home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN TUNKU CANSELOR, 
			UNIVERSITI MALAYA 
Tarikh/Date 	: 	10/04/82 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA MAJLIS PENYAMPAIAN PENYATA 
			KEUNTUNGAN SEKIM AMANAH SAHAM 
			NASIONAL (ASN) 




Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Amat Berhormat Datuk Musa Hitam Timbalan Perdana Menteri; Yang Amat
Berbahagia Tun Ismail Ali, Pengerusi P.N.B. dan A.S.N.B.; Yang
Berhormat-Yang Berhormat; Dif-dif Kehormat; Tuan-Tuan dan Puan-Puan
Sekelian.

Setelah Sekim Amanah Saham Nasional dilancarkan hampir setahun, pada hari
ini kita sekali lagi berkumpul di satu majlis yang tidak kurang pentingnya
bagi menilai pencapaian Sekim Amanah Saham Nasional setakat ini.

2. Penubuhan Sekim Amanah Saham Nasional ialah salah satu daripada bukti
kesanggupan Kerajaan untuk memperimbangkan kedudukan ekonomi antara kaum
dan mewujudkan keadilan sosial di negara ini. Melalui Sekim ini,
peluang-peluang telah bertambah bagi sebahagian besar rakyat negara ini,
iaitu rakyat bumiputra, untuk memperbaiki kedudukan ekonomi dan masa depan
mereka supaya setanding dengan golongan-golongan lain. Sekim ini merupakan
satu alat penting bagi penyertaan bumiputera di dalam sektor syarikat yang
sekian lama menjadi sektor yang asing bagi bumiputera. Melalui Sekim ini
bumiputera bukan sahaja dapat menikmati faedah daripada keuntungan sektor
yang berpengaruh ini, malahan, dengan penyertaan yang meluas dan berani,
mereka akan dengan sendirinya membuat sumbangan ke arah pencapaian
matlamat sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera di dalam sektor
syarikat. Selain dari ekuiti, kita harus ingat bahawa oleh kerana majoriti
atau bahagian yang besar dari ekuiti ini dimiliki oleh Perbadanan Nasional
Berhad (P.N.B), pengurusan dan lain-lain kerja yang penting dalam bidang
perniagaan sekarang telah terbuka kepada bumiputera. Urusan perniagaan
besar dan kerja-kerja penting dalam perusahaan tidak lagi terasing dari
bumiputera. Ini bermakna peningkatan kecekapan bumiputera yang membuka
peluang yang begitu luas bagi mereka. Oleh kerana perdagangan bergantung
kepada kontak atau kenalan dan pendedahan di dalam dunia perniagaan, maka
penglibatan bumiputera akan bertambah sepanjang masa.

3. Pelaksanaan Sekim ini merupakan salah satu langkah untuk menepati janji
Kerajaan kepada rakyat, iaitu janji untuk mengimbangkan kedudukan ekonomi
antara kaum, memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi rakyat dan membawa
kebahagian dan kesejahteraan kepada negara dan rakyat amnya.

Khususnya janji ini ialah janji bahawa Kerajaan Pusat dan Negeri akan
menubuh atau mengambil ekuiti dalam syarikat-syarikat dan apabila
syarikat-syarikat ini berjaya, Kerajaan akan memindahkan milik syarikat
ini kepada bumiputera. Soal yang timbul apabila kejayaan syarikat-syarikat
ini sudah menjadi kenyataan ialah siapakah bumiputera yang akan mengambil
alih syarikat-syarikat ini.

4. Mengikut amalan biasa dalam dunia perdagangan, cuma mereka yang
mempunyai keupayaan, iaitu mereka yang mempunyai modal dan kecekapan
sahaja yang berpeluang membeli syarikat.

Setelah Dasar Ekonomi Baru berjalan selama 10 tahun ramai juga bumiputera
yang mampu membeli dan menguruskan syarikat-syarikat milik badan-badan
yang ditubuh oleh Kerajaan . Mereka ini memang berminat untuk membeli
syarikat-syarikat yang sudah maju, ataupun saham-saham milik Kerajaan
dalam syarikat-syarikat ini. Jika Kerajaan menjual atau memindah
syarikat-syraikat ini kepada mereka yang mampu ini, walaupun ini bermakna
bumiputera sudah mendapat bahagian mereka, tetapi ini juga bermakna
kebanyakan daripada bumiputera lain tidak akan merasai nikmat dari satu
usaha Kerajaan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru.

5. Oleh kerana tujuan kita ialah untuk melibatkan seramai-ramai bumiputera
untuk memiliki saham dan mendapat keuntungan daripada tindakan Kerajaan
ini, Kerajaan telah mengkaji berbagai-bagai sekim untuk mengagih
saham-saham kepada kebanyakan bumiputera. Hasil dari kajian inilah
P.N.B. dan Amanah Saham Nasional ditubuh. Melalui ASN sesiapa sahaja dari
bumiputera yang layak serta mempunyai $10.00 dapat membeli saham dalam
semua syarikat milik Kerajaan dan badan-badan amanah bumiputera yang
ditubuh oleh Kerajaan. Dan untuk menentukan bahawa mereka yang kaya tidak
membolot sebahagian besar dari unit-unit amanah saham, Kerajaan menghadkan
pembelian setakat $50,000.00 sahaja bagi seseorang. Mungkin ada yang akan
mengkritik sekim ini kerana kononnya orang yang tidak mempunyai $10.00
tidak dapat melabur. Sebenarnya dalam dunia perniagaan orang yang membeli
saham tidak mungkin membeli kurang dari $1,000.00.

