home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL MERLIN, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 29/04/83 Tajuk/Title : DI MAJLIS PENYAMPAIAN DERMA KEPADA 16 BADAN KEBAJIKAN DAN KEPADA PERSATUAN BULAN SABIT MERAH MALAYSIA, Yang Berbahagia Encik Soon Peng Yam, Pengerusi Syarikat Kewangan Sim Lim (Malaysia) Berhad; Dif-Dif Kehormat, Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian; Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Syarikat Kewangan Sim Lim Malaysia Berhad kerana menghulurkan derma sebanyak $150,000 bagi pihak Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, dan menyampaikan derma orang ramai sejumlah lebih dari satu juta ringgit yang dikutip oleh syarikat ini kepada 16 badan kebajikan lain pada malam ini. 2. Badan-badan perniagaan biasanya mempunyai satu unit khas untuk mengendali dan merapatkan hubungan antara para pengguna, atau pembeli dan orang ramai. Berbagai nama diberikan kepada unit ini, tetapi yang penting ialah kesannya. Bagi sesebuah perniagaan, kesan utama yang diharapkan ialah sokongan masyarakat pengguna atau pembeli. Tetapi, kesan yang lebih luas ialah dari segi "sosial obligation" atau tanggungjawab sosial sesebuah badan perniagaan terhadap masyarakat dan negara. Aspek ini, walaupun tidak asing bagi kita, masih belum menjadi ciri masyarakat perniagaan kita. Itulah sebabnya ada kalanya kita mendengar sungutan-sungutan para pengguna dan pembeli tentang etika golongan peniaga. Sehingga kini mereka tidak faham tentang diri mereka sebagai "corporate citizen" yang mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat yang memberi peluang dan keuntungan kepada mereka. Tetapi, alhamdullillah, sekarang ada tanda-tanda bahawa semakin banyak syarikat-syarikat di Malaysia yang mengambil berat tentang peranan mereka sebagai "warganegara corporate" di Malaysia kita ini. Derma yang dihulurkan oleh Syarikat ini adalah satu dari buktinya. 3. Trend ke arah kesedaran ini malangnya dicemar oleh kegiatan yang dilakukan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. "Bogus housing developer", "backyard pharmaceutical manufacturers", dan lain-lain, telah bertempat di negara kita, dan ramai pengguna telah tertipu melalui berbagai-bagai cara. Walaupun golongan yang menjalankan aktiviti haram ini mungkin kecil, tetapi kesannya amatlah buruk kepada masyarakat. Sekali pengguna hilang kepercayaan, semua perniagaan akan menjadi malap. Kita dapat lihat ini berlaku di sebuah "crown colony" di mana barang tiruan dijual dengan meluas. Akibatnya ialah pengguna dan pembeli tidak lagi menaruh kepercayaan dan tidak mahu membeli barang-barang, walaupun yang "genuine" atau asli. Maka ekonomi pun terus merosot. 4. Mungkin keadaan ini belum begitu berleluasa di negara kita, tetapi keadaannya memerlukan tindakan yang tegas. Dalam hal ini, Kerajaan dengan sendirinya, tanpa usaha dan tindakan tegas oleh sektor swasta, dan pengguna, mungkin tidak dapat mengatasinya dengan berkesan. Adalah bagi kebaikan dan masa depan sektor swasta sendiri, dan kita semua, yang keadaan ini diatasi, dan diatasi dengan tegas dan segera. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. 5. Baru-baru ini saya telah menganjurkan konsep Persyarikatan Malaysia bagi mewujudkan satu persefahaman dan kerjasama antara sektor awam dan swasta. Saya dukacita kerana masih terdapat orang yang tidak faham dengan maksud Persyarikatan Malaysia atau "Malaysia Incorporated". Saya telah menerima cadangan supaya saya menjadi pengarah syarikat-syarikat yang ditaja oleh orang ramai kerana mereka berpendapat bahawa dasar "Malaysia Incorporated" bermakna Kerajaan berniaga sebagai syarikat, bersama dengan swasta. Sekali lagi ingin saya jelaskan bahawa "Malaysia Incorporated" adalah gelaran bagi sebuah negara di mana Kerajaan dan swasta bekerjasama untuk menjayakan ekonomi negara seolah-olah negara adalah sebuah syarikat yang mana Kerajaan dan swasta menjadi "partner" atau rakan perkongsian. 6. Kerajaan tidak akan mendapat cukai, dan rakyat juga tidak akan merasai nikmat dari perbelanjaan cukai ini. Oleh itu, pegawai Kerajaan patutlah berusaha untuk sama-sama menjayakan semua perniagaan. 