Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ISTANA NEGARA
Tarikh/Date : 01/06/83
Tajuk/Title : UCAPAN TAHNIAH DAN IKRAR TAAT-SETIA
KEPADA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN
AGONG SEMPENA HARI KEPUTERAAN
RASMI BAGINDA
Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Haji
Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin
Al-Mu'adzam Shah, D.K.M., Yang Di Pertuan Agong.
Ampun Tuanku.
Patek, bagi pihak diri patek, dan bagi pihak Kerajaan dan seluruh rakyat,
mohon menyembah setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Tuanku, sempena hari Keputeraan Rasmi Baginda Tuanku pada hari
ini.
2. Sempena hari yang bahagia ini, patek sekelian berdoa ke hadrat Allah
Subhanahu Wataala, semoga dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan
hidayahNya kepada Kebawah Duli Tuanku serta Raja Permaisuri
Agong. Demikian juga, patek sekelian berdoa, semoga Tuanku berdua sentiasa
sihat walafiat, serta kekal memerintah dan memegang teraju tertinggi
pemerintahan negara Malaysia, dengan bertambah daulat dan kemuliaan.
Ampun Tuanku,
3. Dalam suasana politik dan ekonomi dunia hari ini, negara Malaysia,
seperti juga negara-negara membangun yang lain, perlu bekerjasama dengan
lebih erat lagi, dengan yang lebih mampu membantu dan membimbing yang
kurang maju, dengan tiap-tiap satunya berusaha meningkatkan lagi kemampuan
bagi menjamin kemajuan dan pembangunan masing-masing. Demi kepentingan
kita dan masyarakat dunia amnya, kita harus berusaha dengan giat lagi
untuk berdikari, dan terus menumpukan usaha untuk meningkatkan kemampuan
dan daya pengeluaran kita. Dengan cara inilah sahaja kita dapat menjaga
kepentingan kita dan membuat sumbangan kepada kemakmuran dan kemajuan
dunia.
4. Keadaan kemelesetan ekonomi dunia yang belum reda, dan pencerobohan
yang dilakukan ke atas pihak-pihak yang lemah oleh kuasa-kuasa tertentu,
tanpa tindakan tegas oleh kuasa-kuasa besar bagi memulihkan keadaan, telah
menjadikan dekad lapan puluhan sebagai satu tempoh yang genting bagi
keselamatan dan pembangunan amnya. Keadaan ini mesti dipulihkan, tetapi
usaha ke arah ini memerlukan kejujuran dan komitmen semua pihak,
lebih-lebih lagi kuasa-kuasa besar yang mempunyai berbagai kemampuan dan
pengaruh.
5. Malaysia akan terus berusaha, melalui hubungan luar dan penglibatan
kita dalam forum-forum antarabangsa dengan tumpuan kepada perhubungan dua
hala untuk sama-sama mencari jalan bagi mententeramkan suasana politik dan
ekonomi antarabangsa, dan bagi mewujudkan asas hubungan antarabangsa yang
lebih adil dan bermakna.
Ampun Tuanku,
6. Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sedang berusaha untuk meletakkan
asas-asas yang lebih kukuh bagi pembangunan negara yang seimbang, makmur,
maju dan bermaruah. Perubahan-perubahan telah dibuat bagi mengatur dan
meningkatkan kemampuan negara bagi kemajuan yang lebih pesat. Dasar
Pandang Ke Timur dan konsep Persyarikatan Malaysia, bagi menggembleng
persefahaman dan tenaga, serta memupuk daya pengeluaran yang lebih tinggi
bagi semua sektor sedang dilaksanakan. Usaha juga sedang dilakukan bagi
memperkukuhkan lagi jentera Kerajaan, supaya kerja-kerja pembangunan
negara dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, dan berkesan. Patek yakin,
dengan sokongan dan penglibatan semua pihak, usaha-usaha yang dijalankan
ini akan memberi faedah dan manfaat kepada rakyat dan negara, bukan sahaja
dari segi jangka pendek, malahan dari segi jangka panjang.
7. Sesungguhnyalah negara Malaysia amat bertuah kerana mempunyai pelbagai
sumber kekayaan. Usaha-usaha Kerajaan dengan sokongan dan penglibatan
rakyat telah dapat menjadikan negara kita sebagai sebuah negara yang
berpotensi di kalangan negara-negara membangun. Patek sekelian yakin,
bahawa di bawah naungan dan pimpinan Tuanku, negara Malaysia akan terus
aman, sejahtera dan makmur. Begitu juga patek sekelian yakin, bahawa
dengan Tuanku memimpin patek sekelian, taraf kehidupan dan perpaduan serta
ketahanan rakyat akan semakin meningkat. Patek, bersama-sama dengan
Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri, dan sekelian pegawai dan
kakitangan Kerajaan, akan terus menumpukan usaha dan tenaga untuk
menyempurnakan tugas dan tanggungjawab patek sekelian dengan semangat dan
komitmen bagi kemakmuran, keselamatan dan kebahagiaan rakyat dan negara
Malaysia.
8. Pada hari yang bahagia dan penuh istiadat ini, bagi pihak diri patek,
Kerajaan dan seluruh rakyat, patek dengan segala hormat dan takzimnya
mohon menyembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah
Duli Tuanku.
Ampun Tuanku, Sekian, sembah patek harap diampun.
|