Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KUALA LUMPUR (KL) 
Tarikh/Date 	: 	19/06/82 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PENUTUP MUSABAQAH MEMBACA 
			AL-QURAN ANGKATAN TENTERA, 




Bismillahir rahmannir rahim, Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saudara-saudara Muslimin Muslimat sekelian.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada
Jawatankuasa Musabaqah yang telah sudi menjemput saya dan isteri saya ke
Majlis Penutup Musabaqah Membaca Al-Quran Angkatan Tentera malam ini dan
saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat hadir di
majlis ini.

2. Sebagaimana kita maklum, thema Musabaqah Angkatan Tentera pada kali ini
ialah 'Al-Quran Menyatakan Segala'.

Maksud thema ini dapat kita renungi dengan jelasnya daripada Al-Quran ayat
138 Surah 3 yang bermaksud: (Al-Quran) ini adalah penerangan bagi seluruh
manusia, dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa.

3. Firman Allah s.w.t. itu jelas menjadi dalil bahawa kita dapat menimba
dari Al-Quran segala apa jua asas pengajaran dan panduan yang kita
perlukan. Tetapi, ini tidak bermakna bahawa kita akan mendapat hasil dari
petunjuk dan apa yang dijanjikan itu semata-mata dengan meminta-minta dari
Tuhan. Kita masih perlu menggunakan akal fikiran dan tenaga yang ada pada
kita. Tanpa usaha dan kesanggupan memikul tanggungjawab serta mengatasi
segala rintangan, kita tidak akan mencapai matlamat yang
ditujukan. Sementara kita memohon dan menyerah kepada Tuhan rabbul'alamin
kita mesti menambat unta dan memiliharanya.

4. Hari ini dunia sekali lagi menyaksikan keangkuhan dan kekejaman bangsa
Yahudi yang tidak berbeza dari kekejaman rejim Nazi di masa Hitler
memerintah Jerman. Wilayah Arab dilanggar tanpa memperdulikan pendapat
dunia dan askar-askar Bangsa-bangsa Bersatu. Orang-orang awam, kanak-kanak
dan orang-orang tua dibom, ditembak dan dibunuh. Beribu-ribu telah mati
dan cedera kerana manusia yang bengis seperti Nazi Jerman memerintah
Palestin dengan sokongan pihak-pihak tertentu.

5. Kita sedih melihat perbuatan tidak berperikemanusiaan
ini. Negara-negara Islam, dan Arab di gesa supaya merayu kepada dunia
supaya mendesak Yahudi memberhentikan pencerobohan dan kekejaman Nazi yang
mereka lakukan. Tetapi apakah kali ini pehak lain akan mendengar rayuan
kita sedangkan dahulu mereka tidak mendengar. Apakah orang yang tidak
sedikit pun bersimpati dengan kita, yang berideoloji kebendaan dan yang
tidak percaya kepada Tuhan akan menolong kita? Kita khayal jikalau kita
memikirkan kita akan di tolong.

6. Apa yang berlaku sekarang ialah kita membaca Al-Quran dan kita dengan
fasih menyebut ayat-ayat Quran, tetapi kita tidak mengikut petunjuk yang
terdapat di dalamnya.

Musabaqah Membaca Al-Quran mungkin memberi tumpuan kepada ketertiban
membaca, kepada lagu dan lain-lain. Tetapi lebih penting dari semua ini
ialah musabaqah membaca Al-Quran memberi peluang kepada kita mendengar dan
memahami panduan yang terkandung dalam Al-Quran supaya kita sedar dan kita
amalkannya.

7. Bagi Angkatan Tentera mesej dalam Al-Quran yang perlu diambil berat dan
diamalkan ialah persediaan bagi mempertahan umat Islam dan wilayah-wilayah
mereka. Di zaman Rasullallah yang perlu ialah kuda dan pedang. Di zaman
ini pula yang diperlukan ialah peluru berpandu dan kereta kebal, latihan
yang kemas dan susunan pertahanan yang mengambilkira taktik dan strategi
moden. Al-Quran menyuruh kita berdisiplin dan jangan membantah atau
membelakangkan perintah. Jika semua suruhan ini kita patuhi dan kita
amalkan, kita tidak lagi perlu khayal dengan harapan bahawa apabila kita
diserang, orang lain akan membantu kita.

umat Islam untuk mempertahankan watan kita tidak diambil berat. Mungkin
ada di antara kita yang akan menyoal kenapa kita, kenapa tidak orang lain
yang ditugaskan untuk mempertahankan negara. Jika sesiapa yang ditugaskan
untuk mempertahankan negara bertanya kenapa dia dan tidak orang lain, maka
tidak akan ada siapa pun yang akan memikul tugas ini. Jika semua kita
menunggu dan berharap kepada orang lain bagi mempertahankan negara, dan
orang lain pun akan memikir demikian, tentulah tidak akan ada siapa pun
yang akan memikul tanggungjawab ini dan negara kita boleh ditawan dan
dijajah pada bila-bila masa sahaja. Kenyataan yang kita perlu terima ialah
dalam mempertahankan negara ada yang akan memikul senjata dan ada yang
tidak. Di zaman moden ini tidak siapa pun yang akan selamat. Semuanya akan
diserang dan semua akan menghadapi bahaya. Tentulah menjadi lebih baik
jika pasukan yang terlatih ditugaskan untuk menangkis serangan musuh
daripada kita berdebat siapa yang perlu kehadapan lebih dahulu. Tidak ada
keselamatan tanpa korban.

