Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KOTA BAHRU, KELANTAN
Tarikh/Date : 16/04/83
Tajuk/Title : DI PEMBUKAAN MUKTAMAR PARTI BERJASA
Bismillahi rahmanir rahim.
Yang Mulia Pegerusi Majlis; Yang Berhormat Datuk Muhammad bin Nasir, Yang
Di Pertua Agung Berjasa; Ketua-ketua dan wakil-wakil parti-parti komponen
Barisan Nasional; Dif-dif kehormat; Tuan-tuan dan Puan yang dihormati
sekelian, Asalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Saya bersyukur ke
hadrat Allah subhanahu wataala, ucapan. Saya mengucapkan ribuan terima
kasih atas jemputan untuk menghadiri majlis ini dan atas penghormatan yang
diberikan kepada saya.
2. Tempoh selama saya memegang jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi
Barisan Nasional adalah amat menarik sekali dari segi perkembangan politik
negara. Bukan sahaja Barisan Nasional dengan parti-parti komponennya
mencapai kejayaan di dalam Pilihanraya 1982, tetapi, dengan kewibawaan
Barisan Nasional, dan Kerajaan yang ada, pergolakan dalam parti-parti
pembangkang semakin ketara. Adalah jelas bahawa parti-parti yang
membenarkan extrimisme menjadi cara perjuangan mereka tidak dapat diterima
oleh sebahagian besar rakyat negara ini yang ingin hidup aman-damai dan
berbaik-baik. Dengan perkataan lain, pemerintahan Kerajaan Barisan
Nasional, dengan usaha-usaha konkrit dan dasar-dasar yang diterima rakyat
telah memperkukuhkan lagi kedudukan kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3. Sebagai orang Islam sudah tentulah menjadi tujuan kita untuk
meninggikan syiar Islam di negara ini dan menyumbangkan apa-apa jua yang
boleh mengukuhkan lagi perpaduan dan perkembangan Islam di kalangan umah
di peringkat antara bangsa. Usaha-usaha meningkatkan syiar Islam mestilah
dilihat pada dua peringkat, iaitu peringkat negara, dan peringkat antara
bangsa. Kedua-dua peringkat ini saling mempengaruhi.
4. Kemajuan syiar Islam di negara kita tidak dapat dipisahkan dari
perjuangan kebangsaan dan nasionalisme. Sabda Nabi salallahu'alaihi
wasaalam "Hubbul watan minal iman", iaitu "cintakan tanah air merupakan
sebahagian dari iman". Maksud hadis ini dengan jelasnya memperlihatkan
kepada kita pentingnya Islam diperjuangkan di dalam konteks nasionalisme
sesebuah negara. Perjuangan mempertingkatkan syiar Islam dalam konteks
universal, tanpa penyesuaian dengan perjuangan dalam sesuatu keadaan,
mungkin akan melemahkan perjuangan itu sendiri dalam jangka panjang.
5. Malangnya ada sesetengah golongan yang cuba mengaburkan mata umat Islam
dengan tanggapan bahawa nasionalisme tidak mempunyai tempat di dalam
perjuangan Islam. Sebenarnya tanggapan seperti ini hanyalah merupakan
permainan politik bagi memperkecilkan usaha-usaha Kerajaan dalam
mengembangkan syiar Islam. Umat Islam di negara ini harus sedar bahawa
kita merupakan hanya setengah daripada jumlah penduduk negara ini dan kita
juga lemah di dalam berbagai-bagai bidang. Jika kita hanya khayal dengan
keangkuhan bahawa kita kuat dan berkemampuan penuh untuk berbuat apa
sahaja tanpa memikirkan suasana dan implikasinya, kita hanya bermain
dengan api. Sementara kita merupakan setengah daripada jumlah penduduk
negara ini, apakah boleh kita membuat kesimpulan bahawa jumlah ini
mempunyai tahap keimanan yang begitu tinggi semuanya untuk berjihad,
sedangkan kita sedar bahawa sebahagian daripada umat Islam di negara kita
yang masih lemah dari segi spiritual dan materialnya. Umat Islam bukan
sahaja dipengaruhi oleh unsur-unsur yang tidak sihat, malahan umat Islam
kurang perpaduan, dan malang pula telah disemai dengan ajaran-ajaran yang
boleh memecah-belahkan oleh setengah-setengah oportunis politik dan
pengembang- pengembang agama yang menyeleweng.
6. Dalam keadaan seperti ini yang harus menjadi tumpuan perhatian umat
Islam yang inginkan kekuatan dan kemajuan umah, ialah mengikis tabiat
mencemar Islam dan menyemai konflik di kalangan umat. Dalam keadaan di
mana sebahagian dari umat Islam kita masih lemah dari segi keimanan dan
kemajuan, strategi yang paling sesuai ialah untuk memperkukuhkan asas-asas
kedua-dua aspek ini, tanpa bertindak secara buta-tuli mengikut emosi, yang
boleh menimbulkan implikasi yang akhirnya akan menambahkan lagi kelemahan
kita.
