home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	BALAI BUDAYA DEWAN BAHASA 
			DAN PUSTAKA 
Tarikh/Date 	: 	12/03/82 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH PERADUAN 
			MENGARANG BERUNSUR ISLAM SEMPENA 
			PERAYAAN ABAD KE 15 HIJRAH 




Asalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perayaan Abad Ke 15 Hijrah,
Dato' Haji Mohammad bin Nasir; Yang Berbahagia Dato' Haji Hassan Ahmad,
Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka; Dif-Dif Kehormat; Tuan-Tuan dan
Puan-Puan Sekelian.

Saya mengucap syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izin dan limpah
kurniaNya dapat saya dan isteri saya bersama-sama menghadiri majlis
ini. Di atas jemputan dan juga penghormatan yang diberikan kepada saya
untuk berucap di majlis ini dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para
pemenang "Peraduan Mengarang Berunsur Islam Sempena Abad Ke 15
Hijrah" saya terlebih dahulu mengambil peluang ini untuk mengucapkan
ribuan terima kasih.

2. Abad Ke 15 Hijrah dilihat oleh umat Islam di seluruh dunia sebagai
zaman kebangkitan semula Islam, zaman untuk menebus kembali keagungan
Islam dan zaman kebanggaan bagi umat Islam. Tetapi, untuk mencapai
cita-cita dan hasrat ini ada yang memilih jalan untuk semata-mata
mendekati akhirat dengan menanggalkan segala hubungan yang bersifat
keduniaan.

Bagi mereka hidup terpencil dari masyarakat umum, dapat beribadat dan
mempunyai habuan sekadar cukup untuk menyara hidup adalah sebenar-benar
cara hidup yang dituntut oleh Islam. Selainnya adalah dianggap sifat
jahiliah.

3. Golongan yang lain pula memandang kebangkitan Islam di Abad Ke 15
Hijrah ini sebagai satu isyarat untuk melaksanakan satu revolusi yang
menyeluruh, menghapuskan segala apa yang ada dan membina sistem
pemerintahan dan kerajaan yang dikatakan Islam oleh mereka dengan satu
permulaan baru. Golongan ini, dan juga golongan "ascetic" yang pertama
itu, ingin mempengaruhi dunia Islam untuk menerima dan mengamalkan
prinsip-prinsip mereka berasingan yang mana kita tahu, jika diterima oleh
sebahagian besar umat Islam, boleh membawa kehancuran kepada umat Islam
sendiri.

4. Yang aneh ialah golongan-golongan ini tidak memperhitungkan apakah
kemampuan yang ada pada umat Islam ketika ini, ajaran serta
prinsip-prinsip Islam yang sebenar sebagai agama universal, rintangan yang
wujud serta cabaran dan bahaya yang mesti dilalui akibat tindakan yang
mereka rancangkan. Mereka tidak memikirkan hikmah perjuangan Rasulullah
s.a.w serta sahabat dengan petunjuk Allah s.w.t yang menjelaskan kepada
kita betapa pentingnya strategi, taktik dan diplomasi dalam perjuangan
Islam. Sejarah dengan jelas menegaskan betapa keperibadian dan akhlak
Rasulullah s.a.w yang begitu luhur dan tinggi telah menjadi kuasa penarik
bagi manusia menganuti Islam. Bukan sahaja sanak-saudara malahan pihak
musuh kagum dengan sifat Rasulullah s.a.w yang benar-benar mencerminkan
keperibadian serta akhlak manusia tulen sebagaimana yang dituntut oleh
Allah s.w.t.

