Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 06/05/82
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PAMIRAN SAINS 1982
DAN PELANCARAN TABUNG PENYELIDIKAN
DAN KEMAJUAN SAINS NEGARA
Dif-dif Kehormat; Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekelian.
Saya bersyukur ke hadrat Allah subhanahu wataala kerana dengan izinNya
dapat saya bersama-sama menghadiri Majlis Perasmian Pamiran Sains 1982 dan
Pelancaran Tabung Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara pada petang ini.
2. Bagi saya Majlis ini adalah satu majlis yang amat penting dalam konteks
perimbangan pembangunan di negara kita. Pamiran Sains dan juga penubuhan
Tabung Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara merupakan detik-detik
penting dalam sejarah negara kita. Ini bukanlah kerana sains membuktikan
pencapaian negara kita dalam bidang pembangunan dicipta oleh Tuhan. Kita
digesa oleh Allah s.w.t. supaya memerhatikan langit dan bumi dan segala
isinya supaya kita lebih mengetahui. Lebih khusus dan mendalam kita
mengkaji dan mengenal segala ciptaan Tuhan akan lebih kagum kita dengan
susunan rapi dan kompleksnya benda-benda dan makhluk yang diciptakan
Allah. Dari atom yang sehalus-halusnya kepada alam semesta yang tidak
terhingga besarnya, semuanya adalah tersusun mengikut hukum-hukum tertentu
dan memainkan peranan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Hukum-hukum
Allah menentukan gerak-geri dan perhubungan antara satu badan atau benda
dengan yang lain supaya manusia boleh memahami dan menggunakan
ciptaanNya. Yang diperlukan ialah kesanggupan meneliti hukum-hukum Tuhan
dan dari itu dapatlah kita mencari nikmat darinya. Sepertimana kita tahu
hujan turun pada musim yang tertentu dan menyuburkan bumi supaya dapat
kita bercucuk tanam, begitu jugalah kita boleh tahu bahawa besi bila
dibakar menjadi lembut dan boleh dibentuk dan seterusnya atom boleh
dijinakan untuk mengeluar kuasa bagi kegunaan manusia.
3. Semua ini adalah kuasa Tuhan dan Tuhan yang menentukannya. Tetapi orang
yang angkuh memperkenalkan sains sebagai ilmu yang seolah-olah tidak ada
kaitan dengan Allah, dan susunan gerak-geri "matter" dikenalkan sebagai
scientific Laws yang terasing dari hukum-hukum Allah.
4. Saya memperingati hakikat ini supaya sekurang-kurangnya kita di
Malaysia tidak lupa daratan. Sains adalah ilmu yang menjadi kepunyaan
manusia jauh sebelum perkataan sains dicipta atau diperkenalkan. Sains
cuma satu cara mengenal ciptaan dan hukum-hukum Tuhan yang diasaskan
kepada kajian yang teratur yang tidak dipengaruhi oleh khayalan manusia.
Tidak ada emosi dalam sains. Yang dikehendaki ialah mengenal hakikat yang
ditentukan oleh Tuhan. Dengan pengenalan ini kita akan lebih faham
keagongan Tuhan dan kurniaanNya kepada kita. Oleh kerana kita lebih tahu
apa yang dikurniakan kepada kita sebagai insan maka dapatlah kita gunakan
kurniaan ini dengan lebih berkesan dan lebih mendatangkan kebahagiaan
kepada kita. Sepertimana hujan membolehkan kita bercucuk tanam, begitulah
pemecahan atom boleh digunakan oleh kita untuk menjanakuasa dan
lain-lain. Inilah sebabnya yang kita berminat dengan sains dan teknoloji
yang menyusuli sains.
5. Ilmu pengetahuan boleh diguna untuk kebaikan atau untuk
keburukan. Begitu jugalah dengan ilmu sains. Jika sains diguna untuk
keburukan, ini bukan kerana sains itu tidak baik tetapi kerana manusia
yang jahat menguasai sains. Menghapuskan sains untuk mengelak dari
berlakunya kejahatan bukanlah caranya kerana kejahatan boleh berlaku tanpa
sains. Untuk mengatasi kesan keburukan dari sains caranya ialah untuk
orang yang baik dan bertanggungjawab menguasai sains. Jika kita
berpendapat bahawa kita adalah baik dan orang lain tidak baik atau berniat
jahat maka menjadi tanggungjawab kitalah menguasai ilmu sains.
