home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL HILTON KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	20/12/82 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM TAHUNAN 
			PERSATUAN PERKHIDMATAN TADBIR DAN 
			DIPLOMATIK (PPTD) 




ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

Yang Berbahagia Tan Sri Hashim Aman, 
Ketua Setiausaha Negara; 
Yang Berbahagia Datuk Dr. Abdullah Sanusi, 
Presiden Persatuan PTD; 
Dif-Dif Kehormat; 
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekelian.

Sekali lagi saya diberi penghormatan menghadiri majlis makan malam tahunan
PPTD. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Presiden, Ahli-Ahli
Jawatankuasa serta sekelian ahli Persatuan di atas jemputan untuk saya dan
isteri saya menghadiri majlis ini.

2. Sebagai penaung Persatuan, saya berbangga dapat berdamping rapat dengan
pegawai-pegawai PTD. Tetapi, saya menjadi penaung Persatuan tentulah tidak
dengan syarat supaya saya hanya memperkatakan yang baik-baik saja. Ini
Doktor - untuk men"diagnose" segala macam penyakit, tetapi tujuannya
baik. Dalam pengurusan pun ada juru-audit pengurusan, penganalisa
pengurusan, dan lain-lain, yang mengkaji penyakit-penyakit
organisasi; jadi, jika saya membuat teguran mengenai pengurusan dan
organisasi kerajaan pun, semangatnya adalah sama juga, dan tidak dengan
tujuan untuk menghina atau "ridicule" sesiapa.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

3. Kita tidak kerap berasa terhutang budi kepada penjajah. Mereka menakluk
kita kerana kepentingan mereka, dan mereka memperolehi banyak keuntungan
dari penjajahan yang mereka 4. Di Malaysia, di antara warisan dari
penjajahan yang menguntungkan kita ialah sistem pentadbiran, dan
pengalaman pentadbiran. Memang benar di zaman British mereka tidak
menyerahkan jawatan-jawatan yang penting kepada pegawai tempatan. Dan
kerapkali pula pegawai British yang dilantik tidak mempunyai kelulusan dan
pengalaman yang mencukupi, bahkan ramai juga yang terlibat dengan
rasuah. Namun demikian, pegawai-pegawai tempatan dapat mempelajari sistem
dan cara pentadbiran sehingga dengan mudahnya mereka dapat mengambil-alih
jawatan-jawatan yang terpenting sejurus selepas kita merdeka. Tidak siapa
boleh menafikan bahawa kebolehan pegawai-pegawai pentadbirlah yang memberi
"continuity" dan tunjang kepada kemajuan negara.

5. Semenjak merdeka, perkhidmatan awam Malaysia telah menghadapi banyak
cabaran. Kerajaan bukan lagi terhad kepada "maintenance of law and
order" dan memungut hasil. Dalam jangkamasa 25 tahun sahaja, peranan
Kerajaan sudah diperluaskan sehingga terlibat dengan semua gerak-geri
ekonomi, sosial dan politik dalam sebuah negara yang merdeka. Pegawai yang
dahulunya cuma tahu mengikut arahan "Tuan", sekarang ini terpaksa mewakili
negara dalam rundingan dengan negara-negara maju dan membangun di seluruh
dunia. Dan umumnya, prestasi yang dicapai tidak memalukan, bahkan ada
tanda-tanda yang menunjukkan bahawa perwakilan dari Malaysia disanjung
tinggi.

6. Kita percaya, walau apa sekalipun terjadi kepada kepimpinan politik,
Kerajaan boleh diurus oleh yang menjalankan tugas masing-masing sebagai
anggota Kerajaan.

7. Saya berbangga kerana kerjasama dan bantuan yang diberi oleh
pegawai-pegawai PTD, khususnya kepada saya. Tanpa nasihat dan panduan dari
mereka, saya tidak yakin saya akan tahu selok-belok pentadbiran, yang mana
tanpa pengetahuan ini, penguatkuasaan dasar-dasar Parti Kerajaan tidak
mungkin menjadi kenyataan. Saya amat terhutang budi kepada pegawai-pegawai
PTD yang menolong menjayakan perjalanan tugas saya. Saya rasa, jika
prestasi saya sebagai Menteri tidak memuaskan, tentulah sukar bagi saya
mengisi jawatan politik yang tertinggi di negara ini.

8. Sementara saya akui peranan PTD, kita tentu semua faham kordinasi
antara anggota-anggotanya adalah perlu. Seperti mana badan, tidak boleh
bergerak ke arah apa-apa matlamat jika gerakan tangan dan kaki tidak
di"synchronise"kan, begitu juga Kerajaan tidak dapat berjalan dengan
berkesan jika tidak ada "synchronisation" antara anggota-anggotanya. Dalam
konteks Kerajaan, Jemaah Menteri adalah kepala, dan lain-lain bahagian
dalam perkhidmatan awam adalah tangan dan kaki. Cuma jika tangan dan kaki
mengikut arahan kepala dan bergerak secara "coordinated" baharulah sebuah
tubuh-badan dapat bergerak dengan jayanya. 

