home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : SERI TAMAN. KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 06/05/82 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN MEMORIAL TUN ABDUL RAZAK YAB Datuk Musa Hitam, Timbalan Perdana Menteri dan Datin Laila; YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Toh Puan Sharifah Rodziah; YAB Tun Hussein Onn dan Toh Puan Suhailah; YAB Toh Puan Hajjah Rahah; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-dif Kehormat, Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekelian. Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya bersyukur ke hadrat Allah subhanahu wata'ala kerana dapat bersama-sama hadir di Majlis Perasmian Memorial Tun Abdul Razak yang bersejarah pada pagi ini. 2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarah Arkib Negara yang telah sudi menjemput saya dan isteri saya untuk menghadiri Majlis ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang telah berusaha serta memberi kerjasama untuk melaksana dan menjayakan projek ini. 3. Sejarah sesuatu bangsa dan negara merupakan satu Sesuatu bangsa yang agung ialah sesuatu bangsa yang memberi nilai yang tinggi kepada sejarah dan yang mengambil sejarah, kemanusiaan dan alam semesta. Sejarah akan memberi kepada kita tenaga dan juga landasan di dalam menempa masa depan kita. 4. Negara kita kaya dengan sejarahnya. Sebagai negara yang muda kita amat bertuah kerana di antara tokoh-tokoh dan negarawan kita masih ramai yang dapat bersama-sama melihat pencapaian kita. Pada hari ini kita berbangga kerana dua orang bekas Perdana Menteri, iaitu YTM Tunku Abdul Rahman dan YAB Tun Hussein yang begitu banyak menabur jasa kepada bangsa dan negara dapat bersama-sama memeriah dan memberi erti kepada Majlis ini. 5. Pada hari ini kita berkumpul di satu Majlis untuk memperingati salah seorang daripada tokoh-tokoh penting kita. Tokoh tersebut ialah Allahyarham Tun Haji Abdul Razak yang malangnya, ketika usia yang muda, telah meninggalkan kita. 6. Allahyarham Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia Yang Kedua, banyak mempengaruhi sejarah tanah air. Allahyarham telah mencebur diri dalam politik tanah air semenjak awal-awal lagi. Beliau merupakan salah seorang daripada tokoh-tokoh penting yang meletakkan asas-asas perjuangan untuk menuntut Kemerdekaan dan seterusnya dalam menempa sejarah Malaysia Merdeka. Pada hari ini kita berbangga bersama-sama keluarga dan sanak-saudaranya memperingati tokoh yang diberi penghormatan negara sebagai Bapa Pembangunan. 7. Sesungguhnyalah Allayarham Tun Abdul Razak memberi begitu banyak tumpuan perhatian kepada pembangunan. Setiap detik usianya adalah digunakan untuk mengisi dan memberi erti kepada Kemerdekaan. Allahyarham menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air, bermesra dan menggesa rakyat untuk mengubah nasib, bergaul dengan para pegawai dan pelaksana dan meneliti perjalanan jentera Kerajaan. Hinggalah kita peribadi, walaupun kesihatan beliau di masa-masa yang akhir telah terganggu. Sesungguhnya jasa Allahyarham begitu besar kepada kita semua dan sudah pastilah jasa-jasa dan sumbangan-sumbangan beliau harus diingati oleh rakyat Malaysia, generasi demi generasi. Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekelian. 8. Seri Taman di mana kita berada sekarang merupakan tempat kediaman Allahyraham Tun Abdul Razak semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya setelah beliau menjadi Perdana Menteri sehinggalah ke akhir hayatnya iaitu dari tahun 1963 hingga ke tahun 1976. YAB Tun Hussein Onn, ketika memegang jawatan Perdana Menteri juga mendiami Seri Taman. Di sinilah sebahagian besar daripada perbincangan-perbincangan, keputusan-keputusan dan tindakan-tindakan yang mempengaruhi serta menentukan sejarah negara telah dibuat. Mungkin ada di antara hadirin di Majlis ini yang dapat mengenang kembali liku-liku sejarah untuk mengingati kembali detik-detik dan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di Seri Taman. 