Jika kita menghabiskan masa mengeloh terhadap nasib, nasib kita akan
menjadi malang. Dalam Islam mengeluh dan keciwa tidak mempunyai
tempat. Nabi Allah Ibrahim a.s. tidak bertanya mengapa anaknya Ismail yang
perlu dikorbankan.

Kita semua tahu apa dianya balasan dari Tuhan kepada orang yang ta'at ini.

perlulah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendekatkan diri dengan
Al-Quran. Kita mungkin tertarik dengan bacaan yang merdu; di samping itu
juga kita dapat membaca dan mendengar ayat-ayat dan tafsirannya. Tidak
dapat tidak kita akan lebih faham isi kandungan Al-Quran dengan menghadiri
majlis membaca Al-Quran seperti yang diadakan pada malam ini. Inilah
tujuan sebenar yang kita adakan musabaqah membaca Al-Quran. Yang lainnya
adalah selingan sahaja guna untuk menarik minat kita mendekatkan diri
kepada ajaran dalam Al-Quran Al-Karim.

Saudara-saudara sekelian, 

10. Beberapa hari lagi umat Islam akan mula menunaikan ibadat puasa
Ramadhan sebagai menyempurnakan salah satu rukun Islam yang lima. Umat
Islam dikehendaki membanyakkan beribadat, lebih-lebih lagi membaca
Al-Quran di dalam bulan Ramadhan. Oleh itu bulan Ramadhan merupakan satu
ketika yang paling penting bagi mengasah dan mengisi kerohanian kita
dengan amalan-amalan yang baik dan akhlak yang mulia.

11. Di negara kita pada masa ini telah terdapat banyak buku-buku agama
termasuk terjemahan Al-Quran di dalam bahasa Malaysia. Umat Islam bukan
sahaja dapat memperolehi terjemahan Al-Quran dan tafsiran Al-Quran,
malahan bermacam-macam buku yang dapat meluaskan lagi pengetahuan
masyarakat mengenai berbagai aspek agama Islam. Kita harus merasa bertuah
kerana keadaan ini adalah lebih baik daripada masa-masa yang lalu di mana
begitu sukar sekali untuk kita mendapat bahan-bahan bacaan mengenai agama
dan kalau pun ada, kebanyakannya ditulis dengan Bahasa Melayu lama yang
susah difahami oleh peringkat muda di dalam masyarakat kita.

12. Bertambahnya sumber bacaan bagi kita adalah satu rahmat dan kita
hendaklah mengambil peluang ini untuk mendalami pengetahuan kita mengenai
Islam dan tentang isi kandungan Al-Quran, mudah-mudahan dengan usaha kita
itu, kita akan mendapat petunjuk dan manfaat yang bertambah lagi.

13. Kita maklum bahawa pada masa ini dunia sedang mengalami perubahan yang
amat pesat dan masyarakat yang lemah pegangan agamanya sedang dipengaruhi
oleh berbagai gejala yang tidak sihat. Kita tidak boleh membenarkan negara
dan masyarakat kita dibinasakan oleh gejala-gejala ini. Kita harus waspada
bahawa bibit-bibit penyakit sosial boleh meresap ke dalam angkatan tentera
dan akan melemahkan negara kita. Oleh itu kita hendaklah sentiasa
berpegang kepada ajaran-ajaran Al-Quran dan berlindung dengan Allah
s.w.t. Janganlah kerana sedikit masalah kita membenar diri kita
dipengaruhi oleh perasaan yang meluap-luap yang akhirnya membawa kepada
tindakan yang tidak bertanggungjawab. Angkatan Tentera yang tidak
bertanggungjawab dan tidak berdisiplin bukanlah angkatan tentera.

14. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi
tahniah kepada pemenang-pemenang Musabaqah ini. Walau bagaimanapun kita
harus sedar bahawa sesuatu Musabaqah Membaca Al-Quran bukanlah diadakan
untuk berbangga samada dengan majlis yang disediakan atau pun dengan
kemenangan, tetapi ialah kerana memuliakan Al-Quran dan mempelajari
daripadanya.

15. Akhir kata, saya dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha
Mengasihani dengan segala sukacitanya menutup Musabaqah Membaca Al-Quran
Angkatan Tentera ini.

Wabillahi taufik walhidayah Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 



 


 











 
Google