home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	08/02/83 
Tajuk/Title  	: 	DI MAJLIS SAMBUTAN HARI KEPUTERAAN 
			YANG TERAMAT MULIA TUNKU ABDUL 
			RAHMAN PUTRA AL-HAJ 




ASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH dan selamat sejahtera.

Yang Teramat Mulia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Merdeka dan Bapa
Malaysia; Para tetamu yang mulia; Tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang
saya hormati.

Terlebih dahulu, bagi pihak semua rakan seperjuangan dalam Barisan
Nasional, dengan perasaan penuh gembira dan tulus ikhlas, saya
menyampaikan doa dan ucapan 'selamat hari jadi' kepada pemimpin agung
kita, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, sempena hari
keputeraannya yang ke 80 ini. Mudah-mudahan Allah cucuri rahmat dan
lanjutkan usia beliau, sihat walafiat dan sentiasa bahagia, sambil
meneruskan sumbangannya kepada agama, bangsa dan tanah air yang kita
cintai ini.

2. Di samping itu, pada hari yang bertuah ini, marilah kita sama-sama
bersyukur ke hadrat Ilahi, atas limpah kurniaNya yang membolehkan kita
semua bertemu pada malam ini dalam suasana yang aman dan
tenteram. Sesungguhnya, keamanan dan ketenteraman yang kita dari berbagai
kaum nikmati sekarang ini, adalah salah satu dari hasil pimpinan dan jasa
bakti Yang Teramat Mulia Tunku yang tak ternilai harganya dan yang akan
kekal abadi dalam kenangan kita bersama.

3. Tiga puluh satu tahun yang lampau, apabila Tunku memulakan kerjasama
politik UMNO-MCA bagi menghadapi pilihanraya Majlis Bandaran Kuala Lumpur,
terjadilah satu 'perkahwinan politik' yang melahirkan Perikatan dan
kemudiannya Barisan Nasional; dan tanpa disedari, Tunku sebenarnya telah
meletakkan asas kerjasama politik dan asas perpaduan rakyat yang
menyebabkan kestabilan politik sepanjang suku abad ini. Keberanian Tunku
mencipta kerjasama ini tidak boleh dipertikaikan. Di waktu kaum-kaum di
Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat kuat berkonfrontasi, usaha ke
arah kerjasama antara kaum adalah satu perkara yang merbahaya bagi seorang
pemimpin yang bergantung kepada sokongan ramai menganjurkannya. Tetapi
'the charm and personality of the Tunku won over everyone.' Hari ini kita
melihat betapa langkah Tunku merupakan langkah yang bijak. Sementara di
negara-negara lain di mana penduduk terdiri daripada berbagai kaum,
ketenteraman dan pembangunan diganggu sepanjang masa kerana sengketa kaum,
di Malaysia perselisihan antara kaum adalah minima. Kestabilan politik dan
ketenteraman di Malaysia adalah hasil yang terbesar dalam usaha
Tunku. Saya yakin selagi parti campuran yang diasaskan oleh Tunku dalam
tahun 1952 berkuasa, dasar dan prinsip perjuangan Tunku akan dikekalkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, 

4. Yang Teramat Mulia Tunku telah menjadi salah seorang tokoh yang
terpenting dalam sejarah moden Malaysia.

Kejayaan beliau dan kemampuan beliau melibatkan diri secara langsung dalam
politik negara kita selama hampir suku abad, sebagai Presiden UMNO,
Pengerusi Perikatan, Ketua Menteri dan Perdana Menteri, telah menyebabkan
penciptaan satu zaman yang tersendiri dalam sejarah Malaysia, zaman yang
penuh dengan cabaran, zaman yang memerlukan banyak kebijaksanaan dan
kesabaran dan zaman yang memulakan satu lagi babak baru dalam sejarah
negara kita.

5. Oleh kerana itu, apabila kita menghargai dan mengingati Tunku, kita
sebenarnya menghargai dan mengingati sejarah bangsa dan negara kita. Dan
bagi suatu bangsa yang bertekad untuk terus maju dan kukuh, mengingati
serta mempelajari sejarah amatlah penting, kerana sejarah adalah contoh
dan tauladan. Sejarah membentangkan kepada kita peristiwa suka-duka dan
kegagalan serta kejayaan masa lalu. Sejarah juga menjelaskan kepada kita
bahawa dunia dan kehidupan manusia terus berubah. Pemimpin akan silih
berganti, pergi dan datang; perubahan juga tiada siapa yang dapat
menahan. Yang dapat dan perlu kita lakukan, ialah menjalankan ikhtiar
supaya perubahan itu dapat dikawal dan dibentuk, sesuai dengan kehendak
dan keperluan kita, satu bangsa yang merdeka dan bermaruah.

6. Dalam zamannya itu, Tunku telah menjadi pemimpin gigih yang meneruskan
perjuangan kebangsaan yang telah dimulakan menjelang Perang Dunia Kedua
dulu. Di bawah pimpinannya, maruah dan kemerdekaan negara dapat ditebus
kembali. Sesudah itu, sebagai tokoh politik dan negarawan, Tunku memulakan
langkah mengisi kemerdekaan. Lagi sekali, di bawah pimpinannya, asas dan
infrastruktur yang kukuh bagi menegakkan sebuah negara moden yang maju,
telah dapat dibina.

Tuan-tuan dan puan-puan.

7. Apa yang telah saya sebutkan ialah perjuangan Tunku selepas beliau
berpindah ke Kuala Lumpur dan memasuki arena Kingdom untuk belajar, Yang
Teramat Mulia Tunku telah menceburkan diri dalam usaha menolong rakyat. Di
waktu saya masih kecil, nama Tunku sudah pun terkenal di kalangan rakyat
Kedah sebagai seorang anak raja yang bersimpati dan dekat dengan rakyat.

