home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 25/09/82 Tajuk/Title : PERSIDANGAN PERWAKILAN TAHUNAN GERAKAN Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja GERAKAN kerana menjemput saya ke majlis ini. 2. Dalam Pilihanraya yang lalu Barisan Nasional telah mendapat kejayaan yang cemerlang. Tentulah setiap parti komponen dapat berbangga dengan prestasi dan kejayaanyanya masing-masing. Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada GERAKAN di atas pencapaiannya dan mengucapkan terima kasih kepada semua ahli parti yang telah bekerja keras untuk membawa kejayaan kepada Barisan Nasional. 3. Kita tidak harus lupa bahawa kemenangan Barisan Nasional adalah hasil sumbangan semua parti komponen. Oleh itu kedua-dua perspektif, iaitu perspektif parti dan juga persepktif keseluruhan Barisan Nasional, adalah amat penting bagi kita menjaga keutuhan kita. 4. Saya memulakan dengan membuat penekanan kepada pentingnya kedua-dua perspektif ini, iaitu parti dan keseluruhan Barisan Nasional, ialah kerana kekuatan Barisan Nasional terletak kepada penerimaan kita terhadap pentingnya perspektif-perspektif ini. Jika sesebuah parti cuma mementingkan perpsektif partinya sahaja, tanpa membuat perhitungan dalam konteks Barisan Nasional keseluruhannya, tentulah perjalanan kita akan menjadi sumbang dan kita akan menangguk berbagai-bagai masalah yang lebih merupakan ciptaan kita sendiri. Ini akan menjejas persefahaman dan ketertiban perjalanan Barisan Nasional sebagai sebuah gabungan parti-parti politik yang mendukung Kerajaan. 5. Barisan Nasional, sebagaimana kita sekelian maklum, telah diasaskan kepada penerimaan hakikat politik di Malaysia yang memerlukan persefahaman dan kesederhanaan, serta penerimaan Perlembagaan dan dasar-dasar asas sebagai landasan kita membangunkan negara kita. Walaupun sistem politik kita ialah sistem demokrasi, iaitu demokrasi berparlimen, tetapi demokrasi kita dikecam oleh setengah-setengah pihak yang mengangkat diri mereka sebagai pentafsir demokrasi. Tetapi kita tidak gentar. Demokrasi kita adalah unik bagi kita, dan demikian juga dengan sistem demokrasi di negara-negara liberal yang lain, tiap-tiap satunya adalah unik bagi sesuatu negara tertentu. Tidak ada siapa yang boleh berkata bahawa cuma sistem mereka sahaja yang demokratik. Sebenarnya demokrasi liberal ala barat adalah tidak demokratik kerana 'the silent majority' ditindas oleh 'the activist minority' dalam sistem ini. Pemerintahan yang dikuasai oleh minoriti sudah tentu tidak demokratik. 6. Persepsi kita terhadap demokrasi ini adalah berdasarkan kepercayaan kita bahawa tidak ada dua buah negara yang sama dalam segala-galanya, sama ada dari segi tahap kemajuannya, struktur kependudukan, masalah, malahan hinggakan kepada cara mengatasi sesuatu masalah itu sendiri. Oleh itu kita sebagai rakyat Malaysia tidak harus curiga dengan anjuran kononnya demokrasi kita bukan demokrasi. Tentulah demokrasi kita mempunyai sempadan-sempadanya, sebagaimana juga hakikatnya di seluruh dunia walaupun di negara yang dianggap paling liberal sekali. Demokrasi tanpa sempadan sebenarnya bukan demokrasi yang dapat berbuat sesuatu yang berfaedah malahan ia adalah anarki dan huru-hara. Kita bernasib baik kerana sebahagian besar daripada rakyat di negara ini sedar betapa pentingnya sistem demokrasi kita bagi keperluan kita, kerana jika sebahagian besar rakyat menerima anjuran demokrasi tanpa sempadan, sistem yang akan wujud bukan lagi demokrasi tetapi satu bentuk cengkaman yang akan melenyapkan semua kebebasan. 