home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN BESAR, MAKTAB PERGURUAN 
			PEREMPUAN MELAYU, MELAKA 
Tarikh/Date 	: 	18/12/82 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN PERTEMUAN DUNIA 
			MELAYU 1982 




ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan
kehadiran saudara-saudari para jemputan sekelian, khasnya para sarjana,
penulis dan budayawan dari luar negeri, iaitu dari Indonesia, Negeri Thai,
Filipina, Singapura, Brunai dan Sri Lanka.

2. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah
kepada Kerajaan Negeri Melaka, Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Gabungan
Persatuan Penulis Nasional yang telah mengambil daya usaha dan berjaya
menganjurkan Pertemuan Dunia Melayu 1982 ini. Di atas penghormatan yang
diberikan kepada saya untuk berucap sepatah dua kata, dan seterusnya
merasmikan Pertemuan ini, saya ucapkan ribuan terima kasih.

3. Pertemuan cendekiawan seperti ini, bukan sahaja memberi kesempatan
untuk saudara-saudari berbincang dan mencari penyelesaian mengenai
pelbagai persoalan sosio-budaya ras Melayu, tetapi juga akan dapat
mengeratkan lagi hubungan setiakawan dan kerjasama serantau.

Saudara-saudari sekelian, 

4. Hari ini, bila kita memperkatakan tentang 'Dunia Melayu', kita
berhadapan dengan sesuatu yang kesamaran. Dari segi geo-politiknya, apa
yang mungkin dianggap sebagai 'Dunia Melayu' merangkumi wilayah yang
tersebar luas di Nusantara. Dari segi kebudayaan pula, ia merangkumi aneka
budaya daerah dan kesukuan yang telah mengalami perkembangan yang agak
terasing dan tersendiri semenjak runtuhnya Empayar Melayu dan wilayah ini
dipecah-belahkan oleh penaklukan kuasa-kuasa asing.

5. 'Dunia Melayu' mempunyai sejarah gemilang sebelum kedatangan
kuasa-kuasa asing ke rantau ini yang telah membahagi-bahagikannya. 'Dunia
Melayu' di dalam sejarah merupakan pusat peradaban yang tinggi, pusat
kebudayaan dan perkembangan ilmu pengetahuan, dan pusat perdagangan yang
penting. 'Dunia Melayu' dapat berbangga dengan negarawannya,
pahlawan-pahlawannya, ahli-ahli pelayaran dan penerokanya, tokoh-tokoh
agama, sastrawan dan ahli falsafahnya. Kedatangan kuasa-kuasa Barat, bukan
sahaja telah melenyapkan 'Dunia Melayu' dari lembaran sejarahnya yang
gemilang, tetapi juga telah menodai "world-view" Melayu hinggakan 'Dunia
Melayu' merupakan interpretasi mengikut kaca mata penjajah. Bukan sahaja
kita telah dijajah dari segi politik, dan dengan putar belitnya diperas
pula dari segi ekonomi, malahan cara pemikiran dan nilai-nilai kita juga
telah disogok dengan pendapat-pendapat dan nilai-nilai mereka. 'Dunia
Melayu' hampir hilang teras-teras identitinya, dan 'Dunia Melayu' hampir
lenyap dari sejarah.

6. Syukur alhamdulillah, kebangkitan semangat nasionalisme telah dapat
menebus semula 'Wilayah Melayu' walaupun bukan lagi seperti 'Dunia Melayu'
di zaman kegemilangannya. Hari ini, apa yang kita dapati ialah
negara-negara kecil yang merdeka di mana penduduknya mungkin berketurunan
Melayu, atau cuma golongan minoritinya Melayu. Masyarakat keturunan Melayu
tersebar di sana-sini, bukan sahaja di kawasan Nusantara dan Pasifik,
malahan hingga ke beberapa tempat lain seperti Sri Lanka, Malagasy dan
juga di Amerika.

7. Kita tidak boleh mengubah sejarah. Dan kita tidak harus
memporak-purandakan suasana politik dengan mengapi-apikan nasionalisme
Melayu sempit untuk mewujudkan 'Dunia Melayu' sebagaimana di dalam sejarah
dahulu kala. Tetapi, kita boleh mengubah nasib kita. Adalah menjadi
tanggungjawab kita untuk memelihara warisan Melayu sebagai warisan
peradaban masyarakat dunia yang progresif. Dalam hal inilah
saudara-saudari dibebankan dengan satu tugas yang amat
mencabar. Usaha-usaha ini mestilah dilaksanakan dalam rangka geo-politik
yang wujud pada masa ini.

