home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	LAPANGAN TERBANG 
			ANTARABANGSA SUBANG 
Tarikh/Date 	: 	03/04/82 
Tajuk/Title  	:	UPACARA MERENJIS PESAWAT B 747 MAS 




Yang Berhormat Dato' Lee San Choon Menteri Pengangkutan dan Datin; Yang
Mulia Raja Tan Sri Raja Mohar bin Raja Badiozaman; Pengerusi Lembaga
Pengarah MAS; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Ahli-ahli Lembaga
Pengarah; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada MAS di atas
penghormatan yang diberikan kepada saya untuk melakukan upacara merenjis
pesawat B 747nya yang pertama.

2. Penggunaan pesawat Jumbo-Jet B 747 oleh MAS merupakan satu lagi
kemajuan di dalam sejarah perkhidmatan penerbangan kita. MAS telah maju
setapak demi setapak mengikut perancanaan yang teliti. Keputusan untuk
menggunakan Jumbo-Jet merupakan satu tindakan yang ekonomik memandangkan
kemajuan dan kemampuan yang telah dicapai oleh MAS setakat ini.

3. MAS merupakan syarikat penerbangan yang ke-67 di dunia yang menggunakan
pesawat B 747. Walaupun perusahaan penerbangan secara amnya mengalami
kesulitan pada masa ini, saya yakin, sebagaimana yang dijangka,
berdasarkan perkiraan yang terperinci, prestasi kita tidak akan
terjejas. Dengan adanya pesawat B 747 ini, MAS bukan sahaja boleh
menambahkan muatannya, malahan dapat mengatur semula operasinya supaya
lebih sesuai dan ekonomik dengan keadaan yang telah berubah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

4. Hari ini terdapat banyak syarikat penerbangan di seluruh
dunia. Kebanyakannya adalah jauh lebih besar dari MAS. Sebenarnya MAS
adalah di antara syarikat penerbangan yang terkecil sekali walaupun di
kalangan negara-negara ASEAN. Dan MAS adalah yang terakhir yang
menggunakan pesawat B 747 jumbo.

5. Tetapi kejayaan syarikat penerbangan bukan bergantung kepada kecil atau
besarnya, atau route/miles atau bilangan tempat duduk. Kerap terjadi,
kerugian meningkat dengan peningkatan 'capacity' syarikat. Lebih banyak
pesawat, lebih jauh penerbangan, lebih banyak 'route' cuma bermakna lebih
banyak kerugian.

6. Perkara ini berlaku kerana kejayaan syarikat bergantung kepada
kecekapan pengurusan dan khidmat yang baik. Biasanya penumpang memilih
syarikat yang memberi khidmat yang baik dan yang mengikut jadual-waktu
yang tepat. Sebab itu kadangkala melalui "route" yang sama, sebuah pesawat
kosong sementara sebuah lagi dari syarikat lain penuh sesak.

7. Saya menaruh perhatian kepada hakikat ini kerana kita tidak mahu MAS
menjadi satu "White Elephant" yang kita boleh bangga setakat kita ada
syarikat penerbangan tetapi tak ada faedah daripada perjalanannya. Kita
mahu syarikat yang berjaya walaupun kecil.

8. Untuk ini kita perlu pengurusan yang baik. Pengurusan yang baik
bermakna peningkatan kecekapan dan dedikasi dari pegawai-pegawai
eksekutif. Mereka juga harus sanggup bekerjasama antara satu sama
lain. Tidak ada tempat untuk "individualism" atau "petty guards" dalam
pengurusan MAS. Tidak ada tempat untuk bersikap tidak bertimbang rasa sama
ada kepada rakan-rakan atau kepada kakitangan bawahan. Semua mestilah
bekerja sebagai satu "team" yang berbangga kerana kejayaan syarikat serta
kesan "team work" dan bukan kerana diri sendiri.