7. Seperti kejayaan sesebuah syarikat juga, kejayaan "Malaysia Incorporated" tidaklah boleh bergantung kepada satu "partner" sahaja. Sementara kita berkehendakkan pegawai Kerajaan bekerjasama bagi menjayakan Persyarikatan Malaysia, "partner" dari pihak swasta juga perlu memberi kerjasama. Janganlah anggap pegawai kerajaan sebagai orang suruhan yang boleh diarah buat itu dan ini. Sebaliknya diplomasi hendaklah digunakan oleh pihak swasta untuk mendapat kerjasama pegawai. Seelok-eloknya perhubungan antara kedua-dua pihak hendaklah merupakan perhubungan antara rakan perkongsian, dan bukan "master and servant" atau " servant and master." 8. Dalam sistem demokrasi, kekayaan rakyat adalah kekayaan negara, dan kekayaan negara adalah kekayaan rakyat. Kerajaan adalah semata-mata pengurus atau "managers" yang mengurus segala kegiatan bersangkutan dengan pembangunan negara. Lebih banyak kekayaan yang dikeluarkan hasil-usaha rakyat, lebih banyaklah pendapatan negara yang akan dapat disalurkan oleh Kerajaan untuk membekalkan segala infrastruktur yang diperlukan oleh masyarakat. 9. Hari ini pendapatan per kapita rakyat Malaysia cuma dua ribu dollar US setahun, sedangkan di negara maju pendapatan mereka adalah lapan ribu dollar US setahun atau lebih. Dengan perkataan lain, kita masih miskin. Tetapi, rakyat di semua peringkat mendesak untuk mendapat infrastruktur yang setaraf dengan rakyat negara maju. Sementara peniaga memerlukan telefon automatik, teleks, lapangan terbang, pelabuhan dan lain-lain, rakyat di kampung memerlukan jalan, air dan letrik. Tidak ada keutamaan yang terlalu tinggi bagi mana-mana pihak kerana tanpa perniagaan tidak mungkin negara memperolehi hasil untuk dibelanjakan untuk jalan-jalan kampung, letrik dan air. Kedua-dua pihak adalah penting untuk negara. 10. Jika kita ingin kepada semua kemudahan-kemudahan ini negara perlukan hasil yang lebih tinggi, yang bermakna daya pengeluaran rakyat mestilah dipertingkatkan secepat mungkin. Dalam analisa yang terakhir daya pengeluaran inilah yang terpenting sekali dalam pembangunan negara. 11. Kekayaan rakyat memang menguntungkan rakyat sendiri. Bukan sahaja hasil yang dikutip oleh Kerajaan akan dibelanjakan untuk rakyat, tetapi kerja-kerja kebajikan di kalangan rakyat dapat diadakan. Pada malam ini Syarikat Sim Lim akan menghulurkan derma kepada Persatuan Bulan Sabit Merah dan lain-lain badan kebajikan. Sudah tentu jika Syarikat ini tidak berjaya dan mendapat keuntungan, masyarakat tidak akan dapat bantuan ini. Sudah tentu bukan sahaja Syarikat Sim Lim yang dapat menghulurkan derma ini, tetapi di Kuala Lumpur sahaja, malam-malam amal sering diadakan di mana syarikat-syarikat swasta tidak cuai membantu dengan derma dan lain-lain. Sementara kepentingan pekerja dan pelanggan mesti diberi pertimbangan yang wajar, keuntungan bagi syarikat tidak kurang pentingnya kerana dari keuntungan inilah Kerajaan mendapat hasil dan segala derma yang dikeluarkan. Tuan-tuan dan puan-puan. 12. Apa-apa jua usaha kita mestilah mementingkan masyarakat dan negara. Sektor swasta yang sihat dan bertanggungjawab boleh memberi sumbangan yang besar kepada masa depan negara kita yang lebih bahagia. Tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh mana-mana pihak yang boleh menjejaskan tanggapan rakyat terhadap sektor swasta boleh melemahkan usaha kita. Oleh itu, adalah menjadi harapan saya bahawa masyarakat perniagaan di negara kita akan menggembleng tenaga untuk memupuk etika perniagaan yang sihat dan membina, serta membuat sumbangan ke arah kesejahteraan rakyat dan negara. Sebagai negara berbilang kaum, perkembangan sektor swasta yang sihat, selaras dengan kehendak dasar-dasar negara, boleh memperkukuhkan lagi perpaduan, dan ini boleh dianggap sebagai satu pelaburan oleh pihak swasta. 13. Akhir sekali, saya selaku Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, berbangga dengan sumbangan Syarikat Kewangan Sim Lim Malaysia Berhad kepada Persatuan ini. Saya yakin, sumbangan ini akan membantu Persatuan ini di dalam berbagai-bagai aktivitinya, dan akan menjadi contoh kepada syarikat-syarikat swasta lain untuk memikirkan cara-cara yang lebih berkesan lagi ke arah menjadi "corporate citizen" yang bertanggungjawab dan bertimbang-rasa. Sekian, terima kasih. |