Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KUALA TRENGGANU
Tarikh/Date : 28/05/83
Tajuk/Title : DI MAJLIS PERASMIAN MUSABAQAH
MEMBACA AL-QURAN PERINGKAT
KEBANGSAAN, TAHUN 1983/1403
Bismillahir rahmanir rahim.
Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Mulia Dato' Seri Pengerusi; Yang Amat Berhormat Dato Haji Wan
Mokhtar, Menteri Besar Trengganu; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan
Puan-puan sekelian.
Alhamdullillah, saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana
dengan limpah kurnia dan izinNya, dapat saya bersama-sama hadir di majlis
perasmian Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang bahagia
ini. Sebagai majlis yang ke 25, mungkin muslimin-muslimat di negara kita
mengharapkan acara Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Kebangsaan ini
disambut dengan besar-besaran. Tetapi, dalam keadaan ekonomi yang lembab,
di mana segala perbelanjaan perlu dibuat dengan jimat, upacara ini juga
terpaksa dibuat dengan sederhana sahaja.
2. Kepentingan Musabaqah Membaca Al-Quran tidak bergantung kepada cara
sambutannya. Yang lebih penting ialah kesannya terhadap umat Islam dan
negara. Kesan yang diharapkan ialah kefahaman umat Islam tentang maksud
dan ajaran Al-Quran, dan minat umat Islam untuk meningkatkan lagi
kefahaman ini, serta mengamalkan hukum, prinsip dan nilai-nilai yang
dianjurkan oleh Islam.
Saudara-saudari muslimin-muslimat sekelian,
3. Semenjak dua tahun yang lepas, Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat
Kebangsaan telah bergilir-ganti ditempatkan di negeri-negeri. Setelah
diadakan di Negeri Sembilan dan Negeri Perak, kali ini Negeri Trengganu
pula telah mendapat penghormatan menjadi tuan rumah kepada majlis yang
mulia ini. Bagi pihak diri saya, saya merasa sukacita sekali dengan
keputusan untuk mengadakan Musabaqah Peringkat Kebangsaan kali ini di
Negeri Trengganu.
4. Negeri Trengganu adalah salah sebuah negeri di Semenanjung yang hampir
keseluruhan penduduknya beragama Islam. Trengganu sememangnya mempunyai
sejarah yang penting dalam perkembangan agama Islam di Nusantara
ini. Penemuan Batu Bersurat membuktikan bahawa Negeri Trengganu merupakan
salah satu tempat di mana Islam mula-mula berkembang di negara kita. Tidak
hairanlah kiranya terdapat ramai pula tokoh-tokoh agama yang penting yang
tercatit di dalam sejarah negeri ini. Oleh itu, majlis kita ini juga
bolehlah dikatakan sebagai satu majlis bagi menghormati Negeri Trengganu
sebagai pusat perkembangan Islam, tokoh-tokoh Islamnya, dan usaha-usaha
gigih yang dibuat oleh Kerajaan Negeri ke arah kemajuan agama Islam.
5. Walaupun Negeri Trengganu merupakan sebuah negeri yang hampir semua
penduduknya beragama Islam, dan usaha-usaha ke arah kemajuan agama Islam
sentiasa mendapat keutamaan yang tinggi, malangnya terdapat juga kurang
persefahaman di kalangan segelintir umat Islam di tempat-tempat tertentu
hingga mengakibatkan berlakunya perpecahan rumah tangga, permusuhan,
fitnah-memfitnah dan kafir-mengkafir. Keadaan ini seharusnya tidak
berlaku, dan malang sekali bagi umat Islam di negeri ini kerana perkara
ini tidak diberi perhatian yang serius oleh setengah-setengah pihak yang
kononnya memperjuangkan kepentingan Islam. Dalam kita berusaha ke arah
menegakkan syiar Islam di negara kita, di mana penduduk Islam hanya
merupakan kira-kira lima puluh peratus sahaja, gejala-gejala yang tidak
sihat dan merbahaya ini hanya melemahkan usaha-usaha ke arah memperluaskan
pengaruh agama Islam di negara kita.