Saudara-saudari sekelian, 

8. Keruntuhan politik 'Dunia Melayu' bukanlah kerana nenek moyang kita
tidak bersemangat dan tidak berani. Ia berlaku kerana kita berhadapan
dengan bangsa yang lebih tinggi ilmu pengetahuan dan teknologinya daripada
kita, dan ia berlaku kerana kita ditipu-helahkan, dan kita disemaikan
dengan bibit-bibit perpecahan supaya kita tidak boleh bersatu-padu. Ia
berlaku kerana, dengan cara halus, bangsa asing telah dapat menguasai
fikiran kita, hinggakan kita memandang rendah kepada diri kita sendiri dan
kepada apa sahaja yang ada pada diri kita.

9. Bangsa penjajah lebih menonjol-nonjolkan kebudayaan, supaya kita lebih
mementingkan seni dan budaya, warisan dan sejarah, sementara ilmu
pengetahuan, ekonomi dan politik dipisahkan supaya tidak diberi perhatian,
dan supaya kita lemah. Kita juga disogokkan dengan nilai-nilai dan
kebudayaan mereka supaya kita akhirnya hilang identiti, dan menyanjung
tinggi apa yang ada pada mereka.

10. Sekarang, setelah merdeka kita perlu membebaskan diri kita dari segala
rupa bentuk pengaruh yang melemahkan kita. Yang penting di sini ialah
memupuk semula nilai dan keperibadian Melayu kita yang mempunyai
dinamismenya sendiri. Dengan perkataan lain, kita perlu menebus semula
maruah kita sebagai satu rumpun bangsa yang berkeperibadian tinggi, dan
berkeupayaan menjadi manusia yang maju dalam semua bidang.

11. Inilah yang perlu menjadi teras "world-view" Melayu moden. Kita tidak
harus lagi terperangkap sebagai "katak di bawah tempurung". Kita perlu
berjejak di dunia nyata, dan mencari kemuliaan dan kemajuan di dunia nyata
yang mencabar ini.

12. Salah satu alat yang boleh digunakan bagi menggerakkan usaha ke arah
'world-view' Melayu yang dinamis ialah dengan penulisan. Saudara-saudari
yang menguasai alat ini, perlulah menggunakan daya penulisan dan daya
kreatif bagi menggerakkan pemikiran 'Dunia Melayu' mengikut
landasan-landasan yang telah saya sebutkan tadi. Sama ada dari segi
penulisan sejarah, puisi, novel, cerpen, penyelidekkan, dan lain-lain,
dorongannya haruslah untuk memupuk dan membangkitkan nilai-nilai mulia di
kalangan suku-suku keturunan Melayu. Biarlah akhirnya sumbangan kita
menjadi daya penggerak 'Dunia Melayu Baru' yang menyumbangkan kemajuan di
setiap ceruk rantau di mana juga keturunan Melayu berada.

Saudara-saudari yang saya hormati sekelian, 

13. Sekarang izinkan saya menyentuh 'Dunia Melayu' dalam konteks yang
lebih khusus, iaitu konteks negara Malaysia.

14. Kebudayaan adalah keseluruhan manifestasi pemikiran dan nilai mulia
sesuatu masyarakat. Perbincangan tentang kebudayaan harus bebas daripada
segala prasangka politik. Tetapi, harapan ini tidak mungkin berlaku lagi
dalam keadaan sekarang, di mana kebudayaan selalunya ditiup dengan
semangat politik yang rumit dan sensitif. Hal ini amat jelas dalam
percaturan politik di beberapa negara baru.

15. Kita juga berhadapan dengan masalah ini di Malaysia. Pembinaan
kebudayaan kebangsaan berhubungan langsung dengan perpaduan nasional dan
pembentukan keperibadian nasional berasaskan kehidupan rakyat berbagai
keturunan, agama dan kebudayaan yang sama sekali berlainan. Tetapi, kita
telah dapat meletakkan beberapa asas, semasa kita mencapai
kemerdekaan. Yang menjadi beban kita sekarang ialah pelaksanaannya.

16. Dalam keadaan seperti ini, kebudayaan nasional bukanlah lagi warisan
nenek moyang yang tumbuh dan berkembang serta mengalami perubahan melalui
proses yang bebas. Malahan sebaliknya, kebudayaan nasional, seperti juga
aspek-aspek kehidupan moden yang lain, perlu dibina dan dimajukan mengikut
'perancangan' dan dengan pendekatan serta strategi tertentu.

17. Beberapa tahun lalu, apabila menyebut 'perancangan kebudayaan' ada
orang yang merasa aneh, kerana kebudayaan seharusnya tumbuh dan berkembang
dengan natural, sebagai warisan manusia dari satu generasi ke satu
generasi. Sekarang, 'perancangan kebudayaan' telah menjadi perkara biasa
dan diterima. Sungguhpun sebenarnya suatu kehidupan itu merupakan satu
warisan, namun ia tidak statik; ia sentiasa mengalami perubahan yang, ada
kalanya, begitu radikal sifatnya. Kemampuan kebudayaan mengalami perubahan
seperti ini, memberikan kita harapan untuk merancang dan melakukan
perubahan-perubahan, sesuai dengan keperluan semasa. Kita boleh
meninggalkan nilai-nilai dan amalan-amalan yang merugikan, atau yang
bertentangan dengan kepentingan nasional; kita boleh memupuk dan
memperkukuhkan nilai-nilai yang baik yang belum menjadi amalan
masyarakat; dan kita boleh juga menanamkan nilai-nilai baru yang boleh
membantu kita membina bangsa yang kuat. Dan ini semua dapat dilakukan
tanpa merosakkan, malah memperkukuhkan keperibadian kita sebagai satu
bangsa.