9. Kerjasama dari lain-lain institusi negara kerana semua institusi yang
menjadi "constituents" kepada negara saling bergantung antara satu sama
lain. Walaupun ada institusi yang lebih utama dan penting, dianya dengan
sendirinya tidak mungkin berkesan.

10. PTD adalah lebih utama. Oleh kerana itu kebolehannya mestilah
tinggi. Apa yang diwarisi dari British tidak mencukupi lagi. Pemerintahan
yang begitu kompleks, yang diperlukan oleh negara moden, bermakna PTD
mestilah Walaupun cuma sebahagian yang kecil, tetapi demikianlah
berkesannya sikap ini, sehingga ia boleh menjejaskan pencapaian PTD
keseluruhannya, dan juga prestasi negara.

11. Sikap yang saya maksudkan ialah "negativism." "Negativism" adalah satu
sifat yang boleh muncul dalam berbagai bentuk. Ianya boleh muncul sebagai
reaksi yang begitu pantas terhadap apa-apa cadangan atau rancangan yang
baru. Mereka yang mempunyai sifat negatif ini sering berkata bahawa apa
yang dicadangkan itu tidak mungkin dijayakan kerana berbagai sebab. Belum
lagi cadangan dikaji, dan cara-cara melaksanakannya digubah, sudahpun
diputuskan bahawa cadangan itu dan ini tidak mungkin.

12. Bahayanya sikap ini ialah keperluan membuktikan bahawa "negativism"nya
itu adalah berasas. Oleh itu, bukan sahaja tidak akan ada usaha untuk
menjayakan cadangan yang baru, bahkan mungkin ada usaha untuk
menggagalkannya supaya bolehlah ianya berkata, "I told you so." 13. Sikap
negatif ini mengekalkan amalan yang kolot, walaupun nyata amalan itu tidak
baik, dan menghalang perubahan baru yang mungkin membawa kesan yang
baik. Tidak ada perubahan baru yang 100 peratus tetap membawa
kebaikan. Bagi orang yang negatif, ianya akan menonjol keburukan yang ada
pada yang baru "to the exclusion of" apa juga kebaikan. Sebaliknya,
keburukan amalan yang lama tidak disebutkan. Bahkan ada yang
mempertahankan yang lama bermatian-matian. Dengan ini maka kemajuan tidak
boleh dicapai.

14. Seperkara yang menyebabkan amalan lama disukai ialah dengan amalan
lama tidak perlu dibuat penyesuaian. Tidak ada yang perlu dipelajari,
dicuba dan dilatih untuk kelancaran kerja. Apa yang biasa dibuat akan
diteruskan sahaja. Sebaliknya, dengan yang baru, satu proses mempelajari
dan melatih perlu diadakan. Dalam proses ini, kelemahan mesti dikesan dan
diatasi. Semua ini memerlukan pertukaran dalam amalan yang sudah
dibiasakan dan untuk ini pula satu usaha mesti dibuat.

15. Kadang-kadang sikap negatif ini muncul dalam urusan harian yang
melibatkan orang ramai. Jika sesuatu yang dipohon oleh sesiapa ditolak
maka tidak ada kerja berkenaan dengannya yang perlu diusahakan. Sebaliknya
berkata "Ya" kepada apa permohonan bermakna menerima beban kerja tambahan
berkenaan dengan permohonan tersebut.

16. Pegawai yang baru mungkin lebih positif. Tetapi sikap positif ini
tidak kekal. Setelah mengalami kebuntuan kerana lain-lain pegawai tidak
begitu berminat, maka pegawai baru pun hilang minat positifnya.

17. Penerimaan teguran ini pun akan berbeza antara mereka yang positif
dengan yang negatif. Sudah tentu sikap negatif cuma dipunyai oleh
segelintir pegawai sahaja. Tetapi yang tidak negatif pun kadang-kadang
tidak begitu sanggup menerima teguran seperti ini, kerana kata mereka,
yang sebenarnya menjadi majoriti dari pegawai, tidaklah perlu dibangkitkan
apa yang melibatkan cuma satu kumpulan yang kecil sahaja. Tetapi, saya
berpendapat sikap positif bermakna kesanggupan mendengar pendedahan
seperti ini, kerana dari kesalahan orang lain kita akan lebih sedar dan
berhati-hati tentang diri kita. Oleh itu, saya berharap semua pegawai akan
menerima teguran ini sebagai usaha ikhlas ke arah kebaikan, dan bukan
usaha memburukkan sesiapa. Yang perlu dibuat ialah menyoal diri sama ada
unsur-unsur negatif ini ada pada diri sendiri dalam apa-apa bentuk, dan
menyingkirkannya jika ada. Ringkasnya, sikap positif mestilah ditunjukkan
berkenaan dengan teguran ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