6. Kita menggalak pelajaran sains dan penyelidikan di bidang sains kerana
kita ingin guna sains untuk kebaikan dan untuk memelihara diri kita dari
ditindas dan dihina oleh orang lain. Akan bersalahlah kita jika kerana
salahfaham tentang sains dan teknoloji kita menolaknya. Sains bukan
ciptaan dan hak orang Barat. Sains adalah susulan dari ilmu-ilmu kajian
alam sekeliling yang telah disusun caranya supaya perasaan dan khayalan
manusia tidak mempengaruhi kajian kebenaran susunan dan hukum-hukum yang
ditentukan oleh Tuhan. Oleh itu tumpukanlah kepada ilmu ini tanpa
melupakan ibadat yang lain. Akan kita lebih faham dan kagum dengan
kebenaran Tuhan kerana ciptaanNya yang begitu teratur dan tersusun dan
begitu berpotensi memanfaatkan manusia.
7. Saya tujukan penjelasan ini bukan kepada orang Islam sahaja tetapi
kepada semua orang, khusus kepada cerdik-pandai di Malaysia. Janganlah
kita jadi angkuh kerana kita memahami "the nature of matter and its
application" dan kita fikir tidak ada siapa yang boleh mengatasi
kita. Semua yang kita pelajari adalah hukum-hukum Tuhan terhadap matter
dan penggunaan ilmu yang kita kuasai cuma boleh dibuat jika ia secucuk
dengan hukum-hukum yang telah ditentukan oleh Tuhan. Oleh itu bersikap
rendahdirilah semua kita walau bagaimana tinggi sekalipun pengetahuan
kita. Scientology dan atheisma tidak akan wujud jika kita tahu punca
pengetahuan kita dan kita sujud kepada Tuhan yang Maha Kuasa. Bangsa
Malaysia akan menjadi lebih bahagia dan lebih mulia jika perspective yang
sebenar dalam mempelajari ilmu sains dan teknoloji yang menyusulinya
difahami sepenuhnya oleh kita.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekelian.
8. Apa yang dicapai oleh sains setakat ini, walaupun begitu mengkagumkan
sekali, hanyalah merupakan sebahagian kecil daripada kemampuan yang
dirahmatkan oleh Tuhan kepada kita daripada gedung ilmu pengetahuan yang
menunggu kita.
Yang menjadi penghalang terhadap kemajuan kita di dalam semua lapangan dan
bidang yang diredhai ialah semangat dan usaha. Oleh itu usaha untuk
menyedar rakyat supaya berminat terhadap sains dan teknoloji sebagai alat
untuk kemajuan perlulah diadakan. Majlis ini merupakan titik-titik penting
di dalam tindakan kita untuk meletakkan asas yang kukuh di dalam kemajuan
sains, teknologi, ilmu pengetahuan dan penyelidikan yang saintifik di
negara kita.
9. Sehingga sekarang sains masih merupakan satu perkara asing yang ganjil
kepada kebanyakkan rakyat Malaysia. Ramai yang takut memasuki bidang sains
kerana dianggap susah dikuasai. Anggapan ini menjadi satu benteng yang
tinggi yang menyekat penggunaan sains dalam mencapai kehidupan yang lebih
bahagia. Sementara kita dengan mudahnya mengguna hasil sains di negara
asing, kita sendiri tidak mengguna cara sains dalam kajian dan teknoloji
sains dalam memperbaiki alat-alat dan pengeluaran kita. Di sini nampaknya
jelas bahawa anggapan bahawa sains adalah satu misteri yang kita tidak
mungkin kuasai perlu dihapuskan.
10. Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan sains dalam bentuk yang mudah
difahami oleh semua orang. Sebuah Syarikat Jepun, iaitu Matsushita telah
bersetuju mengadakan pamiran model-model yang menerangkan beberapa
asas-asas sains dan juga cara-cara alat-alat rekaan manusia yang
menggunakan asas-asas sains ini terutama dalam bidang
electronik. Model-model ini akan dipamir disatu dewan pamiran di
Universiti Teknoloji di Kuala Lumpur.
Model-model ini akan ditukar dan diperbaharui apabila alat-alat yang lebih
moden dicipta. Melalui model-model ini kanak-kanak dan orang dewasa akan
dapat faham dengan mudahnya asas-asas sains dan cara asas-asas ini diguna
dalam alat-alat yang menolong memudahkan kehidupan manusia. Dengan cara
ini kita berharap sains tidak lagi menjadi satu misteri atau ilmu yang
ajaib tetapi sebaliknya dikenal dan difaham oleh semua.
