home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	BANGUNAN RISDA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	03/07/82 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PEMBUKAAN PERHIMPUNAN 
			AGUNG MIC 




Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Samy Vellu dan Ahli-ahli
Jawatankuasa Pusat MIC yang telah menjemput saya ke Majlis Perasmian
Perhimpunan Agung MIC Yang Ke 30 ini. Sebagai Pengerusi Barisan Nasional,
adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengikut dan meneliti perkembangan
setiap parti komponen Barisan Nasional dan sesuatu perhimpunan agung
sesebuah parti komponen, adalah peristiwa yang penting yang dapat menambah
pengetahuan saya mengenai politik dan kemajuan Barisan Nasional.

2. Saya telah berpeluang berucap di Majlis yang sama pada tahun lalu,
iaitu buat kali pertama setelah saya memegang jawatan Pengerusi Barisan
Nasional. Dalam ucapan saya itu saya telah menyentuh tentang peranan dan
tanggungjawab parti-parti komponen Barisan Nasional, khususnya mengenai
MIC dan masyarakat India, dan mengenai pelaksanaan dasar-dasar negara
setelah saya memegang teraju pentadbiran negara. Pada kali ini, setelah
Barisan Nasional memenangi Pilihanraya Umum 1982, biarlah saya khususkan
ucapan saya kepada tanggungjawab kita setelah diberi mandat oleh rakyat.

3. Pilihanraya Umum yang lalu telah membawa kejayaan yang membanggakan
bagi Barisan Nasional. Rakyat sekali lagi telah memberi mandat yang besar
kepada Barisan Nasional untuk mentadbir negara. Kemenangan yang kita capai
itu, tidak lain dan tidak bukan, hanya memberi erti bahawa kita mesti
bekerja lebih keras lagi untuk menunaikan segala janji-janji yang telah
kita buat. Pelaksanaan janji-janji kita itu terletak di bahu setiap ahli
serta penyokong parti-parti komponen Barisan Nasional, tidak kira sama ada
seseorang itu memegang jawatan di dalam Kerajaan, ataupun sebaliknya.

4. Rakyat telah menentukan bahawa mereka mahukan Kerajaan bersih, Kerajaan
cekap dan Kerajaan amanah. Dengan lain-lain perkataan, rakyat mahukan
sebaik-baik Kerajaan yang dapat melaksanakan dasar-dasar negara dengan
tegas dan berani; rakyat mahukan perkhidmatan yang baik, mesra dan
segera; rakyat mahukan kehidupan yang lebih sempurna dengan Kerajaan
melaksanakan segala sesuatu dengan bijak, adil, dan cekap . Ini bermakna
bermula dari Menteri, hinggalah kepada pegawai yang paling rendah di dalam
Kerajaan, mestilah melaksanakan segala yang telah dijanjikan. Hasrat untuk
menunaikan janji-janji kita itu hendaklah lahir dari keinginan untuk
berkhidmat kepada rakyat dan negara, dan bukan kerana mahu dipuji, mahu
dikenali ataupun kerana mahu mendapat tempat-tempat yang tertentu sahaja .

5. Segala-galanya yang dijanjikan tidak mungkin terlaksana jika
Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri, pegawai-pegawai kanan dan
semua kakitangan Kerajaan tidak berusaha, tidak berfikir dan tidak
bertindak untuk membawa kejayaan. Demikian pula, segala-galanya sukar
dilaksana, jika ahli-ahli parti dan penyokong-penyokong parti, bermain
politik untuk mencari pengaruh dan nama, dan menganggap Kerajaan sebagai
penjaga kepentingan mereka yang berpengaruh sahaja, dan boleh
dilentur-lenturkan, bagi menjaga kepentingan mereka . Demikian juga,
hasrat kita itu tidak mudah menjadi kejayaan jika rakyat tidak
bersama-sama berganding bahu, memberi sokongan dan kerjasama bagi
menjayakannya. Kita tidak boleh membiarkan sifat-sifat keji untuk mencari
keuntungan daripada jawatan dan memperalatkan Kerajaan kerana muslihat
diri dan peribadi untuk menjejaskan hasrat dan cita-cita murni kita .

6. Sekarang, setelah kita mendapat mandat, tidak kira Menteri atau
pegawai, mestilah mengenal-pasti semua masalah dari dekat dan dengan
terperinci dan seterusnya menggunakan akal-fikiran serta tenaga bagi
mengatasi masalah-masalah yang wujud dalam mencapai hasrat Kerajaan
bersih, cekap dan amanah. Seseorang tidak akan dapat mengenal-pasti
masalah jika ia sentiasa berada di dalam bilik pejabat, kalau ia cuma
pentingkan kedudukannya sebagai VIP dan hanya menggunakan khidmat
keutamaan, iaitu tidak sanggup menggunakan khidmat yang digunakan oleh
rakyat biasa dan dengan cara yang dibuat oleh rakyat biasa. Maksudnya,
kita tidak akan dapat mengatasi masalah sekiranya kita mengasingkan diri
daripada sistem yang dilaksanakan bagi orang ramai walaupun kita dengan
lantang mengeluarkan slogan-slogan memperjuangkan nasib rakyat. Kita
mahukan sistem yang terbaik yang dapat memberi khidmat yang terbaik bukan
sahaja kepada orang-orang kenamaan malahan bagi keseluruhan rakyat. Dengan
lain-lain perkataan, sesiapa juga yang bertindak untuk mewujudkan sistem
yang mereka sendiri tidak mungkin puas hati dengannya, adalah musuh kepada
Kerajaan bersih, cekap dan amanah .

