Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue	: 	BANK NEGARA 
Tarikh/Date 	: 	30/08/82 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PENYAMPAIAN DUIT-DUIT 
			SYILING PERINGATAN 25 TAHUN MERDEKA 




Saya merasa amat bangga kerana diberi penghormatan untuk menyampaikan satu
set Duit Syiling Peringatan 25 Tahun Merdeka sebagai hadiah kepada Yang
Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Perdana Menteri Malaysia
yang pertama.

2. Duit-Duit Syiling Peringatan ini dikeluarkan khas sebagai memperingati
ulangtahun kemerdekaan negara kita yang ke 25. Walaupun 25 tahun telah
berlalu perjuangan kemerdekaan dan usaha-usaha bagi mengekalkan
kemerdekaan kita sentiasa dikenang. Duit syiling ini merupakan satu
penghormatan negara dan rakyat kepada jasa dan bakti sekelian pejuang dan
negarawan yang telah mengembalikan kedaulatan negara dan memeliharanya
hingga kini. Jasa mereka akan tetap dikenang.

3. Khususnya, di dalam kumpulan ini, ialah Yang Teramat Mulia Tunku, "Bapa
Merdeka" dan "Bapa Malaysia." Saya percaya, Majlis kita pada hari ini akan
membawa Yang Teramat Mulia Tunku melalui liku-liku sejarah perjuangannya,
mengenang kembali pahit-manisnya.

4. Sesungguhnya Duit-Duit Syiling Peringatan 25 Tahun Merdeka ini
merupakan satu simbol penghormatan rasmi yang berkekalan terhadap Yang
Teramat Mulia Tunku khasnya serta para pejuang tanahair yang lain amnya di
atas sumbangan mereka yang tidak ternialai terhadap negara Malaysia.

5. Sekarang, dengan segala sukacitanya saya, bagi pihak Kerajaan Malaysia
menghadiahkan satu set Duit-Duit Syiling Peringatan 25 Tahun Merdeka
kepada Yang Teramat Mulia Tunku.

Pejabat Perdana Menteri,

 



 


 











 
Google