Peluang bagi seorang yang cuma mampu melabur $10.00 adalah satu peluang
luar biasa, terutamanya apabila $10.00 dapat membeli 100 saham bernilai
$100.00. Oleh kerana kemudahan dan keistimewaan ini, ASN telah menjadi
satu Amanah Saham yang terbesar sekali di negara Malaysia dengan jumlah
pelabur seramai hampir 900,000 orang dan pelaburan sebanyak $340 juta.

6. Sekim ASN ini jelas berjaya membahagi-bahagikan kekayaan dan faedah
dari pelaburan dalam syarikat-syarikat milik Kerajaan kepada seramai-ramai
bumiputera di negara Malaysia. Di samping itu ia tidak menjejaskan
pengurusan syarikat-syarikat ini atau membenarkan syarikat-syarikat ini
dikongkong oleh sebilangan kecil dari bumiputera yang kaya.

7. Sekim ASN ini adalah satu sekim yang unik yang tidak pernah dicuba di
mana-mana jua di dunia. Ia bukan sekim sosialis atau kapitalis tetapi
adalah sekim keadilan di mana kuasa Kerajaan dan kekayaan negara diguna
untuk mengagih nikmat kepada seramai-ramainya rakyat di Malaysia. Sekim
ini bukan bertujuan mengambil duit Kerajaan untuk di masukkan ke dalam
saku rakyat dengan percuma. Untuk membantu rakyat berbagai sabsidi telah
diadakan. Sekim ini ialah satu jenis pelaburan dalam perniagaan di mana
risiko untung-rugi masih ada tetapi di alas sedikit oleh Kerajaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian.

8. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru mereka yang makan gaji dan
berpendapatan tetap bulanan, sama ada mereka di dalam sektor awam mahupun
swasta, supaya menyertai Sekim ini melalui sistem potongan gaji. Jika
lebih dari 500 ribu kakitangan bumiputera dalam sektor Kerajaan dan lebih
dari 1.1 juta mereka yang bekerja di dalam sektor syarikat melabur di
dalam Sekim ini melalui sistem potongan gaji ini, saya yakin, pertambahan
secara konstan setiap tahun akan menjamin pencapaian matlamat pelaburan
yang kita harapkan.

9. P.N.B. telah diamanahkan untuk membuat pelaburan bagi kepentingan
bumiputera. Yayasan Pelaburan Bumiputera, sebagai badan induk, akan terus
mepastikan supaya P.N.B.

dapat meneruskan usaha mengambil alih ekuiti atau saham yang dimiliki oleh
agensi Kerajaan dan syarikat-syarikat amanah bumiputera.

10. Hingga akhir bulan Februari 1981, Kumpulan P.N.B. telah melabur di
dalam 98 syarikat dengan nilai kosnya berjumlah 2.8 ribu juta ringgit yang
mana 57 daripadanya telah dipindahkan kepada Sekim Amanah Saham Nasional
dengan nilai kos $536 juta. Di samping itu, ramai juga bumiputera dan
badan-badan lain yang melabur dalam sektor syarikat.

Tetapi, kita masih belum dapat mencapai matlamat kita iaitu
sekurang-kurangnya 18% dalam jangka waktu 11 tahun Dasar Ekonomi Baru
dilaksanakan. Cuma jika penyertaan bumiputera dipertingkatkan melalui
Amanah Saham Nasional baharulah matlamat kita akan tercapai.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

11. Sekim Amanah Saham Nasional telah mengeluarkan 10 peratus dividen dan
satu unit bonos percuma bagi tiap-tiap sepuluh unit yang
dimiliki. Pembahagian dividen dan bonos yang berjumlah 83.12 juta ringgit
ini menunjukkan "viability" Sekim ini dan faedahnya kepada bumiputera yang
melabur di dalamnya. Saya harap keuntungan yang diperolehi oleh mereka
yang menyertai Sekim ini, serta keputusan Kerajaan untuk merendahkan had
umur penyertaan dari 21 tahun kepada 18 tahun mulai 1hb. Januari tahun
ini, serta tanggungjawab yang dipikul oleh setiap rakyat bumiputera, akan
meningkatkan lagi penyertaan bumiputera di dalam Sekim ini.

12. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada
semua pihak yang telah membuat berbagai-bagai sumbangan untuk menjamin
kejayaan dan perjalanan Sekim Amanah Saham Nasional. Saya menyeru mereka
supaya meneruskan sumbangan positif ini demi masa depan negara
kita. Kepada rakyat bumiputera pula, saya berharap supaya mereka akan
meneruskan perjuangan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi mereka
dengan semangat dan usaha yang lebih gigih. Sekim Amanah Saham Nasional
adalah satu usaha ke arah perimbangan kaum dan perpaduan negara.

Sekian, wabilahitaufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.

 



 


 











 
Google