Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ISTANA NEGARA. 
Tarikh/Date 	: 	02/06/82 
Tajuk/Title  	: 	UCAPAN TAHNIAH DAN IKRAR TAAT-SETIA 
			KEPADA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA 
			SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN 
			AGONG SEMPENA HARI KEPUTERAAN 
			RASMI BAGINDA 




Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Haji
Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin
Al-Mu'adzam Shah, D.K.M., Yang Di Pertuan Agong, Ampun Tuanku.
diri patek sendiri serta bagi pihak Kerajaan dan rakyat kepada Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Tuanku sempena Hari Keputeraan Rasmi Baginda Tuanku
pada hari ini.

2. Patek sekelian berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga
dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmatNya Kebawah Duli Tuanku serta
Baginda Raja Permaisuri Agong. Patek sekelian juga berdoa semoga Baginda
Tuanku berdua sentiasa berada di dalam keadaan sihat wal'afiat serta kekal
memerintah dan berkhidmat dalam jawatan yang tertinggi di Persekutuan ini
dengan bertambah-tambah daulat dan kemuliaannya.

Ampun Tuanku.

3. Suasana ekonomi dunia masih mengalami kemerosotan dan mengancam
kemajuan banyak negara, khususnya negara-negara membangun. Walaupun negara
kita telah mengambil tindakan-tindakan yang tegas bagi mengurangkan kesan
kemerosotan ekonomi dunia ini, namun demikian dalam hubungan ekonomi
antarabangsa moden kita tidak dapat mengelakkan diri daripada pengaruh
kemerosotan ini.

4. Keadaan ini telah menjadi lebih genting lagi dengan sikap kurang
simpati dan kejujuran setengah-setengah negara maju terhadap
masalah-masalah yang dihadapi oleh dunia ketika ini. Memandangkan kepada
hakikat ini, kita terpaksa mengkaji semula keutamaan program-program dan
projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Keempat. Tujuannya ialah bagi
membolehkan kita memelihara ekonomi negara dan mengurangkan kesan-kesan
yang buruk kepadanya. Walau bagaimanapun Kerajaan akan terus memberi
perhatian dan keutamaan kepada program-program dan projek-projek yang
dapat memberi faedah kepada rakyat.

5. Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sedang memberi keutamaan kepada
semua usaha yang dapat meningkatkan daya pengeluaran sebagai satu dari
usaha-usaha memulihkan ekonomi negara. Tindakan-tindakan tertentu sedang
diambil ke arah mewujudkan satu etika kerja yang mementingkan disiplin dan
kesungguhan bekerja di kalangan semua rakyat. Insyaalah, dengan
penglibatan semua pihak, lebih-lebih lagi penglibatan rakyat biasa,
usaha-usaha kita ini akan mencapai kejayaan.

6. Patek sekelian yakin bahawa di bawah naungan Tuanku, negara Malaysia
akan terus berada di dalam suasana aman, sejahtera dan makmur. Patek
sekelian juga yakin bahawa dengan pimpinan Tuanku taraf kehidupan rakyat
akan meningkat dan perpaduan serta ketahanan di kalangan mereka akan
menjadi bertambah kukuh. Patek bersama-sama dengan Menteri-menteri,
Timbalan-timbalan Menteri serta sekelian pegawai dan kakitangan Kerajaan
akan terus berusaha dengan lebih giat lagi untuk melaksanakan tugas dan
tanggungjawab patek sekelian dengan bersih, cekap dan amanah.

7. Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini, patek bagi pihak diri
patek sendiri dan bagi pihak Kerajaan dan rakyat sekelian dengan segala
hormat dan takzimnya mohon menyembah ikrar taat setia yang tidak berbelah
bahagi kepada Kebawah Duli Tuanku.

Ampun Tuanku.

Sekian, sembah patek harap diampun.

 



 


 











 
Google