18. Kebudayaan Melayu, sejak ratusan tahun, telah memperlihatkan
kemampuannya untuk berkembang di samping perkembangan kebudayaan luar,
sama ada dari Asia mahupun dari Barat. Bahasa, kesusastraan, kesenian,
pemikiran, nilai dan norma, dan cara hidup orang Melayu telah begitu
banyak berubah. Oleh kerana itu, apabila dasar kebudayaan kebangsaan
menetapkan kebudayaan kebangsaan akan hanya menerima unsur-unsur kebudayan
asing yang sesuai dan wajar, ini bukanlah suatu hal yang baru, dan bukan
pula sekadar kata-kata saja. Kebudayaan kebangsaan yang berteraskan
kebudayaan rakyat asal rantau ini, yang menerima asimilasi unsur-unsur
kebudayaan asing, dan yang menjadikan Islam sebagai unsur yang penting,
sebenarnya adalah sesuatu yang telah berlaku sejak ratusan tahun yang
lampau. Perbezaannya ialah perkembangan pada masa lalu berlaku tanpa
tindakan dan perancangan, sehingga ikut terserap unsur-unsur yang tidak
membantu dan tidak diingini, malah menghalang pertumbuhan kebudayaan
kebangsaan yang wajar, yang boleh membentuk satu bangsa yang kuat dan
benar-benar setia kepada negara Malaysia.

19. Semasa kita membuat persiapan untuk kemerdekaan, dan juga waktu kita
memulakan hidup sebagai negara baru yang merdeka, persetujuan bersama
telah dibuat mengenai beberapa perkara pokok yang penting, yang dianggap
sebagai asas bagi pembinaan bangsa dan negara kita yang moden
ini. Perkara-perkara pokok itu telah menjadi asas kepada Perlembagaan
negara kita. Rukunegara dan Dasar Ekonomi Baru juga dirumus dalam rangka
yang telah dipersetujui itu.

20. Kita semua telah bersetuju, perpaduan dan keutuhan itu akan kita bina
dan pupuk melalui satu bahasa, iaitu bahasa kebangsaan; satu kebudayaan,
iaitu kebudayaan kebangsaan. Maka bahasa kebangsaan diasaskan kepada
bahasa Melayu, dan kebudayaan kebangsaan ialah kebudayaan yang berteraskan
kebudayaan rakyat asal pribumi Malaysia. Kebebasan untuk mengamalkan
kebudayaan masing-masing sebagai kebudayaan kesukuan, dalam rangka dan
batas-batas tertentu, adalah terjamin dalam Perlembangaan negara kita.

21. Dengan demikian, persoalan konsep kebudayaan kebangsaan tidak timbul
lagi, sama seperti persoalan bahasa kebangsaan juga tidak timbul
lagi. Yang menjadi persoalannya hanyalah usaha dan tanggungjawab untuk
mengisi konsep ini, bagi kepentingan hidup bersama. Jika kita semua
benar-benar inginkan sebuah negara yang aman makmur, dengan kehidupan
rakyatnya yang damai serta bahagia, bahasa dan kebudayaan tidaklah
seharusnya lagi dijadikan isu politik yang hanya akan menguntungkan
golongan yang anti perpaduan, dan yang taat setianya boleh diragukan.

Saudara-saudari sekelian, 

22. Usaha-usaha pihak penganjur dan ahli-ahli jawatankuasa penyelenggara
Pertemuan yang bersejarah ini adalah membanggakan. Tentulah banyak masa,
fikiran dan tenaga yang telah dicurahkan bagi menjayakan pertemuan seperti
ini. Saya mendapat tahu, ada orang-orang yang 25 tahun lalu bertungkus
lumus menyelenggarakan Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang pertama, masih
ikut menyumbangkan tenaga dan fikiran bagi menjayakan Pertemuan Dunia
Melayu 1982 ini. Adanya 'orang-orang lama' yang masih sanggup bekerja
secara sukarela demi tujuan yang murni ini, adalah suatu perkara yang
harus kita sanjung tinggi. Semoga, dengan semangat yang tidak kunjung
padam seperti ini, kita dapat berusaha menebus maruah dan harga diri kita
sebagai warganegara dunia yang mempunyai keperibadian dan peradaban
tinggi.

23. Akhir kata, dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya
mengisytiharkan Pertemuan Dunia Melayu 1982 ini dibuka dengan rasminya.

WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH WASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

 



 


 











 
Google