home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : BALAI BUDAYA, DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA Tarikh/Date : 25/08/82 Tajuk/Title : MAJLIS PERAYAAN HARI WANITA MALAYSIA KE 20 Terelebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Tan Sri Fatimah dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia kerana menjemput saya dan isteri saya ke Majlis Perayaan Hari Wanita 1982 ini. 2. Hari Wanita kali ini jatuh ketika kita sedang membuat persiapan merayakan 25 tahun merdeka. Pada hemat saya, ini menjadikan Hari Wanita kali ini sebagai satu peristiwa yang penting. Sesuai dengan ini perayaan Hari Wanita ini memberi peluang yang istimewa kepada wanita, khususnya pertubuhan-pertubuhan dan pergerakan-pergerakan wanita, untuk merenung peranan dan pencapaian yang telah dibuat setakat ini dan langkah-langkah yang perlu dibuat bagi masa hadapan. 3. Hari ini penduduk Malaysia telah meningkat kepada 14 juta orang. Kira-kira lebih sedikit dari 60% ialah mereka yang lahir selepas merdeka. Memandang bahawa nisbah penduduk lelaki dan perempuan adalah agak sama, jumlah penduduk perempuan yang lahir selepas merdeka adalah kira-kira 60% juga. Separuh daripadanya berada di bangku sekolah ataupun sedang menuntut di institusi pelajaran tinggi, sedangkan yang lainnya adalah tenaga pekerja di dalam bebagai-bagai bidang. 4. Sesuku abad merdeka membawa banyak kemajuan kepada rakyat dan negara. Kaum wanita telah bersama-sama di bawa arus perubahan. Hari ini wanita bukan sahaja bekerja di sawah dan bendang, menjaja dan lain-lain kegiatan yang disamakan dengan aktiviti tradisional, tetapi ramai yang telah memasuki sektor-sektor moden. Sekarang kita dapat berbangga dengan ramainya peguam-peguam, doktor-doktor, jurutera-jurutera, pengusaha-pengusaha, ahli-ahli sains dan matematik wanita yang dahulunya susah untuk kita impikan. Malahan sekarang, kita juga mempunyai sejumlah yang tidak kecil pemimpin-pemimpin wanita di peringkat Menteri dan Timbalan Menteri dan pentadbir serta pengurus-pengurus wanita. Dalam sebuah negara yang penduduknya tidak begitu ramai, penglibatan wanita dalam bidang-bidang yang disebutkan amatlah penting bagi memenuhi keperluan tenaga manusia diwaktu pembangunan berlaku dengan pesatnya. 5. Dilema wanita di zaman moden ini ialah penyesuaian antara dua peranan utama iaitu sebagai suri-rumah dan ibu dengan kerjaya. Di Barat dilema ini telah menjadi begitu menonjol bermula dalam tahun 60an hinggakan timbul gerakan untuk memperjuangkan hak persamaan tanpa batasan bagi wanita. Ada di antaranya yang melihat masalah wanita kerana kewanitaanya. Gerakan pembebasan wanita dalam suasana bebas yang melulu telah memerangkapkan wanita di dalam berbagai jenis kegiatan yang akhirnya menghinakan wanita sendiri. Tetapi, kita bersyukur kerana gerakan ini tidak merebak dan mempengaruhi kita secara menyeluruh. Kita dapat umumnya mengambil yang jernih dan membuang yang keruh. Sekarang di Barat, suasana telah beransur berubah kerana mereka telah sedar semula bahawa apa yang diperlukan bukanlah kebebasan tanpa batasan tetapi kehormatan antara peria dan wanita yang membawa kebahagiaan kepada famili dan masyarakat. 6. Famili dan kerjaya adalah sama penting. Ini bukan sahaja kepada wanita malah kepada lelaki juga. Soalnya, ialah mencari penyelesaian bukan dari segi perspektif lelaki atau wanita seolah-olah kedua-duanya bertentangan, tetapi dari perspektif kepentingan famili dan masyarakat. Proses pembangunan kita haruslah melihat kehendak famili yang sihat dan dinamis di mana masalah famili tidak mengongkong peranan suami-isteri sebagai ibu-bapa dan dari segi kerjaya. 