9. Untuk kejayaan juga kita perlu khidmat yang baik oleh semua pihak. Ini
tidak bermakna "cabin staff" sahaja tetapi juga "ground staff". Janganlah
cuma di atas pesawat sahaja kita melihat senyuman manis tetapi apabila
mendarat di negara sendiri senyuman sudah tidak kelihatan lagi. "Service
with a smile" hendaklah menjadi satu amalan yang
menyeluruh. "Efficiency" dan "proficiency" hendaklah menjadi "hall
mark" kepada MAS di mana sahaja pekerjanya berkhidmat. Dan semua ini
hendaklah diamalkan kerana "pride in your national airline" ataupun tidak
mahu malu atau memalukan negara. Amatlah sedih apabila kita mendengar
perbandingan dengan "service" yang diberi oleh orang lain di
"airport" yang lain dengan sindiran bahawa memanglah keadaan di Malaysia
begitu. Tak guna kita marah. Yang perlu dibuat ialah memperbaiki prestasi
kita. Dengan sendirinya sindiran dan teguran yang memalukan akan hilang.

10. Saya harap teguran saya ini diterima dengan semangat yang saya
membuatnya. Niat di belakang teguran ini ialah supaya kita dapat panggung
kepala, dan bukan tunduk kerana malu. Sebagai seorang orang Malaysia saya
mahu berbangga dengan kejayaan bangsa dan negara saya. Saya yakin semua
orang Malaysia tidak kira apa kaum berperasaan demikian.

Oleh itu tingkatkanlah khidmat kita dan jadikanlah penerbangan MAS
penerbangan yang terbaik di rantau ini jika tidak di dunia.

Tuan-tuan dan puan-puan.

11. Kerajaan mengadakan perkhidmatan penerbangan ini untuk menolong
membangunkan negara. Kita sedang membelanjakan wang yang banyak untuk
pembesaran lapangan-lapangan terbang serta juga kemudahan-kemudahan
lain. Jenis pesawat yang akan digunakan akan dipertingkatkan dan bilangan
tempat yang akan mendapat khidmat penerbangan akan ditambah.

12. Khidmat penerbangan bukan lagi satu khidmat mewah tetapi sudah jadi
satu keperluan. Ini jelas dirasai apabila jadi kesakitan atau kematian
diwaktu mana kita perlu sampai ke sesuatu tempat dengan cepat. Khidmat
penerbangan juga memberi peluang kadangkala bagi menyelamatkan
nyawa. Sekarang ini untuk menunaikan ibadat haji atau membuat umrah juga
dimudahkan dengan penggunaan kapalterbang. Oleh itu Kerajaan sanggup
membelanjakan wang untuk kemudahan penerbangan. Adalah diharap rakyat akan
menghargai dan menggunakan segala kemudahan yang disediakan dengan cara
yang memberi peluang kepada lebih ramai menggunakan kemudahan-kemudahan
ini kemudian dari mereka. Janganlah kita anggap bahawa oleh kerana
kemudahan yang disediakan bukanlah sebenarnya kepunyaan kita, maka kita
tidak menjaganya. Jagalah segala-gala kemudahan ini sebagai pusaka negara
dan cerminkanlah sifat dan budaya kita dalam penggunaannya setiap
masa. Sepertimana kita tidak suka pengguna yang terdahulu dari kita
meninggal kemudahan awam dalam keadaan yang kotor dan rosak, begitu
jugalah kita harus fikir terhadap orang yang akan menggunakan kemudahan
ini selepas dari kita. Dengan demikian kita bukan sahaja menolong diri
kita tetapi juga menyelamatkan wang negara.

13. Akhir sekali saya mengucapkan tahniah kepada MAS, Lembaga Pengarah dan
eksekutif dan juga kepada kakitangan MAS kerana berjaya dalam rancangan
meningkatkan perkhidmatan MAS setaraf dengan syarikat penerbangan
lain. Saya juga ingin mengucap terima kasih kepada Encik Saw Huat Lye,
bekas Pengurus Besar MAS yang telah bersara setelah memimpin MAS sejak
penubuhannya. Pesaraannya ialah dengan permintaannya sendiri dan saya
telah melepaskannya. Saya ucapkan selamat kepadanya.

14. Saya berdoa supaya MAS akan terus berjaya dan akan menjadi syarikat
penerbangan yang terkenal di seluruh dunia.

Sekian, terima kasih.

 


--------------------------------------------------------------------------------

Sumber : Pejabat Perdana Menteri
 


 











 
Google