home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	BANGUNAN STUDTHUYS, BANDAR MELAKA 
Tarikh/Date 	: 	17/12/82 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN MUZIUM SEJARAH 
			NEGERI MELAKA 




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Amat Berhormat Encik Abdul
Rahim Datuk Thambi Chik, Ketua Menteri Melaka; Dif-Dif Kehormat; Tuan-Tuan
dan Puan-Puan yang dihormati sekelian.

Saya amat bangga mendapat peluang menghadiri majlis ini dan bagi pihak
diri saya juga isteri saya, saya mengucapkan berbanyak terima kasih.

2. Negeri Melaka adalah sebuah negeri yang kaya dengan sejarah. Sebagai
sebuah empayar di zaman silam, Melaka bukan sahaja mencatitkan berbagai
peristiwa penting malah ia adalah satu pusat perdagangan dan kebudayaan
yang penting di dunia.

3. Melaka, dalam sejarah, merupakan pusat pentadbiran pertama di negara
kita yang mempunyai hieraki teratur seperti sultan, bendahara, temenggong,
shahbandar, penghulu dan sebagainya. Sebagai pusat perdagangan, Melaka
berjaya menjalinkan hubungan dengan beberapa kuasa asing, daripada
Majapahit di Jawa hingga ke Negeri China. Bandar ini juga dahulu merupakan
pusat pertemuan berbagai kaum melalui perdagangan laut, sehingga bercantum
berbagai unsur yang sekarang ini dikenali sebagai kebudayaan
Melayu. Perpaduan masyarakat berbagai keturunan adalah satu hakikat yang
harus menjadi contoh kepada masyarakat sekarang.

4. Sejarahnya yang gemilang, terutama sebagai kota perdagangan yang maju,
telah menarik minat kuasa-kuasa besar di barat. Berikutan dengan itu
Melaka telah dijajah kira-kira 456 tahun oleh Portugis, Belanda dan
akhirnya Inggeris. Kesan-kesan penjajahan di kota Melaka dapat dilihat
dengan jelas, termasuklah bangunan Studthuys ini yang akan menjadi
bangunan Muzium Sejarah Melaka.

5. Sekarang kita telah merdeka dan kemerdekaan kita telah melepaskan
Melaka dari belenggu penjajah setelah begitu lama di bawah pemerintahan
kuasa asing. Melaka mencatit detik penting sejarah Malaysia Merdeka bila
Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengumumkan tarikh
kemerdekaan tanahair kita dahulu.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

6. Melaka mestilah mencari jalan untuk memperkembangkan asas ekonominya,
dan ini adalah satu cara bagi kita menuju ke arah kegemilangan yang telah
ditempa pada zaman kesultanan Melaka dahulu. Melaka tidak dikurniakan
dengan hasil minyak petroliam atau balak seperti beberapa buah negeri yang
lain. Oleh yang demikian, pelancungan, pada pandangan saya, bolehlah
dijadikan unsur baharu untuk membangunkan negeri ini, dan saya sangat
berbangga kerana Kerajaan Negeri telah menyusun beberapa projek untuk
menarik pelancung ke negeri ini. Negeri ini telah pun mempunyai sejarah
yang menjangkau beberapa abad dari kesultanan Melaka, zaman pemerintahan
barat dan sehingga merdeka; dan dengan itu banyak meninggalkan kesan-kesan
sejarah. Saya penuh yakin kesan-kesan sejarah di Negeri ini akan menjadi
tarikan utama pelancung, bukan sahaja dari dalam negeri, bahkan dari luar
negeri.

7. Usaha menarik pelancung ke negeri ini bukan sahaja berkehendakkan
penglibatan Kerajaan Negeri, tetapi juga kerjasama orang ramai. Kerajaan
Negeri boleh merancangkan kemudahan penginapan, projek pelancungan seperti
muzium sejarah ini, kemudahan pengangkutan dan sebagainya. Para pelancung
akan bertemu dengan penduduk tempatan, seperti pemandu teksi, pemandu bas,
penjual kraftangan, kakitangan restoran dan kedai-kedai makan. Dengan itu
bukan sahaja layanan dan perkhidmatan harus cekap dan bermutu, bahkan kita
mestilah juga mesra, jujur dan amanah. Kalau tambang teksi sepatutnya
seringgit, janganlah apabila nampak muka 'orang luar' tambangnya menjadi
dua ringgit. Sekali tertipu, seseorang yang mengalami tindakan yang buruk
ini akan hilang kepercayaan kepada kita. Ini bukan sahaja menjejas
industri pelancungan tetapi juga imej kita. Kita pernah dengar beberapa
buah kota di negara asing di'cap' sebagai penuh penipuan, perkhidmatan
kurang memuaskan, penduduknya tidak berbudi pekerti, banyak rasuah dan
sebagainya. Kalau kita tidak mengawasinya, para pelancung luar negeri
sesama sendiri akan mengingatkan bakal-bakal pelancung supaya berjaga-jaga
mengenai pembayaran teksi, membeli kraftangan, dan sebagainya. Akhirnya
akan timbul rasa takut untuk datang ke Malaysia. Fikirlah tentang kebaikan
jangka panjang sebelum terperangkap dengan keuntungan semasa.

8. Apa yang kita harapkan ialah gambaran yang baik dalam semua hal. Bukan
kerana kita mahu dipuji tetapi lebih kerana imej yang betul mengenai kita
sebagai masyarakat yang berhemah tinggi dan mempunyai nilai-nilai yang
tinggi. Biarlah pelancung berasa senang melancung ke Malaysia, seterusnya
ke Melaka, dan tiada berasa ragu-ragu atau takut. Dewasa ini semua negara
bersaing hebat untuk menarik para pelancung, dan para pelancung mempunyai
banyak pilihan selain dari melancung ke negara kita. Pendek kata, semua
yang berkait rapat dengan perusahaan pelancungan mestilah bekerjasama dan
memberi sumbangan positif bagi menjaminkan industri pelancungan yang sihat
di negara kita.

9. Agensi pelancungan kerajaan juga mempunyai peranannya sendiri. Di
samping menyediakan kemudahan infrastruktur pelancungan, agensi-agensi
kerajaan perlu sentiasa mengawasi perkara-perkara yang kurang menyenangkan
hati para pelancung dan orang ramai, terutamanya kebersihan dan kecantikan
alam sekeliling.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

10. Projek Muzium Sejarah Negeri Melaka ini memanglah sesuai ditempatkan
di bangunan lama ini, kerana bangunan ini mempunyai sejarahnya
sendiri. Bukanlah kita hendak membanggakan sangat bangunan yang didirikan
oleh penjajah, tetapi kita juga berbangga dengan persekitarannya ini, yang
lima abad lalu merupakan sebahagian dari kawasan pusat pemerintahan
empayar Melaka. Saya berharap muzium ini akan terisi penuh dengan
bahan-bahan sejarah dalam masa beberapa tahun lagi.

11. Saya juga berharap Kerajaan Negeri akan memperbanyakkan lokasi
pelancungan di sekitar kota ini, supaya setiap orang pelancung dapat
melihat berbagai tempat sejarah, dan tempat pelancungan lain, dalam masa
melancung ke Melaka.

12. Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan perasaan bangga kerana
dijemput merasmikan asas Muzium Sejarah Negeri Melaka ini, dan menyaksikan
sendiri bahan-bahan sejarah yang sedia terkumpul.

Wabilahi Taufik Walhidayah Wasalamu 'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 



 


 











 
Google