Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MUZIUM NEGARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	26/11/82 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PEMBUKAAN PAMERAN 




Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat Dato Sanusi Junid, Menteri Pembangunan Negara dan Luar
Bandar; Yang Berhormat Datuk Abdullah Ahmad Badawi, Pemangku Menteri
Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Samad Idris,
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia; Tetamu-Tetamu
Kehormat; dan Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekelian.

Saya berasa bangga kerana dijemput untuk membuka Pameran 'Wicitra 82' ini
dan berterima kasih di atas peluang untuk melihat sendiri hasil kraftangan
di Pameran ini.

2. Pameran kerajinan tangan yang diadakan dapat dilihat daripada beberapa
sudut. Pertamanya, kraftangan merupakan satu seni yang menggambarkan alam
pemikiran dan budaya masyarakat. Keduanya kraftangan mempunyai kegunaan
sehari-hari selain daripada berfungsi sebagai barang hiasan
semata-mata. Ketiganya, berhubung dengan aspek-aspek seni dan kegunaannya,
kraftangan boleh dilihat sebagai bahan ekonomi dan perdagangan yang dapat
menghasilkan pendapatan.

Dalam dunia moden kraftangan harus dilihat dari ketiga-tiga sudut ini. Dan
saya harap Pameran ini dapat mendedahkan semua pihak kepada aspek-aspek
ini.

3. Masyarakat Malaysia, khususnya masyarakat bumiputera di desa, memang
terkenal dengan kesenian dan kraftangannya.

Tahap seni dan kemahiran ini bukan sahaja dapat dilihat pada ukiran
barang-barang perak, tembaga, keramik, anyaman, wau, gasing dan lain-lain,
bahkan pada perahu, rumah dan bangunan. Adat istiadat masyarakat seperti
peminangan, perkahwinan dan lain-lain pun dihiasi dengan berbagai rupa
bentuk kemahiran tangan yang bermutu tinggi. Buktinya adalah amat nyata
bahawa masyarakat kita adalah masyarakat berjiwa seni dan
berkemahiran. Tetapi, sayangnya kita belum menerokai secara agresif dua
aspek yang saya telah sebutkan iaitu aspek-aspek kegunaan dan ekonomi,
iaitu perkara yang berkait rapat dengan perdagangan.

4. Kraftangan adalah sumber pendapatan. Ia mempunyai nilai ekonomi. Ada
negara yang dapat menjadikan kraftangan sebagai pendapatan
negara. Perusahaan kraftangan memang merupakan sumber pendapatan dalam
masyarakat kita.

Malangnya ia boleh dikatakan terhad kepada pasaran dalam negeri sahaja dan
diusahakan tanpa kesungguhan mengikut konteks keperluan ekonomi
moden. Saya yakin, kraftangan kita mempunyai potensi untuk menjangkau
pasaran dunia sekiranya kita menyesuaikan sistem pengeluaran serta
pasarannya mengikut keperluan masa.

5. Sekarang adalah masa yang sesuai untuk kita semua memikirkan cara-cara
meningkatkan pengeluaran dan mutu kraftangan kita. Penduduk luar bandar
terutamanya mempunyai masa lapang yang banyak untuk ditumpukan kepada
kemajuan industri kraftangan. Sebahagian dari mereka terlibat dengan
kerja-kerja bermusim seperti menanam padi sekali setahun, kerja-kerja yang
tidak banyak memerlukan pengawasan seperti kelapa dan kelapa sawit, dan
kaum wanita pula boleh menggunakan masa yang terluang untuk kerja-kerja
kerajinan tangan ini.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekelian, 6. Kerajaan sekarang sedang menggalakkan
pembukaan industri-industri kampung yang lebih tersusun, termasuklah
perusahaan kraftangan. Usaha-usaha ini akan diselaraskan oleh Kementerian
Pembangunan Negara dan Luar Bandar, bersama-sama dengan agensi-agensi
berkenaan yang lain termasuk perbadanan-perbadanan pembangunan wilayah.

7. Tujuan utama menggalakkan industri kampung ialah untuk meningkatkan
pendapatan masyarakat kampung melalui penggunaan masa lapang mereka secara
produktif. Di samping itu, industri ini boleh meningkatkan kefahaman
masyarakat desa mengenai selok-belok perniagaan serta peranan wang dalam
pembangunan. Industri kampung juga dapat mengurangkan penghijrahan
pemuda-pemudi kita dari desa ke bandar.

Sekiranya usaha-usaha tidak disusun dari masa ke semasa, kita akan
mengalami kekurangan tenaga pekerja untuk mengusahakan bendang dan ladang
di kampung-kampung. Gejala ini juga akan menyebabkan bilangan penduduk di
bandar bertambah dengan cepat sehingga tertumbuhlah kawasan-kawasan
setinggan yang sesak, kotor dan mencemar kehormatan.

8. Untuk mencapai objektif ini, industri kraftangan perlulah disusun
supaya sesuai dengan kehendak dan cara pemasaran moden. Zaman ini ialah
zaman "mass consumption" iaitu penggunaan barang secara
besar-besaran. Kalau dahulu sudah memadai jika kita menyediakan beberapa
barang mengikut kelapangan dan keselesaan kita dan barang ini dijual
bila-bila sahaja di bandar yang berdekatan, sekarang ini perniagaan secara
sambilan ini sudah tidak lagi boleh dimajukan. Sekarang ini pasaran
memerlukan barang yang bentuknya mengikut selera pembeli, dalam kuantiti
yang banyak, dan disedia untuk dipasar mengikut jadual. Pekan yang
berdekatan bukan lagi pasaran utama. Dunia adalah pasar yang
sebenar. Keuntungan dalam perdagangan moden tidak bergantung kepada
perbezaan yang besar antara modal dengan harga jualan tetapi kepada
"volume" atau besarnya perniagaan dalam sesuatu barang atau bidang.