8. Mungkin Tunku tidak ingat tetapi sebagai Setiausaha Kesatuan Pemuda
Melayu Kedah, saya telah menjemput Yang Teramat Mulia Tunku, yang diwaktu
itu menjadi Superintendent of Education (jika saya tidak silap) untuk
menyaksi preview satu sandiwara di Sekolah Perempuan Seberang Perak yang
telah dipinjamkan oleh Tunku kepada Kesatuan Pemuda Melayu Kedah.

9. Di waktu kita menentang Malayan Union, petition yang dihantar kepada
Kerajaan British oleh Kesatuan Melayu Kedah, Seberkas dan Kesatuan Pemuda
Melayu Kedah ditulis oleh Tunku sendiri. Aktiviti politik di waktu Yang
Teramat Mulia Tunku memanglah kena pada tempatnya apabila Tunku dijemput
untuk menjadi Yang diPertua UMNO selepas UMNO kehilangan ketua. Langkah
ini merupakan langkah yang terpenting sekali dalam sejarah Malaysia.

10. Di Kedah dan di seluruh Malaysia kita semua kenal dan kenang jasa-jasa
Yang Teramat Mulia Tunku. Tetapi ini tidak bermakna bahawa dunia tidak
mengenali beliau. Sebenarnya Tunku juga telah berjasa kepada dunia
amnya. Sikap yang tegas yang ditunjukan oleh beliau terhadap dasar
apartheid Afrika Selatan akhirnya telah membawa kepada penyingkiran negara
itu dari Komanwel. Di kalangan negara-negara Islam pula, jasa Tunku
sebagai pengasas dan Setiausaha Agung pertama Komanwel Islam yang
dianjurkan oleh beliau dan sekarang dikenali sebagai Organisation of
Islamic Conference tidak dapat dilupakan. Demikianlah peranan yang
dimainkan oleh Tunku sehingga dibeberapa negara Afrika dan negara Islam,
Malaysia cuma dikenali jika nama Tunku Abdul Rahman disebut. Tanpa apa-apa
perasaan angkuh, kita boleh katakan Tunku memang sudah menjadi World
Statesman. Kita turut berbangga dengan kejayaan ini.

11. Maka sekarang, sebagai tanda penghargaan kita yang paling bererti
ialah menjadikan kewajipan serta tangungjawab kita, khususnya para
pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional, untuk mempastikan supaya
asas dan infrastruktur yang telah dibina oleh Tunku akan terus kukuh dan
kekal. Sekiranya berlaku keretakan atau kerosakan di mana-mana, maka
perlulah kita perbaiki dengan musyawarah dan muafakat bersama. Dan adalah
menjadi kewajipan kita juga, untuk menentang habis-habisan barang siapa
juga yang hendak merosak dan merobohkan asas dan infrastruktur nasional
ini. Salah satu musuh paling besar ialah kata-kata, kegiatan dan tindakan
yang boleh menyalakan api perkauman dan yang bertentangan dengan
kepentingan nasional. Tunku tidak pernah bermain-main dengan politik, apa
lagi politik perkauman. Maka kita juga tidak seharusnya cuba-cuba bermain
politik, lebih-lebih lagi memperalatkan politik untuk kepentingan diri dan
kelompok, untuk mempertahankan kekuasaan dan memperkayakan diri sendiri.

12. Yang Teramat Mulia Tunku adalah seorang putera Malaysia yang
tulen. Cita-cita beliau dan tindak-tanduk beliau sentiasa mengutamakan
kepentingan nasional, lebih daripada kepentingan sempit untuk kaumnya
sendiri sahaja. Beliau tidak pernah merasa takut dan sentiasa bersedia
menerima apa juga kritik dan hukuman, demi untuk kepentingan
nasional. Beliau bukan sahaja tidak mendapat apa-apa faedah material untuk
peribadinya daripada jerih payah perjuangan ini, malah harta miliknya
sendiri telah dikorbankan, demi untuk perjuangan bangsa dan
tanahairnya. Hidupnya sentiasa sederhana. Kesenangan dan kebahagiannya
ialah kehidupan yang harmoni, aman dan damai.

13. Inilah antara warisan paling berharga yang ditinggalkan kepada kita,
apabila beliau dengan senang hati, mengucapkan selamat tinggal kepada
kegiatan politik secara langsung. Sempena malam bertuah ini, lagi sekali
sebagai tanda penghargaan kita kepada beliau, marilah kita sambut warisan
paling berharga ini dengan ikrar akan menyambung perjuangan yang diasaskan
olehnya.

Tuan-tuan dan puan-puan.

14. Majlis ini bukanlah untuk saya. Tetapi dengan izin hadirin sekelian
saya ingin mengambil peluang ini untuk memohon maaf secara terbuka atau
publicly terhadap apa-apa kata-kata kesat dan tindakan yang biasa saya
lakukan kerana perbezaan pendapat dengan Yang Teramat Mulia Tunku
dahulu. Walaupun pada detailnya mungkin ada perbezaan antara pendapat saya
dengan Yang Teramat Mulia Tunku tetapi amnya.

15. Akhir kata, bagi pihak seluruh anggota parti-parti komponen Barisan
Nasional, saya memohon ke hadrat Allah Rabbulalamin, semoga Tunku sentiasa
sihat dan bahagia sepanjang masa.

Terima kasih.

 




 











 
Google