home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	UNIVERSITI KEBANGSAAN, BANGI, 
Tarikh/Date 	: 	03/05/82 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PERASMIAN KURSUS KEFAHAMAN 
			ISLAM PERINGKAT KEBANGSAAN 




Dif-dif Kehormat; Para hadirin yang dihormati sekelian.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya merasa amat gembira sekali kerana mendapat peluang untuk hadir
bersama-sama di majlis yang dihadiri oleh para imam dari seluruh negara
yang datang dari jauh dan dekat ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada
penganjur Kursus ini, iaitu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan Rabitah
Al-Alam Al-Islami yang berpusat di Mekah Al-Mukaramah, yang telah memberi
penghormatan kepada saya untuk berucap sepatah dua kata di Majlis yang
permai ini.

2. Pada kebiasaannya kursus-kursus seperti ini, ataupun kegiatan dakwah
yang sering dilakukan di negara ini, adalah dianjurkan dengan daya-usaha
dan kebijaksanaan pendakwah-pendakwah tempatan semata-mata. Tetapi,
bermula dari sekarang, kita sudah memasuki suatu peringkat baru dalam
kegiatan dakwah di mana badan-badan antarabangsa, seperti Rabitah Al-Alam
Al-Islami di Mekah Al-Mukaramah, sudah mengambil bahagian.

3. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yayasan Dakwah dan juga
Rabitah Al-Alam Al-Islami yang telah berjaya mengambil langkah untuk
mengadakan kursus seumpama ini. Saya berharap usaha-usaha seperti ini akan
diteruskan dari masa ke semasa dan sama-samalah kita berdoa semoga ianya
diberkati Allah jua.

4. Kita, sebagai sebuah negara Islam, bersedia bekerjasama dengan
mana-mana badan atau pertubuhan Islam peringkat antarabangsa dalam usaha
mengukuhkan kedudukan dan perpaduan umat Islam dan perkembangan agama suci
Allah s.w.t.

5. Kerajaan Malaysia menyambut dan menyanjung tinggi usaha Rabitah
membantu mempertingkatkan peranan masjid-masjid yang ada di negara
ini. Sebuah Jawatankuasa Masjid Peringkat Persekutuan di bawah Majlis
Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam telah pun ditubuhkan dan sedang meneliti
rancangan kerjasama antara negeri-negeri di Malaysia supaya masjid dapat
dijadikan pusat dakwah dan perpaduan umat Islam yang utama.

6. Pihak Kerajaan Malaysia juga, dengan permintaan Rabitah Al-Alam
Al-Islami, telah bersetuju untuk melantik seorang wakil negara ini untuk
menduduki dalam Jawatankuasa Masjid Peringkat Regional yang berpusat di
Jakarta di bawah naungan Rabitah Al-Alam Al-Islami.

7. Imam bukan sahaja orang yang memimpin qariah dalam ibadat sembahyang
berjemaah, tetapi adalah juga pemimpin masyarakat Islam. Khutbah yang
disampaikan tiap-tiap Jumaat bertujuan menerangkan agama Islam dan
membentuk sifat yang tinggi bagi masyarakat. Selain dari itu imam
dikehendaki juga memberi nasihat dan penjelasan terhadap berbagai soal
kemasyarakatan supaya kekeliruan dapat dihapuskan, terutamanya kekeliruan
berkenaan dengan agama Islam dalam masyarakat. Jelaslah bahawa peranan
imam tidak terhad kepada masjid sahaja tetapi meliputi gerak-geri
masyarakat Islam tempatan.

8. Imam-imam yang telah dilantik tentulah dilantik kerana pengetahuan
mereka dalam memimpin anak makmum dalam ibadat sembahyang dan lain-lain
bidang di dalam agama Islam yang memerlukan kepimpinan. Tetapi
memandangkan bahawa mereka juga dikehendaki memimpin masyarakat Islam
umumnya maka pengetahuan mereka dalam agama tentulah perlu diperluaskan
lagi dari masa ke semasa bagi menunaikan tanggungjawab ini dengan
berkesan. Lebih luas pengetahuan mereka lebih berkesanlah kepimpinan
mereka dan lebih bahagialah masyarakat Islam.

