home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MELALUI RADIO DAN 
			TELEVISYEN MALAYSIA 
Tarikh/Date 	: 	01/08/82 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL 
			FITRI (PUASA) 




Bismillahir rahmanir rahim.

Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saudara-saudari Muslimin-muslimat yang dihormati sekelian, Allahu Akbar,
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd.

esok, kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri yang mulia.

2. Kalau kita teliti, puasa sebulan Ramadan adalah satu perjuangan, atau
jihad bagi umat Islam, kerana puasa, bukan sahaja bererti menahan diri
dari lapar dan dahaga, serta dari perkara-perkara lain yang di larang
ketika berpuasa, tetapi juga merupakan peperangan melawan dan mengawal
hawa nafsu dengan bersenjatakan iman, taqwa dan ibadat.

Perjuangan ini bukan dengan niat dan semangat semata-mata, tetapi dengan
amalan, kesungguhan serta disiplin. Oleh sebab besarnya hikmat puasa, maka
Allah subhanahu wataala menambahkan pahala dan ganjaran terhadap ibadat
dan kebaikan yang dilakukan dalam bulan yang mulia ini. Ibadat puasa dapat
membawa satu perubahan yang besar, iaitu satu kemenangan kepada diri kita,
jika diamal dengan tekun dan sabar.

3. Jihad sepanjang bulan Ramadan merupakan satu latihan yang berkesan bagi
membawa kita melalui satu proses perubahan sebagai orang Islam yang
sejati. Bukan sahaja kita harus tekun dan sabar menjalankan puasa, tetapi
puasa kita hendaklah dibuat dalam keadaan biasa, iaitu keadaan di mana
kita menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawab seperti di bulan-bulan
lain. Yang penting ialah, di samping bekerja dengan tekun, kita juga
meningkatkan ibadat yang kita amalkan. Sekiranya kerana berpuasa kita
mengabai, atau meringan-ringankan kerja, maka ini tidaklah memberi makna
kepada puasa kita, kerana dengan ini kita sebenarnya telah tunduk kepada
desakan nafsu.

4. Jika kita berpuasa dengan tekun dan mengikut kehendak ajaran Islam yang
sebenar, kita tidak akan mengabaikan amalan ibadat harian, dan kerja yang
dipertanggung-jawabkan kepada kita, malah kita akan menambahkannya, dan
kita akan melakukannya dengan penuh insaf dan rela hati. Kita akan
membayar zakat, dan kita akan bersedekah dengan penuh keimanan. Justeru
itu, kedatangan Hari Raya akan merupakan detik kemenangan bagi kita. Yang
menjadi harapan kita ialah kemenangan yang berterusan di mana kita dapat
menghayati nilai-nilai Islam yang menjadi dorongan dan asas segala amalan
dan gerak-geri kita.

5. Hikmat puasa yang harus membawa perubahan yang besar kepada umat Islam
masih belum mencapai tarafnya sebagaimana yang dikehendaki oleh
Islam. Umat Islam belum lagi mencapai kemenangan yang diharapkan di mana
mereka bersatu-padu di bawah naungan panji-panji Islam untuk membela
maruah dan kehormatan Islam dan ummah.

6. Tahun ini saja Masjidil Aqsa telah dicemar dengan pembunuhan yang
dilakukan di dalamnya oleh pihak Yahudi. Dan baru-baru ini pihak Israel
juga telah mencabul kedaulatan Lubnan hinggakan begitu ramai menjadi
korban. Umat Islam terpaksa mengalami peristiwa sedih seperti ini dengan
berpeluk tubuh kerana kita tidak mampu membuat apa-apa yang
bermakna. Orang Islam sanggup berperang dengan orang Islam sehingga satu
pihak mencapai kemenangan tetapi berhadapan dengan pencabulan oleh bangsa
Israel yang cuma 3 juta, kita kaku dan tidak dapat membuat apa-apa dengan
berkesan. Yang lebih menyedihkan ialah masih ada orang Islam yang tidak
sedar dengan nasib yang menimpa umat Islam dan suka bersengketa sesama
sendiri.

7. Ketika kita sedang menyambut Hari Raya, kita hendaklah insaf bahawa
ramai di antara saudara-saudara Islam kita di negara-negara lain yang
tidak akan dapat merayakan hari kebesaran Aidil Fitri ini. Ada yang
bergelumang dengan darah dan peperangan, ada yang ditindas, dan ada yang
tidak bebas menunaikan ibadat kepada Allah subhanahu wataala. Kita bukan
sahaja harus berdoa, malah harus berusaha dengan segala upaya kita, untuk
menebus nasib malang yang menimpa umat Islam. Marilah kita bersama-sama
menegohkan azam kita untuk menjadikannya sebagai perjuangan.

8. Segala peristiwa sedih dan pedih yang menimpa umat Islam adalah
pengajaran bagi kita semua. Soalnya ialah apakah kita faham pengajaran
yang terdapat dalam peristiwa-peristiwa ini, dan kita menjadikannya
pedoman.

