Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN NIRWANA, HOTEL HILTON, 
Tarikh/Date 	: 	10/03/82 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM ULANGTAHUN KE-44 
			FEI SAN MALAYSIA 




Yang Berbahagia Datuk Lim Chong, Presiden Fei san Malaysia; Yang Berhormat
Dato' Lee San Choon, Presiden MCA dan Penasihat Fei San; Ketua-Ketua
Persatuan; Dif-Dif Kehormat; Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekelian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Fei San Malaysia kerana
menjemput saya dan isteri saya ke majlis ini. Ini adalah kali kedua saya
telah berpeluang menghadiri majlis makan malam ulangtahun Persatuan ini
dan saya mengucapkan terima kasih di atas penghormatan yang diberikan
kepada saya untuk berucap sepatah dua kata pada malam ini.

2. Saya amat berbesar hati kerana dijemput ke majlis pada petang ini dan
dapat bersama-sama dengan ramai pemimpin-pemimpin yang terkenal dan
terkemuka daripada lebih dari 200 pertubuhan masyarakat
Cina. Pertubuhan-pertubuhan ini sesungguhnya mempunyai peranan yang amat
penting. Mereka telah membuat sumbangan yang berguna dalam masa 25 tahun
semenjak kita mencapai kemerdekaan dan saya yakin bahawa dengan kepimpinan
yang bertanggungjawab dan dedikasi tuan-tuan sekelian akan dapat terus
membuat sumbangan positif kepada komuniti, masyarakat keseluruhan dan
negara.

3. Kita sekarang berada di ambang satu era baru di dalam
pembangunan. Rakyat Malaysia golongan lama atau yang tua, termasuk mereka
yang hadir di majlis ini, mungkin masih kukuh untuk menentukan masa depan
yang terjamin untuk kita semua.

4. Pada masa itu kita bersetuju mengenai beberapa prinsip tertentu sebagai
asas membina dan membangunkan negara dan bangsa kita. Prinsip-prinsip
penting ini telah dirumus sebagai asas perlembagaan negara dan kemudiannya
digunakan untuk menggubal Rukunegara dan Dasar Ekonomi Baru.

Keutamaan kita ialah perpaduan dan kita telah bersetuju tentang alat bagi
memupuk perpaduan iaitu melalui satu bahasa dan kebudayaan kebangsaan, di
mana norma-norma dan nilai-nilai masyarakat peribumi menjadi asas cara
hidup kebangsaan kita rakyat Malaysia. Tidak seperti banyak negara-negara
lain di mana pengaruh kebudayaan asing dan kaum pendatang telah tidak
diterima langsung, kita di Malaysia amat bernasib baik kerana rakyat kita
diberi jaminan kebebasan untuk mempelajari dan mengamalkan kepercayaan dan
kebudayaan mereka masing-masing di dalam rangka dan had-had yang
ditentukan oleh perlembagaan dan dasar-dasar negara.

5. Rakyat Malaysia yang mendapat peluang untuk melawat ke luar negeri akan
dapat membanding betapa baiknya nasib rakyat negara ini. Saya yakin bahawa
kita telah dapat membawa pembangunan, kestabilan dan kemakmuran, iaitu
usaha-usaha untuk faedah rakyat semua kerana kita memberi nilaian yang
tinggi terhadap "sensitivities" masyarakat kita yang terdiri daripada
berbilang kaum dan terhadap hasrat dan cita-cita kebangsaan.

6. Sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum, kita tidak dapat mengelak
daripada keraguan dan rasa tidak puashati di kalangan pihak-pihak tertentu
terhadap perlaksanaan dasar-dasar negara. Pada hakikatnya tidak ada
mana-mana negara pun di mana semua rakyatnya puashati dan tidak ada
seorang pun yang merungut. Sesungguhnya sudah pasti akan
segala-galanya. Rasa tidak puashati yang dilahirkan di sana sini di negara
kita terhadap sesuatu isu tidak dapat dielakkan. Tetapi terdapat
kecenderongan di kalangan setengah pihak yang ingin memutar-belit dan
membesar-besarkan sesuatu isu dengan tujuan untuk mencetuskan "saikologi
rusuhan" bagi menggerakkan rakyat atau sebahagian masyarakat untuk
menentang Kerajaan. Saya harap semua rakyat yang bertanggungjawab di
negara kita tidak akan menganggap segala-gala yang baik dan indah yang
kita punyai dengan sewenang-wenang dan membiarkan diri kita diperalatkan
oleh golongan-golongan yang sentiasa mencari peluang untuk memusnahkan
potensi bagi mewujud dan menjamin masa depan yang "viable" bagi semua.