9. Ada perbezaan yang besar antara pengeluar dan peniaga runcit atau
"retailer". Pengeluar mungkin dapat peratusan untung yang kecil berbanding
dengan peniaga runcit. Tetapi perasaan iri hati dan tertipu tidak patut
timbul dalam hati pengeluar. Peratusan keuntungan pengeluar mungkin kecil
tetapi kerana "volume" yang besar jumlah keuntungan akan menjadi besar
akhirnya. Sebaliknya peratusan yang besar yang diperolehi oleh peruncit
tidak akan membesar jumlah keuntungannya kerana bilangan yang dapat dijual
tidak mungkin besar. Di samping itu belanja peruncit tetap lebih besar.

10. Faktor-faktor ini perlu diterangkan supaya perdagangan kraftangan akan
meningkat. Selagi selok-belok perniagaan di zaman moden ini tidak difahami
maka selama itulah kraftangan dan industri kampung akan berada dalam
keadaan hidup segan mati tak mahu.

11. Kerajaan tidak bertujuan melalui agensi-agensinya untuk dengan
sendirinya membangunkan industri-industri kampung dengan orang-orang
kampung hanya sebagai pekerja sahaja.

Kerajaan tidak akan menyediakan tapak, menyediakan mesin, menyediakan
bangunan, menyediakan kakitangan pengurusan, kenderaan, pemasaran dan
sebagainya, seperti kilang-kilang swasta di kawasan perindustrian di mana
orang-orang kampung bekerja sebagai buruh sahaja. Tujuan sebenar ialah
supaya orang-orang kampung sendiri memiliki dan mengendalikan perusahaan
mereka sama ada sebagai usaha perseorangan, perkongsian atau sebagai
syarikat atau koperasi. Jika Kerajaan terpaksa mengadakan industri
sendirinya, ini ialah sebagai contoh yang sementara sahaja.

12. Kerajaan akan melibatkan diri secara tidak langsung seperti
mengenalpasti perusahaan yang sesuai, mengenalpasti sumber-sumber,
mengkaji tempat dan kemampuannya, menyediakan jurulatih di mana perlu,
melatih kemahiran pengurusan, menyediakan sumber pinjaman apabila pinjaman
swasta tidak diperolehi, dan mungkin juga membekalkan bantuan awal
berhubung dengan pengurusan. Kerajaan akan menubuhkan industri-industri
tunjang atau 'core industries' bagi melakukan kerja-kerja awal dan
penyudah bagi pengeluaran barang-barang tertentu. Misalnya, industri
tunjang itu terlibat dengan pemotongan buluh dan rotan dan penggalian
tanah liat sebagai kerja awal, dan kerja penyudah pula termasuklah
pembungkusan hasil keluaran yang siap untuk diperdagangkan, dan pembelian
barang-barang yang dihasilkan dari orang kampung atau koperasi atau
syarikat kampung.

13. Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar akan menubuhkan satu
'agensi pemasaran pusat' di Kuala Lumpur.

Agensi ini akan terlibat dengan rekabentuk hasil buatan, pembelian hasil
buatan yang mematuhi standard tertentu, sama ada secara terus atau melalui
industri-industri tunjang, mempamer, dan memasarkan di pasaran tempatan
dan luar negeri. Agensi ini akan bertanggungjawab membuat kajian pasaran,
kajian permintaan, kehendak pelanggan dan pembeli dan galakan atau
'promotion'. Saya berharap agensi ini akan dikendalikan oleh kerajaan
hanya untuk beberapa ketika sahaja dan akhirnya agensi ini akan
dikendalikan sebagai usaha perdagangan. Saya yakin usaha serius kerajaan
ini akan menarik perhatian dan diberi sambutan yang sewajarnya oleh
penduduk kampung untuk kepentingan mereka dan juga negara.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

14. Memperkatakan tentang mutu barang buatan ini, saya sangat berbangga
dengan usaha Kraftangan Malaysia yang akan memberi kemudahan kepada
pengiktirafan mutu, atau 'hallmark', hasil buatan perak. Pengiktirafan
mutu ini akan menempatkan barangan perak kita ke tahap persaingan yang
kukuh. Saya berharap mulai hari ini pengusaha-pengusaha perak akan
mengeluarkan barang-barang perak yang bermutu supaya hasil-hasil itu dapat
diberikan tanda mutu atau 'hallmark' oleh Kraftangan Malaysia.

15. Dalam ucapan Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Samad sebentar tadi, beliau
telah menyentuh tentang usaha Kraftangan Malaysia untuk menubuhkan satu
Pusat Dayacipta, khusus untuk kraftangan. Saya menyokong usaha ini dan
saya berharap usaha ini dapat dilaksanakan dalam konteks industri kampung
seperti yang saya sebutkan tadi.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekelian, 16. Saya berharap Pameran ini akan
menanam semangat di kalangan kita semua untuk memajukan lagi perusahaan
kraftangan di Malaysia. Saya juga berharap pameran ini akan menjadi
tumpuan ibu-bapa dan anak-anak semasa cuti sekolah ini.

17. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya membuka Pameran 'Wicitra
82' ini dengan rasminya.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.

 



 


 











 
Google