9. Sepertimana kita semua maklum hukum Islam bukanlah untuk zaman Nabi
Muhammad s.a.w. sahaja tetapi adalah untuk semua zaman. Sudah tentu hukum
Islam adalah secucuk dengan zaman kita ini. Tetapi kita tidak dapat
nafikan bahawa zaman kita ini adalah berbeza keadaannya dengan zaman Nabi
kita atau pun zaman Khulafa-'l-Rasyidin. Keadaan dan perkembangan di zaman
ini dan kaitannya dengan perlaksanaan hukum Islam perlulah benar-benar
difahami oleh umat Islam supaya akidah mereka tidak tergugat dan mereka
tidak merasa keciwa. Dalam hal ini pemimpin masyarakat Islam seperti
imam-imam perlulah tahu kedudukan orang Islam sebenarnya dari segi masa,
tempat dan kebolehan dan juga perubahan persekitaran yang berlaku
sepanjang masa di dalam dunia yang moden ini. Kegagalan memahami
perkara-perkara ini dengan sewajarnya akan menjadikan imam-imam kurang
berkesan sebagai pemimpin masyarakat Islam. Pendapat yang tidak mengambil
kira proses pemodenan yang sedang berlaku sudah tentu akan mengelirukan
orang Islam dan akan mengurangkan kemampuan mereka untuk mengatasi
cabaran-cabaran dan soal-soal yang timbul dari keadaan dunia yang seperti
kita tahu kurang berminat dengan agama.

10. Masjid dan mimbar adalah tempat yang amat berkesan untuk
berdakwah. Islam bukan agama yang negatif yang cuma tahu melarang. Dalam
Islam terdapat imbangan antara larangan dengan desakan. Kita disuruh
bertaburan di muka bumi Allah ini mencari rezeki selepas berjemaah. Islam
menyuruh kita berniaga, bekerja, berdisiplin, mencari harta, mencari ilmu,
menjelajah ke sana sini, meneliti dan membuat kajian, melengkapkan diri
dengan alatan pertahanan dan seribu satu usaha lain demi kebahagian hidup
umat Islam.

Oleh itu kita hendaklah memberi tekanan yang sama kepada desakan yang
dituntut oleh agama seperti yang kita berikan kepada larangan. Masjid dan
mimbar yang tidak berkesan dalam memandu umat Islam dalam tugas-tugas
dunia yang dihalalkan dan disuruh oleh agama Islam, tetapi yang sebaliknya
menumpukan semata-mata kepada larangan tidaklah boleh dikatakan memenuhi
kehendak agama Islam. Aspek ini mestilah diberi perhatian dan ditekankan
jika kita benar-benar berpegang kepada agama Islam sepenuhnya dan tidak
mahu orang Islam ditindas kerana mereka lemah, miskin, dan tidak mempunyai
keupayaan. Sekali lagi kita dapat lihat peranan yang perlu dimainkan oleh
imam-imam.

11. Masjid adalah tempat orang Islam berkumpul, menjalin perhubungan
sillaturrahim. Tentulah salah jika masjid dijadikan tempat kita
memecahbelahkan orang Islam. Tetapi malangnya ini pernah terjadi di negara
kita. Apakah peranan imam di sini. Tentulah mereka akan bersalah jika
perkara yang mungkar ini dibiarkan berlaku. Tetapi kadang kala mereka
tidak berupaya untuk mengatasinya. Di sinilah kita perlu mempertingkatkan
keupayaan imam-imam kita supaya dapat kita membenteras kejadian yang
malang ini. Sekali lagi peningkatan keupayaan dan pengetahuan imam-imam
menjadi kewajipan yang begitu penting.

12. Tidak ada sesiapa pun yang boleh berkata bahawa pengetahuannya sudah
mencukupi, walaupun dalam bidang yang khusus baginya. Pengetahuan mesti
dituntut seumur hidup sehingga akhir zaman. Mungkin kadang-kala kita
diberitahu tentang apa yang kita sudah pun tahu. Tetapi dalam kursus
seperti ini kita perlu ingat bahawa apa yang kita memang tahu mungkin
tidak diketahui oleh peserta yang lain. Oleh itu kita perlu bersabar dan
bertimbangrasa kepada orang yang lain dan kepada mereka yang ditugas untuk
menyampaikan ilmu dan pengetahuan. Tidak dapat tidak sikap ini akan
membawa kebaikan kepada kita dan saudara-saudara kita. Islam
keseluruhannya. Saya juga yakin bahawa dengan pengetahuan yang bertambah
tuan-tuan imam boleh menyedia dan membekalkan umat Islam untuk menghadapi
cabaran dunia moden.

13. Saya percaya tuan-tuan akan dapat mengukuhkan akidah dan iman
ahli-ahli jemaah tuan-tuan supaya sedikit sebanyak mereka boleh memainkan
peranan sebagai pendakwah tanpa dipengaruhi oleh niat-niat yang lain dari
yang dituntut oleh agama Islam.

14. Inilah harapan kita semua. Inshaallah, kita akan mencapai tujuan kita
ini, jika tidak sepenuhnya sekurang-kurangnya sebahagian
daripadanya. Dengan kursus kefahaman Islam yang berterusan diadakan dari
masa ke semasa kita akan capai matlamat kita ini.

15. Dengan harapan ini, dan dengan doa kehadrat Allah s.w.t. supaya maksud
kita tercapai, saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Kursus
Kefahaman Islam ini.

 



 


 











 
Google