6. Walaupun umat Islam berbangga dengan apa yang dianggap sebagai
kesedaran baru di kalangan umat Islam di seluruh dunia, hakikat yang tidak
boleh dinafikan ialah umat Islam berpecah-belah, bersengketa sesama
sendiri sehingga terus berperang. Berpuluh ribu orang Islam telah mati
kerana peperangan antara orang Islam dengan orang Islam. Di negara kita
sendiri, walaupun peperangan tidak berlaku tetapi usaha untuk
memecah-belah orang Islam sedang dipertingkatkan. Usaha ini disembunyi di
belakang apa yang dikatakan perjuangan untuk Islam. Kegiatan ini tidak ada
di zaman dahulu di waktu peluang untuk merebut tempat dan kuasa tidak
diberi melalui sistem demokrasi. Dahulu semua orang Islam di Malaysia
bersatu-padu sehingga dapat mereka melawan penjajah untuk merebut
kemerdekaan. Tetapi sekarang segala usaha untuk mengekal perpaduan dan
mengguna kuasa yang dimiliki oleh orang Islam untuk mengukuhkan kedudukan
dan ketahanan orang Islam sudah terganggu. Kesedaran baru orang Islam
sebenarnya bukan kesedaran tetapi merupakan satu keangkuhan di kalangan
satu golongan yang cuma melihat peluang bagi diri sendiri, baik di dalam
negara kita atau di seluruh dunia Islam.
7. Islam meletakkan perpaduan dan persaudaraan di kalangan umatnya di
peringkat yang tertinggi sekali. Itulah sebabnya Islam sangat-sangat
melarang sesuatu golongan memandang rendah golongan yang lain, dan
melarang seseorang melemparkan tuduhan kepada seseorang yang lain tanpa
bukti dan tanpa saluran yang ditentukan. Demikianlah pula Islam
menganjurkan cara hidup berbaik-baik, hormat-menghormati dan saling
membantu sekalipun dengan mereka yang bukan Islam. Sebenarnya
prinsip-prinsip Islam yang mulia inilah yang telah menarik ramai pengikut
kepada Rasullullah s.a.w. Bukan sahaja orang-orang yang tertindas tertarik
mencari perlindungan di bawah naungan Islam, malahan seteru Islam yang
ketat pun, kerana kagum dengan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh
Rasullullah s.a.w., telah turut menjadi pengikutnya dan berjuang
bermati-matian kerana Islam. Prinsip-prinsip Islam yang tinggi ini jugalah
yang telah membawa Islam ke seluruh pelusuk dunia. Hinggakan hari ini umat
Islam merupakan satu umat yang terbesar di dunia dari segi bilangannya.
8. Walaupun prinsip-prinsip Islam merupakan prinsip-prinsip yang begitu
tinggi nilainya, sejarah Islam dengan jelas menunjukkan kepada kita bahawa
Islam sentiasa mempunyai musuh-musuhnya yang terdiri dari mereka yang
menggugat prinsip-prinsip murni ini. Telah timbul mereka yang pernah
menganggap diri mereka sebagai Nabi, sebagai Imam Mahadi, dan lain-lain
lagi hinggakan pencemaran ini telah dapat pula mempengaruhi mereka yang
cetek kefahaman dan imannya, dan justeru itu melemahkan Islam. Di zaman
kita juga perkara-perkara ini berlaku, dan ini semua adalah pencemaran
yang mencabar setiap anggota umat Islam yang benar-benar berpegang kepada
Islam dan bertakwa. Bersama-samalah kita berdoa dan berusaha
membenteraskan anasir-anasir yang merosakkan kesucian Islam dan melemahkan
umat dan syiar Islam.
Muslimin-muslimat yang dihormati sekelian.
9. Setiap kali kita mengadakan Musabaqah Membaca Al-Quran, kita memilih
tema-tema tertentu bagi memperkukuhkan asas-asas dan prinsip-prinsip yang
dianjurkan oleh Islam. Kali ini tema Musabaqah Membaca Al-Quran ialah
"Kebersihan Asas Kesempurnaan Iman". Walaupun tema ini boleh dianggap
jelas, dan tidak seharusnya menimbulkan apa-apa persoalan, tetapi biasanya
sesuatu yang mudah dan jelas itu pula kurang diberi perhatian dan
difikirkan dengan mendalam dan meluas. Sebab itu tema kebersihan ini perlu
ditekankan. Sebenarnya, kebersihan mempunyai peranan yang penting di dalam
keseluruhan cara hidup Islam.
