Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MELALUI RADIO DAN TALIVISYEN 
			MALAYSIA. (RTM) 
Tarikh/Date 	: 	01/10/82 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN SEMPENA 1 MUHARAM 1403 




ASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

Saudara-saudari muslimin-muslimat yang dihormati sekelian, Pada hari ini
maka genaplah 1402 tahun sejak Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah dari Mekah
ke Madinah.

Demikianlah pentingnya penghijrahan ini sehingga tarikhnya dijadikan
tarikh permulaan bagi perkiraan zaman Islam.

Sebenarnya Nabi menerima wahyu yang pertama 13 tahun lebih awal dari
penghijrahan ke Madinah. Penentuan penghijrahan sebagai tarikh permulaan
zaman Islam tentulah mempunyai erti yang istimewa.

2. Jika kita kaji sejarah Islam dan sejarah dunia kita akan dapati bahawa
penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. pada 1hb. Muharam tahun pertama Islam
adalah satu peristiwa yang bukan sahaja membawa kesan kepada umat Islam
pada ketika itu dan pada zaman ini tetapi bagi seluruh umat manusia. Dari
tarikh itulah bermula perkembangan Islam dengan pesatnya ke seluruh dunia
sehingga berlakulah perubahan-perubahan yang kekal hingga
sekarang. Penghijrahan juga menjadi satu tauladan bagi umat Islam tentang
kesabaran dan ketabahan hati dalam menghadapi penindasan dan cabaran yang
mana inilah yang akhirnya membawa kejayaan.

3. Penghijrahan merupakan satu ikhtiar dan penyerahan kepada Allah
Subhanahuwataala. Penyerahan sahaja tanpa ikhtiar tidak akan membawa
kemenangan. Perjalanan dari Mekah ke Madinah yang jauh melalui padang
pasir, dengan dikejar oleh musuh dan perompak adalah juga satu ujian
terhadap keteguhan iman mereka yang menyertai kumpulan ini.

Dan tidak syak lagi pengalaman penghijrahan telah mengukuhkan semangat
pengikut-pengikut Nabi serta mengkagumkan orang-orang Madinah.

4. Dari peristiwa ini umat Islam di zaman-zaman yang mereka ditindas
bolehlah mencari inspirasi bagi mengukuhkan semangat. Sebenarnya apa yang
dihadapi oleh umat Islam sekarang tidak sebegitu berat dan teruk seperti
cabaran yang dihadapi oleh Nabi Muhammad s.a.w. Umat Islam di zaman ini
amat ramai. Sebahagian daripada mereka kaya-raya. Mereka memerintah
wilayah-wilayah yang besar. Sudah sepatutnyalah mereka mencapai
kejayaan. Tetapi mereka tidak mencapainya.

Sebaliknya mereka di usir dari satu wilayah ke satu wilayah, ditakluk oleh
kuasa-kuasa asing, disiksa dan dibunuh tanpa mereka boleh membuat
apa-apa. Mereka cuma meraung dan merayu kepada orang lain. Di Palestin dan
Lubnan mereka diserang, dibunuh beramai-ramai dan diusir dengan
sewenang-wenang oleh Yahudi dan kawan-kawan mereka. Dengan pemindahan
orang Palestin, kita sekali lagi melihat peristiwa penghijrahan.

5. Memang benar nasib buruk orang Islam sekarang disebabkan oleh perbuatan
orang Yahudi dan penyokong-penyokong mereka. Kita patut salahkan mereka
ini dan kita patut kutukkan mereka. Tetapi kita patut juga periksa diri
kita sendiri. Apakah semangat dan ketabahan hati yang terdapat pada Nabi
Besar kita dan sahabat-sahabat Baginda ada pada kita.

