home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN CANSELOR TUN ABDUL RAZAK 
			U.K.M.,BANGI 
Tarikh/Date 	: 	27/05/83 
Tajuk/Title  	: 	DI UPACARA PELANCARAN KEMPEN 
			KESEDARAN RANCANGAN PEMBANGUNAN 
			INDUSTRI KAMPUNG DAN KARYANEKA 




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat Datuk Sanusi Junid, Menteri Pembangunan Negara dan Luar
Bandar; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekelian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Negara dan
Luar Bandar kerana menjemput saya dan isteri ke majlis ini, dan di atas
penghormatan yang diberikan kepada saya untuk melakukan upacara pelancaran
Kempen Kesedaran Rancangan Pembangunan Industri Kampung dan Karyaneka.

2. Salah satu matlamat utama Kerajaan ialah untuk meningkatkan taraf hidup
penduduk luar bandar. Matlamat ini boleh kita capai melalui
program-program yang boleh membuka peluang-peluang pekerjaan,
mempelbagaikan aktiviti ekonomi luar bandar dan menambahkan
pendapatan. Sejak kita mencapai kemerdekaan, Kerajaan telah memberikan
perhatian yang berat kepada pembangunan sosio-ekonomi masyarakat luar
bandar. Berbagai program telah diadakan dan banyak peruntukan telah
dibelanjakan oleh kerajaan di dalam projek-projek pembangunan luar
bandar. Kesungguhan Kerajaan untuk mempertingkatkan taraf hidup masyarakat
luar bandar dan rakyat amnya adalah jelas. Kita bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu Wataala kerana usaha-usaha yang telah kita jalankan selama ini
telah memberi manfaat kepada kita.

3. Walaupun kita terpaksa menghadapi zaman kemelesetan, tetapi ekonomi
negara kita masih kukuh berbanding dengan negara-negara lain. Namun
demikian, kita tidaklah boleh berpuas hati dengan pencapaian kita setakat
ini. Banyak usaha-usaha yang harus dibuat, dan banyak lagi bidang-bidang
ekonomi yang harus diterokai, bagi memperbaiki taraf hidup kita, terutama
bagi kalangan masyarakat luar bandar.

4. Kawasan luar bandar kita adalah kaya dengan berbagai sumber alam
seperti rotan, buluh, kayu, tanah liat, pandan, mengkuang dan
sebagainya. Di samping itu masyarakat luar bandar, terutamanya masyarakat
bumiputra memang sudah terkenal dengan kemahiran tangan. Tidak dapat
dinafikan masyarakat kita adalah masyarakat yang berjiwa seni dan
berkemahiran. Tetapi kedua-dua sumber tersebut, iaitu sumber-sumber alam
dan kemahiran yang sedia ada, masih belum digunakan sepenuhnya ke arah
usaha-usaha yang menguntungkan sebagai salah satu kegiatan ekonomi yang
boleh mendatangkan punca pendapatan, dan seterusnya yang boleh memberi
sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar. Kesedaran masyarakat
terhadap nilai ekonomi yang ada pada sumber-sumber alam di sekitar mereka
masih pada tahap yang rendah, dan akibatnya pertumbuhan ekonomi di luar
bandar masih di tahap yang rendah 

5. Selama ini memang telah ada usaha-usaha menggunakan sumber-sumber alam
ini sebagai salah satu aktiviti ekonomi luar bandar, tetapi ianya terbatas
kepada penggunaan dan pasaran tempatan yang terbatas. Kegiatan-kegiatan
ekonomi ini diusahakan dengan tidak membuat perkiraan tentang keperluan
pasaran, selera dan permintaan semasa dalam konteks ekonomi moden. Dalam
keadaan ini, prospek hasil kemahiran tangan kita tidaklah seberapa. Dengan
keadaan yang berubah, kita harus melihat industri kampung dalam konteks
yang baru dengan tujuan untuk menjadikannya sebagai punca pendapatan dan
ekonomi yang mempunyai potensi yang lebih luas iaitu pasaran dunia. Yang
penting sekarang ialah menyusun industri kampung bagi menepati keadaan dan
permintaan baru. Banyak negara yang sedang membangun seperti Negeri Thai,
Indonesia, dan Filipina, dan begitu juga negara-negara yang maju seperti
Jepun, telah dapat menjadikan kegiatan di kampung-kampung sebagai salah
satu kegiatan ekonomi yang utama dan penting. Kegiatan-kegiatan ini juga
bukan saja telah memberikan peluang-peluang pekerjaan kepada sebahagian
besar penduduk-penduduk di luar bandar, malah ia telah memberi sumbangan
kepada pertumbuhan dan pendapatan negara-negara tersebut dengan
pengeluaran secara besar-besaran untuk dieksport ke negara-negara lain.