7. Sesebuah negara tidak serupa dengan negara lain. Keadaan kita di
Malaysia juga berbeza dengan keadaan di negara-negara lain. Apa-apa jua
yang akan kita lakukan bagi memperkukuhkan kedudukan umat Islam dan syiar
Islam di negara kita mestilah mengambil kira keadaan yang berbeza
ini. Tindakan-tindakan kita mestilah mementingkan matlamat akhir di mana
nilai-nilai Islam yang sebenarnya diamalkan oleh umat Islam, dan dapat
menjadi ukuran dan contoh baik-buruk bagi rakyat Malaysia
seluruhnya. Islam tidak menganjurkan paksaan supaya orang lain menjadi
Islam, dan ini adalah kerana Islam merupakan agama rasional, dan agama
yang boleh menarik minat semua orang. Tetapi ini mestilah dengan
ketinggian Islam sendiri dari segi nilai dan amalannya.
8. Tidak guna kita mengadakan lebel itu Islam dan ini bukan Islam jika
umat Islam tidak mengamalkan nilai-nilai Islam. Sebaliknya, jika kita
menganjurkan amalan nilai-nilai Islam dengan semangat firman Allah
subhanahu wataala yang maksudnya "berdakwahlah dengan cara yang
lemah-lembut", dan umat Islam seluruhnya mengikut prinsip-prinsip dan
nilai-nilai Islam, dengan sendiri nilai-nilai ini akan meresap ke dalam
keseluruhan aktiviti-aktiviti kita. Ini tidak semestinya berlaku dalam
masa yang singkat dan dibuat dengan gopoh-gapah tanpa perkiraan bahawa
negara kita merupakan negara majmuk dan mempunyai masalah-masalahnya yang
tersendiri.
9. Melalui sejarah, perkembangan Islam di zaman Rasullullah
sallallahu'alaihi wassalam yang memakan masa selama 23 tahun, kita dapat
meneliti satu hikmat pentingnya strategi dan diplomasi dalam mengembangkan
syiar Islam.
Jika dikehendakiNya tentulah Allah subhanahu wataala menjadikan kaum
Kurish Islam dalam masa yang sesingkat-singkatnya tanpa Rasullullah
sallallahu'alaihi wassalam melalui berbagai-bagai liku perjuangan. Hikmat
perjuangan Rasullullah sallallahu'alaihi wasaalam ialah supaya kita
berhati-hati tanpa kehilangan semangat dan perkiraan dalam mengembangkan
syiar Islam. Ketika semangat Islam berkubar dengan kencangnya ketika ini,
kita harus menjamin kejayaan perjuangan kita melalui tindakan-tindakan
yang munasabah atau tanpa mendatangkan mudarat kepada kita. Kita mesti
pentingkan pemerintahan yang adil dan bertanggungjawab. Ini dikehendaki
oleh Islam.
10. Salah satu perkara yang merugikan umat Islam ialah wujudnya pemikiran
setengah-setengah golongan yang memisahkan apa yang dipanggil sebagai
ulamak dengan bukan ulamak, yang mendapat didikan Islam di institusi
tempatan dan institusi negara-negara Islam, yang kononnya lebih Islam
dengan yang kurang Islam. Bagi kita memperjuangkan Islam, yang penting
ialah semua orang Islam, tidak kira latar belakang, kemahiran dan
kelayakan, menggemblingkan ilmu pengetahuan, kepakaran dan kemampuan
mereka sebagai satu tenaga yang menyeluruh bagi faedah kemajuan umat
Islam. Kalau kita lihat di zaman keagungan Islam dahulu, tokoh-tokoh Islam
yang terkemuka adalah dari berbagai-bagai bidang, dan yang dikatakan
ulamak ialah mereka yang berilmu pengetahuan tinggi dalam berbagai-bagai
ilmu dan bukanlah semata-mata golongan fukuha atau ahli-ahli fekah. Tetapi
zaman kita ini perkataan ilmu yang sebenarnya memberi maksud sains
dihadkan bagi pakar hukum, dan ada kalanya Islam seseorang diukur secara
adat orang yang memakai pakaian tertentu. Bagi kepentingan Islam,
pengertian yang luas dan hikmat-hikmat Islam harus benar-benar difahami
oleh kita umat Islam, lebih-lebih lagi jika kita mahukan kejayaan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
11. Islam sebagai agama rasional yang tidak perlukan mukjizat dan
peristiwa-peristiwa yang mencarit adat untuk diterima, adalah agama yang
mementingkan beberapa prinsip yang unggul untuk kemajuannya. Prinsip
kesederhanaan, berusaha, berdikari, tolong-menolong, hormat-menghormati,
amanah dan lain-lain lagi adalah nilai-nilai baik yang boleh diterima oleh
semua orang. Nilai inilah yang sepatutnya menjadi kenderaan usaha
menerapkan nilai-nilai Islam di dalam kehidupan di negara kita. Bukan
pandangan ekstrim dan tindak-tanduk yang boleh menakutkan orang lain,
tetapi pandangan yang akan memberi manfaat kepada Islam. Bukan cara
paksaan yang akan memberi manfaat kepada Islam, tetapi dengan cara
menunjukkan kebaikan Islam.