11. Selain daripada rancangan ini institusi-institusi yang memberi
keutamaan kepada sains, teknologi dan penyelidikan, akan mendedahkan sains
secara menyeluruh. Sehingga kini walaupun talivisyen menunjuk siri-siri
sains, semuanya adalah buatan luar negeri yang menimbul perasaan terasing
dan keajaiban. Patut juga kita adakan gambar-gambar yang memperkenalkan
asas-asa sain dengan mengguna peristiwa dan contoh di dalam negara kita
sendiri. Umpamanya berkenaan dengan bercucuk tanam , gambar-gambar yang
mudah difaham boleh dibuat yang menunjuk bagaimana pokok-pokok tumbuh dari
benih hingga ke peringkat mengeluar hasil, atau peranan serangga dalam
tumbuh-tumbuhan, atau bagaimana ternakan ikan diasaskan kepada sains dan
seribu satu peristiwa lagi.
Tidak menjadi salah jika pakar-pakar dari luar negeri diguna buat
permulaaan sehingga kita memiliki kecekapan mengeluarkan gambar-gambar
itu. Di samping itu semua perpustakaan hendaklah dilengkap dengan
buku-buku sains yang mudah difaham yang mengguna gambar-gambar sebagai
cara menjelaskan proses-proses sains yang berjalan. Tumpuan hendaklah
diberi bukan sahaja kepada kanak-kanak di sekolah tetapi kepada orang
dewasa terutama kaum tani yang perlu faham proses tumbuh-tumbuhan yang
menjadi sumber saraan mereka.
12. Sains sebagai ilmu bukanlah untuk ahli sains sahaja.
Sains di zaman ini adalah untuk orang ramai. Oleh itu adalah penting orang
ramai mengenali sains dan mengetahui peranannya dalam kehidupan
mereka. Kita tidak mahu rakyat di negara ini tercengang dengan kebolehan
orang lain kerana mereka tidak faham bagaimana orang asing menggunakan
sains untuk membuat itu dan ini. Tidak ada sesuatu yang lebih melemahkan
semangat daripada kurang pengetahuan. Kita tidak mahu rakyat Malaysia
lemah semangat sehingga mudah ditawan jiwa mereka.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekelian.
13. Saya telah menyentuh dengan ringkas mengenai rangka dan tempat sains,
teknologi, ilmu pengetahuan dan penyelidikan di dalam konteks negara
kita. Rangka yang saya sebutkan itu merupakan asas dasar sains
negara. Saya harap Majlis Kebangsaan Bagi Kemajuan Sains dan Penyelidikan
akan memperkemaskan aspek-aspek dasar ini bagi membolehkan kemajuan sains
dan penyelidikan berkembang mengikut kehendak negara. Perseimbangan
hendaklah diberi kepada aspek-aspek asas dan gunaan atau 'basic and
applied' dan kepada sains mutlak dan juga sains kemsyarakatan. Tindakan
hendaklah juga diambil supaya kemajuan sains dan penyelidikan akan memberi
hasil yang optima kepada kita kerana, sebagai negara yang kecil dengan
kemampuan kewangan yang terhad, kita terpaksa menjamin tindakan-tindakan
kita tidak menimbulkan pembaziran dan pertindihan
aktiviti. Institusi-institusi penyelidikan, termasuk institusi-institusi
pengajian tinggi yang mempunyai fungsi-fungsi penyelidikan hendaklah
memberi keutamaan kepada penyelarasan dan mutu penyelidikan di samping
mengambil daya usaha untuk meningkatkan kemampuan penyelidik ahli-ahli
sains dan penyelidik-penyelidik tempatan.
12. Saya difahamkan bahawa Majlis Kebangsaan Bagi Kemajuan Sains dan
Penyelidikan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar sedang
berusaha untuk memperkemaskan lagi usaha ke arah kemajuan sains dan
penyelidikan di negara kita. Saya rasa masanya telah sampai bagi
pendekatan ke arah memajukan sains dan teknologi serta penyelidikan di
negara kita mendapat sambutan yang lebih positif daripada semua pihak yang
berkenaan. Tabung Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara dengan sumbangan
sebanyak sejuta Ringgit daripada Kerajaan tidak akan mencapai tujuannya
jika tidak bersama-sama mendapat sumbangan dan kerjasama sektor swasta dan
lain-lain pihak. Oleh itu sukalah saya menggesa supaya Tabung ini dianggap
oleh semua pihak sebagai tanggungjawab bersama bagi memajukan sains dan
penyelidikan di negara kita.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekelian.
13. Dengan harapan ini, saya dengan segala sukacitanya merasmikan
pelancaran Tabung Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara dan seterusnya
merasmikan Pamiran Sains 1982.
|