home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT LATIHAN POLIS, JALAN GURNEY, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 26/03/83 Tajuk/Title : DI UPACARA PERBARISAN PERDANA SEMPENA HARI POLIS 1983 Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi kepada tuan-tuan dan puan-puan para hadirin sekelian. Saya bersyukur ke hadrat Allah subhanahu wataala, kerana dengan izinNya, dapat kita sekelian berkumpul di upacara perbarisan sempena menyambut Hari Ulangtahun Polis yang Ke 176. 2. Perbarisan yang kemas dan segak, yang telah tuan-tuan dan puan-puan tunjukkan sebentar tadi, melambangkan mutu disiplin di kalangan anggota Polis Diraja Malaysia. Saya harap tuan-tuan dan puan-puan sekelian, dan seluruh Pasukan Polis Diraja Malaysia, akan mengekalkan tahap disiplin yang tinggi setiap masa, dan menjadikannya landasan dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas harian. 3. Saya telah difahamkan bahawa tema Hari Polis kali ini adalah sama dengan tekanan "Kepimpinan Melalui Tauladan" yang gerakannya dilancarkan beberapa hari dahulu. Tema ini adalah amat sesuai, kerana pada hakikatnya, setiap orang anggota polis adalah pemimpin di mata masyarakat, dari segi peranannya mendukung kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan negara. 4. Penguatkuasaan undang-undang adalah dengan tujuan untuk mewujudkan keamanan dan ketenteraman negara dan harus menjadi alat memupuk semangat menghormati undang-undang di kalangan rakyat. Dengan asas dan suasana tenteram inilah sahaja kita dapat mempastikan bahawa setiap rakyat dapat menikmati hak-hak mereka yang tercatit dalam perlembagaan negara tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa, dan pembangunan dapat dilaksanakan dengan teratur. Sesungguhnya pengekalan kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan merupakan tugas penting Pasukan Polis Diraja Malaysia. 5. Sebagai pemimpin yang menjadi tauladan kepada orang ramai, beberapa kualiti serta sikap tertentu perlu dimiliki dan ditunjukkan oleh anggota polis. Seseorang pemimpin hendaklah mempunyai pengetahuan luas, bukan dari segi selok-belok kerjanya sahaja, tetapi juga pengetahuan am, pengetahuan mengenai masyarakat, dan lain-lain, malah pengetahuan agama yang cukup supaya ia menjadi manusia yang dapat ditauladani oleh orang lain. Pengalaman dan pengetahuan akademik yang diperkukuhkan dengan iman akan memupuk mentaliti dan personaliti yang bersih, cekap dan amanah. Bersih dilambangkan oleh perwatakan yang terhindar dari sebarang unsur yang boleh menggugat kejujuran kita, dan cekap dicerminkan oleh kegigihan melaksanakan dasar-dasar dan peraturan-peraturan perkhidmatan tanpa digugat oleh hawa nafsu atau egoisme individu. Beramanah pula menunjukkan kematangan keperibadian yang lahir dari keinsafan tanggungjawab kepada masyarakat, agama dan negara. 6. Sebagai agensi profesional, bidang-bidang tanggungjawab polis memerlukan kepakaran yang berbagai dan khusus. Tuan-tuan dan puan-puan semua hendaklah terus memperkemas dan meningkatkan keupayaan diri untuk menghadapi suasana dan cabaran yang berubah-ubah. Pengetahuan, kecekapan dan kepatuhan kepada disiplin adalah amat penting. Ia akan membolehkan tuan-tuan dan puan-puan bertindak dengan objektif dan berkesan. Imej sesuatu perkhidmatan tidak bergantung kepada jumlah arahan atau peraturan yang dikeluarkan oleh sesuatu jabatan, tetapi kepada nilai-nilai, dan tahap prestasi serta tingkah laku setiap anggota, bahagian dan lapisan organisasi dalam mencapai objektif-objektifnya. Oleh itu, kita hendaklah menanamkan sifat-sifat rajin bekerja, dedikasi, sanggup mengkritik diri sendiri di samping mengawal tutur kata, berbudi bahasa dan bersopan-santun. Dalam apa jua keadaan, tuan-tuan dan puan-puan hendaklah sentiasa bersabar dan menunjukkan kesanggupan mengawal diri dari bertindak mengikut perasaan, atau di luar lunas-lunas yang sah walaupun ketika menghadapi sesuatu keadaan yang mencemaskan. Sifat-sifat ini perlu dimiliki oleh setiap anggota polis. 7. Sesungguhnya kelicinan tugas-tugas polis amat bergantung kepada sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh orang ramai. Untuk menjamin perhubungan yang baik ini, tuan-tuan dan puan-puan perlulah sentiasa sensitif terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh orang ramai, khususnya bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan negara. Segala usaha hendaklah diatur untuk mengatasi masalah-masalah mereka. Dengan cara inilah keyakinan orang ramai terhadap polis akan dapat diperkukuhkan lagi. 8. Bangsa yang mulia ialah bangsa yang individunya maju dari segi perseimbangan material dan rohani. Pasukan polis yang berwibawa memerlukan perseimbangan ini, malah perseimbangan inilah yang boleh melahirkan bangsa dan negara yang bermaruah dan berkeperibadian tinggi. Dalam hal ini, Pasukan Polis mempunyai peranan yang penting. Saya harap, dari masa ke semasa, tahap prestasi Pasukan Polis akan meningkat, dengan usaha yang menyeluruh oleh setiap anggotanya. Sekian, wassalamu 'alaikum warahmatulahi wabarakatuh. |