini izinkanlah saya memberi sedikit nasihat kepada saudara-saudara
saya yang telah memilih saya sebagai penaung kepada Persatuan
Penjaja. Perniagaan kecil sepatutnya besar. Saya sedar ada mereka yang
berpendapat bahawa perniagaan mereka tidak mungkin dapat menjadi besar,
tetapi hakikatnya ialah ada di antara peniaga kecil yang sekarang sudah
menjadi peniaga sederhana dan besar. Jika mereka usaha, rancangan dan
keikhlasan. Saya berharap peniaga kecil juga akan mengikis pendapat bahawa
keuntungan hanya boleh dijamin sekiranya tidak ada sewa yang dikenakan
atau perlu dibayar. Sebenarnya ramai yang berniaga di tempat yang
dikenakan sewa yang tinggi tetapi mendapat keuntungan yang
lumayan. Tetapi, pada mulanya beban sewa tentulah sukar dipikul.

10. Sepertimana telah saya sebutkan kehidupan di bandar adalah berbeza
dari kehidupan di kampung. Di kampung kita kenal semua yang tinggal di
kampung kita dan kita tahu apa yang berlaku kepada jiran-jiran
kita. Penyakit yang terdapat di bandar ialah kita tidak ambil kisah
berkenaan dengan jiran kita. Biasa terjadi kerusi-meja, pinggan-mangkok
rumah jiran dicuri siang-siang hari di hadapan mata, tanpa disedari oleh
jiran-tetangga bahawa kecurian telah berlaku.

11. Penyakit tidak ambil kisah mengenai orang lain yang terdapat di bandar
ini perlulah diatasi kerana jika kita tidak berkenalan dengan jiran dan
mengambil berat tentang masalah jiran tetangga kita, satu hari mungkin
kita pula menghadapi masalah sedangkan jiran kita tidak mengambil peduli.

12. Oleh kerana sikap aku-aku dan kamu-kamu ini terdapat dengan luasnya di
bandar-bandar, Kerajaan akan mengarahkan Jabatan Rukun Tetangga dan
Perpaduan Negara supaya berusaha melaksanakan "konsep kejiranan" untuk
menjamin setiap penduduk kawasan perumahan mengenal jiran-jiran
sekelilingnya. Dengan cara ini kita bukan sahaja dapat menjaga keselamatan
rumah-tangga dan harta-benda kita tetapi dapat membina satu masyarakat
yang lebih bersatu-padu dan aman-sejahtera. Ini adalah satu hasrat yang
harus menjadi idaman dan cita-cita kita semua.

13. Berbalik kepada bandar baru yang kita rasmikan pada hari yang
berbahagia ini, saya berdoa mudah-mudahan segala-gala yang baik dalam
kehidupan masyarakat bandar akan wujud di bandar baru ini.

14. Akhir kata, dengan tidak berlengah-lengah lagi, dengan nama Allah yang
Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya dengan segala sukacitanya
merasmikan Bandar Baru Cheras ini dengan menamakannya 'BANDAR TUN ABDUL
RAZAK'.

Wabillahi taufik wassalamu 'alaikum Warahmatullahi wabarakatuh.

 



 


 











 
Google