Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL REGENT, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	20/03/82 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG 
			KOPERASI BELIA NASIONAL 
			BERHAD (KOBENA) 




Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Dato Mokhtar
Hashim Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan; Yang Berhormat Dato Abdullah
Ahmad Badawi Pengerusi KOBENA; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-dif
Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah
KOBENA kerana telah menjemput saya ke Majlis ini dan memberi peluang
kepada saya untuk memberi sepatah dua kata sempena Mesyuarat Agung KOBENA
yang pertama pada pagi ini.

2. Kemerdekaan negara kita telah dicapai dengan perjuangan serta
pengorbanan tokoh-tokoh negara dan rakyat sekelian.

Mereka sanggup berjuang dan berkorban demi untuk melahirkan satu negara
yang berdaulat, aman dan sejahtera yang diidam-idamkan. Impian dan idaman
ini menjadi tanggungjawab mereka yang datang kemudian yang mewarisi negara
ini untuk mengisikannya dan memberi makna kepadanya.

3. Dengan segala sumber-sumber yang wujud di negara kita dan lain-lain
faktor yang dapat membantu kita untuk membangun, tidak ada sebab mengapa
kita sebagai bangsa Malaysia moden tidak dapat menjadi satu bangsa yang
maju dan agung di dalam semua lapangan. Saya yakin ini akan tercapai jika
setiap orang daripada kita menterjemahkan konsep cintakan negara sebagai
tindakan untuk bekerja dengan kuat, dengan disiplin dan dengan
dedikasi. Kita bukan sahaja mesti sanggup mati kerana cintakan negara
tetapi harus bekerja bagi mengisikan kemerdekaan negara kita kerana kita
cintakan negara.

4. Kita dapat belajar daripada pengalaman bangsa-bangsa dan negara-negara
lain. Sejarah telah menunjukkan kepada kita bagaimana sesuatu bangsa itu
berkembang dan maju menjadi satu tamadun yang besar dan bagaimana pula
kerana faktor-faktor tertentu tamadun yang besar itu telah menjadi lumpuh
dan hancur dan tempatnya digantikan oleh tamadun lain. Di zaman kita ini,
kita telah melihat bagaimana negara-negara perindustrian barat telah
meningkat ke puncak kemajuan tetapi semenjak akhir-akhir ini kita telah
nampak bagaimana sikap dan sifat mereka telah mencerminkan gejala-gejala
yang akan melemahkan mereka. Sebaliknya kita juga dapat melihat bagaimana
Republik Korea dan Jepun misalnya dapat berlumba dengan negara-negara
barat yang maju sehingga bukan sahaja dapat menandingi mereka malahan
menunjukkan ciri-ciri bahawa mereka akan melintasi pencapaian
negara-negara barat kerana mereka dapat mengekalkan pencapaian
mereka. Sebagaimana saya pernah tegaskan, pengalaman Republik Korea serta
Jepun khususnya aspek-aspek etika bekerja harus menjadi pedoman kepada
kita dalam usaha-usaha kita untuk membangunkan negara.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

5. Kaum Belia merupakan satu kumpulan tenaga manusia yang penting bagi
pembangunan negara. Kepentingan ini bukan sahaja dari segi jumlahnya yang
besar tetapi juga kerana peranan serta potensinya dalam memajukan semua
bidang dan lapangan sama ada sosial, ekonomi mahupun budaya. Begitu pula
gerakan koperasi yang merupakan satu aktiviti dengan falsafah untuk
membawa kemakmuran dan keadilan kepada masyarakat secara kerjasama dan
dengan berdikari. Gerakan koperasi juga mempunyai peranan serta potensinya
yang amat besar bagi memajukan rakyat serta melibatkan mereka di dalam
arus pembangunan. Oleh itu KOBENA sebagai sebuah koperasi belia, bukan
sahaja mempunyai peranan dan potensi yang besar, tetapi juga mempunyai
masa depan yang cerah dan pencapaian yang besar bagi memenuhi cita-cita
dan hasrat pembangunan negara sekiranya ianya dipupuk mengikut lunas-lunas
tertentu.

6. KOBENA adalah satu koperasi belia yang bukan-elite dari segi
keanggotaannya. Ahli-ahli KOBENA adalah belia-belia biasa yang jika
dibiarkan secara bersendirian sebahagian besarnya tidak dapat menyertai
arus pembangunan moden dalam berbagai-bagai lapangan. Itulah sebabnya saya
berbangga kerana KOBENA bukan sahaja telah memasuki berbagai bidang
kegiatan ekonomi malahan yang lebih penting ialah kesanggupannya untuk
menerima cabaran-cabaran besar seperti dalam usaha-sama dengan syarikat
asing untuk membangunkan Universiti Teknologi Kebangsaan dan untuk
menerokai cara perdagangan yang lebih dinamis iaitu perdagangan
ala-sogoshosha. Kemampuan KOBENA telah dapat saya saksikan dengan
kejayaannya menubuhkan kem latihan bagi membekalkan tenaga belia yang
terlatih bagi pembinaan UTK dalam jangka waktu yang singkat. Kemampuan
KOBENA juga dapat kita saksikan dari prestasi kewangannya yang telah
menunjukkan keuntungan semenjak tahun 1980 iaitu kira-kira empat tahun
selepas menjalankan perniagaan.