5. Keagungan Islam yang kita ingin kembalikan ialah yang diasaskan kepada
sifat-sifat yang disanjung tinggi dan dihormati oleh manusia. Islam tidak
dikembangkan dengan menumpahkan darah manusia yang tidak berdosa,
memecah-belahkan umat Islam, dan memesongkan ajaran Islam dengan menabur
fitnah kerana kepentingan diri atau politik kumpulan-kumpulan. Islam
dikembangkan dengan memberi gambaran yang sejelas-jelasnya tentang
intisari dan keperibadian Islam yang mementingkan keadilan, moderasi,
diplomasi, perikemanusiaan, keunggulan ilmu pengetahuan dan usaha dan
sifat-sifat yang luhur yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w serta sahabat
yang nyata dapat dilihat oleh manusia. Dengan prinsip-prinsip ini Islam
telah mengukuhkan kedudukannya hingga diterima oleh semua lapisan
masyarakat tidak kira hamba atau pemerintah dan tidak kira bahasa atau
keturunan.

6. Itulah semangat dan prinsip kebangkitan Islam yang ditunjukkan kepada
kita oleh Allah s.w.t. Kita perlu menimba segala hikmah di dalam Islam
bagi mencungkil segala potensi untuk membuktikan prinsip-prinsip serta
perjuangan Islam sebagai cara hidup universal.

teknologi, pelajaran, dan seterusnya apa yang dapat menjadi perisai bagi
melindungi kita daripada fitnah dan ancaman anasir-anasir yang ingin
merosakkan kita. Ini haruslah menjadi perjuangan umat Islam kerana
kelemahan umat Islam dalam mana-mana aspek akan memanjangkan lagi masa
umat Islam dipengaruhi dan dicengkam oleh orang lain.

8. Salah satu aspek yang harus mendapat perhatian kita ialah tradisi
penulisan umat Islam. Ahli-ahli teologi, ahli-ahli fikir, ahli-ahli sains
Islam telah menyingkap bidang ilmu pengetahuan sehingga zaman kebangkitan
semula atau Renaissance di Eropah sebenarnya adalah diasaskan kepada
pencapaian tokoh-tokoh Islam. Sayangnya tradisi penulisan Islam ini telah
malap dan tenggelam timbul sebagaimana yang kita dapat perhatikan ketika
Aceh, Pasai dan Melaka menjadi pusat perkembangan Islam di rantau ini.

9. Menjelang Abad Ke 15 Hijrah kita juga sedar dengan kemunduran kita dari
segi penulisan. Penganjuran mengarang sempena dengan sambutan Abad Ke 15
Hijrah ini harus menjadi titik permulaan bagi usaha penulisan yang
berteraskan Islam di negara kita. Walaupun peraduan ini membuat tumpuan
kepada penulisan sastra namun apa yang diperlukan ialah penulisan yang
lebih gigih dan giat dalam semua lapangan.

Kita mempunyai ramai ulamak yang mempunyai pengetahuan yang mendalam
tentang Islam, cerdik-pandai dan para akademis dalam berbagai bidang yang
pasti dapat menghasilkan karya-karya asli yang tinggi nilainya serta
memperkenalkan karya-karya terjemahan daripada Bahasa Arab atau
bahasa-bahasa lain yang perlu menjadi sumber kepada masyarakat kita yang
dahagakan ilmu pengetahuan tuntutan Islam. Banyak buku-buku sumber yang
berguna kepada masyarakat kita yang masih belum diterjemahkan ke dalam
Bahasa Malaysia. Begitu juga kurang sekali hasil sastera Islam yang dapat
membentuk keperibadian masyarakat kita dan bagi menjadi perisai dan
penawar di dalam menghadapi berbagai cabaran semasa dan akan datang.

10. Berhubung dengan "Peraduan Mengarang Berunsur Islam" ini, sukacita
saya mendapat tahu bahawa sambutan daripada para penulis adalah amat
menggalakkan. Ini adalah sejajar dengan keadaan di luar dunia penulisan,
di mana perhatian terhadap agama Islam, baik di mana saja, begitu meluas
dan mendalam. Penyertaan para pelajar dalam peraduan ini, dengan berbagai
judul esei masing-masing, dengan sendirinya membuktikan bahawa generasi
muda kita sedang menerus dan memperteguhkan tali keagamaan yang sudah lama
menjadi pegangan yang tidak diragui. Keadaan yang menggembirakan ini, pada
fikiran saya, adalah hasil kemampuan penganut agama Islam menyaring
pengaruh luar dan bersikap sederhana tetapi rasional dalam menghadapi
soal-soal yang berkaitan dengan agama Islam.