10. Biasanya kebersihan dikaitkan dengan amal ibadat sahaja. Kalau dalam
sembahyang kebersihan secara sepintas lalu ialah bersih tubuh badan,
pakaian dan tempat sembahyang. Tetapi, setiap perkara yang dituntut oleh
Islam tidak terhad kepada amal ibadat semata-mata. Sebagaimana kita
maklum, Islam adalah Ad-din, iaitu keseluruhan cara hidup -- hidup sebagai
seorang individu, hidup berkeluarga, hidup bermasyarakat, hidup bernegara,
dan hidup sebagai umat Islam sedunia. Sesuatu prinsip yang dianjurkan
ialah dengan tujuan supaya ianya akan sebati menjadi nilai dan
mempengaruhi pemikiran dan gerak-langkah seseorang di dalam kehidupan
setiap masa, setiap hari, sepanjang hayat seseorang.
11. Prinsip-prinsip yang mulia lagi tinggi ini membezakan umat Islam
dengan manusia sejagat. Sekiranya kita tidak dapat melihat perbezaan ini,
ini bermakna prinsip-prinsip ini belum lagi menjadi sebati di kalangan
kita.
12. Ini juga bermakna kita belum lagi memikul tanggungjawab kita
sepenuhnya sebagai umat Islam. Ini pula tentulah memberi gambaran yang
salah kepada masyarakat bukan Islam dan orang Islam yang tidak begitu
mendalam pengetahuan Islamnya. Ini semua memberi kesan yang negatif ke
arah memupuk generasi Islam yang berkemampuan memainkan peranan yang lebih
berkesan ke arah kemajuan umat Islam seperti yang dituntut oleh agama
Islam.
13. Kebersihan yang dituntut oleh Islam meliputi semua kepada diri sendiri
sahaja hinggalah kepada perhubungan sosial, kegiatan ekonomi, pentadbiran
dan pengurusan serta politik. Dalam Islam apa yang baik tidak harus
dipaksa lagi, dan harus menjadi manifestasi keimanan. Begitu pulalah
dengan kebersihan yang menjadi salah satu asas dan prinsip yang penting
dalam Islam.
14. Kebersihan yang di maksudkan oleh Tema Musabaqah kita, "Kebersihan
Asas Kesempurnaan Iman", ialah kebersihan yang menjadi nilai, prinsip dan
cara hidup, bukan setakat perkara-perkara tertentu sahaja, atau dalam
pengertian yang sempit. Kebersihan di sini meliputi kebersihan hati dan
jiwa seseorang. Kalau hati bersih, niat akan menjadi bersih, fikiran
bersih dan kelakuan pun akan menjadi bersih. Hati yang bersih ialah hati
yang penuh keimanan yang benar-benar berasaskan kepada pengertian dan
penerimaan hukum Islam yang sebenarnya.
15. Apabila hati kita bersih, kita dapat mengelakkan diri kita daripada
busuk hati; kita dapat menghindarkan daripada buruk sangka,
fitnah-memfitnah dan segala keburukan dan kejahatan, bukan sahaja bagi
diri kita, tetapi juga bagi keluarga, jiran dan masyarakat
kita. Sebaliknya kita dapat memupuk persefahaman, hormat-menghormati dan
berbaik-sangka sesama umat Islam dan sesama manusia. Kita akan dapat
meletak diri kita di tempat yang wajar sebagai mukmin yang bertakwa kepada
kebesaran Allah Subhanahu Wataala. Justeru itu hilanglah keangkuhan serta
segala sifat-sifat dan kelakuan yang keji.
16. Manusia adalah mahluk Allah yang lemah tubuh badannya. Tetapi Allah
Subhanahu Wataala telah mengurniakan kepada manusia keistimewaan berakal
fikiran. Dengan ini manusia mengatasi kelemahannya. Penganut agama Islam
pula adalah manusia yang lebih istimewa kerana bukan sahaja mereka
petunjuk serta kekuatan kepada kita dalam segala usaha suci kita untuk
mengembalikan kemurnian nilai-nilai Islam di dalam aktiviti kehidupan
kita.
19. Akhir kata, dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,
saya dengan sukacitanya membuka Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat
Kebangsaan ini dengan rasminya.
Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.
|