7. Pengalaman kita berhubung dengan gerakan koperasi pada umumnya kurang
menyenangkan. Sebahagian besar daripada pertubuhan koperasi di negara kita
mengalami berbagai masalah. Teras masalah ini ialah pengurusan yang lemah.

Pada hari ini suka saya mengambil peluang untuk menekankan tiga perkara
yang harus menjadi panduan kepada koperasi.

8. Pertama sekali, koperasi yang ingin berjaya mestilah sanggup untuk
bertanding di dalam dunia perniagaan moden.

Ini tidak semestinya akan menghilangkan ciri-ciri koperasi tetapi
sebaliknya akan meletakkan koperasi di atas landasan yang baru bagi
menjamin persaingan secara competitive dalam dunia serba moden ini.

diasingkan sebegitu rupa supaya tidak menjejas perjalanan dan prestasi
koperasi. Di sini yang ingin saya tekankan ialah keperluan koperasi
meletakkan perjalanan koperasi kepada pihak pengurusan yang profesional
supaya koperasi dapat diteraskan kepada ciri-ciri perniagaan dan
pengurusan moden. Koperasi yang ingin berjaya tidak dapat tidak mesti
memberi keutamaan kepada profesionalisma di dalam pengurusan. Bagi saya
tidak ada kompromi dalam hal ini.

10. Ketiga, badan-badan koperasi, sebagaimana juga dengan
perusahaan-perusahaan awam atau "public enterprises" mestilah dapat
memisahkan persoalan dasar dengan persoalan pengurusan supaya usaha-usaha
yang dijalankan tidak akan menjadi terumbang-ambing dan seterusnya gagal
kerana dipengaruhi oleh gejala-gejala peribadi dan politik
kumpulan. Koperasi mesti diuruskan untuk menjamin prestasi yang tinggi
dari segi keuntungan dan kewangan serta kecekapan pengurusan, dan
perkara-perkara ini boleh dicapai tanpa dijejaskan atau dengan
berselindung di sebalik aspek-aspek objektif-objektif sosial yang kononnya
selalu dianggap sebagai faktor yang menjejaskan prestasi. Anggapan bahawa
prestasi kewangan sesuatu badan, sama ada satu koperasi atau perusahaan
awam dipengaruhi oleh objektif-objektif sosial adalah satu perkara dongeng
kecuali badan-badan ini dapat membuktikan yang ianya telah diuruskan
dengan berkesan dan efisien, kalau tidak, apa yang harus diterima ialah ia
adalah akibat pengurusan yang tidak cekap dan lemah ataupun
penyelewengan. Saya harap pengertian ini akan menjadi panduan kita supaya
kita tidak lagi berdalih-dalih di atas kelemahan-kelemahan kita.

11. Dari analisa asas kejayaan ini, kita tentu faham bahawa faktor
peribadi manusialah yang menentukan jaya atau tidak cekap dan yang
mengutamakan kepentingan diri, tidak ada sistem yang boleh membawa
kejayaan. Sebab itulah penekanan sekarang diberi kepada pembentukan
peribadi yang baik di kalangan belia Malaysia. Mereka hendaklah
berdisiplin, sanggup bekerja kuat dan sanggup menghadapi cabaran. Mereka
hendaklah mengutamakan kejayaan masyarakat Malaysia lebih dari kejayaan
bagi diri sendiri. Mereka hendaklah sanggup berkorban hari ini kerana
kebaikan pada hari esok. Mereka tidak harus utamakan keuntungan semasa
atau secepat mungkin dengan membelakangkan nikmat dan kehormatan jangka
panjang. Mereka hendaklah menjaga maruah diri dan maruah bangsa dan jangan
sekali-kali menjual maruah dengan mudah.

12. Saya berbangga dengan KOBENA yang telah memberi perhatian yang
sewajarnya kepada perkara-perkara yang telah saya sebutkan itu. Saya harap
KOBENA akan terus memupuk ciri-ciri ini sebagai tradisinya yang
baru. Tradisi ini harus pula menjadi contoh bukan sahaja kepada gerakan
koperasi tetapi juga kepada gerakan belia dalam usaha-usaha untuk
meningkatkan penyertaan bumiputera di dalam bidang perniagaan dan
perusahaan di bawah Dasar Ekonomi Baru.

13. Saya harap KOBENA akan sentiasa meningkatkan kemampuannya bagi
menjalankan usaha-usaha yang lebih besar.

KOBENA harus memperluaskan sekim latihannya bagi membekal tenaga terlatih
untuk aktiviti-aktivitinya yang lain yang saya faham tersebar di seluruh
negara. Saya memberi jaminan kepada KOBENA untuk mempertimbangan
cadangan-cadangannya untuk memasuki bidang-bidang yang lebih besar dengan
juga menyediakan rancangan latihan secara integrated. KOBENA juga boleh
mengambil bahagian di dalam projek-projek "turn-key" yang sekarang ini
diberi keutamaan oleh Kerajaan.

Cara latihan yang dijalankan oleh KOBENA juga harus dicontohi oleh
pihak-pihak yang lain supaya negara akan mendapat bekalan tenaga terlatih
yang diperlukan dengan etika kerja yang sesuai bagi kemasukan kita ke
dalam era pembangunan yang setanding dengan negara-negara maju.

14. Akhir kata, saya mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada
KOBENA dan dengan ini juga merasmikan Mesyuarat Agung ini.

Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 



 


 











 
Google