7. Perlaksanaan Kurikulum 3M merupakan satu contoh yang baik yang
menunjukkan bagaimana sesuatu isu yang kecil mengenai perlaksanaan satu
dasar yang telah dipersetujui oleh Kerajaan telah diputarbelitkan oleh
setengah-setengah pihak yang bertujuan untuk membangkitkan sentimen
perkauman dan persengketaan di kalangan rakyat. Malang sekali mereka yang
kononnya juara-juara yang memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina telah
menyalah tafsir dan menyelewengkan isu 3M ini hingga kepada satu tahap di
mana penyokong-penyokong Kerajaan juga telah menjadi mangsa dan menjadi
begitu emosional. Saya menyatakan ini malang sekali bukan kerana saya
ingin melihat masyarakat Cina Malaysia harus menjadi pasif tetapi kerana
saya berpendapat bahawa sebelum seseorang menjadikan sesuatu perkara
sebagai satu isu ia hendaklah benar-benar memahami perkara itu dengan
sejelas-jelasnya. Kita harus sedar bahawa dalam banyak perkara kita
berhadapan dengan bahaya perselisihan kaum yang boleh menyekat pembangunan
negara kita.

8. Saya ingin menyatakan di sini dengan setegas-tegasnya bahawa Kerajaan
tidak mempunyai apa-apa tujuan untuk menukarkan ciri Sekolah Rendah Jenis
Kebangsaan Cina.

Perbekalan-perbekalan di dalam perlembagaan yang menjamin kebebasan
penggunaan bahasa ibunda setiap kaum di negara ini akan sentiasa
dihormati. Semenjak dahulu lagi akhbar-akhbar tempatan telah banyak
menyentuh tentang Seksyen 21(2) Akta Pelajaran 1961. Perbekalan Seksyen
21(2) ini adalah satu perbekalan yang memberi kuasa kepada Menteri
Pelajaran untuk menukar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil
kepada Sekolah Rendah Kebangsaan apabila sesuatu permintaan dibuat. Saya
pernah membuat penjelasan bahawa walaupun kuasa ini ada pada Kerajaan,
bukanlah menjadi tujuan Kerajaan untuk menggunakan kuasa ini bagi
menukarkan Sekolah-sekolah Rendah Jenis Kebangsaan kepada Sekolah Rendah
Kebangsaan sekiranya rakyat tidak berkehendakkan demikian. Sesungguhnya
dalam jangka masa 25 tahun yang lalu cuma terdapat satu kes sahaja di mana
perbekalan ini telah digunakan untuk menukarkan sebuah Sekolah Rendah
Jenis Kebangsaan kepada Sekolah Rendah Kebangsaan. Ini telah dibuat
berdasarkan kepada permohonan yang dikemukakan oleh ibu bapa dan
pemimpin-pemimpin masyarakat yang berkenaan. Kerajaan dengan sendirinya
tidak akan menyalahgunakan kuasa ini. Ini adalah jaminan yang dapat saya
berikan bagi pihak kerajaan. Oleh itu saya harap bahawa dengan jaminan
saya ini tidak akan timbul lagi apa-apa keraguan di dalam fikiran
masyarakat Cina dan Tamil Malaysia bahawa perbekalan undang-undang ini
akan digunakan dengan sewenang-wenangnya oleh Kerajaan. Saya harap tidak
akan timbul lagi salah tafsiran, sama ada dengan sengaja atau tidak, yang
memupuk perasaan cemas dan keliru mengenai sesuatu perkara yang seharusnya
tidak menjadi isu apa-apa pun.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

9. Salah satu tindakan yang diambil oleh Kerajaan baru ialah menarik balik
pengharaman buku "The Malay Dilemma" karangan saya. Ini perlu dibuat
kerana adalah penting bagi rakyat di negara ini untuk mengetahui apa yang
terkandung di dalam buku itu dan tidak secara mendengar ulasan daripada
orang lain yang tujuannya mungkin tidak sihat. Buku ini akan diterjemahkan
ke dalam Bahasa Cina, Tamil dan Bahasa Malaysia bagi membolehkan sesiapa
yang ingin membacanya berbuat demikian. Saya bukanlah bertujuan untuk
mengiklankan buku saya ataupun mencari faedah kewangan.

