Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ISTANA BALAI BESAR, KOTA BHARU 
Tarikh/Date 	: 	22/02/82 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS JAMUAN NEGERI SEMPENA 
			LAWATAN KE NEGERI KELANTAN 




Yang Amat Berhormat Dato' Mohamad Yaakob, Menteri Besar Kelantan dan
Datin; Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah; Yang
Berhormat-Yang Berhormat; Ketua-Ketua dan Wakil-Wakil Parti Komponen
Barisan Nasional; Dif-Dif Kehormat; Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekelian.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya mengucap syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana, dengan
limpah kurnia dan izinNya, dapat saya membuat lawatan ini, iaitu lawatan
saya yang pertama ke Negeri Kelantan setelah memegang jawatan Perdana
Menteri. Di atas persediaan serta sambutan yang diberikan kepada saya dan
rombongan saya, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

2. Negeri Kelantan adalah sebuah negeri yang indah yang diduduki
sebahagian besarnya oleh orang Islam dari bangsa Melayu yang cekap dan
rajin. Mereka tidak perlu bergantung kepada orang lain untuk keperluan
hidup dan pembangunan mereka. Seperti orang Islam di lain-lain tempat juga
mereka memerlu pengetahuan tentang Islam melalui tukar fikiran dan
penyerapan ajaran dari seluruh dunia. Ramai juga dari anak Kelantan yang
berminat mempertinggikan pengetahuan agama; sudah tentu tidak kurang dari
minat orang-orang di negeri-negeri lain di Malaysia.

3. Memandang kepada faktor-faktor ini sepatutnya Kelantan menjadi aman dan
makmur. Islam sebagai agama yang menjadikan keamanan sebagai satu dari
namanya dan sebagai satu cara bersalaman atau "greetings", sepatutnya
menjadi panduan kepada satu negeri yang penduduknya majoriti terdiri dari
orang Islam. Tetapi hakikatnya ialah berlainan daripada apa yang secara
logik sepatutnya berlaku.

4. Kita dapati Kelantan dengan begitu ramai orang Islam yang cekap dan
rajin adalah di antara negeri-negeri yang ketinggalan dalam
serba-serbi. Seperti biasa ini berlaku bukan kerana Islam menjadi
penghalang tetapi kerana terdapat sebilangan kecil orang Islam di Kelantan
yang keIslamannya berada cuma di bibir. Oleh kerana orang-orang ini telah
dapat mempengaruhi rakyat selama 18 tahun, maka masyarakat Islam Kelantan
yang sepatutnya aman dan makmur didapati berada dalam keadaan yang tidak
menyenangkan. Seluruh umat Islam di Malaysia, dan saya percaya di dunia
juga, berasa sedih kerana kejadian ini.

5. Tetapi Allah Maha Kuasa. Pada tahun 1978 orang Kelantan sendiri melalui
pilihanraya menentukan kemungkinan Kelantan menjadi aman dan makmur. Sejak
itu kita telah lihat pembangunan yang luar biasa. Banyak kemajuan telah
dicapai dan banyak lagi yang akan dilaksanakan.

6. Kerajinan dan kecekapan orang Kelantan membolehkan mereka bersaing
dengan siapa sahaja dengan jayanya. Segala bidang kerja dipenuhi dengan
anak Kelantan sendiri.

Demikianlah kemampuan mereka sehingga tenaga mereka melimpah ke
negeri-negeri jiran dan lain-lain negeri, bahkan ke luar negeri. Di mana
sahaja ada kerja yang memerlukan kecekapan, di situ terdapat orang
Kelantan.

7. Sepatutnya dengan terdirinya sebuah Kerajaan yang betul-betul berpegang
kepada ajaran Islam seperti yang terdapat sekarang, Kelantan tidak punyai
masalah lagi.

Malangnya pada masa-masa yang lampau ini masalah cetus semula.

8. Pengaruh politik yang tidak menghiraukan ajaran Islam berkembang
semula. Kita lihat bagaimana seruan Islam supaya orang Islam bersatu padu
diganti dengan seruan yang kononnya berpunca dari Islam bahawa orang Islam
patut berbalah sesama sendiri kononnya untuk mencari jalan yang
benar. Begitu juga sungguhpun Islam menegah perbuatan mengkafir dengan
sewenang-wenang, perbuatan ini dibuat oleh orang-orang yang pengetahuan
Islam amat cetek dan yang lebih taksub kepada kepentingan politik parti
dan rebutan kuasa.

9. Hari ini sekali lagi kita lihat perpecahan di kalangan orang-orang
Islam di Kelantan sehingga lebih banyak tenaga ditumpu kepada politik
parti daripada pembangunan umat Islam.

10. Kerajaan Kelantan dan pendukung Kerajaan Kelantan tidak boleh
dipengaruhi oleh emosi dalam perkara ini. Kerajaan hendaklah pegang kepada
ajaran Islam dalam pentadbirannya.