7. Setiap orang mempunyai kemampuan yang berlainan. Ini harus menjadi pertimbangan dalam penyesuaian antara tanggungjawab keluarga dan kerjaya. Ada pengurus wanita yang baik dan ada pengurus wanita yang lemah; begitu juga dengan lelaki. Tetapi mungkin ada aspek-aspek kerjaya yang lebih menarik minat wanita atau di mana sifat-sfat kewanitaan lebih penting. Ini tidak harus menimbulkan iri hati kerana yang penting ialah apabila kita mempunyai peranan, kita menunaikan peranan kita dengan baik. Lelaki atau wanita tidak ada bezanya dari segi kelemahan dalam bidang-bidang tertentu. 8. Pada hemat saya, dalam kita membangunkan negara, asas perjuangan kaum wanita ialah nilai-nilai ketimuran kita. Wanita sendiri mestilah menjamin keluhuran nilai-nilai ini dan memupuknya di kalangan wanita. Saya yakin dengan cara ini, nilai-nilai ini, iaitu asas yang sebenar-benarnya menjamin peranan dan kedudkan wanita di dalam masyarakat akan menjadi nilai masyarakat sendiri. Saya rasa inilah tugas yang utama. Di samping itu usaha-usaha yang gigih hendaklah dibuat bagi mengkaji aspek-aspek yang boleh menjamin kedudukan wanita yang sewajarnya, dari segi undang-undang, sosial mahupun ekonomi. 9. Wanita adalah ibu, isteri atau anak. Mereka mempunyai tempat yang penting di dalam masyarakat. Kita pernah mendengar 'syurga di bawah telapak kaki ibu.' Nabi Muhammad s.a.w. pula, di samping menyanjung tinggi isteri yang taat mengatakan bahawa antara lelaki yang baik ialah yang baik terhadap isterinya. Seterusnya anak yang baik ialah anak yang taat. Inilah antara nilai-nilai yang seharusnya wujud dengan nyatanya di dalam masyrakat. Nilai-nilai yang berdasarkan kebudayaan timur kita menjamin persamaan dan keadilan; ia tidak merugikan lelaki dan ia tidak pula menjatuhkan kedudukan wanita. Ia adalah landasan yang wajar dan sederhana yang harus dipupuk kerana penerimaanya secara meluas akan menyelamat dan menjamin kejayaan semua pihak. 10. Kemajuan wanita di negara kita tidak harus diukur dengan kriteria pelajaran, pekerjaan, taraf sosial dan ekonomi ataupun peranan di dalam politik sahaja. Tidak kurang pentingnya ialah aspek kerohanian. Kemajuan yang tidak berteraskan kepada kematangan dari segi kerohanian bukanlah kemajuan yang sebenarnya. Seseorang wanita mungkin berjaya dari segi kerjayanya tetapi tanpa asas kerohanian yang mendalam dan kuat ia mungkin gagal di dalam peranan kekeluargaannya. Malangnya kegagalan ini sukar sekali untuk diteliti oleh seseorang itu sendiri sedangkan ianya mempunyai implikasi yang amat mendalam. Oleh itu saya percaya aspek kerohanian ini harus dijadikan sebagai satu faktor yang diberi pertimbangan yang khusus di dalam strategi memajukan wanita oleh pergerakan-pergerakan wanita. 11. Saya mengambil peluang ini untuk mengucap tahniah kepada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia kerana dengan ketekunannya Tabung Kebajikan dan Pelajarannya dapat dilancarkan pada hari ini. Mungkin terdapat lain-lain tabung yang seakan-akan sama, dengan menumpukan perhatian kepada aspek-aspek yang sama. Saya percaya penindihan aktiviti haruslah dielakkan bagi menjamin keutuhan pergerakan wanita. Saya sebutkan perkara 'duplication' di sini kerana pada pendapat saya banyak aktiviti yang memerlukan perhatian, dan penindihan tugas tanpa pengawasan yang teliti hanya boleh menjejaskan prestasi pergerakan wanita keseluruhannya. 12. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada keempat-empat tokoh pemimpin wanita yang akan dikurniakan Pingat Emas Tun Fatimah kerana jasa-jasa mereka. Pengurniaan pingat kepada Yang Berbahagia Toh Puan Suhailah, Puan P. G. Lim, Yang Berbahagia Datin Athi Nahapan, dan Yang Berbahagia Datin Hajjah Kamsiah adalah penghormatan yang besar kepada jasa-bakti mereka dan ini seharusnya menjadi perangsang kepada wanita untuk terus berbakti kepada bangsa dan negara. 13. Saya harap Hari Wanita akan memberi erti kepada setiap wanita dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita dan selamat maju jaya kepada kaum wanita di seluruh tanahair. Pejabat Perdana Menteri, Kuala Lumpur. |