Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MUZIUM NEGARA
Tarikh/Date : 23/08/82
Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN PAMERAN
"MALAYSIA 25 TAHUN"
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-Puan
yang dihormati sekelian.
Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak
penganjur Pameran Malaysia 25 Tahun kerana memberi penghormatan kepada
saya untuk melakukan upacara perasmian Pameran pada petang ini. Seterusnya
saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah
kepada pihak Muzium Negara, terutamanya Yang Berbahagia Dato Shahrum Yub,
dan juga lain-lain pihak yang telah bekerja keras bagi menjayakan Pameran
ini.
2. Pameran Malaysia 25 Tahun ini adalah amat penting sekali. Kita tidak
harus melihatnya semata-mata sebagai terhadap peristiwa-peristiwa serta
liku-liku sejarah tanahair kita. Tanpa mengenali sejarah, kita tidak akan
tahu dari mana kita datang dan apakah masalah yang telah kita
hadapi. Tanpa pengetahuan ini kita bukan sahaja tidak akan tahu bersyukur
tetapi kita tidak akan tahu bagaimana menghadapi cabaran dan berusaha
mencapai kejayaan. Tanpa pengetahuan dan kesedaran ini kita akan didera
dengan mengulangi kesilapan kita berkali-kali.
3. Seminggu lagi, iaitu tepat pada 31 Ogos, negara kita akan merayakan
ulangtahun 25 tahun sebagai sebuah negara bebas dan berdaulat. Tempoh 25
tahun sejarah negara adalah satu jangka waktu yang panjang dan padat untuk
diliputi sepenuhnya oleh sesuatu pameran seperti yang diadakan ini.
Walau bagaimanapun, liputan hanya merupakan satu aspek sahaja. Yang lebih
penting ialah kemampuan Pameran ini perasaan kagum, bangga, insaf, serta
hormat dan cintakan negara.
4. Tercapainya kemerdekaan 25 tahun lalu memberi satu permulaan baru bagi
kita. Di samping itu, ia menjadi beban baru bagi kita kerana sejak itu
kitalah yang bertanggungjawab terhadap pencapaian cita-cita yang lebih
besar, iaitu cita-cita untuk membangunkan sebuah negara yang kuat dan
sihat, yang dihormati oleh dunia. Oleh itu, erti kemerdekaan bukanlah
semata-mata pembebasan dari pemerintahan penjajah, tetapi, yang lebih
utama dan penting ialah semangat, dorongan dan tindakan kita untuk mengisi
dan membawa kemuliaan, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada bangsa dan
negara.
5. Proses mengisi dan mengekalkan kemerdekaan adalah satu proses yang
berterusan. Buat sementara kita mungkin bergantung kepada orang asing
untuk menolong membangunkan negara kita. Tetapi, kita tidak boleh berharap
kepada orang lain untuk selama-lamanya. Kitalah yang perlu berusaha untuk
membangunkan negara kita sendiri. Malangnya, kita tidak mempunyai segala
kecekapan yang diperlukan dan kadang-kadang kita terlalu malas untuk
membuat kerja-kerja tertentu. Sifat-sifat ini mestilah dikikis. Kecekapan
boleh kita dapati jika kita berusaha. Dan sifat tidak ingin membuat kerja
yang berat dan kotor atau sifat, jika membuat kerja ringan, tidak dibuat
bersungguh-sungguh boleh kita atasi jika kita betul-betul berminat. Yang
harus kita ingat ialah maruah dan kehormatan kita berada di tangan kita
sendiri. Jika kita tidak mahu membela maruah kita maka kitalah yang perlu
disalahkan. Jika kita tidak dihormati, maka merdeka tidak mempunyai
makna. Bukan kekayaan negara yang memberi makna kepada kemerdekaan tetapi
maruah dan kehormatan yang ditunjuk kepada bangsa dan negara. Tujuan
pameran ini ialah untuk menyedarkan kita. Pengasas negara kita telah
menunaikan tanggungjawab mereka. Mereka telah merebut balik kemerdekaan
dan mereka telah merintis jalan ke arah negara yang bahagia. Sekarang
ialah masa kita. Jika kita gagal maka akan sia-sia sahajalah perjuangan
pemimpin-pemimpin negara dan pejuang-pejuang yang terdahulu dari kita.
6. Saya ingin mengambil peluang ini untuk menggesa penulis dan para artis
serta intelektual kita untuk meneroka bidang-bidang penulisan, drama dan
perfileman dengan cara lebih giat lagi sebagai alat menyedarkan rakyat
terhadap nilai kemerdekaan. Pada hemat saya, inilah salah satu bidang yang
sangat-sangat kita perlukan di dalam usaha pembangunan dan
'nation-building'. Dua-puluh lima tahun kita untuk masa hadapan adalah
bahan yang perlu dikaji, ditulis dan dikemukakan kepada rakyat.
7. Akhir kata, dengan segala sukacitanya sayamerasmikan Pameran Malaysia
25 Tahun ini.
Pejabat Perdana Menteri, Kuala Lumpur.
|