itu. Banyak daripada perkara-perkara yang saya sebutkan di dalam buku itu
telah berubah pada hari ini. Setelah sepuluh tahun Dasar Ekonomi Baru
dilaksanakan banyak perkara-perkara telah diperbetulkan. Setengah-setengah
perkataan kesat yang digunakan di dalam buku itu mungkin tidak lagi
berasas.

Sesungguhnya perkataan-perkataan kesat yang digunakan dalam tahun 1969 dan
1970 oleh setiap orang tidak mempunyai tempat lagi sekarang.

10. Saya tidak menuntut maaf di atas apa yang telah saya tulis ketika itu
sebagaimana juga saya tidak mengharap sesiapa jua menuntut maaf kerana apa
yang mereka katakan terhadap saya dan mengenai isu-isu perkauman pada
ketika itu. Tetapi adalah amat penting bagi kita untuk menyedari tentang
hakikat bagaimana hampirnya kita kepada kecelakaan dan kemusnahan dan
bagaimana dengan limpah kurnia Tuhan kita telah dapat mengelak
daripadanya. Kita tidak harus lupa peristiwa 1969 kerana ia adalah satu
pengajaran kepada kita mengenai bahaya-bahaya keadaan tidak seimbang
antara kaum dan tentang politik perkauman.

11. Sebagaimana saya pernah tegaskan kita sekarang berada di ambang satu
era kejayaan dan pencapaian yang besar di dalam berbagai-bagai
lapangan. Kita sedang melihat dan mempelajari daripada negara-negara yang
maju di dalam bidang sains dan teknologi. Saya telah menegaskan bagaimana
perlunya kita meniru aspek-aspek tertentu etika berkerja yang diamalkan
oleh orang-orang Jepun dan Korea dan kita akan menghantarkan orang-orang
kita untuk mendapat latihan di Republik Korea dan Negeri Jepun. Rakyat
negara ini mestilah berusaha mempelajari bahasa-bahasa baru bagi keperluan
ini dan adalah menjadi harapan dan hasrat saya bahawa setiap rakyat
Malaysia akan menerima pendekatan baru terhadap pelajaran dan latihan
secara positif supaya kita akan mendapat mengecap nikmat dan faedah
pembangunan dan kemajuan dan bukannya diperalatkan oleh anasir-anasir
perosak yang ingin membantut kemajuan dan memusnahkan perpaduan dan
kestabilan yang ada pada kita.

12. Kita merupakan sebahagian daripada masyarakat antarabangsa dan
pembangunan kita adalah menjadi sebahagian daripada pembangunan dunia
keseluruhannya. Kita mestilah menerima apa yang baik daripada
pengalaman-pengalaman orang lain dan membina satu masa depan bagi kita
yang dapat kita nikmati dan banggakan.

Tuan-tuan dan puan-puan.

13. Pertubuhan-pertubuhan Cina telah memainkan peranan yang penting di
dalam lapangan sosial dan ekonomi di negara kita Malaysia. Sekarang
setelah kita berada di peringkat persediaan ke arah peringkat pembangunan
yang pesat, adalah amat penting bagi tuan-tuan sekelian untuk bersiap
sedia bagi memainkan peranan yang lebih besar.

"Racial-exclusiveness" pertubuhan-pertubuhan hendaklah dikurangkan secara
beransur-ansur supaya setiap orang di dalam aktiviti-aktiviti yang sama
dapat menyertainya. Ini bukan sahaja dapat membantu mengukuhkan ekonomi
tetapi juga ia dapat memperbaiki harmoni antara kaum di negara ini.

Dengan harmoni antara kaum yang meningkat usaha kita untuk mencapai
kemakmuran yang lebih lagi akan dapat dipertingkatkan. Saya bukan memaksa
pendapat saya ini diterima tetapi sekadar mengharapkan bahawa
saudara-saudara akan menimbangkannya dengan teliti dan secara insaf.

