home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN CANSELOR TUN ABDUL RAZAK, U.K.M, BANGI Tarikh/Date : 10/04/83 Tajuk/Title : DI MAJLIS PERASMIAN PELANCARAN PERAYAAN 35 TAHUN DAN PERSIDANGAN AGUNG TAHUNAN GPMS KE 35 Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Amat Berhormat Dato Musa Hitam, Penaung GPMS; Yang Berhormat Prof. Awang Had Salleh, Yang Berhormat Prof. Nik Abdul Rashid, Ketua Pengarah ITM; Yang Berusaha Encik Mohd Nasir Mokhsan, Presiden GPMS; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian. Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Presiden GPMS dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Perayaan kerana menjemput saya ke majlis ini, dan seterusnya di atas penghormatan yang diberikan kepada saya untuk membuat sepatah-dua kata ucapan sempena dengan perayaan ulangtahun GPMS yang ke 35 dan Mesyuarat Agung Gabungan kali yang ke 35. 2. Saya amat berbangga dengan aturcara sambutan yang disediakan bagi perayaan ini yang termasuk pamiran sejarah GPMS, jaguh pidato antara belia, simposium antarabangsa, program pembangunan kebudayaan GPMS, dan lain-lain lagi yang akan mengisi perayaan ini dari masa ke semasa. 3. Sejarah kemerdekaan negara kita mencatit berbagai-bagai sumbangan badan-badan sukarela Melayu yang bergerak mengikut aktiviti-aktivitinya tetapi yang bersama giat berjuang untuk mencapai dan mengisi kemerdekaan negara. Salah satu daripada badan-badan ini ialah GPMS yang lahir sepuluh tahun sebelum merdeka dan masih gigih memperjuangkan nasib orang Melayu di bidang pelajaran. 4. Setelah dua puluh lima tahun merdeka, pencapaian orang-orang Melayu dalam bidang pelajaran telah meningkat, dan sekarang, kita dapat berbangga bahawa anak-anak Melayu telah dapat meneroka bidang-bidang dan mata-mata pelajaran yang dahulunya hanya menjadi impian kita semata-mata. Kini terdapat anak-anak Melayu kita yang berkelayakan paling tinggi dan menjadi pakar di dalam berbagai-bagai bidang termasuk bidang-bidang sains dan teknologi. Ini adalah satu manfaat kemerdekaan. Tetapi, kita hendaklah sedar bahawa pencapaian kita ini tidak berlaku tanpa usaha, tanpa kesedaran anak-anak, ibu-bapa dan pemimpin-pemimpin sekelian. Dari segi semangat kemerdekaan ia adalah sebagai permulaan sahaja kerana masih banyak yang perlu dibuat dan dimajukan. 5. Banyak perubahan yang telah berlaku semenjak kita mencapai kemerdekaan. Dengan perubahan-perubahan yang berlaku ini, kita, sebagai anggota masyarakat Melayu, harus mengubah-suai peranan dan perjuangan kita supaya prestasi pencapaian kita akan meningkat lagi, sesuai dengan kehendak keadaan zaman serta cabaran. Pada hari ini, kita sedang meneroka bidang-bidang yang dahulunya menjadi lapangan kaum-kaum lain, dan lapangan-lapangan yang kita bergantung kepada orang lain. Inilah salah satu caranya kita mengisi kemerdekaan. Namun demikian, kita harus terus bergiat meningkatkan kemampuan kita untuk terus mengisi ruang-ruang di mana orang-orang Melayu masih lemah. Dalam hal ini, bagi membolehkan usaha ini dibuat dengan lebih berkesan lagi, golongan cerdik-pandai Melayu dari semua bidang, lebih-lebih lagi mereka di dalam bidang sains dan profesional, harus menyertai kegiatan GPMS dan lain-lain pertubuhan. Dengan cara ini saya harap bukan sahaja semangat GPMS yang semarak selama ini dapat diperkembangkan lagi, malahan kemampuan, dan prestasinya, untuk memperjuangkan taraf pelajaran orang Melayu akan menjadi semakin meningkat, sesuai dengan kehendak dan keperluan kita masa kini dan masa akan datang. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. 6. Badan-badan sukarela Melayu, dengan sejarah dan semangatnya dalam memperjuangkan kemerdekaan mestilah dipupuk dan diteruskan. Tetapi, dengan kemampuan orang Melayu yang semakin meningkat, kita harus sedar tentang suatu gejala tidak sihat yang telah meresapi masyarakat Melayu. Badan-badan sukarela, sebagaimana juga badan-badan ekonomi dan politik Melayu, sedang mengalami keadaan di mana terdapat klik-klik, atau kumpulan-kumpulan, yang tindak-tanduknya kadang kala melemahkan sesuatu badan itu secara menyeluruh. Pengikut orang itu dan pengikut orang ini, jika menjadi ciri di dalam sistem persatuan orang Melayu, akan hanya melemahkan perjuangan orang Melayu sendiri, dan kita mungkin akan kehilangan 'semangat merdeka' yang menekankan perpaduan sebagai asas kekuatan kita pada satu ketika dahulu. 7. Cara pemikiran yang mewujudkan 'barrier' atau sekatan-sekatan tertentu mengikut kumpulan-kumpulan seperti ulamak dan bukan ulamak, lepasan universiti itu dan lepasan universiti ini, kumpulan dari bidang itu dan bidang ini, boleh menjadi benteng keangkuhan bagi melemahkan pencapaian dan prestasi masyarakat Melayu. Tidak mengapa jika wujud kalangan itu dan kalangan ini, sekiranya ia diasaskan kepada semangat untuk menyatukan sumbangan ke arah matlamat akhir kita. Tetapi jika 'barrier' yang wujud hanya memupuk rasa keakuan, dan 'aku lebih penting dan aku yang lebih berhak', ia hanya akan menyemaikan bibit-bibit perpecahan di kalangan orang Melayu. Jika semasa kita memperjuangkan kemerdekaan kita sentiasa berpegang teguh kepada pepatah 'bersatu kita teguh bercerai kita roboh', semangat pepatah ini tidak kurang pentingnya sekarang ketika kita sedang membina satu bangsa Malaysia yang makmur, sejahtera dan bersatu-padu yang memerlukan asas-asas kebangsaan yang kuat. Sebagaimana kita maklum, dan yang menjadi hasrat orang Melayu ialah teras asas-asas kebangsaan ini ialah unsur-unsur pribumi. Adalah menjadi harapan saya, bahawa perkara ini sentiasa diberi perhatian yang teliti, dan dengan insaf, oleh setiap orang Melayu. Inilah sebalik kata Hang Tuah 'Takkan Melayu hilang di dunia'. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. 8. Kerajaan sedang berusaha untuk mengukuhkan kemampuan negara dengan berbagai-bagai cara, pendekatan dan strategi. Baru-baru ini gerakan kepimpinan melalui teladan telah dilancarkan bagi sektor awam. Gerakan ini, walaupun dimulakan dengan sektor awam, hendaklah menjadi gerakan yang meliputi seluruh masyarakat. Bangsa Melayu mempunyai peranannya yang amat penting dalam menjayakan gerakan ini hingga ia menjadi nilai hidup kita. Saya sebutkan perkara ini di sini kerana kepimpinan Melayu menjadi teras kepada kepimpinan negara ini, dan kepimpinan inilah yang akan menentukan sama ada kita dapat menggerakkan negara kita kepada tahap pencapaian yang setanding dengan negara-negara maju. Badan-badan sukarela Melayu, dan badan-badan politik dan ekonomi Melayu, adalah tempat kepimpinan negara dilahirkan. Oleh itu, kita tidak harus lupa pada hakikat bahawa kematangan dan kemampuan badan-badan Melayu adalah jaminan kepada kejayaan orang Melayu dan kemakmuran Malaysia. 9. Dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, saya telah menyatakan bahawa masih ramai daripada orang Melayu yang mempunyai sikap negatif, yang masih tidak sanggup berusaha, tidak sanggup belajar dan tidak sanggup bekerja. Saya juga telah menyatakan pentingnya kita menjadi contoh teladan yang baik bagi membawa kenyataan kepada hasrat kita untuk menjadi bangsa dan negara yang bermaruah. Jika kita berusaha, dan kita mencapai tahap kepimpinan di segenap peringkat, dan di dalam semua lapangan, kita tidak perlu mencari-cari contoh dari mana-mana jua malahan kita yang akan dicontohi oleh orang. Tetapi, bagi mencapai tahap ini, kita mestilah sedar dan bergiat mengatasi apa-apa jua kelemahan kita, walaupun berhadapan dengan kenyataan kelemahan kita itu pedih. Kita mesti berani menghadapi dan mengatasinya. 