Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO MALAYSIA
Tarikh/Date : 20/04/82
Tajuk/Title : UCAPAN
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekelian, Kita telah mencapai
Kemerdekaan 25 tahun yang lalu.
Dalam tempoh 25 tahun itu kita telah menghadapi berbagai cabaran dan
mengalami berbagai perubahan.
Perubahan-perubahan yang berlaku telah memberi manfaat kepada negara dan
rakyat keseluruhannya. Kita telah mencapai kejayaan di dalam berbagai
bidang. Segala-galanya 2. Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat
membuktikan pilihan yang bijaksana. Kita bukan sahaja menikmati keamanan,
keharmonian, kestabilan dan kemakmuran, tetapi setiap rakyat, secara
langsung dan tidak langsung, telah dapat mengecap faedah daripada kejayaan
ini. Di sana sini kita dapat lihat tanah-tanah dibuka, rakyat ditempatkan
di kawasan-kawasan penempatan, rumah-rumah dan bangunan dibina, jalan raya
dan pengangkutan diperbaiki dan diperluaskan, berbagai kemudahan seperti
air, letrik, pusat-pusat kesihatan, sekolah, tempat ibadah dan lain-lain
telah diadakan. Taraf hidup rakyat berbagai golongan, kaum dan lapisan
masyarakat telah menjadi bertambah baik.
3. Mungkin hari ini ramai daripada kita, termasuk ramai rakyat luarbandar,
yang dapat berbangga dengan pencapaian mereka. Anak-anak atau saudara-mara
kita bukan sahaja telah mendapat pelajaran, malahan telah mendapat
pelajaran tinggi di universiti tempatan ataupun di luar negeri, termasuk
di Mesir, di Iraq, di Arab Saudi, di Amerika dan lain-lain negara. Mungkin
bila kita sakit, anak kita ataupun saudara-mara kita yang menjadi doktor
yang merawat kita, mereka yang mengajar anak-anak kita, mereka yang
menjadi pegawai-pegawai di mana kita mendapat pertolongan dan
bantuan. Sekarang ini kita dapat melihat bumiputera sebagai usahawan,
sebagai kontraktor dan sebagai pakar-pakar di dalam berbagai bidang dan di
universiti-universiti.
4. Negara kita dikurniakan dengan berbagai-bagai sumber alam yang
bernilai. Kita menjadi pengeluar bijih timah, getah, kelapa sawit, kayu
balak dan petroleum serta lain-lain bahan yang penting. Dengan sumber
kekayaan negara dan dengan Kerajaan Barisan Nasional yang dedikasi dan
berusaha membawa faedah dan kemakmuran kepada rakyat, kita telah mencapai
tahap kemajuan dan pembangunan yang boleh kita banggakan. Kita telah
mendapat kedudukan yang baik di kalangan negara-negara yang sedang
membangun.
5. Ini semua adalah kejayaan dan pencapaian kita. Ini adalah kurniaan dan
nikmat Tuhan kepada kita. Dan ini adalah hasil kematangan dan
kebijaksanaan rakyat meletak kepercayaan kepada Kerajaan yang berhasrat
untuk membela nasib keseluruhan rakyat dan yang ingin menempa masa depan
yang gemilang bagi negara.
6. Cara pemerintahan kita adalah cara demokrasi. Rakyat mempunyai hak
untuk memilih parti politik yang membentuk kerajaan. Dan pada hari ini
kita masih tegak mengamalkan sistem demokrasi ini. Kita tidak sanggup
sistem ini dicabuli dan dirosak oleh sesiapa jua. Rakyat harus insaf
betapa nasib rakyat se-setengah negara yang telah kehilangan kebebasan
memilih kerajaan mereka dan bagaimana pula rakyat se-setengah negara
beransur-ansur kehilangan kebebasan ini.
Pemulihan demokrasi selepas peristiwa 1969 telah membuktikan kejujuran
Kerajaan yang didokong oleh Perikatan dan Barisan Nasional terhadap sistem
demokrasi. Rakyat perlukan Kerajaan Barisan Nasional yang kuat untuk
menjamin dan memelihara demokrasi.