14. Malaysia dapat dikatakan sebagai sebuah negara yang agak
besar. Peluang-peluang adalah terbuka dengan luasnya bagi setiap
orang. Mungkin saudara-saudara tidak dapat semua yang dicita-citakan
tetapi saudara-saudara boleh mendapat sesuatu yang tidak jauh
bezanya. Baru-baru ini seorang orang asing telah menulis sebuah nobel
mengenai Malaysia di mana, Meng, seorang budak Cina tidak mendapat tempat
di Fakulti Perubatan di sebuah universiti. Ia telah ditawarkan tempat di
Fakulti Sains. Mengikut buku itu Meng telah menjadi begitu marah dan telah
memilih kehidupan sebagai seorang penjenayah. Ini adalah gambaran yang
salah mengenai kaum Cina. Tentu sekali kekecewaan yang sedikit seperti
yang diceritakan itu tidak akan menjadikan seorang Cina sebagai
penjenayah. Kaum Cina merupakan satu kaum yang pragmatis. Mereka telah
dapat menghadapi berbagai kesulitan dan berjaya mencapai kemakmuran dalam
suasana yang lebih buruk. Mengatakan bahawa mereka akan menjadi pejenayah
dengan semudah itu adalah satu penghinaan terhadap kaum Cina dan
kebudayaan mereka.

15. Di Malaysia saudara-saudara mungkin mendapat apa yang saudara-saudara
idamkan jika dibandingkan dengan keadaan di kebanyakan negara-negara
lain. Tetapi sekiranya tidak, saudara-saudara harus berkelakuan seperti
orang Cina, iaitu menyesuaikan diri dengan keadaan. Saya yakin
saudara-saudara akan berjaya walaupun dalam keadaan yang kurang
memuaskan. Sesungguhnya dengan suasana pembangunan perindustrian yang
pesat saudara-saudara tidak mungkin tidak berjaya sebagaimana juga
orang-orang lain. Apabila semua orang berjaya, Malaysia akan menjadi lebih
makmur dan negara ini akan menjadi bumi bertuah yang tidak ada gantinya.

16. Kerajaan sekarang bercita-cita dan berhasrat untuk melaksanakan
pemerintahan secara adil dan saksama. Segala apa yang dijamin di dalam
Perlembagaan akan sentiasa dipatuhi dan dihormati. Di samping itu
perjanjian "gentleman" yang dicapai oleh pengasas negara ini akan
dihormati. Perlembagaan dan persefahaman asal di kalangan
pemimpin-pemimpin berbagai-bagai kaum di Malaysia akan menjamin kestabilan
dan keharmonian negara ini.

17. Sekarang terletaklah kepada rakyat untuk memberi sokongan kepada
dasar-dasar yang digubal oleh Kerajaan.

Pertubuhan-pertubuhan saudara-saudara sekelian pasti boleh memainkan
peranan yang besar di dalam konteks ini.

Pertubuhan-pertubuhan ini adalah berpengaruh dan dapat membuat hubungan
dengan mudah sekali dengan masyarakat.

Mereka harus membantu menerangkan kepada ahli-ahlinya dan rakyat umum,
terutamanya masyarakat Cina mengenai sikap Kerajaan. Mereka harus faham
tentang semangat persefahaman dan kerjasama yang menjadi daya penggerak
bagi setiap kaum di negara ini dalam perjuangan mereka untuk mencapai
kemerdekaan. Mereka tidak harus bertindak dengan emosi tanpa terlebih
dahulu berhubung dengan Kerajaan atau sekurang-kurangnya dengan salah
sebuah parti komponen Barisan Nasional sekiranya timbul sesuatu isu yang
melibatkan mereka atau masyarakat Cina. Mereka harus melakukan ini semua
bukan hanya kerana mereka sendiri dapat menikmati kehidupan di dalam
negara yang ditadbir dengan baik tetapi kerana mereka adalah rakyat
Malaysia dan sebagai rakyat Malaysia mereka harus berbangga dengan
kestabilan, kemakmuran dan kebaikan negara mereka.

18. Akhir kata izinkanlah saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada
saudara-saudara sekelian kerana telah menjemput saya dan isteri saya ke
majlis ini. Kami berdua mengucapkan selamat maju jaya kepada
saudara-saudara dan pertubuhan-pertubuhan saudara-saudara sekelian.

Terima kasih.

 



 


 











 
Google