9. Di Seri Taman inilah sebahagian daripada usia Allahyarham Tun dihabiskan. Bagi keluarga Allahyarham tentulah banyak yang menjadi kenangan pahit manis di Seri Taman ini. 10. Memandangkan rapatnya Seri Taman dengan Allahyarham Tun oleh itu adalah tepat dan bersesuaian sekali Seri Taman ini dihayati sebagai Memorial Tun Abdul Razak, iaitu sebagai satu tinggalan sejarah yang penting bagi memperingati Allahyarham sebagai seorang tokoh, pejuang dan negarawan tanah air kita. 11. Memorial ini akan menempatkan segala rupa benda yang berkaitan dengan Allahyarham samaada di dalam bentuk asal sepertimana ketika Allahyarham mendiami kediaman ini atau pun dengan cara lain. Projek Memorial ini yang julung-julung kali diadakan di negara ini adalah satu usaha Kerajaan untuk memperingati seorang bekas Perdana Menteri. Tujuan projek ini, bukanlah untuk mendewa-dewakan seseorang tokoh negara tetapi sebaliknya adalah untuk memperlihatkan kepada rakyat, khususnya kepada jenerasi kemudian, tentang nilai perjuangan, pengorbanan, harapan serta aspirasi seorang Perdana Menteri terhadap negara, bangsa dan agama. Adalah penting bagi seluruh rakyat dan setiap generasi menginsafi perjuangan dan pengorbanan bagi membina dan memelihara kedaulatan dan kemakmuran negara. 12. Semasa kita mengejar kejayaan dan kemajuan kita juga harus senantiasa mengingati tentang segala pengorbanan yang telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin kita yang telah terlibat penuh di dalam menempa masa depan negara. Kita tidak harus lupa segala jenis pengorbanan dan kerjasama bagi membebaskan negara dari belenggu penjajahan dan kita tidak harus lupa dengan bahaya yang telah dapat kita atasi serta nilai dan harga segala pencapaian kita hingga ke hari ini. Tidak sesiapa pun yang insafkan sejarah akan menjadi angkuh dengan kejayaan yang dicapai, malah apa yang harus setiap rakyat lakukan ialah bersyukur dan berterima kasih. 13. Saya mendapat tahu bahawa bahan-bahan yang telah dikumpul mengenai Allahyarham Tun adalah amat banyak. Tetapi oleh sebab terhadnya bangunan dan kawasan ini cuma sebahagian sahaja daripada barang-barang tersebut yang dapat di pamerkan di sini. Namun demikian saya gembira mendapat tahu bahawa pihak Arkib Negara yang bertanggunjawab menguruskan Memorial ini akan mengubahsuaikan bahan-bahan pameran mengikut thema-thema tertentu dengan menekan aspek-aspek penting di dalam sejarah hidup Allahyarham dari masa ke semasa. Ini adalah perlu bagi sesuatu Memorial seperti ini kerana ianya hendaklah senantiasa hidup dan dapat membuktikan bahawa segala sumbangan tokoh itu berguna sepanjang zaman. 14. Saya berharap pameran yang disediakan di Memorial ini akan menarik minat orang ramai terhadap sejarah dan warisan tanah air walaupun secara tidak langsung, khususnya di kalangan generasi muda. Kita perlu semaikan rasa dan semangat cintakan tanahair dikalangan anak-anak kita dan di dalam hal ini peranan bahan-bahan bersejarah adalah amat penting bagi menyinkap perasaan ini. Bahan-bahan di dalam Memorial ini seharusnya akan dapat menimbulkan minat dan memberi dorongan serta peransang kepada jenerasi muda untuk berkhidmat dan berbakti kepada negara. Sumbangan dan khidmat bakti Allahyarham Tun untuk membangunkan negara ini tidaklah seharusnya tinggal sebagai kenangan tetapi hendaklah menjadi inspirasi kepada anak-anak muda untuk berazam dan bercita-cita tinggi untuk bersama-sama menyumbang untuk negara. 15. Dengan harapan ini saya, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Memorial Tun Abdul Razak. Wabillahi taufik wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |