home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PERSIMPANGAN L/RAYA PERSEKUTUAN DGN JLN KE L/TERBANG SUBANG Tarikh/Date : 24/03/83 Tajuk/Title : DI MAJLIS PERASMIAN MERCUTANDA Pengerusi Kumpulan UMW, Dif-dif Kehormat, Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur majlis kerana memberi peluang kepada saya berucap sepatah-dua kata di majlis ini. 2. Baru-baru ini Kerajaan telah menganjurkan konsep Persyarikatan Malaysia atau "Malaysia Incorporated". Walaupun konsep ini bukanlah konsep yang baru kepada kebanyakan orang, tetapi mungkin ada yang terkeliru dengannya. Secara ringkas, saya ingin jelaskan bahawa "Malaysia Incorporated" bermakna pemerintah dan swasta bukanlah sektor yang bertentangan antara satu dengan yang satu lagi, tetapi adalah anggota yang sepakat dalam usaha menjadikan negara lebih efisien dan "competitive". Dalam konsep ini Kerajaan harus berusaha secara positif untuk menjayakan peniaga dan pengusaha, dan mereka pula harus menganggap Kerajaan sebagai rakan yang perlu dibantu kerana Kerajaan bukan sahaja ditugas untuk pembangunan dan kestabilan negara, tetapi adalah sebahagian dari jentera yang boleh menjayakan segala kegiatan ekonomi negara. Hasil dari kerjasama dan tolong- menolong ini ialah negara akan kaya dan stabil, yang sudah tentu membawa manfaat kepada Kerajaan, kepada peniaga dan pengusaha, dan kepada rakyat keseluruhannya. Sebagai satu persyarikatan, keupayaan Malaysia bersaing dengan negara lain dalam bidang perdagangan dan perusahaan adalah lebih tinggi. Sebaliknya, jika Kerajaan dan swasta asyik berkonfrontasi, "efficiency" dan "productivity" negara ini tidak dapat dipertingkatkan, dan kita tidak mungkin bertanding dengan negara lain dengan jayanya. Demikianlah konsep Malaysia Incorporated dan maksudnya. 3. Sepertimana kita semua maklum, Kerajaan wujud bukan dengan tujuan memberi peluang kerja kepada pegawai dan kakitangan semata-mata. Kerajaan juga tidak diadakan untuk memberi kuasa kepada orang-orang tertentu. Pegawai, kakitangan dan ahli politik diberi gaji dan kuasa adalah semata-mata untuk mengawal keadaan dalam negara, dan perhubungan luar, supaya negara terpelihara dari huru-hara yang menjejaskan pembangunan dan kekukuhan negara. Hasil dan cukai yang dikutip bukan sahaja untuk bayaran upah kepada anggota Kerajaan tetapi adalah untuk penyediaan, pembinaan dan penyelenggaraan segala kemudahan yang diperlukan oleh rakyat -- termasuk peniaga dan pengusaha. 4. Tetapi, sungguhpun Kerajaan mengadakan peruntukan untuk infrastraktur dan lain-lain, mustahil semua yang diperlukan dapat dibiayai atau disediakan oleh Kerajaan. Rakyat di semua peringkat masih dikehendaki berusaha untuk menentukan keadaan dalam masyarakat menjadi lebih bahagia. Sebab itulah badan-badan sukarela ditubuh, dan tabiat yang baik digalakkan. Tidak ada Kerajaan di dunia ini yang boleh mengawal keadaan alam sekeliling sepenuhnya jika rakyat suka melakukan jenayah, menipu, mencemar alam sekeliling, dan mencetuskan huru-hara sepanjang masa. 5. Sebab itu, dalam usaha kita untuk mengindahkan alam sekeliling kita, setelah pembangunan mencemarnya sedikit- sebanyak, bukan sahaja Kerajaan yang perlu berusaha, tetapi orang ramai juga perlu berusaha. Peranan yang terpenting sekali dari orang ramai ialah mengelak dari mencemar alam sekeliling. Bagi yang mampu pula, mereka patut berusaha sendiri bukan sahaja untuk menjaga keadaan yang sedia ada tetapi juga mengindahkan keadaan di sekeliling rumah-tangga dan kampung halaman mereka. Dan bagi mereka yang lebih mampu, seperti hartawan-hartawan dan syarikat-syarikat, mereka patutlah membantu Kerajaan dalam usaha mengindahkan alam sekitar. Dengan ini, maka Kerajaan dan rakyat, melalui syarikatsyarikat dan hartawan-hartawan, akan menjadi satu badan, atau corporation -- atau persyarikatan yang bergerak untuk kebaikan negara, sekurang-kurangnya dalam bidang pemeliharaan alam sekeliling. 