7. Saya menyentuh Kerajaan bersih, cekap dan amanah di sini kerana ia
harus diketahui dengan sejelas-jelasnya oleh semua pihak, dan oleh itu, ia
perlulah di-ulang sehingga menjadi sebahagian dari nilai hidup
kita. Kadang-kadang, sesuatu sistem menjadi rosak kerana ada pihak yang
tidak menggunakan sistem yang wujud dengan betul, malah, mereka inginkan
sistem tersebut memberi keutamaan kepada mereka; apa yang terjadi kepada
orang lain adalah masalah orang lain. Ini seringkali terjadi apabila
setengah-setengah individu yang berpangkat, ternama, dan penyokong parti
menganggap diri mereka sebagai terkecuali daripada peraturan dan tata-cara
yang ada hinggakan pegawai-pegawai yang bertugas merasa begitu terancam
jika tidak memberi layanan yang istimewa. Ada pula yang begitu angkuh
dengan kedudukan mereka hingga sanggup melakukan sesuatu yang melanggar
peraturan seperti peraturan jalan-raya dan lalu-lintas.

Jika peraturan menentukan ukuran-ukuran tertentu dan jenis-jenis tertentu
bagi nombor kereta, misalnya, ada yang merasa mereka dikecualikan, dan
yang menjadi lebih anih ialah cara penguatkuasaan pun menjadi kelam-kabut.

Sepatutnya, semua pihak memberi kerjasama bagi memudahkan pelaksanaan
Kerajaan bersih, cekap dan amanah. Dan sepatutnya, semua pihak merasa
bangga kerana dapat membuat sumbangan kepadanya.

8. Di antara perkara-perkara yang penting yang perlu diamalkan ialah
menjamin sistem yang baik, cara bekerja yang bertanggungjawab serta jujur,
penjimatan dan jaminan mutu khidmat dan hasil kerja yang tinggi . Itulah
sebabnya kita memberi keutamaan kepada usaha-usaha yang dapat meningkatkan
daya-pengeluaran ataupun "productivity." Berhubung dengan usaha-usaha ini
juga, kita mahukan seluruh sistem Kerajaan memberi keutamaan kepada
penjimatan di dalam semua bidang kerja kerana pembaziran, sama ada dari
segi perbelanjaan, penggunaan alat-peralatan, tenaga dan lain-lain,
hanyalah bererti kita membuang wang dan tenaga dengan sia-sia. Kita
mahukan usaha dan amalan yang baik menjadi cara hidup kita iaitu selaras
dengan satu bangsa yang mulia.

9. Di samping itu, kita juga pentingkan mutu dan hasil usaha kita. Di
dalam dunia serba moden ini, jika kita hanya barang buatan - tanpa memberi
keutamaan kepada mutu yang tinggi, kita tidak dapat ke mana-mana; kita
tidak dapat bertanding dengan orang lain. Itulah sebabnya kita mahukan
daya-pengeluaran yang tinggi, kita mahukan hasil kerja yang bermutu
tinggi, dan kita tidak mahu apa-apa jua pembaziran. Iaitu satu sikap yang
menjadi disiplin baru bagi rakyat Malaysia, tidak kira warna kulit dan
kepercayaan. Jika perubahan sikap ini tercapai oleh setiap rakyat,
Malaysia akan merasai satu kebahagiaan yang tidak pernah dialaminya
sebelum ini, dan ini akan menjadi jaminan jangka panjang, bagi generasi
demi generasi yang akan datang.

11. Salah satu faktor yang akan menjadi penggerak kepada usaha kita ini
ialah keyakinan rakyat, bahawa tanpa melalui cara-cara ini kita mungkin
gagal di tengah jalan dan kita mungkin menjadi hancur, dan dengan itu,
kita mesti mengubah sikap kita, walaupun ada mereka yang ingin
mengelirukan kita dengan politik sempit dan politik memancing undi
. Inilah satu perkara yang setiap parti komponen Barisan Nasional dan
setiap rakyat harus memberi pertimbangan, kerana tidak mungkin ada
kebahagiaan tanpa pengorbanan, dan pengorbanan yang paling mulia ialah
pengorbanan bagi menjamin masa depan negara yang kita sayangi ini.

12. Saya yakin MIC, sebagai rakan di dalam Barisan Nasional akan
bersama-sama meningkatkan keupayaannya bagi menjamin terlaksananya segala
janji-janji kita kepada rakyat dan negara. Sebagai parti komponen di dalam
Barisan Nasional kepuasan bagi kita, tidak lain, hanyalah kerana
kesanggupan dan kejujuran kita untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

13. Dengan pesanan ini, saya dengan segala sukacitanya merasmikan
Perhimpunan Agung MIC Yang Ke 30 ini.

Pejabat Perdana Menteri, Kuala Lumpur.

 



 


 











 
Google