Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : TAMAN TUANKU JA
Tarikh/Date : 17/08/82
Tajuk/Title : UPACARA MEMECAH TANAH TAMAN
TUANKU JA'AFAR
Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Mulia Tunku Naquiyuddin
kerana sudi menjemput saya melakukan upacara memecah tanah Taman Tuanku
Ja'afar ini.
2. Saya berbangga mengetahui bahawa Taman Tuanku Ja'afar ini akan
dimajukan secara langsung oleh sebuah syarikat binaan bumiputera, iaitu
Naga Sakti Sdn. Bhd. Penyertaan syarikat-syarikat pembinaan bumiputera di
dalam bidang pembinaan adalah selaras dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru
dan sentiasa digalakkan. Setakat ini penyertaan syarikat pembinaan
bumiputera dalam industri pembinaan masih belum memuaskan lagi dan
usaha-usaha yang lebih mestilah diambil oleh pengusaha-pengusaha
bumiputera.
3. Syarikat pembinaan Bumiputera mestilah menjadi contoh yang baik dan
membuktikan kebolehan mereka bahawa mereka dapat bertanding dengan
syarikat-syarikat pembinaan yang lain. Adalah tidak tepat sekiranya
syarikat bumiputera berpendirian bahawa Kerajaan dan pemimpin-pemimpin
tidak memberi galakan dan kemudahan yang cukup. Ini bukanlah pendirian dan
sikap yang progresif bagi pengusaha.
4. Bagi syarikat pembinaan, contoh baik termasuklah mendirikan rumah
mengikut pelan yang diluluskan, menjamin kualiti dan mutu yang tinggi dan
menepati janji.
Pembeli-pembeli itu tidak seharusnya menjadi tempat untuk mengaut untung
semata-mata. Pernah didengar rumah-rumah batu dibina tanpa 'ventilation'
atau ruang udara yang munasabah, ceiling yang terlalu rendah sehingga
kipas boleh dipegang dengan tangan tatkala seseorang berdiri, dan
sebagainya. Walaupun gejala buruk atau amalan yang kurang sihat itu
dilakukan bukan sahaja oleh syarikat bumiputera, tetapi syarikat berkenaan
haruslah sedar bahawa kepercayaan jangka panjang masyarakat adalah faktor
yang lebih penting daripada mendapat untung dengan cepat tetapi kurang
jujur.
5. Dengan ini saya harap syarikat-syarikat pembinaan bumiputera,
khususnya, hendaklah meningkatkan keupayaan dan kepakaran mereka bagi
memenuhi permintaan yang semakin bertambah.
Sekian, terima kasih.
Pejabat Perdana Menteri, Kuala Lumpur.
|