18. Untuk keamanan masyarakat, kita perlukan Kerajaan, atau lebih tepat
lagi pemerintahan. Tugas pemerintah ialah menjaga supaya anggota
masyarakat mendapat perlindungan daripada yang bengis dan nakal di
kalangan mereka. Undang-undang dan peraturan-peraturan adalah digubal, dan
dikuatkuasakan oleh pemerintah, demi matlamat ini.

19. Di zaman ini, tanggungjawab Kerajaan sudah menjadi begitu besar
sehingga tidak mungkin rakyat, ataupun pegawai, mengetahui semua
undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkuatkuasa. Oleh itu, banyak
dari urusan Kerajaan bergantung kepada budibicara pegawai-pegawai
berkenaan. Dengan perkataan lain, pegawai-pegawai diberi kuasa mentafsir
dan melaksanakan undang-undang dan peraturan-peraturan pemerintahan.

20. Tidak hairanlah jika dalam keadaan ini kita kerap lupa akan tugas
Kerajaan. Kita kerap memikirkan bahawa Kerajaan wujud semata-mata untuk
mencegah dan menyekat, dan bukan menentukan supaya rakyat dapat hidup
tanpa gangguan dan sekatan dari mana-mana pihak dalam masyarakat.

21. Tujuan saya memperingati peranan Kerajaan dalam membendung gerak geri
yang halal oleh rakyat. Oleh itu, Kerajaan perlu berusaha untuk menentukan
rakyat di semua peringkat mendapat pertolongan yang sewajarnya dari
Kerajaan sepanjang masa.

22. Dalam konteks rakyat, Kerajaan bukan selalunya bermakna wakil yang
dilantik oleh mereka, tetapi lebih kerap ialah pegawai dengan siapa mereka
mengadakan perhubungan setiap masa. Di sinilah peranan Kerajaan sebagai
pemelihara kebahagiaan rakyat menjadi penting. Kerajaan sudahpun
mengadakan dasar menolong rakyat desa dan rakyat lain yang memerlukan
bantuan Kerajaan. Kali ini saya ingin canangkan pula sikap dan peranan
Kerajaan terhadap swasta.

23. Kerajaan ini tidak berpendapat yang pihak swasta itu adalah musuh
Kerajaan yang mesti ditekan secukup-cukupnya. Sebaliknya, Kerajaan ini
berpendapat bahawa pihak swasta dengan secara hampir langsung, adalah
rakan perkongsian yang memiliki 40 hingga 50 peratus dari saham percuma
syarikat-syarikat swasta. Setiap kali mereka untung, Kerajaan mengambil 40
hingga 50 peratus dari keuntungannya itu sebagai cukai. Duit inilah yang
kita guna untuk membayar gaji pegawai dan lain-lain urusan pentadbiran.

24. Walaupun jikalau syarikat-syarikat swasta rugi Kerajaan tidak secara
langsung rugi, tetapi dari segi kira-kira Kerajaan rugi, kerana tidak
dapat memperolehi pendapatan dari cukai yang dikenakan atas
keuntungan. Selain dari itu, setiap kali syarikat swasta rugi, negara
terpaksa memikul beban masalah yang timbul darinya. Peluang kerja akan
kehilangan, modal akan merosot, mungkin wang pinjaman tidak dapat dibayar,
barang-barang akan reput atau susut nilai, dan lain-lain lagi, yang cuma
dapat dikesan apabila yang menganggur, dan yang turut rugi kerana
kegagalan sebuah syarikat atau perusahaan, membuat pengaduan berkenaan
dengannya.

25. Untuk mengelak dari kemalangan yang disebabkan oleh kegagalan dalam
perniagaan, Kerajaan, iaitu pegawai-pegawai, perlu memberi khidmat dan
kerjasama yang bersih, cekap dan beramanah kepada pihak swasta. Janganlah
kita soal atau berasa irihati kerana khidmat kita menjadikan mereka kaya
dan kita tidak dapat apa-apa. Di dalam negara Malaysia, sistem kita
memberi tempat kepada yang kaya supaya Kerajaan dan masyarakat dapat
berkongsi kekayaan dan kecerdasan mereka untuk kepentingan am, dan
kepentingan pegawai yang berkhidmat.