12. Di negara kita pada hari ini, Islam telah menjadi satu perkataan yang
menimbulkan banyak reaksi. Kita tidak mahu Islam menjadi 'counter
productive' sebagaimana di setengah-setengah tempat di mana Islam tinggal
nama sahaja, sedangkan pengaruh-pengaruh kepercayaan lain dapat memikat
orang-orang Islam yang kebanyakan lemah dari segi keimanan dan
kebendaan. Jika Islam hanya dapat menakut-nakutkan orang tentulah dengan
mudah Islam akan ditinggalkan, apatah lagi jika cara-cara yang digunakan
oleh orang lain lebih menarik dan halus.
13. Politik yang mencemarkan Islam akan merugikan umat Islam. Perjuangan
politik untuk Islam tidak seharusnya didorongkan oleh nafsu untuk mencari
kuasa dan mendapat jawatan. Sesuatu parti politik, kerana berada di luar
Kerajaan menyemaikan idea-idea ekstrim bukan sahaja akan menjejaskan
usaha-usaha Kerajaan bagi memajukan umat Islam, tetapi secara tidak
langsung telah memupuk satu bentuk musuh yang akan memakan parti itu
sendiri. Ini telah terbukti dengan pergolakan di dalam PAS. Kerana
inginkan kuasa, ada ahli-ahli PAS yang cuba memikat hati umat Islam dengan
idea perjuangan Islam yang sempit dan perjuangan redikal
ala-Iran. Sepatutnya PAS, sebagai parti yang dikatakan parti Islam,
menunjukkan nilai-nilai keIslamannya dalam perjuangannya, bukan
sebagaimana parti-parti pembangkang seperti DAP yang memang tidak
menonjolkan nilai-nilai Islam. Kita bukan hendak mengajar, tetapi cuma
mengingatkan mereka bahawa Islam mementingkan umatnya berfikir dan
bertindak secara bertanggungjawab, dan lebih mementingkan kejayaan bagi
Islam bukan kerana mahukan kuasa.
14. Dengan kajian terperinci kita sedang membina institusi-institusi Islam
bukan sahaja bagi memudahkan umat Islam tetapi supaya umat Islam,
setingkat demi setingkat, akan mengamalkan nilai-nilai Islam. Ini pun kita
dicaci, kononnya kita tidak jujur, dan cuma mengadakan semua ini untuk
mengaburi mata umat Islam. Kejujuran adalah di hati dan kita tidak harus
mempermain dan mempersendakan Islam.
15. Banyak yang perlu kita buat bagi memajukan negara, membawa kebahagiaan
kepada rakyat dan umat Islam. Kita perlukan sokongan dan kerjasama bagi
memudahkan kita mencapai cita-cita kita ini. Usaha-usaha untuk
meningkatkan daya pengeluaran negara, memperkemas jentera pentadbiran yang
bersih, cekap, beramanah yang menjadi tauladan, memupuk kerjasama di
kalangan semua sektor, mengukuhkan nilai-nilai mulia dan disiplin di
kalangan rakyat semuanya adalah untuk sebagai satu persaudaraan ke arah
matlamat masa depan kita yang lebih cemerlang ini.
16. Setiap parti komponen Barisan Nasional telah dapat bekerjasama bagi
kebaikan dan masa depan negara ini. Keadaan ini akan menjamin usaha-usaha
kita akan dapat diteruskan bagi kebaikan semua. Berjasa, sebagai salah
sebuah parti dalam Barisan Nasional telah sama-sama membuat sumbangan
kepada kebahagiaan bersama. Kalau hendak diukur siapa yang lebih banyak
membuat sumbangan tentulah susah. Landasan kita adalah jelas, cuma yang
penting bagi kita di dalam Barisan Nasional ialah memperkukuhkan lagi
jentera parti, menjamin perpaduan dan memupuk kelahiran barisan pemimpin
bagi menjamin Barisan Nasional akan sentiasa berkemampuan memberi
kepimpinannya yang dinamis.
17. Tentulah Muktamar ini akan membincangkan banyak perkara. Saya cuma
dapat mengucapkan selamat berbincang dan selamat maju jaya.
18. Dengan ini juga saya merasmikan Muktamar Berjasa dibuka.
Wabillahi taufik, walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.
|