Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	SEKOLAH MENENGAH JENAN 
Tarikh/Date 	: 	28/03/82 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN KURSUS KADI, IMAM 
			DAN PEGAWAI AGAMA 




Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saudara Pengerusi Majlis; Saudara-saudara yang dihormati sekelian.

Syukur saya ke hadrat Allah subhanahu wataala, kerana dengan limpah kurnia
dan izinNya, dapat saya bersama-sama hadir di Majlis ini dan bertemu-muka
dengan para kadi, imam dan pegawai agama sekelian.

2. Saya yakin, kursus yang diadakan ini berfaedah dan menepati kehendak
agama suci kita yang memberi keutamaan kepada ilmu pengetahuan dan
menuntut penganutnya mengisi diri dengan ilmu pengetahuan. Sebagaimana
Islam mempunyai pengertian ibadah yang luas, begitu pulalah dengan ilmu
pengetahuan, apatah lagi jika ilmu pengetahuan itu boleh meningkatkan lagi
kemampuan umat Islam dan menerangkan lagi syiar agama suci kita. Oleh itu,
saya harap semua pihak, sama ada dengan usaha sendiri ataupun secara
kerjasama dengan badan-badan lain, akan sentiasa memberi perhatian kepada
usaha meningkat dan memperluaskan ilmu pengetahuan di kalangan, bukan
sahaja kadi, imam, pegawai agama dan tokoh-tokoh agama kita, malahan di
kalangan umat Islam umumnya.

3. Apabila saya dijemput untuk berucap, selalunya saya menarik perhatian
kepada keadaan-keadaan di negara-negara lain. Perbandingan keadaan kita
dengan keadaan orang lain, sama ada dari segi perkara-perkara yang
dianggap baik mahupun dari segi perkara-perkara yang dianggap tidak baik
boleh menajamkan pertimbangan kita.

4. Baru-baru ini saya telah melawat beberapa negara Islam di kawasan Teluk
Parsi. Saya juga telah melawat beberapa negara Islam yang lain. Dari
pemerhatian saya, dan mungkin pemerhatian saudara-saudara yang pernah
melawat ke tempat-tempat ini, kita dapat melihat satu perubahan yang pesat
berlaku. Pembangunan fizikal dapat dilihat di sana sini,
jalanraya-jalanraya yang begitu lebar, bangunan yang besar-besar dan
cantik-cantik semuanya menjadi perkara biasa di negara-negara Islam yang
dikurniai kekayaan minyak oleh Allah s.w.t. Tetapi sayangnya usaha-usaha
di kebanyakan negara terpaksa bergantung kepada tenaga dan kepakaran
luar. Ini tidak lain dan tidak bukan ialah kerana dunia Islam telah
ketinggalan dari segi ilmu-pengtahuan, kepakaran dan kemampuan; walaupun
tiba-tiba wang hasil minyak mencurah-curah perbelanjaannya bagi
pembangunan menguntungkan orang lain.

5. Itulah sebabnya Malaysia memberi keutamaan kepada segala aspek yang
boleh membangunkan kita sebagai umat yang segala mampu asalkan jalan-jalan
kita itu jalan-jalan yang halal. Kalau semua orang Islam tidak sukakan
dunia kerana mengikut setengah-setengah gesaan mereka yang sempit
pandangan, kita bukan sahaja akan terus lemah tetapi yang lebih celaka
ialah kita akan dimakan dan ditelan oleh musuh-musuh Islam. Kita mahukan
semua orang menunaikan fardhu 'ain, di samping itu kita mahukan semua
orang Islam menuntut dan bantu-membantu menyempurnakan fardhu kifayah yang
menjadi beban kita semua. Jika kita mundur, jika kita lemah, mengubah
kedudukan kita kepada kedudukan yang maju dan teguh selaras dengan
kehendak Islam adalah juga fardhu kifayah dan tidak kurang pentingnya bagi
masa depan kita. Malaysia akan berusaha memainkan peranan yang positif di
kalangan masyarakat Islam sedunia dan, dalam hal ini, kita tidak dapat
lari dari tanggungjawab menyatupadukan umat Islam di negara kita supaya
peranan kita di peringkat dunia Islam akan lebih berkesan dan bererti.

6. Kalau umat Islam ingin kuat dan maju -- dan kita semua mesti kuat dan
maju kita mestilah bantu-membantu dan bersatu. Kerana tenaga dalam
perpaduan tidak ada tolok-bandingnya. Oleh itu sesiapa juga yang menyeru
dan bertindak supaya umat Islam pulau-memulau, benci-membenci dan
lain-lain lagi hanyalah membawa kita kepada mulut musuh kita untuk di
kunyah dan ditelan. Sedangkan kita mempunyai segala kemungkinan mereka
mencari jalan untuk melemahkan kedudukan kita. Saya merasa sedih kerana
ada pihak-pihak yang sengaja melaga-lagakan Islam sedangkan Islam tidak
menyeru umatnya berpecah-belah; bukan sahaja ini hina di dalam pandangan
Islam tetapi hina di pandangan orang-orang lain.