7. Itulah sebabnya kita, sebagai anggota di dalam Barisan Nasional dan sebagai rakyat yang cintakan negara, mesti berhati-hati di dalam usaha pembangunan politik atau 'political development' kita. Politik adalah alat dan bukannya matlamat kita. Menganggap politik sebagai matlamat boleh mengaburkan mata kita tentang matlamat-matlamat sebenar kita, iaitu kebahagiaan, kestabilan, keharmonian dan sebagainya yang harus dinikmati oleh rakyat sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan maju. 8. Keadaan ekonomi dan politik di peringkat antarabangsa masih berada ditahap yang membimbangkan kita. Walaupun kita tidak terancam dengan serius tetapi kita tidak dapat mempastikan dengan tepat bilakah keadaan akan pulih semula. Adalah menjadi harapan kita bahawa ekonomi dunia akan beransur-ansur pulih menjelang pertengahan tahun hadapan. Dari segi politik pula kita berharap sesuatu asas penyelesaian yang adil akan tercapai di Asia Barat dan keadaan di wilayah Asia Tenggara akan kembali stabil dengan penyelesaian masalah Kampuchea. 9. Sebagai anggota masyarakat dunia kita bimbang suasana ekonomi dan politik yang tidak stabil akan membawa masalah ekonomi, politik, dan sosial yang lebih kompleks dan berpanjangan. Walaupun kita optimis bahawa ini satu kemungkinan yang tipis namun ia memerlukan tindakan yang betul-betul tegas dan berani oleh semua pihak terutama sekali oleh negara-negara maju dan negara-negara besar. Oleh itu kita tidak dapat menghilangkan kebimbangan kita dengan sewenang-wenang. 10. Petang ini saya akan berlepas ke New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu. Tentulah sebagai sebuah negara yang kecil sumbangan kita ke arah penyelesaian masalah-masalah yang besar ini hanya merupakan setitik air di dalam satu takongan yang besar. Namun begitu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengutarakan hujah kita sebagai anggota masyarakat dunia yang bimbang dengan suasana yang wujud pada masa ini. 11. Walaupun adalah di luar kuasa kita untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh dunia, kerjasama kita dengan rakan-rakan kita di dalam forum-forum antarabangsa boleh membuktikan tahap kebimbangan dan kejujuran kita untuk membantu mencari penyelesaian kepada masalah bersama. 12. Dalam keadaan ekonomi yang wujud sekarang, kita tidak harus melihatnya tanpa melakukan sesuatu. Kita bukan sahaja harus menyesuaikan perbelanjaan kita dengan keupayaan kewangan kita malah kita harus melihat suasana yang wujud sebagai satu oportuniti untuk kita mengukuhkan asas-asas yang akan meningkatkan ketahanan kita dalam semua bidang. Sebagai gabongan parti-parti yang mendukung Kerajaan, setiap parti komponen mestilah menggerakkan jenteranya untuk membantu Kerajaan menyusun cara befikir dan bertindak yang positif supaya apabila ekonomi dunia pulih kelak kita akan berada di hadapan dengan segala persiapan untuk mengambil segala peluang dari ekonomi yang berkembang. 13. Sebagai Pengerusi Barisan Nasional, saya mempunyai tanggungjawab yang berat untuk memelihara keharmonian berpolitik di kalangan anggota Barisan. Saya yakin, semua anggota Barisan faham dengan jentera yang wujud bagi menjamin kepentingan semua pihak. Sebagai satu keluarga yang besar, Barisan Nasional tidak dapat mengelakkan diri dari perbezaan-perbezaan pendapat. Sebenarnya perbezaan-perbezaan tidak semestinya merupakan sesuatu yang buruk, kerana jika perbezaan-perbezaan ini diselesaikan dalam suasana yang matang kita akan mendapat banyak manfaat daripadanya. Ini adalah satu realiti di dalam Barisan Nasional. Tetapi di samping membenarkan perbezaan-perbezaan yang sihat kita juga harus membendung perbezaan-perbezaan yang boleh membawa kerenggangan dan perpecahan. Ini adalah satu sikap dan fahaman yang harus dihayati oleh semua peringkat kepimpinan dan ahli di dalam parti-parti komponen Barisan Nasional. 14 Akhir kata, denga harapan ini dan dengan ucapan selamat bersidang, saya dengan segala sukacitanya membuka Perhimpunan Agung GERAKAN yang Ke 11 dengan rasminya. Terima kasih. Pejabat Perdana Menteri, Kuala Lumpur. |