Ada orang yang mentafsirkan Islam semata-mata sebagai perbuatan potong
tangan dan kepala. Bagi mereka Islam tidak wujud selagi tangan dan kepala
tidak dipotong. Tetapi kita tahu Islam adalah lebih daripada itu. Islam
sebenarnya menekankan kesejahteraan dan kebahagian umat. Dengan
kesederhanaan yang ditunjuk oleh Kerajaan kita menjadikannya benar-benar
Kerajaan Islam, kerana ianya membawa kebahagian dan keamanan kepada
umat. Janganlah kerana orang lain menyalahguna dan menyalahtafsir agama
Islam untuk kepentingan mereka kita pula turut berbuat demikian. Kita akan
terus mencari jalan untuk mengembalikan mereka ke jalan yang benar yang
diredhai oleh Allah s.w.t.

11. Pembangunan Negeri Kelantan sekarang sudah mencapai kemajuan yang
baik. Segala kemudahan yang penting telah diadakan. Tidak lama lagi sebuah
pelabuhan akan diadakan supaya barang-barang dapat dibawa terus ke
Kelantan dari tempat-tempat lain melalui kapal. Lapanganterbang juga akan
dibesarkan supaya kapalterbang yang besar dan berat dapat mendarat.

12. Lebuhraya Timur Barat yang akan dibuka tidak lama lagi akan memudahkan
perjalanan antara pantai timur dengan pantai barat Malaysia. Memang ada
yang berkata ini akan memudahkan orang luar datang ke Kelantan dan
mengancam penduduk Kelantan. Saya kurang faham tentang perkara ini. Ramai
anak Kelantan sanggup pergi ke Singapura untuk bekerja secara langsung di
bawah arahan Cina Singapura. Tetapi usaha untuk membolehkan mereka balek
bekerja di Kelantan ditentang oleh segelintir orang dari Kelantan. Apakah
mereka suka supaya anak Kelantan berkejar ke negara asing untuk
mengabdikan diri? Selagi peluang kerja tidak cukup di Kelantan, selama
itulah anak Kelantan terpaksa berhijrah.

Tetapi dengan adanya lebuhraya dan lain-lain pembangunan anak Kelantan
akan dapat balek bekerja untuk negeri sendiri.

13. Kerajaan Barisan Nasional Negeri Kelantan yang memerintah sejak 1978
telah menjalankan tugas dengan cekap dan dedikasi. Saya mengucap tahniah
kerana kesungguhan Kerajaan Kelantan untuk membangunkan Kelantan. Dalam
sistem yang kita amalkan, tak dapat tidak pendapat yang berbeza-beza akan
timbul dalam pentadbiran. Pendapat yang berbeza ini adalah satu kekuatan
dan bukan kelemahan. Jika semua pendapat dalam anggota Kerajaan adalah
sama, maka tidak perlu kita ada lebih dari seorang sebagai Kerajaan. Dalam
dewan mesyuarat dan exco yang penting ialah suara ramai dan kesanggupan
oleh minoriti menerima pendapat majoriti. Juga jika perbalahan berlaku,
keputusan ketua hendaklah dihormati walaupun pahit ditelan.

14. Saya berharap konsep dan semangat demokrasi ini difaham oleh semua
pihak. Saya berharap juga pegawai-pegawai memahami sistem ini. Jika sistem
ini diamal seperti dirancang, pentadbiran yang baik tetap akan berlaku.

15. Kerajaan Pusat sentiasa memerhati perjalanan Kerajaan
negeri. Memanglah terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh Kerajaan
Negeri. Kerajaan Pusat akan cuba menolong di mana perlu dan
mungkin. Walaupun demikian, tentulah ada perkara-perkara yang di luar dari
keupayaan Kerajaan Pusat mengatasinya. Untuk mengelak dari berlakunya
masalah yang tidak dapat diatasi, Kerajaan Negeri hendaklah berhati-hati
dalam merancang dan mendapat nasihat Kerajaan Pusat terlebih dahulu. Ini
akan menentukan masalah tidak berlaku terlalu kerap.

16. Kerajaan yang ada sekarang ingin melihat wujudnya Kerajaan yang cekap,
licin dan bersih di seluruh Malaysia.

Sudah tentu Kelantan tidak dikecualikan. Kita tidak mungkin mengadakan
Kerajaan yang seratus peratus cekap, seratus peratus licin dan seratus
peratus bersih. Tetapi ini tidak sepatutnya melemahkan semangat kita untuk
berusaha ke arah matlamat yang mulia ini. Saya berharap semua anggota
Kerajaan Kelantan, sama ada dari ahli politik atau pegawai hendaklah
berusaha untuk mencapai matlamat yang telah kita tentukan. Insyaallah
usaha kita akan membawa lebih banyak kejayaan kepada Negeri Kelantan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

17. Akhirnya saya sekali lagi mengucap terima kasih kepada Kerajaan
Kelantan, ahli-ahli politik dan pegawai-pegawai yang telah memberi
sambutan terhadap lawatan saya. Saya berharap perhubungan antara Kerajaan
Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan akan baik selama-lamanya. Saya berdoa
mudah-mudahan pembangunan Kelantan tidak terganggu kerana khayalan dan
tamaknya orang-orang tertentu.

 



 


 











 
Google