6. Kerajaan sekarang sedang menjalankan usaha untuk menggalakkan pembukaan
dan pembangunan industri-industri kampung yang lebih tersusun. Usaha-usaha
ini akan diselaraskan oleh Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar,
bersama agensi-agensi berkenaan yang lain, termasuk Agensi-Agensi
Pembangunan Wilayah. Tujuan utama Kerajaan menggalakkan industri kampung
ialah untuk meningkatkan pendapatan masyarakat melalui penggunaan masa
lapang secara produktif. Jika diatur dengan baik industri kampung boleh
dijadikan kegiatan sepenuh masa. Di samping itu, industri kampung juga
boleh meningkatkan kefahaman masyarakat kampung mengenai selok-belok
perniagaan, serta peranan wang dan ekonomi dalam pembangunan. Industri
kampung juga dapat mengurangkan penghijrahan pemuda-pemudi dari kampung ke
bandar. Gejala penghijrahan menyebabkan negara kita mengalami kekurangan
tenaga untuk mengusahakan bendang dan ladang-ladang di kawasan luar
bandar, dan menyebabkan pertambahan pesat bilangan penduduk di
bandar-bandar sehingga timbul pula masalah setinggan, kesesakan dan
lain-lain 

7. Pengeluaran dan pemasaran merupakan dua aspek penting berhubung dengan
pembangunan industri kampung. Dari segi pengeluaran ianya perlu disusun
dengan sedemikian rupa supaya hasil industri kampung dapat dikeluarkan
dengan banyak, selaras dengan permintaan dan selera pembeli, dan
disediakan mengikut jadual yang ditetapkan. Ini termasuklah menjamin
ketinggian mutu, harga yang bersaingan dengan keluaran negara-negara lain,
dan ciptaan dan rekabentuk yang menarik.

8. Di dalam dunia yang serba moden ini adalah tidak memadai jika kita
hanya membuat dan mengeluarkan sesuatu barang tanpa memberi penekanan
kepada fakta-fakta yang dinyatakan tadi. Usaha kita tidak akan kemana-mana
dan kita tidak akan dapat menandingi negara-negara lain jika kita tidak
memberi perhatian kepada perkara-perkara ini. Zaman sekarang orang
memandang mutu. Itulah sebabnya di samping kita mahukan daya pengeluaran
yang tinggi, kita mahukan keluaran industri-indsutri kampung kita
diusahakan secara bersungguh-sungguh bagi menghasilkan keluaran yang
bermutu tinggi. Begitu juga barang-barang yang dikeluarkan mestilah
disesuaikan dengan kehendak pasaran, sama ada untuk dipasarkan di pasaran
tempatan, atau kepada pelancung-pelancung dan seterusnya untuk dieskport.

9. Pertumbuhan dan kemajuan industri-industri kampung adalah berkait rapat
dengan pasaran. Banyak kegiatan ekonomi masyarakat luar bandar tidak dapat
berkembang oleh kerana mereka menghadapi masalah pasaran. Tanpa pasaran
yang cekap dan sempurna, pengeluaran dari industri-industri kampung ini
tidak akan ke mana-mana dan akhirnya akan mematikan semangat sahaja. Dalam
soal ini, perhatian yang serius perlu diberikan kepada jenis-jenis
pengeluaran yang harus digalakkan sebelum sesuatu usaha itu dibuat.

10. Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar telah menubuhkan tiga
syarikat pemasaran yang bertanggungjawab untuk memasarkan hasil-hasil
industri kampung. Syarikat-syarikat pemasaran tersebut ialah Syarikat
Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd., Syarikat Pembangunan dan Pemasaran Industri
Kampung Sdn. Bhd., dan Batek Malaysia Berhad. Saya harap ketiga-tiga
syarikat ini akan bergerak cergas menerokai peluang-peluang perniagaan,
mengadakan hubungan perdagangan dengan syarikat-syarikat di dalam dan luar
negeri, menyalurkan hasil-hasil pembuatan pengusaha-pengusaha di
kampung-kampung yang bermutu dan standad, membuat kajian-kajian pasaran,
kajian permintaan dan kehendak-kehendak pelanggan dan pembeli, serta
menggalakkan perniagaan. Apa yang saya harapkan ialah supaya ada
perseimbangan di antara pengeluaran dan pasaran dan supaya dapat
dipastikan keluaran industri kampung dapat dipasarkan secara
berterusan. Hanya dengan cara inilah kita dapat memberi keyakinan kepada
pengusaha-pengusaha bahawa usaha-usaha mereka berfaedah dan mendatangkan
pendapatan. Tanpa keyakinan ini, usaha-usaha kita ini nanti mungkin
menemui kegagalan.

11. Saya pernah menyatakan dahulu bahawa Kerajaan tidak bertujuan melalui
agensi-agensinya dengan sendiri membangunkan industri-industri kampung,
dengan orang-orang kampung hanya sebagai pekerja. Tujuan sebenar ialah
supaya orang-orang kampung sendiri memiliki dan mengendalikan
perusahaan-perusahaan mereka. Ianya boleh diusahakan sama ada secara
perseorangan, berkongsi atau bersyarikat, atau cara koperasi. Kerajaan
akan melibatkan diri secara tidak langsung seperti mengenal pasti
pengusaha-pengusaha yang sesuai, menyediakan jurulatih di mana perlu,
melatih kemahiran pengurusan, menyediakan sumber-sumber pinjaman apabila
pinjaman swasta tidak diperolehi, dan juga membekalkan bantuan-bantuan
awal berhubung dengan pengurusan.

12. Kerajaan juga akan menubuhkan industri tunjang (core industry) bagi
membuat kerja-kerja awal dan menyudahkan barang-barang tertentu. Misalnya,
industri tunjang mungkin terlibat dengan pemotongan buluh dan rotan dan
juga penggalian tanah liat sebagai kerja awal, dan kerja-kerja penyudahnya
pula termasuklah pembungkusan hasil-hasil keluaran yang telah siap untuk
dipasarkan. Apabila industri ini telah boleh berjalan dengan sendiri maka
ianya akan diserahkan kepada penduduk-penduduk kampung itu sendiri.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

13. Usaha-usaha menggalakkan pembukaan industri-industri kampung bukanlah
sahaja menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan tetapi juga
Kerajaan-kerajaan Negeri. Kerajaan-kerajaan Negeri hendaklah memberi
keutamaan kepada perancangan dan pelaksanaan industri kampung di negeri
masing-masing. Penerangan-penerangan hendaklah diberi kepada
penduduk-penduduk di luar bandar tentang semua aspek industri kampung dan
seterusnya mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya untuk menjayakan
rancangan ini. Saya mengharapkan supaya ada kerjasama yang erat di antara
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri untuk menjayakan
rancangan ini.

14. Saya juga berharap semoga ahli-ahli politik, dan pegawai-pegawai
kerajaan, seperti Penyelia-Penyelia dan Pemaju-Pemaju Masyarakat
(KEMAS) hendaklah memainkan peranan yang aktif dalam menjayakan program
ini. Penerangan mengenai semua aspek industri kampung hendaklah diberi
kepada penduduk luar bandar dan seterusnya mengambil tindakan yang
sewajarnya untuk menjayakannya.

15. Adalah menjadi harapan saya agar kempen ini akan mendapat sambutan
dari semua pihak, terumatamanya masyarakat luar bandar. Kejayaan kempen
ini banyak bergantung kepada sikap pengusaha-pengusaha sendiri. Dengan
usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh sahajalah kita akan memperolehi
kejayaan.

16. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran
Kempen Kesedaran Rancangan Pembangunan Industri Kampung dan Karyaneka.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 



 


 











 
Google