11. Bidang penulisan merupakan satu cara berdakwah yang berkesan. Tetapi,
demi kepentingan Islam, setiap penganut agama Islam mestilah mengisi
dakwahnya dengan hasrat untuk mengembalikan kekuatan dan keagungan umat
dan bukan untuk polemik yang melemahkan atau memecahbelahkan umat. Kita
hendaklah sedar bahawa ada kuasa-kuasa yang ingin memusnahkan Islam kerana
Islam bercanggah dengan ideologi mereka. Kiranya kita lemah pastilah mudah
bagi mereka ini untuk memasukkan kita ke dalam perangkap mereka, dan jika
kita telah masuk ke dalam perangkap mereka Islam akan dimusnahkan oleh
mereka.

12. Allah s.w.t menuntut kita untuk menyeru ke jalanNya.

Tetapi seruan yang dituntut ialah seruan yang dibuat secara berkesan,
mengikut lunas-lunas tertentu dan dibuat dengan jujur dan baik. Jika
seseorang itu menyeru ke jalan kebaikan, sedangkan tingkah lakunya boleh
dipersoalkan atau pihak tertentu mencanangkan keunggulan Islam, sedangkan
taktiknya mempengaruhi masyarakat begitu bercanggah dengan semangat
keIslaman yang sebenar, ini tidak akan membawa umat Islam ke
mana-mana. Ini akan hanya memudarkan syiar Islam, dan malah boleh
menghancurkan perpaduan umat Islam sendiri.

Gejala buruk ini amatlah dipandang berat. Jika gejala ini mula bercambah
atau telah menular, kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk
membenterasnya.

13. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas kepada para pemenang
peraduan menulis cerpen, drama, esei (pelajar dan umum) dan antologi puisi
yang berunsur Islam. Sumbangan mereka mudah-mudahan memberikan manfaat
yang sewajarnya, juga tanda pencapaian mutu penulisan sempena Abad 15
Hijrah ini.

14. Amatlah kena pada ketikanya karya-karya yang memenangi peraduan ini
diterbitkan dalam bentuk buku. Penerbitan seperti ini diharapkan akan
dapat tersebar luas untuk bacaan masyarakat. Penerbitan seperti ini juga
boleh menjadi bahan bacaan umum yang sungguh berfaedah kerana isinya
berusaha membentuk atau membina ketaqwaan di kalangan para
pembacanya. Dengan cara ini, ajaran-ajaran yang tidak baik dapat dicegah
kerana para pembaca dapat melihat serta menilai mana yang baik dan mana
yang buruk, mana yang hakiki dan mana yang palsu. Bagaimanapun, kepada
para penulis sekelian, perseimbangan antara persoalan karya dan mutu
penciptaan hendaklah selalu diperhitungkan.

15. Saya yakin di tahun-tahun yang akan datang mutu penulisan yang
berunsur Islam akan terus berkembang dan matang sesuai dengan perkembangan
masa yang sentiasa berubah dan maju. Pencapaian serta kemajuan rohaniah
yang berteraskan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. adalah amat penting sejajar
dengan kehendak Islam dan juga cabaran yang dihadapi oleh manusia dari
masa ke semasa.

16. Akhir kata saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada
pemenang-pemenang peraduan dan berdoa semoga Allah s.w.t akan sentiasa
memberi petunjuk dan hidayah kepada kita dalam semua rancangan dan
tindakan kita untuk memajukan umat Islam.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.

 



 


 











 
Google