yang penting sekali tidak sanggup berusaha atau berikhtiar untuk menuju ke
arah kejayaan. Yang jelas ialah kalau kita lemah, maka kita perlu kuatkan
diri kita, jika kita kurang cekap maka kita perlu berlatih untuk menguasai
kecekapan, dan jika kita kekurangan ilmu maka kita mengejar ilmu walaupun
ke negeri Cina. Ini semua jelas dan dituntut oleh Islam tetapi kita masih
asyik berpoya-poya, masih suka mencari alasan dan sebab kenapa kita tidak
mungkin buat itu dan ini, masih hendak menyalahkan orang
semata-mata. Selagi kita tidak sanggup bertindak secara positif, selama
itulah kita akan dipermainkan orang dan ditindas.

7. Memperingati detik-detik sejarah dan pengalaman tidak berguna melainkan
ianya menjadi pengajaran kepada kita.

Pada awal Muharam ini kita patut ingatkan balik peristiwa penghijrahan
supaya kita dapat manfaat dari satu peristiwa dalam sejarah Islam yang
penting ini. Awal Muharam bukan untuk berehat dari kerja atau bercuti atau
perayaan tetapi adalah untuk kita memperkukuhkan nilai-nilai dan keazaman
kita, mempertingkatkan keupayaan kita dalam semua bidang.

Jika kita pelajar maka kita perlu belajar dengan bersungguh-sungguh. Jika
kita pekerja maka kita perlu kerja dengan jujur dan dedikasi. Jika kita
peniaga kita perlu menjaya dan mempertingkatkan perniagaan dan perusahaan
kita.

Jika kita pemimpin kita perlu menumpukan lebih banyak tenaga dan usaha
dalam membentuk satu masyarakat Islam yang dihormati oleh semua
pihak. Pendek kata Awal Muharam adalah satu hari untuk memperbaharui azam
dan tekad sebagai orang Islam yang committed kepada kebesaran agama Allah
dan kesejahteraan penganut-penganutnya.

8. Di Malaysia kita berada dalam sebuah negara yang menghormati Islam dan
memberi tempat kepada orang-orang Muslim. Keadaan ini adalah satu nikmat
yang perlu kita hargai. Di Malaysia juga orang Islam berkuasa. Walaupun
demikian kita harus ingat ramai penduduk Malaysia terdiri dari bukan
Islam. Kuasa kerapkali menjadikan manusia angkuh dan tidak
bertimbangrasa. Oleh kerana orang Islam berkuasa, mungkin ada di antara
mereka yang berpendapat bahawa keadilan Islam dan timbangrasa Islam tidak
perlu dipanjangkan kepada orang bukan Islam. Mungkin ada yang berpendapat
bahawa kita ambil sahajalah semua untuk kita.

Dan tetap ada yang berpendapat bahawa kita tidak perlu berkerjasama dengan
orang bukan Islam.

9. Pada mereka kita perlu ingatkan bahawa Islam berkembang di Mekah dan di
Madinah di zaman Nabi kerana keadilan dan timbangrasa Islam. Kerana ini
jugalah Islam dihormati dan disegani. Pada satu haribulan Muharam ini kita
perlu ingatkan diri kita bahawa keangkuhan kuasa tidak ada tempat dalam
pemerintahan yang berlandaskan Islam. Sementara hak orang Islam kita
pelihara, hak orang lain kita jaminkan mengikut ajaran Islam. Dengan ini
bukan sahaja Islam akan dihormati tetapi penindasan terhadap orang Islam
yang menjadi minoriti di negara lain dapat dikurangkan.

10. Satu haribulan Muharam patutlah dijadikan satu tarikh untuk kita semua
merenung dan mengkaji sejarah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. terutama
penghijrahan dari Mekah ke Madinah. Dengan ini saya mengucap selamat
mencontohi semangat penghijrahan dalam semua perjuangan hidup dan mati
kita. Mudah-mudahan kita akan mendapat nikmat daripadanya; Insyaallah.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatulahi wabarakatuh.

 



 


 











 
Google