7. Saya harap pemimpin-pemimpin masyarakat, pemimpin-pemimpin politik dan
lain-lain pemimpin, terutamanya di mana golongan pengikut mereka mungkin
terlibat dengan memecah-belahkan umat Islam hendaklah berani menyuarakan
tentangan mereka terhadap perkara yang terkutuk ini. Kerana tanpa
melarang, tanpa menyekat sedikit-sebanyak tanggungjawab di atas
persengketaan di kalangan umat yang seugama adalah menjadi beban dan
tanggunjawab pemimpin-pemimpin berkenaan.

8. Kebanyakan mereka yang terpedaya ini tidak bersalah.

Tetapi, oleh sebab mereka sayangkan agama mereka, mereka lurus maka mereka
telah menerima pendapat-pendapat yang kononnya daripada pakar-pakar
agama. Rakyat harus sedar bahawa usaha-usaha untuk membawa pecah-belah di
kalangan umat Islam tidak menjadi isu di negara-negara
lain; sekurang-kurangnya bukan kerana kepentingan politik. Ini ada pula
yang mengkafirkan orang UMNO kerana menjadi ahli UMNO. Iman dan dalamnya
Islam seseorang hanya berada di lubuk hati masing-masing, cuma Allah yang
Maha Mengetahui. Kalaulah orang UMNO kafir, mengapa Kerajaan Saudi
membenarkan semua orang yang berdaftar dengan Tabung Haji untuk menunaikan
fardhu Haji ke Mekah. Mengapa mereka tidak tanya dahulu siapa ahli parti
apa.

9. Ada pula mereka yang mendakyahkan agama telah merosakkan nama baik
Kerajaan dan usaha-usaha Kerajaan. Kononnya itu haram dan ini haram
sehinggakan jika tidak berhati-hati seseorang itu akan meningggalkan
segala rezekinya di Malaysia ini. Duit dari Kerajaan haram, bantuan
Kerajaan haram, dan lain-lain lagi. Rakyat harus berhati-hati kerana ini
akan membawa kemunduran kepada umat Islam dan golongan yang memfitnahkan
ini akan akhirnya berjaya mengatakan bahawa kemunduran umat Islam ialah
kerana Kerajaan yang melemahkan.

10. Setiba saya dari lawatan ke negara-negara Teluk baru-baru ini, saya
telah mengumumkan bahawa sebuah Universiti Islam Antarabangsa akan
ditubuhkan di Malaysia. Universiti ini adalah universiti kepunyaan umat
Islam sedunia. Ia akan menyediakan semua mata pelajaran yang selaras
dengan konsep ilmu pengetahuan untuk tamaddun Islam yang agung dan ia akan
menjadi alat perpaduan di kalangan umat Islam, tidak kira rupa dan
keturunan, tidak kira bahasa dan budaya asal mereka. Inipun ada yang
mengatakan Universiti ini sebagai alat politik. Jadi susah kita
mempertahankan setiap tindakan kita sekiranya ada pihak yang sentiasa
irihati, syak wasangka dan sentiasa sedia untuk memutar-belit dan membuat
fitnah.

11. Kalau saya ingin bermain politik banyak yang boleh di heboh-hebohkan,
itu ini dan apa saja untuk memesongkan fikiran dan pertimbangan
rakyat. Ini bukan tujuan Kerajaan sekarang dan bukan menjadi amalan
Barisan Nasional. Kalau kita menangpun biarlah kerana kita amanah dan
jujur.

12. Sebenarnya masih banyak usaha yang boleh dibuat bagi faedah umat Islam
di negara kita dan di dunia Islam. Pertama ialah dengan usaha-usaha
Kerajaan, badan-badan Islam dan pencinta Islam. Kedua dengan persaudaraan
dan perpaduan Islam. Ketiga dengan memperbaiki segala cara dan kaedah kita
memperbaiki umat dan pentadbiran Islam.

13. Kehadiran saudara-saudara sekelian di dalam kursus ini juga merupakan
peluang untuk memikirkan dengan lebih luas dan mendalam berbagai cara yang
boleh kita usahakan bersama demi kebaikan dan kemajuan umat. Saya harap
saudara-saudara sekelian akan menguatkan benteng bagi mempertahankan
perpaduan serta keluhuran Islam dan menjadi penghubung dan penawar di
dalam suasana masyarakat kita yang sangat-sangat memerlukan perpaduan.

14. Akhir kata, dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani,
saya dengan segala sukacitanya merasmikan kursus ini.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 



 


 











 
Google