7. Di samping berbagai kejayaan, kita tidak dapat nafikan bahawa masih
banyak yang perlu kita usahakan. Kita masih di dalam proses untuk
mengukuhkan lagi asas-asas keadilan dan perpaduan. Kita sedang menyusun
semula masyarakat, membasmi kemiskinan dan meningkatkan mutu kehidupan
rakyat. Kita sedang membangunkan negara kita sebagai negara yang setanding
dengan negara-negara yang telah maju dengan perseimbangan asas-asas nilai
rohani yang mulia lagi tinggi dengan kemajuan jasmani dan fisikal.
8. Barisan Nasional menerima hakikat bahawa negara Malaysia adalah sebuah
negara berbilang kaum. Kita memegang amanah untuk melindungi semua
pihak. Semua pihak pula mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk
bersama-sama menjamin masa depan yang cerah dan penuh harapan bagi
Malaysia.
9. Kita yakin bahawa rakyat yang layak mewarisi negara ini dan meneruskan
aspirasi negara ialah rakyat yang berpandukan kepada lunas-lunas
Rukunegara. Barisan Nasional akan mejamin keluhuran dan ketinggian syiar
Islam dan memelihara kebebasan beragama bagi penganut-penganut agama lain
sebagaimana yang pernah diamalkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi
wasallam.
10. Kita percaya dengan prinsip hidup berbaik-baik dengan semua
berdasarkan sikap hormat-menghormati. Prinsip ini bukan sahaja terhad
kepada kehidupan di dalam masyarakat kita tetapi di dalam hubungan
persahabatan kita dengan negara-negara lain. Kita akan memberi keutamaan
kepada persahabatan di kalangan negara ASEAN dan di kalangan negara-negara
Islam. Bersama dengan negara-negara Islam yang lain, kita akan berusaha
mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh umat Islam dan
bersama negara-negara membangun kita akan menuntut keadilan di dalam
sistem perhubungan antarabangsa.
11. Barisan Nasional memberi keutamaan kepada tanggungjawab terhadap
rakyat, kepada keadilan bagi semua untuk mengecap kemakmuran dan
peluang-peluang yang wujud di negara ini, dan kepada kesederhanaan dalam
segala tindakan kita. Kita akan terus memperjuang dan menegakkan
prinsip-prinsip ini demi kepentingan dan amanah yang menjadi tanggungjawab
kita.
12. Sesungguhnya Kerajaan yang kuat sahaja yang dapat membela nasib rakyat
dan membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara. Bukan pihak
pembangkang yang kuat yang dapat menjamin Kerajaan yang bersih, cekap dan
amanah. Sebaliknya ini akan tercapai dengan kebijaksanaan rakyat yang
memberi kepercayaan penuh kepada Barisan Nasional kerana rakyatlah yang
akan mengadili Barisan Nasional apabila ia berhadapan dengan rakyat sekali
lagi.
13. Barisan Nasional adalah satu pasukan. Kekuatannya bukan terletak
kepada orang perseorangan dan ketokohan seseorang ahli atau
pemimpin. Kekuatannya ialah kerana tindakan cara berpasukan. Inilah yang
menjadi asas perpaduan dan kejayaannya. Pasukan Barisan Nasional terdiri
daripada tokoh-tokoh yang berkemampuan untuk berkhidmat dan mereka
mewakili kepentingan semua golongan dan lapisan masyarakat.
14. Barisan Nasional berjanji untuk menegakkan Kerajaan bersih, cekap dan
amanah. Insya Allah, dengan sokongan rakyat kita akan menepati janji kita
ini, dan Insya Allah rakyat akan mengecap faedah daripada janji ini.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekelian,
15. Pada 22 haribulan April ini rakyat sekali lagi mendapat penghormatan
untuk menempa masa depan negara. Saya yakin tuan-tuan dan puan-puan
sekelian akan menggunakan hak mengundi dengan bijak dan dengan penuh
pertimbangan bagi menjamin masa depan kita dan masa depan anak-anak kita
yang lebih cemerlang. Saya harap tuan-tuan dan puan-puan sekelian memberi
kepercayaan kepada Barisan Nasional.
|