Penebusan maruah dan wilayah Islam, bukan tanggungjawab orang Palestin
sahaja tetapi adalah tanggungjawab seluruh ummah. Tanggungjawab ini bukan
memerlukan suara yang berani dan lantang dari sejauh 4000 batu, tetapi,
persiapan dan disiplin, yang betul-betul berkesan. Persiapan bermakna
menguasai ilmu peperangan yang setimpal dengan cara dan alat yang sesuai
dengan zaman lektronik ini. Sesungguhnya yang lebih penting ialah
kebolehan dan kemampuan kita sendiri dan bukannya pertolongan dari
kawan-rakan yang berkepentingan.

Untuk membuat persiapan ini kita perlukan bukan dua tiga hari, atau dua
tiga bulan, atau dua tiga tahun, tetapi puluhan tahun. Yang penting bukan
semangat berkobar-kobar yang 'panas tahi ayam', tetapi dedikasi dan azam
yang tinggi dan berterusan. Tidak ada masalah yang tidak boleh diatasi
jika kita mempunyai azam yang kuat dan jika kita menggunakan masa dan akal
fikiran untuk membuat persiapan. Jika kita sanggup mengakui hakikat
kebenaran ini, satu hari nanti akan dapat kita tebuskan kembali maruah
kita, dan agama kita.

Tetapi, jika kita masih leka dengan berpoya-poya, dunia akan ketawakan
kita. Sebenarnya perjuangan menebus maruah umat Islam, dan agama Islam,
akan dimenangi dari bilik-bilik kuliah, dari makmal-makmal dan dari
kilang-kilang. Dari tempat-tempat inilah persiapan untuk perjuangan perlu
dibuat, dan di sini jugalah nilai tentang kesediaan umat Islam akan
ditentukan. Medan perang adalah tempat terakhir bagi mencapai maksud
perjuangan. Cuma mereka yang khayal sahaja yang akan memikirkan lain
daripada ini.

Saudara-saudara sekelian, 

9. Di Hari Raya yang mulia ini kita seharusnya dapat menginsafi tentang
diri kita yang serba lemah dan kekurangan. Kita harus bersyukur di atas
segala rahmat dan nikmat daripada Allah subhanahu wataala. Kita hendaklah
membuktikan kemenangan kita setelah melalui sebulan Ramadan dengan menjadi
manusia yang insaf, baik dan berguna -- baik dan berguna kepada diri
sendiri, kepada keluarga dan sahabat, dan kepada masyarakat dan negara
Malaysia.

10. Satu perkara yang tidak boleh kita, umat Islam di Malaysia, lupakan
ialah nikmat dan kebahagiaan hidup kita di negara ini. Sungguhpun penduduk
negara ini bukan semuanya penganut agama Islam, tetapi Islam menjadi agama
rasmi dan orang Islam mempunyai kedudukan yang istimewa. Perhubungan
antara orang Islam dan bukan Islam di Malaysia adalah baik dan kita hidup
dalam rukun damai. Ini adalah amat berbeza dengan keadaan yang terdapat di
beberapa buah negara di mana orang Islam dan bukan Islam bersama-sama
hidup dalam sebuah negara.

11. Kebahagiaan hidup orang Islam di negara ini adalah berasaskan sifat
toleransi di dalam Islam. Sifat ini amat penting diamalkan kerana
kehormatan yang ditunjuk kepada agama Islam adalah bergantung kepada sifat
dan sikap yang mulia yang kita amalkan dalam hubungan kita dengan orang
lain. Keadilan Islam dalam pemerintahan negara ini adalah jelas dan
nyata. Tidak ada percubaan untuk menindas atau memaksa sesiapa mengikut
dorongan hawa-nafsu yang berselindung di belakang tafsiran Islam yang
tidak berasas.

12. Pada Hari Raya ini orang Islam berpeluang sekali lagi memperkenalkan
budi pekerti Islam yang tinggi dan mulia.

Kita akan mengadakan rumah terbuka untuk semua kaum, dan ini bukan sahaja
menjalinkan persahabatan antara kaum di negara kita, tetapi ia juga
mencerminkan "kedamaian" yang menjadi asas nama agama kita.

13. Kepada orang-orang bukan Islam di negara ini, saya menjemput mereka
bersama-sama bergembira pada Hari Raya Aidil Fitri. Malaysia yang
berbilang kaum memerlukan perhubungan yang baik di antara kaum supaya
semua dapat mengecap nikmat dari kestabilan dan kemakmuran negara ini.

Hari Raya merupakan satu peluang terbaik bagi orang Islam dan bukan Islam
menjalinkan perhubungan yang mengekalkan Malaysia di dalam aman dan
makmur.

14. Sebagaimana biasa, Hari Raya tidak mungkin disambut oleh semua di
dalam suasana meriah dan gembira. Ada yang malang kerana tidak
bersama-sama dengan sanak-saudara yang dikasihi dan ada yang tidak
bernasib baik kerana kurang kemampuan. Di samping itu ada yang terpaksa
bertugas berjauhan dari anak-isteri kerana mempertahankan negara.

Semua ini tidak harus menghampakan, kerana Hari Raya melambangkan
kemenangan, dan tidak ada kemenangan tanpa perjuangan.

15. Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf zahir dan
batin dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada sekelian umat
Islam.

ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, WALILLAHILHAMD.

Pejabat Perdana Menteri, Kuala Lumpur.

 



 


 











 
Google