26. Walaupun pegawai perlu memberi khidmat kepada swasta, ini tidak
bermakna bahawa kita perlu menolong mereka yang sebenarnya tidak berminat
dan tidak mempunyai kebolehan. Mereka yang semata-mata berharap kepada
Kerajaan untuk mendapat keuntungan, tidak membawa keuntungan kepada
sesiapa. Apa yang berlaku ialah duit Kerajaan dipindah ke kocek
mereka. Mereka ini patut diberitahu awal-awal lagi bahawa mereka perlu
mengubah sikap dan cuba berdiri di atas kaki sendiri. Dasar Ekonomi Baru
tidak bermakna mengambil duit Kerajaan untuk dimasukkan ke poket sesiapa,
walaupun bumiputra. Dasar Ekonomi Baru bermakna khidmat istimewa dari
Kerajaan untuk mengurangkan kemungkinan kerugian berlaku.

27. Tentulah jelas dari ini bahawa pegawai mesti cekap menilai keadaan,
dan memiliki sikap yang jujur dan positif. Khususnya, tanggungjawab
pegawai ialah memberi khidmat yang positif, yang bertujuan bukan sahaja
menjayakan, tetapi menjayakan dengan secepat mungkin apa juga rancangan
swasta. Asalkan Dasar Ekonomi Baru dipatuhi, segala rancangan swasta
mestilah dibantu oleh pegawai tanpa apa-apa irihati, atau keangkuhan
kuasa. Sekali lagi saya ingin mengingatkan bahawa Kerajaan, bahkan negara,
memiliki saham percuma dalam semua perniagaan dan perusahaan, besar atau
kecil, iaitu jikalau mereka untung. Kegagalan semua perniagaan dan
perusahaan adalah kegagalan Kerajaan dan masyarakat, dan kejayaan mereka
juga adalah kejayaan dan keuntungan Kerajaan dan negara.

28. Akhir sekali, saya ingin sebutkan tentang peningkatan pengetahuan di
kalangan pegawai-pegawai. Kerapkali terjadi apabila sahaja kita tamat
belajar di universiti, kita tidak lagi teruskan amalan membaca. Jika
pelajaran hendak ditambahkan, kita bergantung kepada seminar, simposium
dan lawatan-lawatan, terutama ke luar negeri. Sementara saya tidak
menafikan peranan seminar dan lawatan, saya berpendapat tabiat membaca
buku amatlah berkesan dalam mempertingkatkan pengetahuan.

29. Kita perlu membaca bukan sahaja tajuk-tajuk yang ada kaitan dengan
kerja, tetapi juga lain-lain tajuk. Ini termasuklah bacaan berkenaan
dengan agama rasmi kita, berkenaan dengan sejarahnya dan
tamadunnya. Dengan pembacaan yang luas ini, maka kita akan menjadi anggota
masyarakat dan pegawai pentadbir yang lebih berkesan. Tetapi, saya tahu
ramai dari pegawai-pegawai tidak begitu tertarik dengan amalan ini. Bahkan
ada yang tidak membaca apa-apa yang telah ditunjuk sebagai "required
reading." Ini saya tahu kerana tiada siapa yang membuat "quote" dari
buku-buku tertentu dan tidak ada perbincangan tentang hujah-hujah dalam
buku-buku ini dan bagaimana mengamalkannya dalam pentadbiran.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, 

31. Saya bercakap panjang lebar dalam majlis makan malam ini, walaupun ini
bukanlah kuliah, dan mungkin apa yang saya perkatakan tadi merupakan
teguran dalam "public." Mungkin ada yang tersinggung. Tetapi, ini adalah
satu forum yang dihadiri oleh sebilangan besar dari pegawai PTD dan ini
merupakan peluang bagi saya berhubung dengan seramai-ramainya pegawai PTD
secara langsung. Melalui akhbar pula, mungkin lebih ramai lagi akan
mengetahui tentang kandungan ucapan ini. Mereka yang bersikap positif akan
menumpukan kepada kandungan ucapan ini, dan bukan soal kena atau tidak
tempat dan masanya. Saya percaya semua dari saudara-saudari ingin menjadi
pegawai yang bersikap positif dan oleh itu ucapan ini akan mempunyai
kesan.

32. Malam ini adalah malam untuk bersuka-suka. Oleh itu, perkara-perkara
yang lebih terperinci mengenai apa yang saya sentuh secara ringkas, saya
serahkan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekelian untuk difikir dan
dijadikan program yang dipraktikkan oleh setiap anggota perkhidmatan
awam. PTD memegang jawatan di berbagai jabatan; tentulah mudah bagi
tuan-tuan dan puan-puan sekelian untuk membawa "mission" ini, dan
menjayakan amanah ini.

33. Akhirnya, saya ucapkan selamat menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad
s.a.w. dan tahun baru 1983 dan selamat maju jaya.

WASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

 



 


 











 
Google