6. Mungkin soal ditimbul tentang faedah yang akan diperolehi oleh individu atau syarikat yang "public-spirited" ini. Secara terus dan langsung, mungkin tidak ada balasan. Saya juga yakin, syarikat yang menyumbangkan wang-ringgit dan tenaga tidak berharap kepada balasan secara langsung. Tetapi, secara tidak langsung banyak manfaat akan diperolehi oleh mereka yang "public-spirited" ini. Negara yang indah dan bersih dengan sendirinya akan membawa kemakmuran yang akan dinikmati oleh orang yang "public spirited" tadi. Tidak ada keuntungan bagi hartawan dan syarikat yang wujud dalam masyarakat dan negara yang miskin dan daif. 7. Kerajaan, baru-baru ini, telah menumpukan perhatian kepada pembersihan dan pengindahan negara. Sementara kebanyakan dari tempat-tempat awam diselenggarakan sendiri oleh Kerajaan, sebagai sebahagian dari konsep tanggungjawab bersama Kerajaan dan swasta, Kerajaan telah menjemput syarikat-syarikat untuk mengambil-alih tanggungjawab untuk mengindahkan kawasan-kawasan tertentu oleh mereka. Sambutan daripada pihak swasta boleh dikatakan menggalakkan. Di antara yang terbesar ialah rancangan raksaksa di persimpangan jalan ke lapangan terbang yang telah ditawar oleh Syarikat UMW, sebuah syarikat yang terkemuka di Malaysia. UMW, di bawah pimpinan Dato Eric Chia, telah membawa cadangan untuk mengindahkan kawasan ini dan membina satu mercutanda yang boleh menjadi "land-mark" kepada pelawat-pelawat dari luar negeri serta penduduk negara ini sendiri. Projek ini adalah projek yang terbesar sekali yang pernah dicadangkan secara sukarela oleh syarikat swasta dalam program mengindahkan negara ini. Saya diberitahu bahawa sejuta ringgit telah dibelanjakan untuk pembinaan menara jam dan taman di sekelilingnya. Selain dari itu pihak UMW pula sanggup membelanja hampir enam ribu ringgit sebulan untuk menyelenggarakan kawasan ini. Saya ingin mengucap tahniah dan terima kasih kepada Dato Eric Chia dan Syarikat UMW kerana menyambut seruan Kerajaan dan orang ramai. Sikap yang seperti inilah yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang dihormati dan disanjung tinggi. Saya berharap hartawan dan syarikat-syarikat lain akan mencontohi tauladan UMW dalam bidang ini. Insya-Allah mereka akan mendapat banyak manfaat darinya. 8. Seperkara yang boleh dibanggakan ialah projek ini disiap-sedia dalam jangkamasa empat bulan sahaja. Ini mencerminkan "efficiency" syarikat UMW dan pengurusannya, yang mana ini bolehlah dijadikan sebagai contoh pengurusan baik kepada swasta mahupun kepada Kerajaan. "Efficiency" seperti ini amatlah secocok dengan hasrat dan desakan Kerajaan. Sekali lagi saya mengucap tahniah kepada UMW kerana kecekapannya. 9. Program mengindahkan negara menjadi lebih penting kerana proses pembangunan kerap-kali mencemar alam sekeliling dan meluputkan keindahan semulajadi. Kita bernasib baik kerana negara kita begitu subur sehingga penanaman pokok-pokok menjadi begitu mudah. Oleh itu, kita patutlah mengambil peluang menjaga suasana persekitaran kita. Pengindahan Malaysia akan menjadikan negara kita bukan sahaja lebih cantik dipandang, tetapi juga lebih selesa dan tenteram. Oleh itu, program ini seharusnyalah diberi sokongan oleh semua pihak. 10. Tentulah Kerajaan akan membantu individu, yayasan dan pihak swasta yang ingin menjayakan program pengindahan Malaysia, dan lain-lain program bagi faedah masyarakat. Tetapi, ini seharusnyalah dilihat sebagai kerjasama dan tidak menambahkan beban kepada Kerajaan. Dari masa ke semasa, cara-cara yang lebih sesuai bagi memperbaiki lagi kerjasama ini haruslah dikaji bersama. 11. Dengan ini saya, dengan sukacitanya, merasmikan projek Mercutanda binaan Syarikat UMW ini. |