10. Walaupun kita dapat menikmati faedah kemerdekaan dan pembangunan, jika sebahagian besar daripada masyarakat kita masih dikongkong oleh sikap-sikap negatif, kita hanya akan kerugian. Salah satu daripada perkara yang menyedihkan, dan amat malang bagi orang Melayu, ialah suburnya sikap bergantung kepada orang lain, kepada Kerajaan dan kepada nasib. Hinggakan dalam soal agama pun, ada anggota masyarakat Melayu yang ingin bergantung kepada semua bentuk pemberian, dari tempat ibadat kepada tikar sembahyang, pinggan-mangkuk dan belanja untuk mengadakan sesuatu majlis keagamaan melainkan jika niat usaha ini diasaskan kepada kepentingan lain. Jika dilihat dalam bidang pelajaran pula terdapat setengah-setengah penuntut Melayu yang merasakan mereka berhak mendapat tempat di institusi-institusi pelajaran tinggi, sedangkan apabila mereka berada di institusi-institusi ini mereka terpaksa dipaksa untuk belajar, untuk menghadiri kuliah dan tutorial, untuk membaca dan membuat itu dan ini, sedangkan segala-galanya adalah untuk faedah mereka dan bagi menebus maruah bangsa mereka sendiri. Mereka seolah-olah menganggap apabila mereka masuk ke universiti, mereka harus lulus, kerana anggapan mereka apabila masuk universiti kesudahannya ialah, tidak lain, hanya lulus. Penuntut-penuntut Melayu cuai dengan Bahasa Malaysia kerana anggapan mereka Bahasa Malaysia bahasa mereka. Apakah pencapaian tinggi anak-anak kaum-kaum lain di banding dengan pencapaian anak-anak Melayu dalam Bahasa Malaysia tidak menjadi bukti? Kita harus berbangga dengan pencapaian anak-anak kaum-kaum lain dan kita tidak harus iri hati kerana Bahasa Malaysia adalah bahasa seluruh rakyat Malaysia. Tetapi, sebaliknya kita harus sedar dan insaf bahawa jika kita lemah kerana kita cuai, dan indah tak indah dengan kecapaian kita, tentulah kita selama-lamanya akan menjadi bangsa yang lemah dan tidak ada apa bantuan pun yang akan memberi faedah jangka panjang. Semuanya ini adalah negatif bagi orang Melayu, negatif bagi masyarakat, dan negatif bagi Islam . Jika ini menjadi ciri hidup masyarakat Melayu ia hanyalah petanda keburukan akan menimpa orang Melayu. 11. Apa yang saya sebutkan ini hanyalah sekadar pembuka mata bagi masyarakat Melayu sendiri untuk berhadapan dengan kenyataan lebih besar yang ada pada kita. Mungkin ia tidak sedap didengar, dan mungkin ada orang yang marah kerana saya menyentuh kelemahan orang-orang Melayu. Tetapi, kepada saya, kewajipan kita sebagai orang Melayu bukanlah untuk berbangga-bangga, dan mengkhayalkan orang Melayu di alam impian. Tanggungjawab kita ialah supaya kita dapat bersama-sama mengatasi kelemahan-kelemahan orang Melayu. Sepertimana di dalam keadaan perang, pihak yang hanya berbangga-bangga, tetapi mempunyai kelemahan, akan hanyalah ditimpa kekalahan. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, 12. Anak-anak Melayu di zaman kita hari ini lahir dan hidup di dalam keadaan kemewahan. Alhamdulillah, dengan kehendak Allah mereka tidak mengalami kepahitan sebagaimana yang telah dilalui oleh orang-orang tua mereka dahulu dalam zaman penjajahan, zaman perang dan zaman semua kepayahan. Oleh sebab mereka mengenal kemewahan tanpa kesusahan, nilai kebahagiaan bagi mereka adalah tidak sama dengan mereka yang telah merasai pahit-maungnya hidup. Oleh itu, bukan sahaja mereka 'take for granted' segala-gala kebaikan, malahan ramai pula, tanpa bersyukur dengan kebahagiaan yang dinikmati, telah memburuk-burukkan negara ini, tidak ubah seperti rakyat asing yang tidak sukakan kemakmuran dan kesejahteraan yang kita telah bersusah payah berusaha ke arahnya. 13. Saya harap kita dapat bersama-sama menyedarkan diri kita, dan anak-anak kita, supaya mereka mempunyai kemampuan dan kematangan untuk menerima negara ini sebagai warisan apabila tiba masanya nanti, dan untuk membawanya ke tahap pencapaian yang lebih tinggi lagi. Yang kita usahakan sekarang ialah untuk kebahagiaan mereka, dan adalah menjadi tanggungjawab mereka pula untuk menjamin kebahagiaan ini akan berterusan, hingga ke generasi-generasi yang akan datang. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, 14. Sempena dengan perayaan ulang tahun GPMS ini, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Gabungan dan sekelian ahlinya. Dengan ini juga, saya dengan sukacitanya, melancarkan perayaan ulang tahun 35 GPMS dan merasmikan Mesyuarat Agungnya yang ke 35. Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |