Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : CEMBONG, NEGERI SEMBILAN
Tarikh/Date : 17/08/82
Tajuk/Title : PEMBUKAAN KILANG CEMBOARD SDN. BHD.
YAB En. Mohd Isa bin Dato' Haji Abdul Samad, Menteri Besar Negeri
Sembilan; YB Puan Napsiah Omar, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan
Tempatan; Yang Amat Mulia Tunku Imran; Yang Amat Mulia Tunku
Naquiyuddin; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Mr. A. T. B. Shand, Tuan-tuan
dan puan-puan yang dihormati, Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang
Amat Mulia Tunku Imran dan semua Lembaga Pengarah Cemboard Sdn. Bhd.
kerana menjemput saya membuka dengan rasmi kilang papan simen ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Dalam dekad 80an kita memberi keutamaan kepada usaha pengeluaran negara
dan juga hasil pertukaran asing.
Perusahaan-perusahaan 'resourse-based' iaitu perusahaan yang berasaskan
penggunaan sumber-sumber dan bahan-bahan tempatan adalah diberi tekanan di
dalam strategi pembangunan perusahaan negara. Saya mengalu-alukan
penubuhan perusahaan papan simen Cemboard ini yang selaras dengan matlamat
tersebut.
3. Bahan-bahan mentah bagi pengeluaran papan simen adalah 70% kayu getah
dan 30% simen. Sebagaimana yang kita maklum kayu getah telah sekian lama
dianggap hanya sesuai sebagai sumber arang bagi kilang-kilang besi waja,
sebagai kayu api untuk masak memasak, bagi menyalai getah asap dan
mengering hasil-hasil batu-bata.
4. Memandang bahawa Malaysia adalah pengeluar getah asli yang terbesar di
dunia dan setiap tahun beribu-ribu hektar pokok getah ditebang bagi
penanaman semula, potensi kayu getah sebagai bahan perusahaan yang
berfaedah dan menguntungkan perlu sekali diberi keutamaan. Penggunaan kayu
getah sebagai sumber bahan membakar adalah satu pembaziran yang patut kita
elakkan. Kilang Cemboard ini yang menggunakan kayu getah sebagai
sebahagian besar bahan mentahnya membuktikan kemungkinan kayu getah bagi
penggunaan perusahaan secara lebih meluas dan menguntungkan. Ia
membuktikan bahawa kita mempunyai peluang yang luas lagi bagi penggunaan
sumber-sumber asli kita yang begitu banyak di negara ini.
5. Papan simen dapat digunakan bagi berbagai tujuan, Rancangan Malaysia Ke
Empat. Bagi mencapai matlamat ini, lebih banyak bahan-bahan pembinaan yang
dikeluarkan di dalam negeri dan yang menggunakan bahan-bahan tempatan
perlulah diberi keutamaan.
6. Saya yakin, bahan-bahan keluaran Syarikat ini mempunyai pasaran
tempatan yang baik. Walau bagaimanapun, oleh sebab papan simen merupakan
satu bahan yang baru di negara kita, usaha-usaha yang gigih hendaklah
dibuat bagi membolehkan bahan-bahan ini digunakan dengan berkesan dan
memuaskan dalam perusahaan pembinaan di negara kita.
7. Sebagai satu perusahaan moden yang dikendalikan oleh pakar-pakar,
sesebuah perusahaan seperti Kilang Cemboard tidak seharusnya melihat
kepada Kerajaan sebagai tempat bergantung. Ia harus menggunakan
teknik-teknik pengeluaran, kawalan mutu, penyelidikan dan pemasaran yang
progresif bagi meningkatkan prestasinya. Orientasi seperti ini adalah amat
penting bagi sesebuah perusahaan yang juga akan mengeksport hasil-hasil
keluarannya.
8. Papan simen adalah bahan eksport yang mempunyai potensi yang baik. Saya
telah difahamkan bahawa Syarikat ini mengeksportkan bahan keluarannya ke
negara-negara ASEAN, khususnya Singapura dan Negeri Thai. Walaupun pada
masa ini jumlah yang dieksport agak kecil, yang penting ialah pengeluaran
Syarikat ini telah dapat bersaing di pasaran luar dan ini harus menjadi
dorongan yang kuat bagi Syarikat ini untuk mengatur strategi pemasarannya
dengan lebih kemas lagi.
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
9. Syarikat Cemboard merupakan usahasama Alaxander Shand
(Holdings) Limited dari United Kingdom yang memegang 80% ekuiti dan rakan
tempatannya, Syarikat Pesaka Antah yang memegang 20% ekuiti. Syarikat ini
akan meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera dari 20% ke 40% dan ekuiti
bukan bumiputera ke 20% menjelang 1990. Peningkatan ekuiti tempatan boleh
dicapai samada melalui proses mengambil-alih bahagian ekuiti asing atau
pun dengan cara memperbesarkan syarikat ini di mana ekuiti tempatan
ditingkatkan melalui pembesaran. Pada hemat saya, peningkatan ekuiti
tempatan dengan cara pembesaran adalah lebih sesuai dan saya harap
Cemboard akan bersama-sama dengan Kerajaan menjayakan pencapaian matlamat
pembangunan negara ini.
10. Disamping meningkatkan ekuiti tempatan, anggota pengurusan dan
pekerja-pekerja tempatan seharusnya bersungguh-sungguh mempelajari
selok-belok kewangan, pengeluaran, pemasaran dan pengurusan perniagaan
Syarikat papan simen ini. Pihak pengurusan tempatan seharusnya boleh
mengendalikan perusahaan ini pada penghujung tahun 1980an ini.
11. Mengenai pemasaran pula, kita bercita-cita memperluaskan pasaran
antarabangsa untuk keluaran barang-barang negara kita. Walau bagaimanapun,
cita-cita ini harus dilaksanakan dengan usaha-usaha meningkatkan mutu
barang-barang keluaran negara. Kita tidak harus mengeksport barang-barang
bermutu rendah kerana hendak memperolahi keuntungan cepat. Barang-barang
bermutu rendah adalah cara yang paling senang bagi mencemar imej Malaysia
di pasaran antarabangsa. Pengawalan mutu atau 'quality control' harus
ditekankan bagi menentukan pasaran antarabangsa yang luas bagi keluaran
negara. Pemasaran yang berkesan harus memberi penekanan kepada kepuasan
terhadap mutu yang tinggi.
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
12. Saya yakin Syarikat Cemboard akan terus menekankan pentingnya
pengawalan mutu yang diperlukan tadi. Saya
|